Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah fakta ini betul iaitu, “It is the Sunnah to break the fast with dates. Prophet Muhammad (SAW) would usually break his fast with three dates.”? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Dalam menjawab persoalan ini, terdapat riwayat daripada Anas bin Malik bahawa:
كَانَ النَّبِيُّ ﷺ يُفْطِرُ قَبْلَ أَنْ يُصَلِّيَ عَلَى رُطَبَاتٍ، فَإِنْ لَمْ تَكُنْ رُطَبَاتٌ فَتُمَيْرَاتٌ، فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تُمَيْرَاتٌ حَسَا حَسَوَاتٍ مِنْ مَاءٍ
Maksudnya: “Rasulullah SAW berbuka puasa sebelum bersolat dengan beberapa biji rutab (kurma muda). Sekiranya tiada rutab, maka Baginda berbuka dengan beberapa biji tamar dan sekiranya tiada tamar, maka Baginda meneguk beberapa teguk air.”
Riwayat Tirmizi (696), Abu Dawud (2356) dan Ahmad (12676)
Ibn Ruslan menjelaskan, dalam hadith ini mengandungi keutamaan rutab (kurma muda) jika ada, berbanding dengan tamar (kurma). Daripada zahir hadith, disebutkan bahawa mesti tiga biji rutab, kerana tiga adalah bilangan paling sedikit bagi sesuatu yang dianggap jamak (banyak). Hal ini juga telah dinyatakan oleh sebahagian ashab kami, bahawa sunnah tidak akan tercapai tanpa tiga biji rutab. Seterusnya, berkenaan lafaz “قَبْلَ أَنْ يُصَلِّيَ” (Sebelum Baginda mendirikan solat) menunjukkan bahawa disunatkan bagi orang yang berpuasa untuk berbuka puasa terlebih dahulu sebelum menunaikan solat. (Lihat Syarh Sunan Abi Dawud, 10/356)
Oleh itu, jelaslah bahawa sunnah mengutamakan untuk berbuka puasa dengan rutab terlebih dahulu, jika ia ada. Ini juga adalah sebagaimana yang disebutkan oleh al-Mubarakfuri bahawa hadith di atas menjadi dalil yang menunjukkan bahawa disunatkan berbuka puasa dengan rutab. Sekiranya rutab tiada, maka berbukalah dengan tamar (kurma biasa) dan sekiranya tamar tiada, maka dengan meneguk air. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 3/311).
Terdapat hadith lain yang menyebutkan bahawa Nabi SAW suka untuk berbuka puasa dengan 3 biji tamar (kurma biasa). Ini juga adalah seperti mana yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A bahawa:
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُحِبُّ أَنْ يُفْطِرَ عَلَى ثَلَاثِ تَمَرَاتٍ أَوْ شَيْءٍ لَمْ تُصِبْهُ النَّارُ
Maksudnya: “Rasulullah SAW berbuka gemar berbuka dengan tiga biji tamar, atau dengan apa sahaja makanan yang tidak dimasak diatas api.”
Riwayat Abu Ya‘la (3305) dan sanad hadith ini dinilai sebagai dha‘if.
Imam al-Nawawi ada menyebutkan dalam kitabnya bahawa al-Ruyani berpendapat, disunatkan seseorang itu untuk berbuka puasa dengan tamar. Jika dia tidak mendapatinya, maka dia berbuka puasa dengan manisan lain. Jika dia tidak mendapatinya, maka dia berbuka puasa dengan air. (Lihat Raudhah al-Talibin, 2/368). Kemudian, Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa pandangan tersebut adalah syaz (ganjil) kerana pendapat yang sahihnya adalah Nabi SAW mendahulukan air terlebih dahulu jika Baginda tidak mendapati tamar tanpa perantaraan (tanpa mendahulukan manisan sebelum air). (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 6/363).
Seterusnya berkenaan bilangan rutab atau kurma yang dimakan pula, adakah bagi terhasilnya sunnah, mesti ia dimakan sebanyak tiga biji. Dalam hal ini, para ulama berbeza pendapat. Sebahagian ulama sebagaimana yang kami sudah nukilkan di atas sebelum ini menyatakan bahawa sunnah tidak akan tercapai tanpa tiga biji rutab. Manakala sebahagian ulama lagi berpendapat, tidak disyaratkan tiga biji, bahkan sunnah tercapai sekalipun tanpa tiga biji.
Pada asasnya, tidak ada riwayat yang sabit dalam sunnah bahawa Rasulullah SAW secara khusus berniat untuk berbuka puasa dengan rutab (kurma muda) atau tamar (kurma biasa) dalam bilangan ganjil. Oleh itu, memadai bagi seorang Muslim untuk mengikuti sunnah dengan berbuka puasa menggunakan rutab atau tamar tanpa perlu menghitung atau menetapkan jumlahnya (dalam bilangan yang tertentu).
Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin, tidak wajib — bahkan tidak juga sunnah — untuk seseorang berbuka puasa dengan bilangan ganjil: tiga, lima, tujuh, atau sembilan, kecuali pada hari raya, iaitu Hari Raya Aidilfitri. Sesungguhnya telah sabit riwayat bahawa Nabi SAW tidak berangkat untuk menunaikan solat pada Hari Raya Aidilfitri sehingga Baginda memakan beberapa butir kurma dalam bilangan ganjil. Selain daripada itu, tidak ada riwayat yang sabit menyatakan bahawa Nabi SAW secara khusus berniat untuk memakan kurma dengan bilangan ganjil. (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 11/2).
Meskipun begitu, sebahagian ulama berpendapat bahawa digalakkan (disunatkan) untuk menggunakan bilangan ganjil dalam semua perkara. Syeikh Soleh al-Fauzan pernah ditanya berkenaan, adakah penggunaan bilangan ganjil disyariatkan dalam semua perkara yang mubah seperti minum kopi dan sebagainya, atau hanya dalam perkara yang terdapatnya dalil menyebutkannya? Beliau menjawab secara ringkas bahawa penggunaan bilangan ganjil adalah baik dalam semua perkara. Sebagai contoh, dalam istijmar,[1] Nabi SAW menyelesaikannya dengan bilangan ganjil. Baginda juga memakan kurma muda dalam bilangan ganjil. Demikianlah, semua ucapan dan perbuatan dianjurkan untuk menggunakan bilangan ganjil kerana ia adalah sebahagian daripada sunnah.[2]
Begitu juga Syeikh ‘Abd al-Karim bin Abdullah al-Khudhair pernah ditanya berkenaan adakah seseorang boleh beribadah kepada Allah dengan menggunakan bilangan ganjil dalam hal-hal berkaitan makan, minum, dan lain-lain? Beliau menjawab dengan menyatakan bahawa benar, seseorang boleh beribadah dengan bilangan ganjil. Sebagai contoh, jika dia makan, dia boleh makan sebiji kurma, tiga biji, atau tujuh biji, kerana Allah menyukai bilangan ganjil.[3]
Terdapat riwayat daripada Ma‘mar, daripada Ayyub, daripada Ibn Sirin, daripada Abu Hurairah R.A, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:
إِنَّ اللَّهَ وِتْرٌ يُحِبُّ الْوِتْرَ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah itu ganjil (Esa) dan Dia menyukai bilangan ganjil.”
Kemudian, dinyatakan bahawa Ayyub menyebutkan, Ibn Sirin menyukai penggunaan bilangan ganjil dalam segala sesuatu, sehingga beliau makan pun dengan bilangan ganjil.
Riwayat ‘Abd al-Razzaq dalam al-Musannaf (4580)
Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami katakan bahawa pernyataan bahawa sunnah berbuka puasa dengan kurma adalah benar. Sebaik-baiknya didahulukan dengan berbuka puasa dengan kurma muda (rutab). Jika rutab tiada, berbukalah dengan kurma biasa, dan jika ia tiada, maka berbukalah dengan meneguk air.
Namun, tiada dalil khusus menunjukkan bahawa Nabi SAW berbuka secara konsisten dengan tiga biji kurma mahupun dengan bilangan yang ganjil melainkan pada Hari Raya Aidilfitri. Kami berpendapat bahawa perkara ini adalah luas (al-Amr Wasi‘) dan tidak menjadi masalah bagi sesiapa yang ingin melakukannya, ataupun tidak ingin melakukannya. Jika dia berbuka puasa hanya dengan sebiji kurma atau kurang dari tiga biji ataupun bukan dengan bilangan yang ganjil, maka terhasil pahala sunnah tersebut, insya-Allah. Bahkan dia juga boleh berbuka puasa dengan sekurang-kurangnya tiga biji kurma atau dengan bilangan yang ganjil sebagai mengambil jalan keluar daripada khilaf mereka yang mewajibkannya bagi terhasilnya sunnah tersebut.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا إِنَّكَ أَنتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ، وَتُبْ عَلَيْنَا إِنَّكَ أَنتَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui; dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.”
Nota Hujung:
[1] Beristinja’ dengan menggunakan bahan yang kesat seperti batu, tisu dan seumpamanya
[2] Lihat https://www.alfawzan.af.org.sa/ar/node/2370. Diakses pada 4 Disember 2024.
[3] Lihat https://ar.islamway.net/fatwa/53041/هل–يتعبد–لله–بالوتر–في–الأكل–والشرب–وغيره. Diakses pada 4 Disember 2024.