#174 Saham Sebagai Mas Kahwin

Soalan

Adakah dibolehkan meletakkan pegangan saham saya sebagai mas kahwin? Mohon pencerahan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Mas kahwin atau mahar merupakan harta atau manfaat yang wajib diberikan oleh seorang suami kepada isteri sama ada dengan sebab pernikahan atau persetubuhan. (Lihat al-Mufassal fi Ahkam al-Mar’ah, 7/49).

Firman Allah SWT:

وَآتُوا النِّسَاءَ صَدُقَاتِهِنَّ نِحْلَةً

Maksudnya:Berikanlah maskawin (mahar) kepada wanita (yang kamu nikahi) sebagai pemberian dengan penuh kerelaan.”

(Surah al-Nisa’: 4)

Ibn Kathir menukilkan pandangan Ibn Abbas R.Anhuma: perkataan النحلة membawa maksud mahar. Ibn Zaid pula menjelaskan, ianya bermaksud sesuatu yang wajib diberikan kepada isteri disebabkan aqad nikah. Seorang lelaki wajib menyerahkan mahar kepada wanita sebagai hadiah dan pemberian ke atasnya dengan penuh kerelaaan hati. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/235).

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Sahl bin Sa’ad RA katanya:

أَتَتِ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ امْرَأَةٌ، فَقَالَتْ: إِنَّهَا قَدْ وَهَبَتْ نَفْسَهَا لِلَّهِ وَلِرَسُولِهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: مَا لِي فِي النِّسَاءِ مِنْ حَاجَةٍ، فَقَالَ رَجُلٌ: زَوِّجْنِيهَا، قَالَ: أَعْطِهَا ثَوْبًا، قَالَ: لاَ أَجِدُ، قَالَ: أَعْطِهَا وَلَوْ خَاتَمًا مِنْ حَدِيدٍ،

Maksudnya:Seorang perempuan menyerahkan dirinya untuk dikahwini oleh Nabi SAW kerana Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda: Aku tidak berhajat kepada perempuan. Lalu seorang lelaki berkata: Kahwinkanlah aku dengan perempuan itu. Sabda Baginda: “Engkau berikan perempuan itu sehelai pakaian.” Dia menjawab: “Aku tidak memilikinya. Lalu Baginda bersabda lagi: “Engkau berikanlah dia walaupun sebentuk cincin besi.”

Riwayat al-Bukhari (4741) dan Muslim (1425)

Imam Nawawi menyatakan di dalam syarahnya: “Hadith ini menunjukkan bahawa mahar itu boleh sedikit (bernilai rendah) dan boleh juga banyak (bernilai tinggi) apabila kedua pasangan saling redha, kerana cincin dari besi menunjukkan nilai mahar yang murah. Inilah pendapat dalam mazhab Syafi’i dan juga pendapat jumhur ulama dari kalangan salaf dan khalaf.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 9/190).

Penetapan mas kahwin dalam perkahwinan mempunyai pelbagai hikmah yang tersendiri. Kami kemukakan di sini beberapa hikmah pensyariatan mas kahwin dalam Islam.

Di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji, dinyatakan: Mas kahwin disyariatkan bagi menzahirkan keinginan bakal suami yang benar-benar menggauli isterinya dengan pergaulan yang baik dan membina rumahtangga yang mulia. Begitu juga untuk membolehkan bakal pengantin perempuan menyediakan dirinya dengan keperluan perkahwinan, seperti pakaian dan perbelanjaan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/586).

Menurut Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili pula, mas kahwin bertujuan untuk menzahirkan keutamaan dan kepentingan sebuah perkahwinan di samping memuliakan kedudukan wanita. Penyediaan mas kahwin di dalam Islam juga dilihat sebagai ukuran tahap persediaan pasangan dalam menempuh alam perkahwinan yang lebih mencabar. Mas kahwin yang diberikan turut menjadi perlambangan kesucian dan keikhlasan pihak suami untuk menjalani kehidupan bersama-sama pasangan wanita yang dipilihnya. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 9/239).

Berkenaan dengan saham pula, menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, saham bermaksud modal sah syarikat yang dicarumkan oleh pemilik.[1]

Pemegang saham atau juga dikenali sebagai pemegang syer boleh didefinisikan sebagai individu atau institusi (termasuk korporat) yang secara sah memiliki satu atau lebih saham bagi modal saham syarikat awam atau swasta. Pemegang saham boleh disebut sebagai anggota korporat. Mengikut undang-undang, seseorang itu bukan pemegang saham syarikat, sehingga namanya dan butirannya yang lain dimasukkan ke dalam daftar pemegang saham atau ahli syarikat.[2]

Berdasarkan persoalan di atas, memberikan pegangan saham kepada isteri sebagai mahar adalah dibolehkan. Mas kahwin adalah apa yang bernilai dan berharga mengikut neraca Islam. Justeru, saham juga termasuk dalam harta yang bernilai. Namun, saham itu perlu dinyatakan berapa nilainya agar ianya difahami dengan jelas jika ditukarkan kepada wang.

Semoga Allah SWT kurniakan kepada kita kefahaman yang baik dalam memahami agama ini. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh 4 Januari 2022 bersamaan 1 Jamadil Akhir 1443 H

 

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=saham

[2] Lihat https://www.investopedia.com/terms/s/shareholder.asp