#7567: Talak dengan Menyebut Nama Panggilan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah dengan mengucapkan talak tetapi tidak menyebut nama seperti, “saya ceraikan sayang dengan talak satu,” dikira jatuh talak? atau hanya dengan mengucapkan nama baru dikira jatuh?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT :

ٱلطَّلَـٰقُ مَرَّتَانِ ۖ فَإِمْسَاكٌۢ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌۢ بِإِحْسَـٰنٍ

Maksudnya:” Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik.”

(Surah al-Baqarah: 229)

Syeikh al-Maraghi menyatakan di dalam syarahnya: Ayat ‘sesudah itu bolehlah ia memegang terus’ membawa makna rujuklah kembali bukan dengan niat untuk melukainya. Akan tetapi dengan niat untuk melakukan islah (tambah baik) dan bergaul dengan cara yang baik. Dan ayat ‘melepaskan dengan cara yang baik’ selepas berlaku 3 kali talak,maka berikanlah haknya.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/169)

Pembahagian Jenis Talak

Para ulama membahagikan talak dari segi kejelasan lafaz talak kepada dua, iaitu sorih yang bermakna jelas dan kinayah iaitu yang berkemungkinan membawa maksud talak atau tidak. Bagi lafaz sarih ada tiga perkataan yang jika disebutkan jatuhlah talak, Perkataan tersebut ialah cerai, pisah dan lepas.

Contoh lafaz sorih ialah ‘aku lepaskan engkau’ , ‘engkau tertalak’ atau ‘aku lepaskan engkau’. Jika lafaz-lafaz ini disebutkan oleh si suami maka jatuhlah talak bagi si isteri Contoh bagi lafaz kinayah pula ialah ‘pergilah ke ahli keluarga engkau’ , ‘jauhkan diri dari aku’ dan lain-lain lagi. Cumanya, lafaz kinayah ini memerlukan kepada niat si suami. Jika dia berniat mentalakkan maka jatuhlah talak. (Lihat al-Fiqh al-Minhaji, 4/123)

Lafaz kinayah adalah lafaz yang samar-samar. Sama ada jatuh atau tidak talak adalah bergantung kepada niat si suami.

Ibnu al-Qasim al-Ghazzi menyatakan: “Kinayah ialah setiap lafaz yang membawa makna talak ataupun selain daripada itu. Dan ianya memerlukan kepada niat. Jika berniat untuk menceraikan ketika melafazkan lafaz kinayah maka jatuhlah talak. Jika tidak, talak tidak jatuh.” (Lihat Syarh Ibnu al-Qasim ‘ala Matan Abi Syuja, 2/264)

Menurut ulama’ Mazhab al-Syafi‘i, penceraian tidak boleh berlaku melainkan apabila lengkap 5 rukun talak:

  • Suami yang mukallaf, maka talak tidak sah jika suami tersebut masih kecil, gila, pengsan, atau tidur.
  • Lafaz talak.
  • Isteri yang ditalakkan.
  • Kuasa perwalian, sebagai wakil jika penceraian ingin dibuat bagi pihak suami yang masih kecil atau gila.
  • Niat untuk menceraikan. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 4/455)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan talak tetap dikira jatuh meskipun tidak menyebut namanya kerana talak itu difahami ditujukan kepada siapa. Maka, sekiranya si suami mengucapkan lafaz sebegitu, maka ia dikira jatuh dan perlu di rujuk ke Mahkamah. Keputusan Hakim akan dianggap sebagai penyelesai dan mengangkat sebarang perselisihan yang berlaku seperti dalam kaedah yang masyhur:

حُكْمُ الحَاكِمِ يَرْفَعُ الخِلَافَ

Maksudnya: “Keputusan hakim mengangkat perselisihan.”

Semoga Allah SWT memberi kefahaman yang jelas dalam beragama dan Saya akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

(Surah al-Furqan: 74)

Wallahua‘lam.