#7555: Mafhum Ummah dalam Ayat 143 Surah al-Baqarah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami, apakah yang dimaksudkan dengan ummah sebagaimana dalam nas al-Quran al-Karim surah al-Baqarah ayat 143?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

 وَكَذَٰلِكَ جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطًا لِّتَكُونُوا شُهَدَاءَ عَلَى النَّاسِ وَيَكُونَ الرَّسُولُ عَلَيْكُمْ شَهِيدًا

Maksudnya: Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu.

(Surah al-Baqarah: 143)

Ibn Kathir mentafsirkan bahawa: Kami telah memilih kamu untuk menjadikan kamu pilihan ummat daripada umat-umat yang lain supaya kamu menjadi saksi ke atas seluruh umat, kerana semua mengetahui kelebihan kamu, dan maksud al-wast di sini adalah pilihan. (Lihat Tafsir al-Quran al-Azim, 1/237)

Tafsiran ulama’ berkenaan Ummatan Wasata (أُمَّةً وَسَطًا) boleh diringkaskan seperti berikut:

  • Al-Samarqandi berkata: “Maksud al-Wasat ialah yang terbaik di kalangan mereka dan yang paling adil.” (Lihat Bahr al-‘Ulum, 1/164)
  • Ibn Jarir al-Tabari berkata: “Kalimah ummatan wasata antara lain memberi maksud sebaik-baik perkara adalah pertengahan. Lebih dari yang dituntut adalah melampau dan kurang daripadanya merupakan kecuaian. Kedua-duanya adalah keji dan hina.” (Lihat Jami’ al-Bayan,2/626)
  • Imam al-Nasafi menukilkan pendapat Syeikh Abu Mansur yang berkata: “Ayat ini menunjukkan ijma’ (iaitu kesepakatan ulama’ di kalangan umat Muhammad dalam perkara agama pada salah satu masa selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW) sebagai hujah kerana Allah SWT sifatkan umat ini dengan keadilan dan orang yang adil sahaja yang berhak untuk menjadi saksi dan diterimanya. Apabila mereka bersepakat atas sesuatu dan menjadi saksi dengannya, maka wajiblah diterimanya.” (Lihat Madarik al-Tanzil wa Haqa’iq al-Ta’wil, 1/80)
  • Syeikh al-Sabuni berkata: Iaitu kami jadikan kamu wahai orang-orang yang beriman ummah yang adil lagi terbaik. (Lihat Safwah al-Tafasir, 1/90)

Berkenaan dengan mafhum ummah, pada bahasa ia adalah asal atau tempat kembali atau jemaah atau agama. Ia datang juga dengan makna kerajaan, pemerintahan dan lelaki berseorangan dengan agamanya. Ia juga datang dengan makna satu tempoh daripada masa. (Lihat Mu’jam Maqayis al-Lughah, 1/21,27 dan 28; Lisan al-’Arab, 1/132)

Sedangkan pada istilahnya pula, ummah dengan maksud sekumpulan orang yang berasal daripada unsur yang satu, mempunyai satu bahasa dan sejarah warisan yang sempurna di samping mereka mempunyai pentadbiran dengan satu siyasah sahaja. (Lihat Majallah al-Manar, 23/441)

Adapun ummah juga ditakrifkan sebagai jama’ah yang besar dari kalangan manusia yang kembali kepada asal yang satu, terdapat di antara unit dan kumpulannya individunya lughah atau bahasa yang bersamaan. Atau sejarah yang bersamaan serta maslahat-maslahat yang besar. Tambahan pula dengan adanya sempadan geografi berdasarkan kurun yang panjang di satu tempat di dunia ini. (Lihat al-Ummah al-Wasat, hlm. 11)

Hal ini dengan kajian kepada takrif yang dikemukakan, sebenarnya ia terikat beberapa syarat iaitu asal keturunan, bahasa yang sama, warisan sejarah yang sama, tempat tinggal yang berhampiran dan maslahat yang sama.

Takrif seperti ini sesuai untuk ummah yang terdahulu tetapi tidak kepada umat Islam. Hal ini berdasarkan bagaimana Allah sifatkan bani Israel:

كَذَٰلِكَ أَرْسَلْنَاكَ فِي أُمَّةٍ قَدْ خَلَتْ مِن قَبْلِهَا أُمَمٌ لِّتَتْلُوَ عَلَيْهِمُ الَّذِي أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ وَهُمْ يَكْفُرُونَ بِالرَّحْمَٰنِ ۚ قُلْ هُوَ رَبِّي لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَإِلَيْهِ مَتَابِ

Maksudnya: Demikianlah, Kami utuskan engkau (wahai Muhammad) kepada satu umat yang telah lalu sebelumnya beberapa umat yang lain, supaya engkau membacakan kepada mereka Al-Quran yang Kami wahyukan kepadamu, sedang mereka kufur kepada (Allah) Ar-Rahman Katakanlah: “Dia lah Tuhanku, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. KepadaNyalah aku berserah diri, dan kepadaNyalah tempat kembaliku (dan kamu semuanya)”.

(Surah al-Ra’d: 30)

Berdasarkan nas di atas, jelas terbeza dengan umat Islam kerana takrif ummah Islam adalah ummah yang beriman dengan aqidah islamiyyah, tunduk dengan hukum Islam untuk dilaksanakan serta membawa risalah Islam ke sekalian manusia. (Lihat Mafhum al-Ummah al-Islamiyyah fi Dhau’ al-Kitab wa al-Sunnah)

Justeru, kami katakan, perbezaan ummah Islamiyyah dengan baki umat yang lain ialah berpaksikan kepada akidah Islam yang bertunjangkan tauhid di samping makrifah yang sempurna lagi lengkap. Hal ini berdasarkan hadis Nabi SAW:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ، أَلَا إِنَّ رَبَّكُمْ وَاحِدٌ، وَإِنَّ أَبَاكُمْ وَاحِدٌ، أَلَا لَا فَضْلَ لِعَرَبِيٍّ عَلَى عَجَمِيٍّ ، وَلَا لِعَجَمِيٍّ عَلَى عَرَبِيٍّ، وَلَا أَحْمَرَ عَلَى أَسْوَدَ، وَلَا أَسْوَدَ عَلَى أَحْمَرَ، إِلَّا بِالتَّقْوَى

Maksudnya: “Wahai manusia! Sesungguhnya tuhan kamu sama, bapa kamu sama (Adam). Ketahuilah! Tiada kelebihan orang arab ke atas ‘ajam (yang bukan arab), atau ‘ajam ke atas arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan.”

Riwayat Ahmad (23489)0

Maka benarlah firman Allah SWT:

إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ

Maksudnya: “Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya).”

(Surah al-Hujurat: 13)

Justeru, kalimat yang agung ini, yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW berkenaan mafhum ummah dalam Islam, di mana Baginda SAW telah meluaskan dari kefahaman yang sempit, yang hanya berasaskan keturunan kepada menyebut ikatan yang paling utama dan ampuh pada umat ini iaitu takwa. (Lihat ‘Imad al-Din Khalil wa Masyru’uhu al-Hadari: Dirasah fi A’malihi al-Fikriyyah oleh Dr. Abu Bakar Muwaffaq al-Sab’awi, hlm. 237)

Marilah sama-sama kita membina ummah ini dengan mengukuhkan tali persaudaraan, mengelakkan persengkataaan tetapi bersatu padu dengan hablulllah iaitu Kitab Allah dan Sunnahnya, agama-Nya Islam, di samping berkasih sayang sesama Islam kerana mereka ibarat sebuah bangunan. Daripada Nu’man bin Basyir bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى

Maksudnya: Perumpamaan golongan yang beriman pada sifat berkasih sayang, saling merahmati, dan saling membantu adalah seperti suatu badan. Apabila ada anggota badan yang sakit, ia menyebabkan keseluruhan tubuh badan tidak dapat tidur dan juga menjadi demam.

Riwayat al-Bukhari (5665), Muslim (2586), al-Tirmizi (1847), al-Nasa’ie (2525) dan Imam Ahmad (19188)

Al-Hafiz Ibn Hajar Al-Asqalani menukilkan sebuah kata-kata menarik daripada Imam Ibn Abi Jamrah apabila mengulas hadis ini yang menyebut: ‘’Secara zahirnya sifat saling merahmati, saling berkasih sayang dan saling membantu ini meskipun mempunyai makna yang hampir sama, akan tetapi terdapat perbezaan tertentu padanya. Adapun saling merahmati, yang dimaksudkan dengannya adalah: Saling merahmati sesama mereka dengan ukhuwwah (persaudaraan) keimanan bukan dengan sebab selainnya. Adapun saling berkasih sayang pula membawa maksud: Saling berhubung yang boleh mendatangkan kasih sayang seperti saling menziarahi dan memberi hadiah. Adapun yang dimaksudkan dengan al-ta’athuf ia adalah mereka saling membantu antara satu sama lain.

Beliau berkata lagi: Nabi SAW memberikan perumpamaan iman dengan tubuh badan dan ahli iman diumpamakan dengan anggota tubuh. Ini kerana iman adalah asal dan cabangnya adalah taklif-taklif. Sekiranya seseorang itu mengabaikan taklif (tanggungjawab) maka yang demikian itu memberi kerosakan kepada asal (keimanan). Demikian jugalah jasad adalah asal seperti sebatang pokok dan anggota-anggota badan seperti dahan-dahan pokok. Apabila satu anggota terasa sakit maka sakitlah jua keseluruhan badan. (Lihat Fath al-Bari, 10/439)

Begitu juga, Rasulullah SAW memperingatkan kita hubungan sesama mukmin. Daripada Abu Musa, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

إِنَّ المُؤْمِنَ لِلْمُؤْمِنِ كَالْبُنْيَانِ يَشُدُّ بَعْضُهُ بَعْضًا.  وَشَبَّكَ أَصَابِعَهُ.

Maksudnya: “Sesungguhnya (bandingan) seorang mukmin dengan seorang mukmin yang lain seperti sebuah bangunan, sebahagiannya saling menguatkan satu sama lain.” Dan Baginda SAW pun menyilangkan jari-jemarinya.

Riwayat al-Bukhari (481)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”