Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagaimana keadaan ekonomi Halimah al-Sa’diyyah selepas mengambil Nabi SAW sebagai anak susuan?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Syeikh al-Mubarakfuri menukilkan bahawa Ibn Ishaq berkata, Halimah menceritakan bahawa pada suatu hari dia keluar dari kampung halamannya bersama suaminya dan anak kecil yang disusuinya. Dia keluar bersama wanita-wanita Bani Saad yang akan mengambil anak-anak untuk disusukan. Halimah menyatakan bahawa ketika itu kemarau melanda dan bekalan makanan sangat terhad.
Dia berkata lagi, “Aku keluar bersama seekor keldai muda dan seekor keldai tua. Demi Allah, kedua-duanya tidak menghasilkan walaupun setitik susu. Kami tidak dapat tidur pada waktu malam kerana menjaga anakku yang menangis kelaparan. Aku juga tidak mampu menyusukan anakku. Binatang kepunyaanku juga tidak mengeluarkan susu. Walau bagaimanapun, kami mengharapkan bantuan dan jalan penyelesaian. Aku terus berjalan dengan keldaiku sehingga mereka semua kepenatan dan menjadi lemah.
Selepas itu, kami tiba di Mekah dan memilih anak-anak yang akan disusukan. Apabila Nabi Muhammad SAW diberikan kepada wanita dalam kumpulan kami untuk dijadikan anak susuan, kesemua mereka menolak baginda kerana mereka mengatakan baginda anak yatim. Pada waktu itu, kami mengharapkan seorang bayi yang diketahui bapanya dan bapanya dikenali sebagai orang yang baik. Kami pernah berkata, “Anak yatim? Apa yang boleh dilakukan oleh seorang ibu kepadanya?” Kami tidak menyukai perkara tersebut. Kesemua rakan-rakan wanitaku sudah pun memperoleh anak susuan kecuali aku yang masih belum mendapatkannya.
Apabila semua wanita berkumpul untuk pulang, aku berkata kepada suamiku, “Demi Allah, aku tidak suka jika pulang bersama rakan-rakanku tanpa membawa seorang pun anak untuk disusukan.” Suamiku membalas, “Tidak mengapa jika kamu mengambil anak yatim itu, mudah-mudahan dia membawa keberkatan kepada kita.”
Aku pun pergi kepada anak yatim itu dan mengambilnya. Pada mulanya, aku tidak mahu mengambilnya. Tetapi, disebabkan tiada lagi anak yang boleh dipilih, akhirnya aku mengambilnya juga. Ketika aku membawa pulang anak itu dengan menaiki binatang tungganganku, aku merapatkannya di pangkuanku untuk menyusu. Tiba-tiba, susu keluar dengan banyak dari dadaku. Anak itu minum susu itu sehingga kenyang. Anakku juga turut minum susu itu bersamanya hingga kenyang. Kemudian, anakku tidur dengan lena. Sebelum ini, kami dan anak kami tidak pernah dapat tidur dengan tenang.
Kemudian, suamiku pergi ke arah seekor lagi binatang yang dibawa bersama tadi dan memerah susunya. Kami meminum susu yang diperah sehingga hilang dahaga dan berasa kenyang. Kami tidur dengan nyenyak pada malam itu. Keesokan harinya, suamiku berkata kepadaku:
تَعَلَّمِي وَاللَّهِ يَا حَلِيمَةُ، لَقَدْ أَخَذْتِ نَسَمَةً مُبَارَكَةً
Maksudnya: “Ketahuilah, demi Allah wahai Halimah. Sesungguhnya engkau telah mengambil seorang anak yang diberkati.” (Lihat Dala’il al-Nubuwwah oleh al-Baihaqi, 1/134; al-Sirah al-Nabawiyyaholeh Ibn Hisyam, 1/163)
Aku berkata, “Demi Allah, aku sangat menginginkannya!” Kemudian, kami pun bertolak pulang dengan menaiki keldai sambil membawa anak susuanku bersama-sama. Halimah menegaskan, “Demi Allah! Binatang tungganganku berjalan dengan laju dan mengatasi semua binatang tunggangan rakan-rakanku yang lain. Rakan-rakanku berkata kepadaku, ‘Wahai anak Abu Zu’aib, kenapa dengan engkau ini? Kamu mendahului kami? Bukankah keldai ini yang kamu gunakan semasa bertolak pada hari itu?’ Aku membalas, ‘Demi Allah, benar. Ia adalah keldai yang sama.’ Mereka pun membalas, ‘Demi Allah, sesuatu yang baik berlaku kepada binatangmu.’”
Selepas itu, kami tiba di rumah masing-masing di kawasan penempatan Bani Saad. Kawasan tempat tinggal kami ini tidak begitu subur dan agak kering. Ketika kami tiba di situ, aku melihat kambing-kambing ternakanku menuju ke arahku dengan keadaan penuh susu. Kami memerahnya dan menikmati susu kambing tersebut. Pada waktu itu, tiada seorang pun yang memerah susu sehingga orang-orang yang melihat kami berkata kepada pengembala-pengembala kambing mereka, “Apa yang kamu tunggu lagi? Keluarlah kamu semua seperti pengembala anak Zu’aib untuk mendapatkan susu.” Walau bagaimanapun, kambing-kambing mereka semuanya kelaparan dan hanya kambingku sahaja yang mengeluarkan susu yang banyak. Kami terus berharap bahawa kejadian tersebut adalah tambahan rezeki dan kebaikan yang Allah kurniakan kepada kami.
Selepas tempoh dua tahun menyusukan anak yatim itu tamat, dia mula membesar dan menjadi anak yang luar biasa berbanding anak-anak yang lain. Dalam tempoh kurang daripada dua tahun, dia menjadi seorang anak yang bertubuh mantap dan kuat. Kemudian, kami membawanya menemui ibunya dengan mengharapkan anak itu dapat terus tinggal bersama kami. Kami telah menyaksikan keberkatan yang ada padanya. Kami pun berbincang dengan ibunya dan aku berkata kepadanya, “Jika kamu tidak keberatan, benarkanlah anakmu tinggal bersama kami sehingga dia menjadi kuat. Aku bimbang dengan penyakit di Mekah.” Ibunya bersetuju dengan cadanganku dan dia memulangkan semula anaknya kepada kami. Setelah itu, Nabi Muhammad SAW tinggal dengan Bani Saad sehingga umur baginda mencapai empat ataupun lima tahun. (Lihat al-Sirah al-Nabawiyyaholeh Ibn Hisyam, 1/162; al-Rahiq al-Makhtum, hlm, 91)
Syeikh Muhammad al-Ghazali menyebut: Halimah binti Abu Zu’aib merupakan salah seorang daripada perempuan-perempuan yang datang ke Mekah dengan niat untuk pulang membawa seorang anak susuan sebagai punca rezekinya. Pada mulanya, minatnya tidak tertarik kepada anak yatim. Tetapi disebabkan tidak mendapat bayi yang dicari dan malu untuk pulang dengan tangan kosong, akhirnya beliau kembali semula bertemu Aminah untuk membawa pulang Muhammad SAW. Kepulangan Halimah bersama Baginda SAW disertai oleh keberkatan. Sebelum itu, Halimah menempuh kemarau selama beberapa tahun. Lalu Allah SWT mengurniakan kepadanya kebaikan yang berlipat kali ganda selepas itu. Kambing-kambingnya mengeluarkan susu yang banyak, sedangkan sebelum itu, ia tidak bersusu. Kehidupan Halimah menjadi senang dan selesa. Halimah, suami dan anaknya merasai bahawa kepulangannya dari Mekah membawa keberkatan dan keuntungan, bukannya kefakiran dan keyatiman. Itu semua menambah tautan hati dan penghargaan mereka kepada anak yatim. (Lihat Fiqh al-Sirah oleh al-Ghazali, hlm. 77)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”