#7521: Perbezaan Waktu Syuruk dan Imsak

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah beza Syuruk dan Imsak?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi Syuruk

Menurut Kamus Dewan Edisi ke-4, Syuruk bermaksud waktu tamatnya waktu subuh apabila matahari mula terbit.

Sabda Nabi SAW:

وَقْتُ صَلاَةِ الصُّبْحِ مِنْ طُلُوعِ الْفَجْرِ مَا لَمْ تَطْلُعِ الشَّمْسُ

Maksudnya: “Waktu solat Subuh adalah dari terbit fajar selama matahari belum terbit.”

Riwayat Muslim (612)

Definisi Imsak

Imsak bermaksud waktu berjaga-jaga supaya tidak makan melebihi waktu yang telah ditetapkan. Tujuan penanda waktu imsak ini bagi langkah berjaga-jaga dan afdhal untuk meninggalkan makan dan minum sebelum terbitnya fajar. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 2/189).

Daripada Anas bin Malik RA ketika bersama Zaid bin Thabit RA berkata:

تَسَحَّرْنَا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، ثُمَّ قَامَ إِلَى الصَّلاَةِ، قُلْتُ: كَمْ كَانَ بَيْنَ الأَذَانِ وَالسَّحُورِ؟  قَالَ: قَدْرُ خَمْسِينَ آيَةً.

Maksudnya: “Kami telah bersahur bersama Nabi kemudian kami mendirikan solat (solat sunat). Aku telah berkata (iaitu Anas bin Malik RA bertanyakan kepada Zaid bin Thabit RA): “Berapakah kiranya (masa) di antara azan dan sahur itu?”. Jawab Zaid bin Thabit RA: “Sekadar bacaan 50 ayat (al-Quran)”.

Riwayat Al-Bukhari (1921) dan Al-Tirmizi (703)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani di mengatakan kadar bacaan 50 ayat tersebut adalah kadar bacaan sederhana. Tidak terlalu laju dan tidak pula terlalu perlahan. Begitu juga dengan kadar panjang ayat yang sederhana. Tidaklah ayat yang penjang, tidak juga ayat yang terlalu pendek. (Lihat Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 4/138).

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan perbezaan syuruk dan imsak  adalah syuruk adalah waktu tamatnya waktu subuh apabila matahari mula terbit. Manakala, imsak adalah waktu berjaga-jaga (ihtiyat) ketika berpuasa dan afdhal untuk meninggalkan makan dan minum sebelum terbitnya fajar.

Sebagai contoh, katakan waktu Subuh masuk pada pukul 5.48 pagi. Waktu imsak pula, anggarannya lebih kurang 5.38 pagi. Sedangkan waktu syuruknya pula pada pukul 7.00 pagi. Itulah waktu yang dibahaskan oleh ulama’.

Semoga Allah mengurniakan kepada kita kekuatan iman dan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala tuntutannya dan kami akhiri dengan doa:

 رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Wallahu a’lam.