#7531: Menjaga Ibu Tunggal yang Dibuang Keluarga

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum menjaga seorang ibu yang baru sahaja melahirkan anak tanpa nikah? Ibu bapanya ada tetapi tidak mahu menjaganya kerana takut jiran tahu.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

 وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَىٰ ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا

Maksudnya: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).”

(Surah al-Isra’: 32)

Ibn Kathir berkata: Allah SWT melarang para hambaNya daripada perbuatan zina dan menegah daripada mendekatinya. Begitu juga setiap yang membawa kepada zina seperti faktor-faktor dan aspek-aspek yang membawa kepadanya. Firman-Nya: (وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَىٰ ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً) “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji”, yakni suatu perbuatan dosa besar. Firman-Nya: (وَسَاءَ سَبِيلًا) “dan satu jalan yang jahat,” yakni merupakan seburuk-buruk jalan dan tingkah laku. (Lihat Tafsir al-Quran al-Azim, 5/72)

Antara bentuk ( وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَىٰ) (“Dan janganlah kamu menghampiri zina”) ialah:

  • Berkhalwat dengan wanita ajnabiyyah
  • Melihat filem pornografi
  • Membaca buku-buku berunsur pornografi
  • Menghadiri ke tempat-tempat yang lagha dan terdedah dengan pornografi
  • Menghampiri mereka yang berakhlak buruk yang banyak melakukan perbuatan keji seperti zina.

Sementara maksud وَسَاءَ سَبِيلًا sebagaimana pendapat Syeikh al-Maraghi, katanya: Sesungguhnya berzina itu nyata keburukannya, bahkan mengandungi pelbagai kerosakan. Antara yang terpenting ialah:

  • Percampuran dan keturunan yang porak-peranda. Apabila seseorang lelaki berasa ragu-ragu mengenai anak yang dilahirkan oleh seorang pelacur perempuan, apakah bayi itu anaknya atau anak orang lain, maka lelaki tidak akan mendidiknya, bahkan seterusnya tidak mahu mengurusnya. Hal itu akan menyebabkan keturunan manusia menjadi sia-sia dan dunia akan hancur.
  • Perzinaan sebenarnya membuka pintu huru-hara dan kegoncangan dalam kalangan sesama manusia kerana manusia tetap mempertahankan kehormatan. Berapa banyak peristiwa pembunuhan yang timbul kerana keinginan berzina, sehingga sewaktu kita mendengar sesuatu peristiwa pembunuhan, maka orang akan terus mengatakan, “Periksalah dahulu latar belakang perempuan yang terlibat!”
  • Wanita yang sudah terkenal dan masyhur sebagai pelacur akan dipandang kotor oleh setiap lelaki yang waras sehingga tidak akan berlaku kemesraan antara perempuan seperti itu dengan suaminya. Dengan demikian, ketenteraman dan keserasian yang dijadikan oleh Allah SWT sebagai kasih dan sayang antara sesama manusia tidak akan tercapai.
  • Tujuan kaum perempuan dicipta bukan sekadar pelampias syahwat semata-mata. Akan tetapi, ia dijadikan sebagai sekutu bagi kaum lelaki dalam mengatur urusan rumah tangga dan mempersiapkan tugas-tugasnya seperti makanan, minuman dan pakaian. Kaum perempuan juga menjadi penjaga dan pengurus anak-anak dan sekaligus menjadi pembantu suami. Tugas ini tidak akan dilaksanakan dengan sempurna kecuali apabila wanita itu menjadi rakan (pasangan) yang khusus bagi seorang lelaki sahaja, bukan untuk lelaki-lelaki yang lain.
  • Dalam erti kala yang lain, perzinaan merupakan suatu yang sangat keji, kerana ia adalah punca-punca, nasab (keturunan) menjadi kacau-bilau dan manusia saling bunuh-membunuh, sembelih-menyembelih, kerana mempertahankan kehormatan. Perzinaan juga merupakan cara yang buruk jika ditinjau dari segi menyamakan antara manusia dan binatang, iaitu tidak menjodohkan antara yang betina dengan yang jantan secara khusus (Lihat Tafsir al-Maraghi, 8/3941-3942).

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan ia bergantung kepada siapa yang menjaga sama ada perempuan atau lelaki. Jika yang menjaganya itu perempuan, maka ia diharuskan. Namun, jika yang menjaganya itu lelaki, maka tidak dibolehkan kerana ia akan mengundang fitnah yang lain. Walau bagaimanapun, pada hari ini terdapat pusat jagaan ibu tunggal yang boleh membantu dalam isu ini. Maka, kami berpendapat, ianya lebih baik untuk menempatkan mereka di sana, di samping terdapat aktiviti yang boleh membantu mereka dalam menguruskan anak. Meskipun begitu, dalam hal ini juga, sokongan dari ibubapa dan keluarga adalah amat penting kerana seteruk mana pun ujian yang mendatang, mereka tetap satu keluarga. Sokongan moral dari keluarga amat penting bagi mereka yang menghadapi ujian sebegini.

Ingatlah, menjaga insan seperti ini dengan niat untuk memberi kesedaran kepadanya dan harapan agar ia bertaubat, di samping tidak mengabaikan tanggungjawab terhadap anak-anak adalah satu tanggungjawab yang besar. Rasulullah SAW menyebut:

وَاللَّهُ فِي عَوْنِ الْعَبْدِ مَا كَانَ الْعَبْدُ فِي عَوْنِ أَخِيهِ

Maksudnya: “Dan Allah SWT menolong hambanya selama mana hamba itu menolong saudaranya.”

Riwayat Muslim (2699), Abu Dawud (1455), al-Tirmizi (2954), Ibn Majah (225) dan Ahmad (7427).

Hadith ini menunjukkan keutamaan seseorang yang menghilangkan kesusahan dan musibah dari seorang saudara Muslim, yang menyebabkan kesedihan, kegelisahan, dan kesempitan. Menghilangkan kesusahan itu mungkin dengan memberinya harta jika kesusahannya disebabkan oleh keperluan seperti hutang yang perlu dibayar atau perbelanjaan yang sukar dipenuhi, atau dengan menggunakan pengaruh untuk memohon bantuan dari orang lain. (Lihat Minhah al-‘Allam fi Syarh Bulugh al-Maram, 10/127)

Akhir kalam, semoga Allah mempermudahkan segala urusan dan dilembutkan hati keluarganya untuk menerimanya semula.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ، وَالأَهْوَاءِ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”