#196: Solat dalam Kereta Api dan Kiblatnya

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Saya selalu menaiki keretapi seperti ETS (Electric Train Service) untuk perjalanan jarak jauh. Saya ingin bertanya tentang hukum solat di atasnya dan bagaimana untuk menentukan arah kiblat ketika solat semasa keretapi sedang bergerak? Mohon pencerahan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Perkhidmatan rel merupakan salah satu pilihan terbaik dalam pengangkutan awam disebabkan sifatnya yang efektif dalam mengangkut penumpang tanpa perlu berhadapan dengan kesesakan jalanraya. Ia juga dapat menjimatkan masa kerana kelajuan yang dimilikinya.

Kereta api merupakan sejenis kenderaan yang terdiri daripada bebe­rapa buah gerabak yang dirangkaikan dan berjalan di atas landasan rel.[1] Landasan kereta api selalunya terdiri daripada rel konvensional. Pada masa kini, sesetengah kereta api menggunakan sistem monorel[2] atau maglev[3]. Daya tujahan kereta api datang dari pelbagai sumber. Biasanya lokomotif atau unit dorong diri (self-propelled unit) digunakan.[4]

Menurut Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), terdapat sebelas (11) jenis kereta api di Malaysia iaitu monorel, MRT, KLIA Aerotrain, KTM Intercity, Electric Train Service (ETS), KTM Komuter, Skypark Link, KTM Kargo, Projek MRT Lembah Klang (KVMRT), Transit Aliran Ringan (LRT) dan KLIA Ekspress & Transit.[5]

ETS adalah singkatan untuk Electric Train Service (Perkhidmatan Tren Elektrik), merupakan perkhidmatan tren laju antara bandar di antara Penang Sentral, Butterworth dan Kuala Lumpur yang diperkenalkan oleh Keretapi Tanah Melayu pada 12 Ogos 2010. Terdapat 10 stesen yang berkhidmat sepanjang laluan ini iaitu tiga di Perak, dua di Selangor, tiga di Kuala Lumpur dan dua lagi di Negeri Sembilan.

Kelajuan operasi maksimum ETS adalah 145 km/jam, walaupun tren ETS direka untuk mencapai kelajuan 160 km/jam. Setiap tren boleh mengangkut maksimum 350 orang penumpang, dan terdiri daripada enam gerabak yang mencapai jumlah panjang 138 m dan berat 231.8 ton. Setiap gerabak 22.95 m panjang, 2.75 m lebar dan 4 m tinggi.[6]

Definisi Kiblat

Dari sudut bahasa, qiblat bermaksud arah (al-jihah) yang kita solat ke arahnya, dan menurut istilah syara’ ia difahami sebagai Kaabah secara mutlaq tanpa mengandungi maksud yang lain. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/142).

Tiada khilaf dalam kalangan fuqaha’ bahawa menghadap ke arah Kaabah merupakan syarat sah solat bagi yang berkemampuan. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 32/302).

 

Menghadap Kiblat Sebagai Syarat Sah Solat

Berdasarkan nas daripada kitab al-Fiqh al-Manhaji menyebut: “Apa yang dimaksudkan dengan kiblat ialah Kaabah, manakala menghadap kiblat bermaksud Kaabah berhadapan dengannya. Dalil bagi syarat ini ialah firman Allah SWT:

وَمِنْ حَيْثُ خَرَجْتَ فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ ۚ وَحَيْثُ مَا كُنتُمْ فَوَلُّوا وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُ

Maksudnya: Maka hadapkanlah mukamu ke arah Masjid al-Haram (Kaabah), dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya.”

(Surah al-Baqarah: 150)

Begitu juga hadith, Rasulullah SAW bersabda kepada orang yang diajarnya cara-cara bersolat:

إِذَا قُمْتَ إِلَى الصَّلاَةِ فَأَسْبِغِ الْوُضُوءَ، ثُمَّ اسْتَقْبِلِ الْقِبْلَةَ فَكَبِّرْ

Maksudnya: “Apabila engkau hendak bersolat berwudhu’lah dengan sempurna, kemudian menghadaplah ke kiblat dan bertakbir.”

Riwayat al-Bukhari (5897) dan Muslim (397)

Maksud Masjid al-Haram di dalam ayat dan maksud kiblat di dalam hadith tersebut ialah Kaabah…Orang yang melakukan solat sama ada berhampiran Kaabah yang dapat dilihatnya apabila dikehendaki atau jauh daripadanya yang tidak mungkin dilihat. Orang yang berhampiran dengan Kaabah wajib menghadap Kaabah tersebut dengan yakin manakala yang jauh dari Kaabah wajib menghadapnya dengan berpandukan petunjuk-petunjuk yang kukuh sekiranya tidak terdapat petunjuk yang pasti dan tepat.” (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/127-128).

Menghadap Kaabah itu yakni menghadap dengan dada, bukan dengan kepala bagi orang yang solat berdiri dan duduk; dengan kepala dan dada bagi orang yang solat baring atas lambung; dan dengan kepala dan hujung jemari kaki bagi orang yang solat dengan terlentang. (Lihat Kasyifah al-Saja, hlm. 197; al-Taqrirat al-Sadidah, hlm.200).

Bagi mereka yang jauh dari Kaabah atau mereka yang terhalang daripada melihat terus kepada Kaabah, tidak memudaratkan solat jika posisi agak ke kanan sedikit dan ke kiri sedikit daripada ain Kaabah, kerana itu adalah kesilapan yang tidak terlalu jauh, selagi mana tidak tersasar daripada arah Kaabah. (Lihat al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 1/217).

Dalam mazhab al-Syafi’i, cara-cara mengetahui kiblat mengikut susunan keutamaan itu ada empat, iaitu:

  • Ilmu pengetahuan sendiri yang meyakinkan, seperti orang yang celik melihat ain Kaabah atau orang buta yang memegang Kaabah.
  • Perkhabaran seorang yang terpercaya dengan pengetahuannya.
  • Ijtihad seperti menggunakan kompas dan seumpamanya.
  • Orang yang bertaqlid kepada ijtihad orang lain. (Lihat I`anah al-Talibin, 1/145).

 

Hukum Solat di dalam Kenderaan

Secara umumnya, perbahasan berkenaan isu yang dikemukakan di atas juga hakikatnya mempunyai sedikit sebanyak asas seperti yang ditunjukkan oleh beberapa riwayat. Antaranya seperti yang ditunjukkan oleh sebuah hadis riwayat ‘Amir bin Rabi’ah beliau berkata:

 رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ عَلَى الرَّاحِلَةِ يُسَبِّحُ يُومِئُ بِرَأْسِهِ قِبَلَ أَيِّ وَجْهٍ تَوَجَّهَ وَلَمْ يَكُنْ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصْنَعُ ذَلِكَ فِي الصَّلَاةِ الْمَكْتُوبَةِ

Maksudnya: “Aku pernah melihat Rasulullah SAW dalam keadaan baginda sedang berada di atas haiwan tunggangan, baginda bertasbih dengan mengisyaratkan kepala baginda menghadap ke arah yang mana haiwan itu menghadap. Dan tidaklah baginda melakukan perkara sedemikian di dalam solat fardhu.”

Riwayat al-Bukhari (1097)

Berdasarkan hadis di atas, haiwan tunggangan merupakan kenderaan yang diguna pakai oleh masyarakat pada zaman terdahulu termasuklah pada zaman Rasulullah SAW. Maka kenderaan moden seperti kereta, kapal terbang, keretapi, sampan, dan seumpamanya turut memakai hukum yang sama dengan haiwan tunggangan.

Justeru, adalah dibolehkan untuk solat secara umumnya sekiranya seseorang itu berada di atas kenderaan. Namun, kategori solat yang manakah dimaksudkan di dalam hadis di atas ini. Adakah ia untuk solat fardhu ataupun merujuk kepada solat sunat sahaja?

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani apabila mensyarahkan hadis ini beliau meletakkannya di bawah “Bab Baginda Turun (dari Haiwan Tunggangan) untuk Solat Fardhu.”

Ini merupakan suatu isyarat yang menunjukkan bahawa solat yang boleh dilakukan dalam keadaan berada di atas atau dalam sesebuah kenderaan adalah solat sunat sahaja. Manakala untuk solat fardhu pula, para ulama menyatakan bahawa hendaklah seseorang itu turun dari haiwan tunggangannya untuk melaksanakannya. Dalam erti kata lain, tidak boleh untuk menunaikan sebarang solat fardhu dalam keadaan berada di atas haiwan tunggangan.

Ibn Hajar menukilkan pendapat Ibn Batthal dalam isu ini yang menyatakan: “Para ulama telah ijma’ akan pensyaratan hal ini (turun dari haiwan tunggangan) dan sesungguhnya tidak boleh bagi seseorang itu untuk menunaikan solat fardhu di atas haiwan tunggangan tanpa ada sebarang keuzuran.”

Beliau mengatakan lagi: “Perkataan ‘baginda bertasbih’ merujuk kepada solat sunat. Ini bersandarkan beberapa hadis yang menjadi sandaran kepada hal tersebut.” (Lihat Fath al-Bari, 2/667).

Kami bahagikan perincian berkenaan solat di dalam kenderaan  kepada dua noktah berikut yang berkaitan dengan jenis kenderaan yang digunakan:

Pertama: Solat di atas Kenderaan seperti Kereta Api atau Kapal Terbang

Dalam isu ini, adalah dibolehkan untuk seseorang itu solat di dalamnya sama ada untuk solat sunat atau solat fardhu sekalipun. Ini mengambil kira tempoh perjalanan yang panjang secara adatnya dengan menaiki kenderaan seperti ini, tambahan pula seseorang itu tidak ada cara untuk turun dari kenderaan seperti ini semata-mata untuk menunaikan solat melainkan hanya dapat turun sesampai sahaja kenderaan ini ke destinasi yang dituju. Maka ia jelas berbeza dengan konsep solat di atas haiwan tunggangan.

 

Kedua: Solat di atas Haiwan Tunggangan

Berkenaan solat di atas haiwan tunggangan seperti kuda dan unta, ia juga cukup mempunyai kesamaan yang jelas dengan kereta yang menjadi kenderaan moden pada hari ini. Ini kerana, seseorang yang menaiki kereta itu tidak menjadi kesukaran buat dirinya untuk berhenti dan keluar menunaikan solat di luar kereta yang dinaikinya itu. Hal ini mengambil kira suasana di negara kita yang begitu kondusif dalam menyediakan kemudahan tempat solat di kebanyakan tempat. Ini seperti surau-surau yang terdapat di kawasan Rehat dan Rawat (R&R), stesen minyak, dan selainnya untuk didirikan solat padanya.

 

Hukum Solat dalam Kereta Api

Oleh itu, berkenaan hukum solat di dalam keretapi maka tidak terpakai ke atasnya hukum solat di atas haiwan tunggangan seperti kuda dan unta. Ini membawa erti bahawa dibolehkan untuk seseorang itu menunaikan solat fardhu di dalam keretapi.

Meskipun begitu, kami nyatakan juga di sini bahawa perlu dibezakan keadaan tertentu seperti berikut:

  • Sekiranya perjalanan menaiki keretapi itu memakan masa yang panjang namun membolehkan seseorang itu untuk jamak ta’khir setibanya ke destinasi yang dituju, maka ini lebih memudahkan seseorang itu untuk solat dengan lebih selesa.
  • Namun jika perjalanannya panjang dan tidak boleh untuk melakukan jamak solat, dan sekiranya tidak solat juga di dalam keretapi akan menyebabkan solat itu terlepas, maka boleh untuk dilakukan solat di dalam keretapi.
  • Berkenaan isu kiblat pula, amatlah perlu bagi seseorang untuk menghadap ke arah kiblat ketika hendak menunaikan solat. Ini kerana, menghadap ke arah kiblat merupakan syarat sah bagi solat. Ia berdasarkan firman Allah SWT:

فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ المَسْجِدِ الحَرَام

Maksudnya: “Maka palingkanlah wajah kamu menghadap ke arah Masjid al-Haram.”

(Surah al-Baqarah: 144)

Kata al-Imam al-Qurtubi ketika menafsirkan ayat ini: Palingkanlah urusan wajah kamu menghadap ke arah sudut Masjid al-Haram iaitu ka’abah. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 2/148).

Namun ianya dikecualikan jika terdapat keuzuran untuk menghadap ke arah kiblat maka dibolehkan untuk menghadap arah yang paling hampir dengan kiblat. Namun jika ini juga tidak dapat dilakukan, maka kami syorkan agar solat tersebut diulang semula (i’adah) sekiranya masih berada di dalam waktu ataupun qadha sebaik sahaja sampai ke destinasi sekiranya sudah luput waktu.

Kesimpulan

Dalam isu di atas, kami nyatakan bahawa bahawa hukum menunaikan solat di dalam keretapi laju yang mengambil masa perjalanan yang panjang seperti ETS (Electric Train Service) adalah dibolehkan. Sekiranya seseorang itu merasakan kesukaran untuk solat di dalam keretapi tersebut dan membawa kepada terluputnya waktu solat, maka menurut mazhab Syafi’i, boleh untuknya menunaikan solat hormat waktu di dalam keretapi dan kemudiannya menunaikan solat qadha setibanya dia ke destinasi.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 5/1/2022 bersamaan 2 Jamadil Akhir 1443H

[1] https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=kereta+api&d=175768&

[2] Monorel merupakan sistem pengangkutan awam yang berasaskan landasan alang tunggal. Istilah ini juga digunakan bagi menerangkan landasan bagi sistem tersebut, serta kenderaan yang melaluinya. Istilah tersebut berasal daripada gabungan perkataan mono (tunggal) dan rel.

[3] Kereta api Maglev (magnetic levitation, terjemahan literal: pengapungan magnetik) ialah satu bentuk sistem pengangkutan yang menggunakan daya elektromagnet. Daya tersebut digunakan untuk mengapung, memandu dan memacu kenderaan (khususnya kereta api). Kaedah ini lebih laju dan senyap berbanding sistem-sistem pengangkutan awam beroda yang lain.

[4] https://ms.wikipedia.org/wiki/Kereta_api

[5] https://www.apad.gov.my/perkhidmatan-apad1/kereta-api1

[6] https://ms.wikipedia.org/wiki/KTM_ETS