#7577:  Solat Jamak Ketika Menemani Anak di Hospital

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, adakah dibolehkan untuk melakukan solat secara jamak ketika menjaga anak yang sedang dirawat di hospital? Situasi ini memerlukan saya berada di hospital untuk tempoh yang panjang dan sukar untuk pulang ke rumah. Mohon penjelasan mengenai hukum dan keharusannya. Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Antara rukhsah yang Allah berikan kepada umat ini adalah dibenarkan untuk menjama‘kan di antara dua solat dalam keadaan-keadaan yang tertentu seperti musafir, hujan, sakit dan seumpamanya. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِى ٱلدِّينِ مِنْ حَرَجٍ

Maksudnya: “Dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama.”

(Surah al-Hajj: 78)

Jama‘ bermaksud menggabungkan dua solat di dalam satu waktu. Iaitu menggabung solat Zohor dengan solat Asar dan solat Maghrib dengan solat Isyak. Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa harus hukumnya menjama‘kan di  antara solat Zohor dengan Asar pada waktu yang dia suka dan juga solat Maghrib dengan solat Isyak menurut mazhab al-Syafi‘i, dan ini juga berdasarkan persepakatan ulama’. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4/249)

Syeikh Abd al-Muhsin al-‘Abbad berkata: “Maka harus bagi orang bermusafir untuk memendekkan solat yang empat rakaat kepada dua rakaat dan juga menjamakkan di antara solat zohor dengan asar dan maghrib dengan isyak. Ini adalah sedekah yang diberikan kepada kita semua.” (Lihat Syarh Sunan Abi Daud, 149/1)

Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, katanya:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَجْمَعُ بَيْنَ صَلاَةِ الظُّهْرِ وَالعَصْرِ، إِذَا كَانَ عَلَى ظَهْرِ سَيْرٍ وَيَجْمَعُ بَيْنَ المَغْرِبِ وَالعِشَاءِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW pernah menjamakkan solat Zohor dan Asar apabila Baginda dalam perjalanan, dan Baginda turut menjamakkan antara solat Maghrib dan Isyak.”

Riwayat al-Bukhari (1107)

Ibn Daqiq al-‘Aid menyebutkan bahawa para ulama’ tidak berbeza pendapat berkenaan ‘illah atau sebab dibolehkan jamak antara dua solat fardhu adalah permusafiran. Akan tetapi, Mazhab Hanafi mengkhususkan musafir itu antara Arafah dan Muzdalifah sahaja, maka ‘illah mereka berubah daripada permusafiran kepada nusuk haji. (Lihat Ihkam al-Ihkam Syarh Umdah al-Ahkam, 1/329)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas, antara syarat-syarat dibenarkan untuk mengambil rukhsah adalah sebagaimana yang telah dinyatakan dalam al-Fiqh al-Manhaji (1/186) :

  • Mestilah berada dalam keadaan bermusafir, iaitu perjalanan ke destinasi yang sekurang-kurangnya dua marhalah, iaitu sekitar 81 km. Kadar 2 marhalah ini yang ditetapkan berdasarkan taqribi (lebih kurang/anggaran) bukan tahdidi (tepat).
  • Perjalanan musafir tersebut telah melepasi sempadan mukim seperti kawasan kampung, taman perumahan atau daerah mengikut uruf setempat.
  • Dia tidak mengikuti imam yang menunaikan solat sempurna empat rakaat jika dia ingin mengqasarkan solat.
  • Dia tidak berniat menetap selama empat hari atau lebih di tempat yang dituju, selain hari mula dia sampai dan hari dia akan keluar dari destinasi.

Justeru, dalam isu ini, kami menyatakan bahawa sekiranya jarak antara tempat tinggal dan hospital mencapai dua marhalah, iaitu bersamaan 81 kilometer, dan tempoh menemani anak di hospital tidak melebihi empat hari, maka dalam keadaan tersebut dibenarkan untuk melakukan solat secara jamak dan qasar. Sebaliknya, jika jarak antara tempat tinggal dan hospital tidak mencapai dua marhalah atau tempoh menemani anak melebihi empat hari, maka rukhsah tersebut tidak dibolehkan. Hal ini kerana saudara tidak dikategorikan sebagai seorang yang bermusafir dan tidak memenuhi syarat-syarat yang membolehkan untuk mengambil rukhsah jamak dan qasar.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku, jadikanlah aku orang yang mendirikan solat dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

Wallahu‘Alam.