#7535: Tidur Duduk Sementara Menunggu Waktu Zuhur

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya seorang guru di madrasah. Saya pernah melihat seorang pelajar yang terlelap sementara menunggu waktu Zuhur, tetapi dia duduk bersila bersandar ke dinding. Kemudian, datang seorang mudir, memarahinya dan suruh berwudhuk semula. Soalan saya, adakah tidur duduk membatalkan wudhuk?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan satu hadith yang diriwayatkan daripada Safwan bin Assal R.A, katanya:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ يَأْمُرُنَا إِذَا كُنَّا سَفَرًا أَنْ لا نَنْزِعَ خِفَافَنَا ثَلاثَةَ أَيَّامٍ وَلَيَالِيهِنَّ إِلا مِنْ جَنَابَةٍ، وَلَكِنْ مِنْ غَائِطٍ وَبَوْلٍ وَنَوْمٍ

Maksudnya: “Rasulullah SAW pernah memerintahkan kami apabila bermusafir agar kami tidak menanggalkan khuf kami (tak perlu berwuduk) selama 3 hari 3 malam kecuali bagi mereka yang berjunub, akan tetapi (memerintahkan kami untuk tanggalkan khuf dan berwuduk) jika berak, kencing dan tidur.”

Riwayat al-Tirmizi (96)

Sebelum menjawab persoalan di atas, kami menyatakan terlebih dahulu bahawa terdapatnya perbezaan di kalangan fuqaha’ berkenaan status wuduk mereka yang tidur, sama ada masih sah atau sudah terbatal. Ia berbeza mengikut keadaan tidur seseorang itu.

Pandangan Pertama: Pandangan Mazhab Syafi‘i dan Mazhab Hanafi, tidur secara duduk dan tetap papan punggung di lantai tidak membatalkan wuduk.

Pandangan Kedua: Pandangan Mazhab Maliki dan Mazhab Hanbali, tidur yang sebentar dan ringan tidak membatalkan wuduk.

Kedua-dua pandangan ini telah kami bincangkan sebelum ini di dalam artikel kami yang bertajuk “Status wuduk Apabila Tidur”. Saudara yang bertanya boleh merujuk artikel tersebut untuk mendapatkan perbahasan lanjut berkenaan status wuduk orang yang tertidur menurut 4 mazhab dengan lebih terperinci.

Imam al-Nawawi mengatakan, jika seseorang itu tidur dalam keadaan duduk di atas lantai dan bersandar pada dinding atau selainnya, wuduknya tidak terbatal, meskipun jika dinding yang disandar padanya itu dialihkan dia boleh terjatuh. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 4/74) Dalam erti kata lain, meskipun orang tersebut tidur lena dengan bersandar pada dinding, tetapi papan punggungnya tetap di lantai, wuduknya tidak terbatal.

Imam al-Nawawi juga menyebutkan di dalam al-Majmu‘, tidak ada perbezaan tidur orang yang duduk (tidak terbatal wuduk), sama ada dia duduk bersila, duduk secara muftarisy ( seperti duduk antara 2 sujud), duduk tawarruq (seperti duduk tahiyyat akhir), atau selainnya, selagimana punggungnya melekat pada lantai atau selainnya dengan duduk yang tetap. Dan begitu juga sama ada orang itu duduk di atas lantai, atau menaiki kapal, atau unta, atau binatang lain, tidak membatalkan wuduk dengan salah satu daripada itu. Ini telah dinyatakan oleh Imam al-Syafi‘i di dalam kitab al-Umm dan dipersetujui oleh ashab beliau. (Lihat al-Majmu‘, 2/19)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan tidak terbatal  wudhuk seseorang yang tidur dalam keadaan duduk yang mana tetap kedua-dua papan punggung di atas lantai atau mana-mana tempat duduk. Papan punggung yang dimaksudkan pula adalah kedua-dua bahagian punggung yang diletakkan di atas tempat duduk ketika duduk. Sekiranya hanya satu bahagian sahaja yang tetap di atas tempat duduk ketika tertidur, maka wuduk seseorang itu dikira terbatal menurut Mazhab Syafi‘i. Oleh itu, dalam isu anda kami katakan wudhuk pelajar anda sah dan tidak terbatal meskipun dia tidur lena kerana papan punggungnya tetap di lantai.

Semoga pencerahan ringkas ini dapat membantu kita untuk belajar memelihara wuduk kita pada sepanjang masa. Kami akhiri dengan doa:

اللهُمَّ فَقِّهْنَا فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْنَا التَّأْوِيلَ

Maksudnya: “Ya Allah! Berikanlah kepada kami kefahaman di dalam agama serta ajarkanlah kepada kami takwilan-takwilan.”