Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Bolehkah sekiranya kita membeli nasi lemak dengan lelaki muslim yang memakai perhiasan seperti rantai leher dan rantai tangan besi dan apakah hukumnya?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Pada asasnya, Islam tidak ada menetapkan sebarang pakaian khusus bagi seseorang Muslim atau Muslimah. Namun, Islam meletakkan prinsip-prinsip terhadap pakaian mahupun perhiasan yang dibenarkan untuk dipakai agar ia selari dengan kehendak agama dan tidak melanggar batasan syarak. Firman Allah SWT:
يَا بَنِي آدَمَ قَدْ أَنزَلْنَا عَلَيْكُمْ لِبَاسًا يُوَارِي سَوْآتِكُمْ وَرِيشًا ۖ وَلِبَاسُ التَّقْوَىٰ ذَٰلِكَ خَيْرٌ ۚ ذَٰلِكَ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ لَعَلَّهُمْ يَذَّكَّرُونَ
Maksudnya: “Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmat-Nya kepada hamba-hamba-Nya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur).”
(Surah al-A‘raf: 26)
Dalam ayat di atas, Allah SWT menegaskan bahawa Dia telah menurunkan pakaian untuk menutupi aurat dan pakaian untuk berhias, dan dua jenis pakaian ini baik untuk digunakan. Akan tetapi pakaian maknawi bagi hati adalah lebih utama dan lebih tinggi darjatnya iaitu ketaqwaan yang dapat memperbaiki hati dengan menjalankan ketaatan kepada Allah. Ia adalah pakaian terbaik bagi seorang Mukmin, kerana ia akan memperbaiki dan melindungi seluruh tubuh. (Lihat Tafsir al-Madinah al-Munawwarah, hlm. 487).
Di antara prinsip-prinsip tersebut ialah menutup aurat, lelaki tidak menyerupai perempuan atau sebaliknya, tidak membawa kepada libas syuhrah (pakaian yang dilihat pelik) dan lain-lain.
Secara secara umumnya agama Islam melarang penganutnya dalam kalangan lelaki untuk menyerupai wanita melalui pemakaian barang perhiasan yang hanya dikhususkan untuk wanita. Dinyatakan di dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah bahawa tiada khilaf dalam kalangan fuqaha’ akan pengharaman bagi lelaki menyerupai wanita dari sudut pergerakan badan, kelembutan kata-kata, perhiasan, pakaian dan lain-lain yang khas bagi wanita dari sudut adat dan tabiat. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 11/267).
Hal ini adalah berdasarkan riwayat daripada Abu Hurairah R.A bahawa:
أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَعَنَ الرَّجُلَ يَلْبَسُ لِبْسَةَ الْمَرْأَةِ، وَالْمَرْأَةَ تَلْبَسُ لِبْسَةَ الرَّجُلِ
Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW melaknat seorang lelaki yang memakai pakaian wanita, dan seorang wanita yang memakai pakaian lelaki.”
Riwayat al-Bukhari (5435) dan Ahmad (8309)
Badr al-Din al-‘Aini ketika mengulas hadith di atas menyebutkan, (celaan ini) adalah pada perbuatan orang lelaki menyerupai orang perempuan dari sudut pakaian dan juga perhiasan yang khusus buat orang perempuan seperti memakai serkup kepala, rantai, gelang, gelang kaki, dan juga anting-anting. (Lihat ‘Umdah al-Qari, 22/41).
Begitu juga Ibn Hajar al-Haitami turut menyatakan bahawa antara bentuk menyerupai wanita adalah memakai perhiasan yang dikhususkan kepada wanita dan yang dilazimi oleh mereka, seperti gelang tangan dan gelang kaki. Adapun cincin maka diharuskan bagi lelaki memakainya. (Lihat al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, 1/261)
Berbalik kepada soalan yang diajukan, perhiasan badan seperti rantai leher adalah perhiasan yang dikhususkan buat wanita sebagaimana yang sudah dimaklumi mengikut adat setempat. Oleh itu, haram bagi kaum lelaki untuk memakai rantai leher sebagai perhiasan.
Menurut Syeikh Mahmud al-Syalabi, setiausaha fatwa di Dar al-Ifta’ al-Misriyyah menyatakan, seorang lelaki yang memakai rantai perak termasuk di bawah perhiasan. Jadi, persoalan berkaitan perhiasan hendaklah dirujuk kepada ‘uruf dan adat setempat.
Seterusnya al-Syalabi menambah lagi, syariat melarang lelaki menyerupai wanita dan wanita menyerupai lelaki, maka jika lelaki memakai rantai perak yang termasuk dalam masalah perhiasan dan masalah perhiasan pula hendaklah dirujuk kepada adat setempat. Jika adat setempat menunjukkan bahawa lelaki berhias dengan rantai tersebut, manakala wanita pula tidak berhias dengannya, maka pemakaiannya (bagi lelaki) adalah dibenarkan dan tidak mengapa. Akan tetapi jika sudah menjadi kebiasaan bahawa ini adalah sebahagian daripada perhiasan wanita, maka dalam hal ini tidak boleh bagi lelaki untuk berhias dengannya kerana dengan memakainya menjadikan lelaki itu termasuk dalam kalangan mereka yang menyerupai wanita, dan ini adalah diharamkan dan tidak dibenarkan.
Begitu juga Syeikh Muhammad Wisam, setiausaha fatwa di Dar al-Ifta’ al-Misriyyah turut menyatakan bahawa rantai perak termasuk dalam perhiasan wanita. Oleh itu, orang lelaki tidak boleh memakainya. Lebih-lebih lagi perkara-perkara berkaitan perhiasan ini tidak termasuk dalam akhlak (sifat dan ciri) kaum lelaki. Beliau menegaskan lagi bahawa rantai itu serupa dengan cincin dan jam tangan. Akan tetapi soal pakaian dan perhiasan mesti mengambil kira ‘uruf setempat, adat dan tradisi. Jadi jika seseorang pemuda itu berada dalam lingkungan atau suasana yang mana menurut adat setempatnya lelaki memakai rantai (dan ia bukan perhiasan khusus buat wanita), maka tidak mengapa memakainya. Namun, jika dia berada dalam lingkungan atau suasana yang mana menurut adat setempatnya menolak perkara itu (pemakaian rantai sebagai perhiasan bagi lelaki), maka beliau berpendapat hendaklah dilarang seseorang pemuda itu daripada memakainya. Allah SWT memerintahkan hal tersebut melalui firman-Nya:
خُذِ الْعَفْوَ وَأْمُرْ بِالْعُرْفِ وَأَعْرِضْ عَنِ الْجَاهِلِينَ
Maksudnya: “Terimalah apa yang mudah engkau lakukan, dan suruhlah dengan perkara yang baik, serta berpalinglah (jangan dihiraukan) orang-orang yang jahil (yang degil dengan kejahilannya).”
(Surah al-A‘raf: 199)
Selain itu, Syeikh Ahmad Syarif al-Na‘san juga pernah ditanya berkenaan hukum seseorang lelaki memakai rantai perak dan bukannya rantai emas di leher? Beliau menjawab, sesungguhnya dibolehkan bagi lelaki memakai perhiasan daripada perak berupa cincin sahaja, dan tidak boleh bagi lelaki untuk memaki gelang mahupun kalung yang diperbuat daripada perak. Lebih-lebih lagi jika dia berniat melalui pemakaian tersebut untuk menyerupai wanita atau menyerupai orang bukan Islam. Terdapat riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma, Nabi SAW bersabda:
لَعَنَ اللَّهُ الْمُتَشَبِّهِينَ مِنْ الرِّجَالِ بِالنِّسَاءِ وَالْمُتَشَبِّهَاتِ مِنَ النِّسَاءِ بِالرِّجَالِ
Maksudnya: “Allah melaknat lelaki yang menyerupai perempuan dan perempuan yang menyerupai lelaki.”
Riwayat Ahmad (5/56)
Oleh itu, tidak boleh bagi kaum lelaki memakai rantai leher, sekalipun ia diperbuat daripada perak
Kesimpulan
Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan hukum lelaki memakai rantai sama ada emas, perak atau besi, hukumnya adalah haram. Berkenaan membeli makan di gerai/kedainya, kami katakan ianya dibolehkan kerana makanan yang dijualnya itu halal dan tidak terkait dengan pemakaiannya. Oleh itu, diharamkan bagi lelaki untuk memakai rantai leher sebagai perhiasan, tidak kira ia diperbuat daripada apa pun seperti perak, kain, kulit dan sebagainya. Hal ini kerana rantai leher pada asasnya termasuk dalam barang perhiasan yang khusus bagi wanita, dan lelaki yang memakainya secara tidak langsung telah termasuk dalam larangan lelaki menyerupai wanita sebagaimana yang sabit dalam nas yang sahih.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ وَالأَدْوَاءِ
Maksudnya: “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”