#7559: Solat Jumaat Ketika Banjir

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bolehkah dilakukan solat Jumaat ketika banjir?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Secara asasnya, solat Jumaat merupakan salah satu tuntutan syara‘ yang diwajibkan ke atas setiap lelaki muslim yang mukallaf, serta ia termasuk dalam salah satu daripada syiar agama Islam. Begitu banyak nas yang menunjukkan kepada pensyariatan solat Jumaat serta larangan yang tegas ke atas mereka yang meninggalkannya dengan sengaja. Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman, apabila diserukan azan untuk solat pada hari Jumaat hendaklah kamu bersegera ke arah mengingati Allah dan meninggalkan jual beli. Yang demikian itu adalah baik buat kamu sekiranya kamu mengetahuinya.”

(Surah al-Jumu‘ah: 9)

Berdasarkan ayat ini, kita dapati bahawa ia datang dengan kata majmuk dan dalam bentuk kata perintah kepada orang-orang yang beriman, maka tuntutan taklif ini mestilah dilakukan secara berjemaah dan hukum-hakamnya juga terkait dengan seluruh jemaahnya. Kalimah (فَاسْعَوْا) atau “pergilah” ini adalah kata perintah yang membawa maksud wajib, dan kewajipan untuk pergi itu sudah pasti untuk menuju kepada perkara yang diwajibkan juga iaitu Solat Jumaat. Larangan untuk berjual-beli ketika itu pula agar manusia tidak disibukkan dengannya sehingga tidak pergi Solat Jumaat. Sekiranya benar hukum solat ini hanyalah sunat dan bukan fardhu, maka mengapa perlu dilarang untuk berjual-beli semata-mata untuk solat tersebut. (Lihat al-Mughni, 2/218)

Hari Jumaat dinamakan sebagai al-Jumu‘ah (الجُمُعَةُ) kerana ia berasal daripada perkataan al-jam‘(الجَمْعُ), yakni berkumpul. Umat Islam berhimpun setiap minggu pada hari ini di masjid-masjid besar. Hari ini juga dianggap istimewa kerana ia merupakan hari di mana Allah menciptakan langit dan bumi, begitu juga disempurnakan pada hari ini penciptaan Nabi Adam A.S, lalu baginda dimasukkan ke dalam Syurga, dan hari ini juga baginda dikeluarkan daripadanya. Selain itu, hari Jumaat adalah hari yang dijanjikan akan berlakunya Kiamat. Pada hari ini juga terdapat satu saat istimewa di mana apabila seorang hamba yang beriman berdoa kepada Allah SWT, memohon sesuatu kebaikan, pasti Allah akan mengabulkannya, sebagaimana yang telah dinyatakan dalam hadith-hadith sahih.

Telah sabit bahawa umat-umat sebelum kita juga telah diperintahkan untuk memuliakan hari Jumaat, tetapi mereka menyimpang daripadanya. Orang Yahudi memilih hari Sabtu, iaitu hari di mana tidak ada penciptaan yang berlaku. Sementara orang Nasrani memilih hari Ahad, iaitu hari permulaan penciptaan. Allah SWT pula memilih hari Jumaat untuk umat Islam, iaitu hari di mana Dia menyempurnakan penciptaan sekalian makhluk. (Lihat Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 8/145)

Abu Hurairah R.A menyampaikan daripada Rasulullah SAW, sabda baginda:

نَحْنُ الآخِرُونَ السَّابِقُونَ يَوْمَ القِيَامَةِ، بَيْدَ أَنَّهُمْ أُوتُوا الكِتَابَ مِنْ قَبْلِنَا، ثُمَّ هَذَا يَوْمُهُمُ الَّذِي فُرِضَ عَلَيْهِمْ، فَاخْتَلَفُوا فِيهِ، فَهَدَانَا اللهُ لَهُ، فَالنَّاسُ لَنَا فِيهِ تَبَعٌ اليَهُودُ غَدًا، وَالنَّصَارَى بَعْدَ غَدٍ

Maksudnya: “Kita adalah umat terakhir (datang ke dunia) tetapi yang terawal (diadili) pada hari Kiamat, meskipun mereka diberikan Kitab sebelum daripada kita. Kemudian, ini (Jumaat) merupakan hari mereka yang telah diwajibkan ke atas mereka, namun mereka berselisih tentangnya. Maka Allah memberi petunjuk kepada kita kepadanya (hari Jumaat). Umat Islam mengikuti kita; Yahudi pula keesokannya (hari Sabtu), manakala Nasrani pada hari lusa (hari Ahad).”

Riwayat al-Bukhari (876) dan Muslim (855)

Warid juga di dalam al-Sunnah al-Nabawiyyah akan kewajipan ini, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ummul Mukminin Hafsah R.Anha bahawa Rasulullah SAW menyebutkan secara jelas:

رَوَاحُ الْجُمُعَةِ وَاجِبٌ عَلَى كُلِّ مُحْتَلِمٍ

Maksudnya: “Berangkat (untuk menunaikan) Jumaat diwajibkan ke atas semua yang telah baligh.”

Riwayat al-Nasa’i (1371) dan Abu Dawud (342)

Disebutkan juga dalam hadith daripada Abu Musa al-Asy‘ari R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الْجُمُعَةُ حَقٌّ وَاجِبٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ فِي جَمَاعَةٍ إِلاَّ أَرْبَعَةً عَبْدٌ مَمْلُوكٌ أَوِ امْرَأَةٌ أَوْ صَبِيٌّ أَوْ مَرِيضٌ

Maksudnya: “Solat Jumaat adalah hak yang wajib ke atas setiap muslim secara berjemaah, melainkan empat orang: Hamba, orang perempuan, kanak-kanak, atau orang yang sakit.”

Riwayat Abu Dawud (1067), al-Hakim (1076) dalam al-Mustadrak, al-Tabarani (5679) dalam al-Mu‘jam al-Ausat, dan al-Baihaqi (5578) dalam al-Sunan al-Kubra.

Ibn al-Munzir berkata: “Para ulama’ telah berijma’ bahawa solat Jumaat wajib ke atas orang yang merdeka, baligh, bermukim yang tiada uzur bagi mereka.” (Lihat al-Ijma’, hlm. 40)

Begitu juga, Dr. Wahbah al-Zuhaili turut menyatakan dalam kitabnya bahawa telah berlaku Ijma‘ ulama mengenai kewajipan menunaikan solat Jumaat secara berjemaah. (Lihat Mausu‘ah al-Fiqh al-Islami wa al-Qadhaya al-Mu‘asirah, 2/248).

Imam Muhammad al-Tahir bin ‘Asyur pula menukilkan persepakatan ulama bahawa solat Jumaat ini menggantikan solat Zuhur pada hari Jumaat. Oleh itu, sesiapa yang telah menunaikan solat Jumaat, dia tidak perlu lagi menunaikan solat Zuhur. Namun, bagi mereka yang tidak menunaikan solat Jumaat atas dasar keuzuran atau sebab lain, maka wajib ke atas mereka untuk menunaikan solat Zuhur. (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 28/223)

Mereka yang Diwajibkan Solat Jumaat

Solat Jumaat tidak dituntut kewajipannya secara umum kepada semua orang yang beragama Islam, bahkan ia ditujukan kepada mukallaf yang tertentu seperti yang disebutkan oleh Imam Ibn Ruslan:

وَرَكْعَتَانِ فَرْضُهَا لِمُؤْمِنٍ                 كُلِّفَ حُرٍّ ذَكَرٍ مُسْتَوْطِنٍ

ذِي صِحَّةٍ …

“Dan dua rakaat (Solat Jumaat) kefardhuannya bagi orang beriman,

ditaklifkan bagi orang yang merdeka, lelaki, bermastautin,

dan mempunyai kesihatan…”

Imam Syamsuddin al-Ramli berkata ketika mensyarahkan rangkap syair di atas: “Setiap orang yang beriman yang ditaklifkan, iaitu seorang yang baligh, berakal, merdeka, lelaki, dan bermastautin (yakni orang bermukim) yang mana terangkat darinya hukum musafir di kawasan solat Jumaat itu, meskipun pada asalnya dia tidak bermastautin di sana, atau berada dalam lingkungan kawasan yang terdengar seruan azan solat Jumaat. Ibn Ruslan menggunakan istilah ‘bermastautin’ ini sebagai ringkasan, walaupun syarat di sini sebenarnya adalah ‘bermukim’ sebagaimana dijelaskan dalam penjelasannya. Syarat lain pula memiliki kesihatan.

Maka, tidak wajib solat Jumaat ke atas orang kafir, kanak-kanak, orang gila (sebagaimana solat lain tidak diwajibkan ke atas mereka), begitu juga orang yang pengsan yang dianggap seperti orang gila. Berbeza pula situasinya dengan orang yang mabuk, dia wajib menggantikan solat Jumaat dengan solat Zuhur sebagaimana solat-solat lain.

Solat Jumaat juga tidak diwajibkan ke atas hamba sahaya, meskipun dia adalah seorang mukatab(hamba yang sedang menebus kemerdekaan), hamba separa merdeka, atau yang sedang dalam perjanjian giliran kerja, walaupun masanya jatuh pada waktu giliran tersebut. Begitu juga, tidak wajib ke atas wanita, khunsa (individu interseks), musafir dengan perjalanan yang dibenarkan (walaupun pendek), dan orang sakit atau yang uzur daripada menunaikan solat berjemaah.” (Lihat Ghayah al-Bayan, hlm. 183-184)

Ciri-ciri yang disebutkan di atas, apabila ia dipenuhi oleh para mahasiswa yang mengajukan persoalan berkenaan solat Jumaat ini, maka mereka ketika itu termasuk dalam kalangan mukallafyang dituntut untuk mendirikannya, melainkan jika terdapat sebarang keuzuran yang mengharuskan mereka untuk mendirikan solat Zohor sahaja sebagai ganti kepada solat Jumaat.

Menjawab persoalan di atas, kami berpendapat, jika penempatan itu di masjid atau berdekatan dengan masjid ketika dilanda banjir dan jumlah mereka mencukupi, maka solat Jumaat ketika itu boleh dilakukan dan tidak gugur. Bahkan ini yang terbaik. Sebaliknya jika suasana sukar untuk pergi menunaikan solat Jumaat dan ketika itu airnya pasang dan tinggi serta deras, kami berpendapat, hanya solat Zuhur semata-mata.

Firman Allah SWT:

لَا يُكَلِّفُ اللَّـهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا

Maksudnya: “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya.”

(Surah al-Baqarah: 286)

Syeikh al-Maraghi berkata: Allah SWT tidak membebankan hamba-hamba-Nya dengan sesuatu yang tidak mampu mereka kerjakan. Bahkan sifat kemurahan-Nya memberikan kemudahan kepada mereka. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/672)

Kami mencadangkan pihak berkuasa dan berautoriti dalam agama boleh memikirkan solat Jumaat di tempat-tempat penempatan yang telah disediakan buat sementara jika memerlukan kerana menegakkan syiar agama dalam situasi ketika itu amat berbekas di hati dan lebih menusuk kalbu di samping menzahirkan syiar agama Allah. Kami akhiri dengan doa:

 رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِ ۖ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا ۚ أَنتَ مَوْلَانَا فَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir.”

(Surah al-Baqarah: 286)