#7529: Menunjukkan Pakaian atau Kenderaan Baru

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Allah rezekikan kepada saya beberapa kelebihan dengan harta. Adakah saya boleh membeli dan memakai seperti kereta baru yang sedikit mahal harganya dan pakaian yang cantik. Adakah itu termasuk dalam riya’?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

قُلْ إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّـهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ

Maksudnya: Katakanlah: “Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.

(Surah al-An’am: 162)

Syeikh al-Maraghi menjelaskan bahawa ayat ini mencakupi segala amalan soleh yang merupakan tujuan hidup seorang mukmin yang bertauhid dan simpanan buat matinya termasuk di dalamnya keikhlasan kepada Allah SWT, Tuhan semesta alam. Dari itu, seharusnyalah orang yang beriman menetapkan hatinya agar hidupnya hanya untuk Allah SWT, sementara matinya pun hanya untuk Allah SWT. Sehingga dia sentiasa ingin mengerjakan kebaikan melakukan amalan soleh dan memperbaiki setiap amalan yang dia lakukan; dan mencari kesempurnaan terhadap perbuatannya itu untuk dirinya dengan harapan menemui kematian yang diredhai oleh Allah SWT.

Sesungguhnya ibadah itu dilakukan hanya kepada Allah SWT sahaja, Tuhan (yang menguasai) seluruh hamba, bahkan Dia adalah pencipta mereka. Maka, sesiapa yang menghadapkan hatinya kepada Allah SWT dan juga selain daripada-Nya, sekalipun kepada hamba-hamba-Nya yang dimuliakan atau kepada makhluk yang dianggap agung, maka dia dianggap orang musyrik. Allah SWT tidak akan menerima ibadah kecuali ibadah yang tulus dihadapkan hanya kepada Zat-Nya Yang Maha Mulia. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 4/2106)

Menjawab persoalan di atas, kami katakan, ia bergantung kepada niat sebagaimana sabda Nabi SAW:

وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَـوَى

Maksudnya:Sesungguhnya setiap orang memperolehi apa yang diniatkan.”

Riwayat al-Bukhari (1)

Imam Muhyiddin al-Nawawi mensyarahkan hadith di atas: “Sabda Nabi SAW: “Sesungguhnya setiap amalan itu adalah berdasarkan niat” maksudnya adalah: Sesebuah amalan-amalan dalam syariat Islam tidak akan dikira melainkan apabila dilakukan bersama niat.” (Lihat bab al-Isyarat ila Dhabt al-Alfaz al-Musykilat daripada al-Arba‘un fi Mabani al-Islam wa Qawa ‘id al-Ahkam, hlm. 49)

Daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ قَالَ رَجُلٌ إِنَّ الرَّجُلَ يُحِبُّ أَنْ يَكُونَ ثَوْبُهُ حَسَنًا وَنَعْلُهُ حَسَنَةً قَالَ إِنَّ اللَّهَ جَمِيلٌ يُحِبُّ الْجَمَالَ الْكِبْرُ بَطَرُ الْحَقِّ وَغَمْطُ النَّاسِ

Maksudnya: “Tidak akan masuk syurga orang yang dalam hatinya ada sebesar zarah perasaan sombong. Seorang lelaki bertanya: ‘Sesungguhnya seseorang lelaki menyukai apabila baju dan seliparnya bagus (adakah ini termasuk kesombongan)?’ Baginda SAW menjawab: ‘Sesungguhnya Allah itu indah, Dia menyukai yang indah. Kesombongan itu adalah menolak kebenaran dan memandang rendah terhadap manusia.’

Riwayat Muslim (91)

Imam al-Nawawi berkata, “Hadith ini menunjukkan larangan daripada sifat sombong iaitu menyombongkan diri kepada manusia, merendahkan mereka, serta menolak kebenaran. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 2/91)

Justeru, jika sekiranya ternafi sifat sombong dan takabbur, maka hukumnya adalah dibolehkan. Hal ini dikuatkan lagi dengan sebuah hadith, daripada Abi al-Ahwas al-Jusyami, katanya: Rasulullah SAW melihatku dengan pakaian yang amat sederhan dan lusuh, maka sabda Baginda SAW:

هَلْ لَكَ مِنْ مَالٍ؟» ، قُلْتُ: نَعَمْ، قَالَ: «مِنْ أَيِّ الْمَالِ؟» ، قُلْتُ: مِنْ كُلٍّ قَدْ آتَانِي اللهُ، قَالَ: فَلْتُرَ نِعْمَةُ اللهِ وَكَرَامَتُهُ عَلَيْكَ

Maksudnya: “Adakah engkau memiliki harta?” Aku menjawab, “Ya.” Baginda bertanya lagi, “Harta dari jenis apa?” Aku menjawab, “Dari segala jenis yang Allah telah kurniakan kepadaku.” Lalu Baginda bersabda, “Maka hendaklah terlihat nikmat Allah dan kemuliaan-Nya ke atasmu.”

Riwayat Ahmad (15457), Ibn Hibban (5416) dan al-Hakim (7364)

Begitu juga dengan nas al-Quran al-Karim menyebut:

وَأَمَّا بِنِعْمَةِ رَبِّكَ فَحَدِّثْ

Maksudnya: “Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepada-Nya.

(Surah al-Dhuha: 11)

Al-Qurtubi ketika mentafsirkan ayat ini menyebutkan, sebarkanlah apa yang Allah SWT kurniakan kepada kamu dengan perasaan syukur dan pujian kepada Allah. Menyebut-nyebut pelbagai nikmat Allah dan mengiktiraf nikmat tersebut adalah satu bentuk kesyukuran. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 20/102).

 Justeru, kami katakan, hukumnya harus bahkan sunat jika benar niatnya dan di sini sedikit peringatan agar kita menjarakkan daripada perkara seperti berikut:

  • Riya’ dengan menunjuk-nunjukkan
  • Takabbur dengan rasa bangga
  • Ujub dengan rasa kagum terhadap dirinya dan kebijaksanaannya
  • Sum’ah dengan suka mendengar pujian orang ramai kepadanya

Di samping itu, sentiasalah menjaga hati, rakan taulan, jiran tetangga dan sentiasa merendah diri dengan menganggap rezeki merupakan kurniaan Allah sebagaimana kata Nabi Sulaiman:

هَٰذَا مِن فَضْلِ رَبِّي لِيَبْلُوَنِي أَأَشْكُرُ أَمْ أَكْفُرُ

Maksudnya: “Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberianNya.

Surah al-Naml (47)

Ibn Jariri al-Tabari dalam tafsirnya menyatakan: Dan barang siapa yang bersyukur atas nikmat dan kelebihan Allah kepadanya, maka sesungguhnya dia bersyukur untuk kebaikan dirinya sendiri, kerana tidak ada manfaatnya bagi selain dirinya; kerana Allah tidak memerlukan sesuatu dari makhluk-Nya. Allah hanya menyeru mereka untuk bersyukur agar mereka mendapat manfaat, bukan untuk menarik manfaat bagi diri-Nya dengan pujian mereka, atau untuk menghindari mudarat daripada-Nya. Dan barang siapa yang kufur terhadap nikmat dan kebaikan-Nya, serta kelebihan-Nya, maka dia menzalimi dirinya sendiri dan merugikan dirinya. Allah Maha Kaya daripada pujian mereka dan tidak memerlukan mereka. Kufurnya terhadap nikmat-Nya tidak memberi mudarat kepada Allah. Allah Maha Pemurah, dan dari kemurahan-Nya adalah memberi nikmat kepada mereka yang kufur terhadap-Nya dan menjadikan nikmat tersebut sebagai alat untuk melakukan maksiat. (Lihat Jami’ al-Bayan, 18/75)

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَدْخِلْنِي بِرَحْمَتِكَ فِي عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku – dengan limpah rahmat-Mu – dalam kumpulan hamba-hamba-Mu yang soleh.”