#7506: Sebab Menulis Sahih al-Bukhari

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan berkenaan sebab mengapa Imam al-Bukhari menulis kitab sahihnya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

يُؤْتِي الْحِكْمَةَ مَن يَشَاءُ ۚ وَمَن يُؤْتَ الْحِكْمَةَ فَقَدْ أُوتِيَ خَيْرًا كَثِيرًا ۗ وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّا أُولُو الْأَلْبَابِ

Maksudnya: Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.

(Surah al-Baqarah: 269)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: Allah menganugerahkan ilmu, penghayatan terhadap rahsia-rahsia Al-Qur’an, pemahaman mendalam tentang pelbagai perkara, kebijaksanaan dalam perkataan dan perbuatan, serta kemampuan meletakkan sesuatu pada tempatnya kepada hamba yang dikehendaki-Nya. Barang siapa yang dikurniakan hikmah (ilmu yang bermanfaat), maka sesungguhnya dia telah memperoleh kebaikan di dunia dan akhirat. Namun, hanya mereka yang memiliki akal fikiran yang sihat mampu mengambil pelajaran daripada hikmah-hikmah Al-Qur’an dan wahyu Ilahi. (Lihat Tafsir al-Wajiz, hlm. 334)

Daripada Abu Hurairah R.A, Nabi SAW telah bersabda:

مَنْ يُرِدِ اَللَّهُ بِهِ خَيْرًا, يُفَقِّهْهُ فِي اَلدِّينِ

Maksudnya: “Siapa yang dikehendaki kebaikan yang banyak oleh Allah, nescaya akan difahamkan perihal agamanya.”

Riwayat al-Bukhari (71) dan Muslim (1037)

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: “Dalam hadith ini terdapat keterangan yang jelas tentang kelebihan orang-orang yang berilmu di atas semua manusia. Begitu juga keutamaan ilmu agama di atas ilmu-ilmu yang lain.” (Lihat Fath al-Bari, 1/165)

Imam al-Bukhari telah memberi nama yang cukup istimewa bagi karya sahihnya iaitu “al-Jami‘ al-Sahih al-Musnad al-Mukhtasar min Umur Rasulillah SAW wa Sunanihi wa Ayyamihi” (الجَامِعُ الصَّحِيحُ الْمُسْنَدُ الْمُخْتَصَرُ مِنْ أُمُورِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَسُنَنِهِ وَأَيَّامِهِ). Walau bagaimanapun, karya ini lebih terkenal dengan nama Sahih al-Bukhari.

Menjawab persoalan di atas, terdapat dua sebab Imam al-Bukhari menulis sahihnya sebagaimana yang dinyatakan:

Pertama: Guru beliau iaitu Ishaq bin Rahawaih telah menyampaikan hasratnya atau mencadangkan kepada muridnya agar menghimpunkan hadith-hadith yang sahih, Maka, kata-kata itu sangat memberi kesan di dalam hati Imam al-Bukhari.

Kedua: Beliau (Imam al-Bukhari) telah bermimpi bahawa beliau berdiri di sisi Rasulullah SAW serta dalam masa yang sama, beliau mengipas Rasulullah SAW. Setelah itu, beliau bertanya kepada penafsir mimpi berkenaan mimpi beliau. Penafsir mimpi mengatakan bahawa beliau akan menghalang pendustaan terhadap Rasulullah SAW. Disebabkan itulah beliau berusaha untuk menghasilkan karya ini.

Karya yang agung ini menjadi rujukan kepada ummah sejak penghasilannya sehingga masa kini. Ia diajar di peringkat universiti, pondok, masjid, surau, madrasah dan lain-lain lagi. Bahkan mereka benar-benar menghayati dan menghafal hadith-hadith yang terkandung dalam Sahih al-Bukhari ini kerana kedudukannya yang terbaik dan paling utama berbanding dengan kitab-kitab yang lain. Semoga Allah merahmati Imam al-Bukhari atas jasanya yang amat penting dan berguna untuk ummah.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”