#6641: Lelaki Memakai Produk Penjagaan Muka

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bolehkah golongan lelaki menggunakan atau memakai produk penjagaan muka? Adakah ia dikira menyerupai perempuan kerana biasanya perempuan sahaja yang menggunakan atau memakai produk-produk sebegini? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan sebuah doa daripada Rasulullah SAW:

اللهمَّ كَمَا حَسّنْتَ خَلْقِي فَحَسّنْ خُلقِي

Maksudnya: “Ya Allah, sebagaimana Engkau telah memperindah rupaku maka perindahlah pula akhlakku.”

Riwayat Ahmad (24392), al-Tayalisi (372) dan Ibn Hibban (959). Dinyatakan sebagai sahih dalam Sahih al-Jami’ (1307)

Kami beranggapan bahawa timbulnya persoalan seperti ini disebabkan produk penjagaan muka seperti pencuci muka, krim dan pelembap kulit, sunscreen/sunblock (pelindung kulit dari cahaya matahari), dan lain-lain seumpamanya, adalah sinonim dengan golongan wanita. Justeru, apabila golongan lelaki ingin memakai atau menggunakan produk-produk seperti ini, datang kebimbangan dalam diri mereka ia termasuk dalam perkara yang menyerupai wanita yang dilarang.

Dalam hal ini, kami jelaskan terlebih dahulu, secara umumnya agama Islam melarang penganutnya dalam kalangan lelaki untuk menyerupai wanita melalui pakaian, perhiasan, tingkah laku dan lain-lain yang hanya dikhususkan untuk wanita. Dinyatakan di dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah bahawa tiada khilaf dalam kalangan fuqaha’ akan pengharaman bagi lelaki menyerupai wanita dari sudut pergerakan badan, kelembutan kata-kata, perhiasan, pakaian dan lain-lain yang khas bagi wanita dari sudut adat dan tabiat. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 11/267).

Hal ini adalah berdasarkan riwayat daripada Abu Hurairah R.A bahawa:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ  لَعَنَ الرَّجُلَ يَلْبَسُ لِبْسَةَ الْمَرْأَةِ، وَالْمَرْأَةَ تَلْبَسُ لِبْسَةَ الرَّجُلِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW melaknat seorang lelaki yang memakai pakaian wanita, dan seorang wanita yang memakai pakaian lelaki.

Riwayat al-Bukhari (5435) dan Ahmad (8309)

Badr al-Din al-‘Aini ketika mengulas hadith di atas menyebutkan, (celaan ini) adalah pada perbuatan orang lelaki menyerupai orang perempuan dari sudut pakaian dan juga perhiasan yang khusus buat orang perempuan seperti memakai serkup kepala, rantai, gelang, gelang kaki, dan juga anting-anting. (Lihat ‘Umdah al-Qari, 22/41).

Begitu juga Ibn Hajar al-Haitami turut menyatakan bahawa antara bentuk menyerupai wanita adalah memakai perhiasan yang dikhususkan kepada wanita dan yang dilazimi oleh mereka, seperti gelang tangan dan gelang kaki. Adapun cincin maka diharuskan bagi lelaki memakainya. (Lihat al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, 1/261)

Oleh itu, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan, benar bahawa pemakaian produk-produk penjagaan muka dilihat lebih sinonim dengan golongan wanita, namun ia tidak menafikan bahawa golongan lelaki turut dibenarkan untuk menggunakan atau memakai produk-produk penjagaan muka. Ini kerana perkara yang melibatkan soal perhiasan, pakaian dan lain-lain seumpamanya hendaklah dirujuk kepada adat setempat dalam menentukan, adakah ia hanya khusus untuk golongan gender tertentu atau sebenarnya ia untuk kedua-dua gender.

Menurut Syeikh Mahmud al-Syalabi, setiausaha fatwa di Dar al-Ifta’ al-Misriyyah menyatakan, perhiasan hendaklah dirujuk kepada ‘uruf dan adat setempat. Syariat melarang lelaki menyerupai wanita dan wanita menyerupai lelaki, maka jika lelaki memakai rantai perak yang termasuk dalam masalah perhiasan dan masalah perhiasan pula hendaklah dirujuk kepada adat setempat. Jika adat setempat menunjukkan bahawa lelaki berhias dengan rantai tersebut, manakala wanita pula tidak berhias dengannya, maka pemakaiannya (bagi lelaki) adalah dibenarkan dan tidak mengapa. Akan tetapi jika sudah menjadi kebiasaan bahawa ini adalah sebahagian daripada perhiasan wanita, maka dalam hal ini tidak boleh bagi lelaki untuk berhias dengannya kerana dengan memakainya menjadikan lelaki itu termasuk dalam kalangan mereka yang menyerupai wanita, dan ini adalah diharamkan dan tidak dibenarkan.

Begitu juga Syeikh Muhammad Wisam, setiausaha fatwa di Dar al-Ifta’ al-Misriyyah turut menyatakan bahawa rantai perak termasuk dalam perhiasan wanita. Oleh itu, orang lelaki tidak boleh memakainya. Lebih-lebih lagi perkara-perkara berkaitan perhiasan ini tidak termasuk dalam akhlak (sifat dan ciri) kaum lelaki. Beliau menegaskan lagi bahawa rantai itu serupa dengan cincin dan jam tangan. Akan tetapi soal pakaian dan perhiasan mesti mengambil kira uruf setempat, adat dan tradisi. Jadi jika seseorang pemuda itu berada dalam lingkungan atau suasana yang mana menurut adat setempatnya lelaki memakai rantai (dan ia bukan perhiasan khusus buat wanita), maka tidak mengapa memakainya. Namun, jika dia berada dalam lingkungan atau suasana yang mana menurut adat setempatnya menolak perkara itu (pemakaian rantai sebagai perhiasan bagi lelaki), maka beliau berpendapat hendaklah dilarang seseorang pemuda itu daripada memakainya. Allah SWT memerintahkan hal tersebut melalui firman-Nya:

خُذِ الْعَفْوَ وَأْمُرْ بِالْعُرْفِ وَأَعْرِضْ عَنِ الْجَاهِلِينَ

Maksudnya: “Terimalah apa yang mudah engkau lakukan, dan suruhlah dengan perkara yang baik, serta berpalinglah (jangan dihiraukan) orang-orang yang jahil (yang degil dengan kejahilannya).

(Surah al-A‘raf: 199)[1]

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan di atas, kami berpendapat bahawa tidak mengapa bagi golongan lelaki untuk menggunakan produk-produk penjagaan muka dan ia tidak termasuk dalam perbuatan menyerupai wanita. Ini kerana dari segi uruf dan adat setempat produk-produk penjagaan muka tidak hanya dipakai oleh golongan wanita semata-mata, bahkan ia bersifat unisex (boleh digunakan oleh kedua-dua gender).

Bahkan menurut pakar kajian kulit, tiada spesifik (produk perawatan kulit) untuk lelaki atau wanita. Sebenarnya menjadi keperluan sama bagi lelaki atau wanita untuk menggunakan penjagaan kulit yang sesuai. Maka wanita boleh gunakan produk untuk lelaki sekiranya sesuai dengan kulitnya. Begitu juga dengan lelaki asalkan tidak menimbulkan masalah pada kulit mereka.[2]

Jadi, diharuskan bagi golongan lelaki untuk menggunakannya kerana adat menunjukkan produk-produk penjagaan muka itu bersifat unisex, dengan syarat produk itu dihasilkan daripada bahan-bahan yang halal. Ini bertepatan dengan kaedah yang menyebutkan:

الأَصْلُ فِي عَادَاتِنَا الإِبَاحَة حَتَّى يَجِيءَ صَارِفُ الإِبَاحَة

Maksudnya:Hukum asal dalam perkara-perkara adat kita adalah diharuskan sehinggalah terdapatnya dalil yang mengangkat keharusan tersebut.”

Hamad al-Hamad ketika mensyarahkan kaedah di atas menyebutkan, adat adalah merujuk kepada kebiasaan manusia dari segi tingkah laku, perkataan dan perbuatan, maka hukum asalnya adalah diharuskan. Sebagai contoh, duduknya mereka di atas lantai atau atas kerusi ketika makan, maka hal ini termasuk dalam perkara adat dan hukum asalnya adalah diharuskan. Begitu juga termasuk dalam perkara adat, seseorang itu makan dengan tangannya, manakala seseorang yang lain pula makan dengan menggunakan sudu, maka hukum asalnya adalah diharuskan. Begitu juga seseorang memakai suatu pakaian dengan cara tertentu, manakala seseorang yang lain pula memakainya dengan cara yang lain, maka hukum asal dalam hal tersebut adalah diharuskan. (Lihat Syarh Manzumah al-Qawa’id al-Fiqhiyyah li al-Sa‘di, 3/9).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ زِدْنَا وَلَا تَنْقُصْنَا، وَأَكْرِمْنَا وَلَا تُهِنَّا، وَأَعْطِنَا وَلَا تَحْرِمْنَا، وَآثِرْنَا وَلَا تُؤْثِرْ عَلَيْنَا، وَارْضِنَا وَارْضَ عَنَّا

Maksudnya: “Wahai Allah! Tambahkanlah buat kami dan jangan Engkau kurangkan. Muliakanlah kami, jangan hinakan kami. Berilah buat kami, jangan dicegahnya. Pilihlah kami, jangan Engkau biarkan dan redhailah kami dan redhailah pula semua usaha kami.”

[1] Lihat https://www.elbalad.news/4522909. Diakses pada 11 Julai 2023.

[2] Lihat https://www.sinarharian.com.my/article/672112/sinar-islam/hukum/harus-bagi-lelaki-guna-produk-penjagaan-muka-kulit. Diakses pada 1 Ogos 2024.