#7553: Tinggal Di Masjid Ketika Banjir

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bolehkah umat Islam berada dalam masjid atau menetap dalam masjid ketika banjir yang sedang melanda sekarang ini?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

لَّمَسْجِدٌ أُسِّسَ عَلَى التَّقْوَىٰ

Maksudnya: “Kerana sesungguhnya masjid (Quba’ yang engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas dasar taqwa.”

Surah al-Taubah (108)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: Wahai Rasulullah, janganlah engkau sembahyang di masjid orang-orang munafik. Sesungguhnya Masjid Quba yang dibina berdasarkan takwa sejak hari pertama Nabi memasuki Madinah untuk berhijrah, adalah lebih utama untuk disembahyangi berbanding masjid mudharat. Di dalamnya (Masjid Quba) terdapat ramai lelaki dari kaum Ansar yang gemar membersihkan diri dengan dua cara, iaitu secara zahir (dengan wudhu atau seumpamanya) dan secara maknawi, iaitu dengan menghapus dosa. Sesungguhnya Allah merestui dan memberi ganjaran kepada orang yang sentiasa membersihkan diri. Ayat ini diturunkan berkenaan penduduk Quba ‘فِيهِ رِجَالٌ’ yang sentiasa membersihkan diri dengan air, sama ada lelaki atau perempuan. (Lihat Tafsir al-Wajiz, 2/332)

Dalam isu ini, kembali kepada peranan masjid sebagaimana yang dikatakan oleh Dr. Muhammad al-Zuhaili. Beliau menulis dalam kitab Mausu’ah Qadhaya Islamiyyah Mu’asarah (1/217-219) beberapa fungsi masjid. Masjid sebagai rumah Allah bukanlah dibina semata-mata untuk ibadat dan solat tetapi merangkumi pelbagai risalah masjid, antaranya:

  • Masjid berperanan sebagai tempat pembinaan ruhiyyah.
  • Masjid berperanan sebagai tempat memarakkan sosial masyarakat.
  • Masjid sebagai tempat pengajaran dan latihan.
  • Masjid sebagai tempat meleraikan kusut kehidupan seperti qadha’ dan lain-lain.
  • Masjid sebagai tempat mengatur sistem politik seperti syura, bai’ah dan membuat resolusi serta keputusan yang besar.

Justeru, kembali kepada sirah Rasulullah SAW, terdapat ramai sahabat muhajirin yang termasuk di kalangan mustadh’afin dan fuqara’ menetap di masjid. Mereka dikenali sebagai ahli suffah.

Kalimah ‘الصُّفَّةُ’, iaitu suatu tempat di sebelah utara Masjid Nabi SAW, yang menjadi tempat bermalam bagi orang asing seperti Muhajirin dan di kalangan para sahabat yang zuhud lagi fakir. Mengikut riwayat al-Bukhari daripada Abu Hurairah R.A katanya: “Aku pernah melihat 70 orang daripada kalangan ahli suffah yang tinggal di tempat tersebut.” (Lihat Ahasin al-Kalim, 1/32)

Justeru, dalam isu banjir ini, ia termasuk dalam darurat apabila rumah mereka sudah ditenggelami air dan keadaan masjid amat sesuai untuk didiami, maka bolehlah ketika itu, masjid menjadi tempat tinggal buat sementara kecuali hendaklah disusun atur tempat sembahyang dan tempat mereka tidur. Seboleh-bolehnya di hadapan mihrab adalah tempat mereka solat atau jemaah lain solat sementara di bahagian belakang, ruangan khusus untuk mereka tidur. Begitu juga dibezakan antara kaum lelaki dan kaum wanita supaya aurat mereka dapat dipelihara walaupun dalam situasi seperti itu.

Seperkara lagi, adab di dalam masjid perlulah dipelihara. Antaranya:

  • Kawali percakapan yang tidak baik dan sopan
  • Jangan melihat sebarang bentuk yang tidak senonoh dan tidak baik sama ada melalui ipad, iphone atau dalam medsos ketika dalam masjid
  • Gunakan aktiviti ketika berada di dalam masjid untuk membantu dan memudahkan rakan taulan dan jiran yang bersama dalam masjid tersebut
  • Waktu solat hendaklah dijaga dan dipelihara dengan solat bersama imam serta syiar masjid dapat ditegakkan
  • Gunakanlah kemudahan masjid sekadar yang sesuai tanpa sebarang pembaziran sama ada elektrik mahupun air
  • Elakkan daripada mengotorkan kawasan masjid terutamanya tempat solat
  • Tutup aurat walaupun semasa tidur. Sebagai contoh, sesuai dengan memakai seluar panjang dan bukan hanya kain pelekat sahaja.
  • Jangan berebut serta mementingkan diri ketika makan apabila makanan tersebut adalah bersifat catuan dan untuk orang ramai.
  • Berilah laluan kepada orang tua dan kanak-kanak dalam banyak hal seperti makan minum atau kemudahan untuk mandi jika keadaan memaksa.
  • Kurangkan pertelingkahan atau percakapan yang membawa perdebatan atau pertelingkahan kerana ia adalah merugikan kita semua.
  • Bekerjasamalah dengan pihak masjid mahupun yang berautoriti terutama dalam menyusun atur bantuan dan penempatan. Ini kerana akan memudahkan kita semua.

Semoga kita semua sentiasa menjunjung firman Allah SWT:

فِي بُيُوتٍ أَذِنَ اللَّهُ أَن تُرْفَعَ وَيُذْكَرَ فِيهَا اسْمُهُ يُسَبِّحُ لَهُ فِيهَا بِالْغُدُوِّ وَالْآصَالِ

Maksudnya: “(Nur hidayah petunjuk Allah itu bersinar dengan nyatanya terutama sekali) di rumah-rumah ibadat yang diperintahkan oleh Allah supaya dimuliakan keadaannya dan disebut serta diperingat nama Allah padanya; di situ juga dikerjakan ibadat mensuci dan memuji Allah pada waktu pagi dan petang.”

(Surah al-Nur: 36)

Ibn Kathir menyebutkan bahawa Allah SWT memerintahkan untuk memuliakan masjid dengan menyucikannya daripada segala kotoran, perkara yang sia-sia, perkataan atau perbuatan yang tidak berkait dengannya. Ini juga adalah pendapat Ibn Abbas, ‘Ikrimah, al-Dhahhak, dan ramai lagi dalam kalangan ulama tafsir. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/62).

Ingatlah bahawa, masjid merupakan tempat yang paling dikasihi oleh Allah sebagaimana nas hadith daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

أَحَبُّ الْبِلَادِ إِلَى اللهِ مَسَاجِدُهَا، وَأَبْغَضُ الْبِلَادِ إِلَى اللهِ أَسْوَاقُهَا

Maksudnya: “Tempat paling disukai oleh Allah adalah masjid-masjidnya dan tempat yang paling dibenci oleh Allah adalah pasar-pasarnya.”

Riwayat Muslim (671)

Imam al-Nawawi di dalam kitabnya ketika mensyarahkan hadith ini berkata, masjid-masjid merupakan tempat yang paling disukai oleh Allah SWT adalah disebabkan ia merupakan tempat yang dilakukan ketaatan serta ia diasaskan di atas ketaqwaan. Adapun berkaitan tempat yang dibenci oleh Allah adalah pasar-pasarnya disebabkan ia merupakan tempat penipuan, tipu daya, riba, sumpah yang dusta, pemungkiran janji, menjauhkan daripada mengingati Allah dan sebagainya. Makna suka dan benci Allah adalah Allah menghendaki akan kebaikan dan juga keburukan. Selain itu, dengan perbuatan-Nya itu akan menyebabkan seseorang itu gembira atau berduka. Tambahan pula, masjid-masjid merupakan tempat turunnya rahmat dan pasar-pasar merupakan sebaliknya. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 5/171)

Justeru, peliharalah adab masjid sebagai rumah Allah yang sewajarnya dimuliakan kerana itulah tempat ibadat kita yang terbaik. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ حَوَالَيْنَا وَلاَ عَلَيْنَا اللَّهُمَّ عَلَى الآكَامِ وَالظِّرَابِ وَبُطُونِ الأَوْدِيَةِ وَمَنَابِتِ الشَّجَرِ

Maksudnya: “Ya Allah! (Kami bermohon agar hujan hanya) mengelilingi kami dan bukannya menimpa ke atas kami. Ya Allah! (Alihkan ia) ke atas tempat-tempat tinggi, gunung ganang dan bukit bukau, perut-perut lembah, dan tempat tumbuhnya pokok-pokok.”