Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya nak bertanya, saya seorg rider mkan. Ada satu situasi bila buat rider ini, contohnya bila rider pickup makanan dan makanan sudah diambil, tetapi customer yang membeli cancel order atau tidak dapat dihubungi. Pihak pengurusan biasanya akan arahkan makanan itu dibuang. Apa hukum kalau rider ambil makanan itu untuk di bawa balik atau makan untuk elak pembaziran.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Secara asalnya, pemindahan hak milik hanya berlaku dalam bentuk akad dan transaksi yang diiktiraf dan diperakui oleh syarak seperti jual-beli, hadiah, wasiat dan sebagainya; yang dilaksanakan dalam keadaan rela dan sedar antara kedua-dua pihak. Keengganan seseorang mengambil hak miliknya tetap tidak mengubah status pemilikan dirinya ke atas benda itu, dan tidak menghalalkan orang lain untuk mengambilnya.
Mengambil harta orang lain tanpa hak ini secara umumnya dipanggil sebagai al-ghasb (الْغَصْبُ). Ia ditakrifkan oleh Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari sebagai:
اسْتِيلَاءٌ عَلَى حَقِّ غَيْرٍ بِلَا حَقٍّ
Maksudnya: “Merampas hak milik orang lain tanpa hak.” (Lihat Fath al-Wahhab bi Syarh Minhaj al-Tullab, 1/274)
Dalil pengharaman mengambil hak orang lain tanpa keredhaan dan keizinannya adalah berdasarkan firman Allah SWT di dalam al-Quran al-Karim:
یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ لَا تَأۡكُلُوۤا۟ أَمۡوَ ٰلَكُم بَیۡنَكُم بِٱلۡبَـٰطِلِ إِلَّاۤ أَن تَكُونَ تِجَـٰرَةً عَن تَرَاضࣲ مِّنكُمۡۚ وَلَا تَقۡتُلُوۤا۟ أَنفُسَكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِكُمۡ رَحِیمࣰا
Maksudnya: “Wahai orang yang beriman, janganlah kalian memakan harta orang lain dalam kalangan kalian dengan cara yang batil, melainkan dengan jual beli yang diredhai sesama kalian. Dan janganlah kalian membunuh diri kalian sendiri. Sesungguhnya Allah amat mengasihi kalian.”
(Surah al-Nisa’: 29)
Imam Abu Muhammad al-Baghawi menafsirkan ayat di atas seraya berkata: “[Wahai orang yang beriman janganlah kalian makan harta orang lain dalam kalangan kalian dengan cara yang batil] iaitu dengan cara yang haram, seperti riba, perjudian, merampas hak milik orang lain, mencuri, berlaku khianat dan yang semisal dengannya. Dan dikatakan juga ia adalah segala akad transaksi yang batil [melainkan dengan perniagaan] Ahli Kufah membaca kalimat “تِجَارَةً” secara mansub atas faktor kalimat tersebut adalah khabar; maka maknanya menjadi “melainkan harta tersebut adalah berstatus harta hasil perniagaan sesama kalian,” manakala perawi lain membaca dengan baris hadapan (تِجَارَةٌ); dengan makna: “melainkan ada urusniaga jual-beli,” [yang diredhai sesama kalian] iaitu dengan kerelaan hati setiap seorang dalam kalangan kalian.” (Lihat Ma‘alim al-Tanzil, 2/199)
Begitu juga dengan hadith Rasulullah SAW bersabda:
إنَّ دِمَاءَكُمْ وَأَمْوَالَكُمْ وَأَعْرَاضَكُمْ عَلَيْكُمْ حَرَامٌ
Maksudnya: “Sesungguhnya darah kalian, harta kalian, dan maruah kalian adalah haram untuk dicerobohi sesama kalian.”
Riwayat al-Bukhari (67) dan Muslim (1679)
Imam al-Nawawi mensyarahkan hadith di atas menegaskan bahawa: “Lafaz hadith di atas menegaskan dengan begitu jelas bahkan amat keras tentang haramnya harta, maruah dan nyawa untuk dicerobohi dan digugat oleh sesiapa pun.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 11/169)
Kesimpulan
Menjawab persoalan di atas, kami membahagikan jawapan kepada dua situasi:
Pertama: Ia perlu dilihat kembali pada barang/makanan yang dipesan. Sekiranya ia barangan rumah atau barangan dari Tesco, Giant, Aeon, 7-Eleven dan seumpanya, lazimnya ia akan dipulang semula mengikut makluman yang akan diberikan di dalam aplikasi.
Kedua: Jika ia merupakan makanan masakan panas/gorengan, kebiasaannya ia tidak akan dikembalikan ke kedai semula dan peniaga akan menyuruh rider tersebut ambil sahaja kerana kurang sesuai untuk diberi kepada pelanggan baharu. Maka, semua bergantung kepada makluman dari aplikasi tersebut. Jika pelanggan cancel pesanan/order, kebiasaannya yang menanggung kerugian adalah pihak servis yang menghantar dan kedai/restoran akan mendapat refund semula dari order yang telah dicancel.
Justeru, kami katakan sekiranya ia perlu dipulangkan semula, maka wajib untuk anda memulangkan semula. Sekiranya ia telah memaklumkan untuk tidak perlu memulangkan semula, maka dibolehkan untuk anda mengambilnya, terutamanya jika melibatkan masakan panas, alangkah lebih baik untuk kita tidak membazirkan makanan tersebut.
Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu.
Kita berdoa agar Allah mengurniakan ketaqwaan dan sifat takut kepada-Nya, khususnya dalam mengurus hal-ehwal harta dan hak milik orang lain. Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ آتِ نَفْسِي تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلَاهَا
Maksudnya: “Ya Allah, berilah sifat takwa di dalam jiwaku. Sucikanlah jiwaku, Engkaulah yang paling terbaik untuk menyucikannya. Engkau jualah pelindung dan pemiliknya.”
Wallahu a‘lam.