#6681: Mengugut Anak Supaya Mereka Taat Pada Ibu Bapa

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apa hukum ibu bapa mengugut anak mereka dengan ugutan seperti mengangkat pisau, supaya anak mereka taat dekat mereka?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Daripada ‘Amru bin Sa’id al-As, sabda Nabi SAW:

مَا نَحَلَ وَالِدٌ وَلَدًا مِنْ نَحْلٍ أَفْضَلَ مِنْ أَدَبٍ حَسَنٍ

Maksudnya: “Tidak ada suatu pemberian seorang ayah kepada anaknya yang lebih utama daripada adab (akhlak) yang baik.”

Riwayat al-Tirmizi (1952), Ahmad (15403) dan al-Baihaqi (2365).

Melihat persoalan yang diajukan, kami katakan bahawa hukum menghunuskan senjata kepada sesiapa sahaja dari kalangan umat Islam adalah dilarang, bahkan terdapat ancaman yang amat berat terhadap mereka yang melakukan demikian kerana ia ibarat mengancam bunuh yang disertakan dengan keazaman. sebagaimana yang thabit dalam hadith Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

لَا يُشِيرُ أَحَدُكُمْ عَلَى أَخِيهِ بِالسِّلَاحِ، فَإِنَّهُ لَا يَدْرِي لَعَلَّ الشَّيْطَانَ يَنْزِعُ فِي يَدِهِ، فَيَقَعُ فِي حُفْرَةٍ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: “Janganlah salah seorang daripada kalian mengacukan senjata ke atas saudaranya kerana sesungguhnya dia tidak tahu, boleh jadi  syaitan melepaskan apa yang ada pada tangannya, lalu akhirnya dia terjerumus ke dalam lubang api neraka.”

Riwayat al-Bukhari (7072) dan Muslim (2617)

Pengharaman perbuatan mengangkat senjata ke atas muslim ini juga telah jelas dalam riwayat ‘Abdullah bin ‘Umar R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ حَمَلَ عَلَيْنَا السِّلاَحَ فَلَيْسَ مِنَّا

Maksudnya: “Sesiapa yang mengangkat senjata ke arah orang Islam, maka dia bukan daripada golongan kami.”

Riwayat al-Bukhari (6874) dan Muslim (98)

Syeikh Syaraf al-Haq al-‘Azim Abadi di dalam kitabnya ‘Aun al-Ma‘bud (9/231) menukilkan kalam Imam al-Khattabi, bahawa yang dimaksudkan dengan sabda Baginda SAW (فَلَيْسَ مِنَّا) adalah bukan dari golongan yang mengikut sunnah dan ajaran Baginda SAW. Ada juga yang berpendapat bahawa yang dimaksudkan dengan (فَلَيْسَ مِنَّا) adalah dinafikan keislamannya, dan ini merupakan takwilan yang tidak benar. Sebetulnya adalah sebagaimana yang dikatakan, yakni bukan dari golongan yang mengikut sunnah dan ajaran Baginda SAW. Seperti seorang lelaki yang berkata kepada saudaranya: “Aku daripada golongan kamu dan mengikuti kamu”, yakni pengikutnya dan bersetuju dengannnya. Ini seperti yang disebutkan dalam firman Allah SWT:

 فَمَن تَبِعَنِي فَإِنَّهُ مِنِّي ۖ وَمَنْ عَصَانِي فَإِنَّكَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Oleh itu, sesiapa yang menurutku (dalam Islam yang menjadi peganganku) maka ia adalah dari golonganku; dan sesiapa yang menderhaka kepadaku (dengan menyalahi agamaku), maka sesungguhnya engkau Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (kiranya ia insaf dan bertaubat).”

(Surah Ibrahim: 36)

Apabila suatu perbuatan itu disertakan dengan ancaman yang berat, maka ia adalah salah satu dari dosa-dosa besar. Maka pastinya perbuatan dosa besar begini lebih utama untuk tidak dilakukan kepada anak-anak sendiri, meskipun dengan tujuan untuk mereka taat kata-kata kedua ibu bapa. Bahkan, pada hakikatnya anak-anak itu bukanlah taat, sebaliknya mereka diselubungi perasaan takut dan gerun terhadap tindakan ganas tersebut.

Tindakan mengugut anak menggunakan senjata ini juga termasuk di bawah undang-undang tentang kesalahan berhubung dengan kesihatan dan kebajikan kanak-kanak. Dinyatakan dalam Akta Kanak-kanak 2001, di bawah seksyen 31:

“(1) Mana-mana orang, yang merupakan orang yang mempunyai pemeliharaan seseorang kanak-kanak—

(a) yang menganiayai, mengabaikan, membuang atau mendedahkan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal atau emosi atau yang menyebabkan atau membenarkannya dianiayai, diabaikan, dibuang atau didedahkan sedemikian; atau

(b) yang menganiayai dari segi seks kanak-kanak itu atau yang menyebabkan atau membenarkannya dianiayai sedemikian,

melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi dua puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya.

(2) Mahkamah—

(a) hendaklah, sebagai tambahan kepada apa-apa hukuman yang dinyatakan dalam subseksyen (1), memerintahkan supaya orang yang disabitkan atas suatu kesalahan di bawah subseksyen itu menyempurnakan suatu bon dengan penjamin untuk berkelakuan baik selama apa-apa tempoh yang difikirkan patut oleh Mahkamah; dan

(b) boleh memasukkan dalam bon yang disempurnakan di bawah perenggan (a) apa-apa syarat yang difikirkan patut oleh Mahkamah.

(3) Jika seseorang yang diperintahkan supaya menyempurnakan suatu bon untuk berkelakuan baik di bawah subseksyen (2) tidak mematuhi mana-mana syarat bon itu, dia boleh didenda selanjutnya Kanak-kanak 47 tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau dipenjarakan selanjutnya selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.”[1]

Perbuatan mengugut dengan pisau atau sebarang senjata tajam ini juga dikhuatiri akan memberi kesan buruk pada kehidupan dan psikologi anak-anak itu. Walau apa pun kesalahan anak itu, ibu bapa tidak dibenarkan mengancamnya dengan senjata. Sebaliknya, ibunya harus mengambil langkah-langkah disiplin yang dibenarkan seperti merotan dengan tidak berlebihan, mengancam dengan hukuman tersebut, dan cara-cara disiplin lain yang dibenarkan.

Mendidik anak-anak itu tidak semestinya perlu kepada ancaman dan pukulan, sebaliknya yang paling utama dan penting adalah hikmah dalam didikan itu sendiri. Syeikh ‘Abd al-Rahman al-Sa‘di berkata: “Sesungguhnya kebaikan ibu bapa dari sudut ilmu dan amal itu merupakan sebab utama kebaikan anak-anak mereka.” Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin pula berkata: “Antara berkat kebaikan pada kedua ibu bapa, Allah SWT akan memelihara anak-anak.” (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 781; Tafsir Ibn ‘Uthaimin: al-Kahfi, hlm. 123)

Kesimpulan

Kami mengatakan bahawa hukum mengugut anak menggunakan pisau itu adalah haram berdasarkan nas-nas syara‘ yang sudah jelas, tanpa mengambil kira apa jua tujuan dari ugutan tersebut; kerana matlamat tidak menghalalkan cara.

Ibu bapa mempunyai tanggungjawab yang besar dalam mentarbiah serta mendidik anak-anak. Alangkah baiknya sekiranya setiap dari pasangan suami isteri itu dapat mempelajari kaedah mendidik anak-anak yang telah diajarkan oleh Rasulullah SAW serta digariskan dalam al-Quran. Jadikanlah Islam sebagai panduan hidup dalam mendidik, dan jauhilah dari melakukan perbuatan yang kelak akan mendatangkan suatu penyesalan dalam diri kita di hari tua.

Setiap proses pembesaran anak-anak dari kecil sehingga dewasa hanya akan berlaku sekali seumur hidup, oleh itu janganlah kita mensia-siakan tempoh tersebut dengan mencederakan fizikal mahupun emosi anak-anak ini. Anak-anak itu merupakan rezeki kuriaan Allah SWT yang juga merupakan saham akhirat buat ibu bapa, maka didiklah mereka sebaiknya agar kelak mereka dapat mengembalikan manfaat buat kita serta umat Islam umumnya.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Wallahu a‘lam

[1] Lihat https://www.kpwkm.gov.my/kpwkm/uploads/files/Dokumen/Akta/Akta%20Kanak-Kanak%202001.pdf. Diakses pada 5 Ogos 2024.