#7534: Terlupa Berwudhuk dan Sedar setelah Selesai Solat

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah sah solat, jika saya terlupa untuk mengambil wudhuk. Saya sedar setelah habis solat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Berwuduk merupakan salah satu dari syarat sah solat dan hukumnya adalah wajib. Ini seperti yang disebutkan menerusi firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mendirikan solat maka basuhlah muka-muka kamu serta tangan-tangan kamu sehingga ke bahagian siku. Dan sapulah kepala kamu serta (basuhlah) kaki-kaki kamu sehingga ke bahagian buku lali.”

(Surah al-Ma’idah: 6)

Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff menyebutkan rukun wudhuk ada enam. Empat daripadanya adalah berdasarkan ayat al-Quran iaitu membasuh muka, membasuh kedua tangan, menyapu sebahagian kepala dan membasuh kedua kaki. Manakala dua yang berbaki adalah berdasarkan sunnah iaitu niat dan tertib. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 82)

Demikian juga hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

لاَ يَقْبَلُ اللَّهُ صَلاَةَ أَحَدِكُمْ إِذَا أَحْدَثَ حَتَّى يَتَوَضَّأَ

Maksudnya: “Allah SAW tidak menerima sembahyang seseorang antara kamu jika dia berhadas sehingga dia berwuduk.”

Riwayat al-Bukhari (6954) dan Abu Daud (60)

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan solat anda dikira tidak sah dan perlu untuk diulang semula/ qadha jika telah habis waktu solat berkenaan. Ini kerana wudhuk merupakan syarat sah solat, maka meninggalkan salah satu syarat sah solat menjadikan solat seseorang itu tidak sah.

Semoga Allah membantu anda dalam lebih memahami syariat Allah SWT dan moga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

(Surah Ibrahim: 40)

Wallahua`lam.