#7519: Tidak Ikut Tajwid Membaca al-Fatihah ketika Solat

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum jika baca surah al-Fatihah ketika solat tetapi tidak ikut tajwid dengan betul?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Ubadah bin al-Samit RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لا صَلاةَ لِمَن لَمْ يَقْرَأْ بفاتِحَةِ الكِتابِ

Maksudnya: “Tiada solat bagi sesiapa yang tidak membaca Surah al-Fatihah (di dalam solatnya).”

Riwayat al-Bukhari (756); Muslim (394)

Imam Ibn Battal al-Maliki ketika mensyarahkan hadith di atas menyebutkan: “Hujah pendapat yang mewajibkan bacaan Surah al-Fatihah di dalam solat (iaitu mazhab al-Syafi‘i dan sekalian ashab beliau), termasuklah bagi makmum di belakang imam, adalah hadith di atas: ‘لا صَلاةَ لِمَن لَمْ يَقْرَأْ بفاتِحَةِ الكِتابِ’ (Tiada solat bagi sesiapa yang tidak membaca Fatihah al-Kitab), hadith ini menafikan kesahihan solat bagi orang yang tidak membacanya. Hadith ini mesti difahami secara asal zahirnya, melainkan apabila ada sebarang dalalah lain yang mengkhususkannya (mengkhususkan makna perkataan la solata).” (Lihat Syarh Sahih al-Bukhari, 2/370)

Berhubung soalan yang diajukan kepada kami di atas, kami lampirkan kewajipan-kewajipan yang perlu dipenuhi ketika membaca Surah al-Fatihah di dalam solat supaya suatu solat tersebut dianggap sah, sepertimana yang dinyatakan oleh Imam Muhammad bin Sa‘id Ba ‘Isyn dalam kitab Busyra al-Karim.

Imam Muhammad bin Sa‘id Ba ‘Isyn al-Syafi‘i berkata menjelaskan bab sifat solat: Kewajiban ketika membaca surah al-Fatihah itu ada sepuluh perkara:

  • Membaca keseluruhan ayatnya (قراءة جميع آياتها)
  • Membaca seluruh ayatnya dalam keadaan berdiri (وقوعها كلها في القيام أن وجب)
  • Membaca sendiri, tidak mewakilkannya kepada sesiapa (عدم الصارف)
  • Bacaan tersebut boleh didengari oleh dirinya sendiri (يسمع جميع حروفها)
  • Wajib dibaca di dalam Bahasa Arab (كونها بالعربية)
  • Mematuhi semua tasydidat/bacaan sabdu di dalamnya (ومراعاة التشديدات منها)
  • Menyebut semua hurufnya tanpa tertinggal (رعاية حروفها)
  • Tiada sebarang lahn (kesalahan) yang mengubah makna (عدم اللحن المخل بالمعنى)
  • Muwalat (berturut-turut) ketika membaca, tidak berhenti (الموالاة)
  • Membaca menurut tertib susunan ayatnya (ترتيب الفاتحة).” (Lihat Busyra al-Karim Syarh Masa’il al-Ta‘lim, hlm. 203-204)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan Surah al-Fatihah perlu dibaca dengan bacaan yang betul dengan meraikan bacaan dengan baris yang betul berserta dengan tajwid dan makhrajnya. Kesalahan dalam tajwid seperti bacaan mad (panjang pendek), ghunnah (dengung) ataupun kesalahan-kesalahan tajwid yang lain tidaklah membatalkan solat namun perlulah diperbaiki bacaan tersebut dari semasa ke semasa dengan berguru dengan mereka yang benar-benar berkaliber dan berkelayakan.

Ini sebagaimana firman Allah SWT:

وَرَتِّلِ ٱلۡقُرۡءَانَ تَرۡتِيلًا

Maksudnya: “Dan bacalah al-Quran itu dengan perlahan-lahan.

(Surah al-Muzammil: 4)

Al-Syeikh al-Tantawi di dalam tafsirnya al-Wasit menyebutkan yang dimaksudkan dengan ‘وَرَتِّلِ ٱلۡقُرۡءَانَ تَرۡتِيلًا’ itu adalah membaca dengan suara yang merdu, dengan khusyu’ dan tadabbur serta beriltizam dengan bacaan yang sempurna lagi sahih dengan melihat kepada makhraj-makhraj hurufnya, waqafnya, hukum mad, izhar, ikhfa’ dan sebagainya.

Adapun bacaan yang membatalkan solat adalah bacaan yang boleh merubah makna. Sekiranya seseorang membaca  أَنْعَمْتُ (an’amtu) dengan dhommah (baris hadapan) dengan sengaja sedangkan bacaan yang sebetulnya adalah ‘أَنْعَمْتَ’ (an’amta) dengan fathah (baris atas) maka batal solatnya. Sekiranya terlupa maka perlu diulangi bacaan tersebut.

Kesalahan bacaan yang berkaitan dengan hukum hakam tajwid di dalam ilmu tajwid disebut sebagai Lahn al-Khafiy (kesalahan yang tersembunyi) manakala Lahn al-Jaliy (kesalahan yang jelas) pula seperti berubah makna, huruf serta baris ayat tersebut dan kesalahan jenis ini boleh membatalkan solat.Bacaan surah al-Fatihah yang tidak sah akan menyebabkan keseluruhan solat tersebut menjadi tidak sah, dan wajib diulangi dengan memenuhi syarat-syarat serta melaksanakan kewajipan di atas.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي لَكَ شَكَّارًا، لَكَ ذَكَّارًا، لَكَ رَهَّابًا، لَكَ مِطْوَاعًا، لَكَ مُخْبِتًا، إِلَيْكَ أَوَّاهًا مُنِيبًا

Maksudnya: “Tuhanku, jadikan aku sentiasa bersyukur kepada-Mu, sentiasa mengingati-Mu, sentiasa mencintai-Mu, sentiasa taat kepada-Mu, sentiasa patuh kepada-Mu, sentiasa mengadu dan kembali kepada-Mu.”

Wallahu a‘lam.