#7595: Membuat Tatu (Tattoo) Jambang di Muka

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum membuat tatu di muka? Saya pernah tengok satu video orang ini membuat tatu untuk kelihatan berjambang. Mohon pencerahan Dato.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi Tatu (Tattoo)

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, tatu ialah tanda pada badan yang dibuat dengan melarik dan mencucuk dan memasukkan warna, cacah.

Manakala Portal Rasmi MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia menyatakan, tatu adalah lukisan atau tanda kekal di atas kulit yang dibuat dengan menggunakan dakwat pigmen atau pewarna yang dimasukkan ke kulit melalui tusukan jarum ke lapisan dermis (lapisan kedua kulit). Dakwat dimasukkan ke dalam lapisan dermis kerana sel kulit di bahagian ini adalah stabil, oleh itu tatu akan menjadi kekal. Selain itu, tatu boleh dilakukan secara manual (menggunakan tangan) atau dengan menggunakan peralatan elektrik yang menggunakan sistem tiub dan jarum. Biasanya dengan menggunakan peralatan elektrik ini, jarum akan mencucuk kulit lebih kurang 3 mm dalam dan dakwat yang disimpan dalam tiub tersebut akan dimasukkan ke dalam lubang tusukan jarum tersebut. Biasanya, proses pembuatan tatu ini tidak menggunakan bius, oleh itu orang yang sedang ditatu mungkin akan berasa sakit semasa prosedur itu dijalankan. Begitu juga berkemungkinan akan berlaku pendarahan kecil di kawasan tusukan jarum tersebut.

Selain daripada itu, membuat tatu juga mempunyai risiko kesihatan. Di antaranya:

Jangkitan kuman: Memandangkan proses membuat tatu melibatkan kelukaan pada kulit, maka ia boleh menyebabkan jangkitan setempat pada luka tersebut. Gejala yang biasa berlaku adalah bengkak, sakit dan bernanah di kawasan tersebut.

Reaksi alahan: Alahan biasa berlaku di kawasan tatu terutamanya jika tatu tersebut menggunakan pewarna merah. Gejala yang mungkin berlaku adalah ruam gatal dan bengkak merah.

Walau bagaimanapun gejala yang lebih teruk mungkin berlaku seperti sukar bernafas, pengsan, bengkak mata dan sebagainya.

Pembentukan “granuloma” iaitu terdapat pembengkakan kronik berlaku pada kawasan yang telah mengalami jangkitan kuman.

Pembentukan keloid iaitu keadaan di mana parut tebal timbul di kawasan tusukan jarum tatu.

Jangkitan kuman bawaan darah:

Sekiranya peralatan yang digunakan untuk membuat tatu itu dicemari oleh darah yang telah dijangkiti virus Hepatitis C, Hepatitis B dan HIV, maka anda juga berisiko untuk mendapat jangkitan tersebut. Anda juga berisiko untuk mendapat jangkitan tetanus (kancing gigi) dari peralatan yang tercemar.

Hukum Membuat Tatu

Mencacah tatu pada badan termasuk dalam perkara yang diharamkan oleh syarak. Pengharamannya jelas menerusi hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A, beliau berkata:

لَعَنَ اللَّهُ الوَاشِمَاتِ والمــُوتَشِمَاتِ، والمــُـــتَنَمِّصَاتِ، والمــُـتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ، المــُـغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ

Maksudnya: “Allah melaknat wanita-wanita yang membuat tatu, yang meminta dilukiskan tatu, yang mencabut bulu-bulu wajah dan yang merenggangkan gigi untuk kecantikan, yang mengubah ciptaan Allah.”

Riwayat al-Bukhari (4886)

Hadith ini menunjukkan akan pengharaman semua perkara tersebut dan lafaz ‘laknat’ yang terdapat di dalamnya merupakan dalil bahawa ia termasuk dalam dosa-dosa besar. Selain itu, sebab kepada laknat itu turut dinyatakan dalam hadith melalui lafaz “المــُـغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ” iaitu sifat yang dikehendaki oleh orang yang membuat tatu, mencabut bulu wajah dan merenggangkan gigi. (Lihat Fath al-Bari, 10/373).

Al-Wasyimah ialah perbuatan  menusuk jarum ke dalam bahagian tubuh sendiri atau orang lain, sehingga darah mengalir, kemudian mengisi bahagian tersebut dengan al-kohol dan pewarna, sehingga ia menjadi hijau. Manakala al-Mutasyimah ialah orang yang meminta untuk dibuatkan tatu padanya.

Hadith ini menunjukkan bahawa perbuatan mengukir tatu adalam haram. Orang yang melakukannya atau meminta untuk dilakukan perkara tersebut adalah dilaknat. Laknat ini tidak berlaku kecuali melainkan pada perkara yang melibatkan dosa besar.

Al-Alusi menyatakan dalam kitabnya Bulugh al-Arb bahawa sesungguhnya tindakan membuat tatu adalah pandangan yang salah dan amalan yang sangat tercela; oleh itu, syariah Islam mengharamkannya dan menjadikannya sebagai perkara yang dilarang, kerana ia melibatkan perubahan ciptaan Allah. (Lihat Taudih al-Ahkam Min Bulugh al-Maram,5/374)

Dr. Yusuf al-Qaradhawi menyatakan, tatu akan mencacatkan muka dan kedua tangannya (yakni tubuh badannya) dengan warna-warna seperti biru dan lukisan-lukisan yang hodoh. Sebahagian masyarakat Arab terutamanya wanita meminta dibuatkan tatu pada sebahagian besar badan mereka. Begitu juga sebahagian penganut agama tertentu meminta dibuatkan tatu pada badan mereka yang melambangkan sembahan dan syiar agama mereka sebagaimana penganut agama nasrani membuat tatu lambang salib pada tangan dan dada mereka.

Tambahan lagi, membuat tatu adalah proses yang menyakitkan apabila dicucuk jarum pada bahagian tubuh yang mahu ditatu. Semua perkara tersebut mengundang laknat kepada sesiapa yang membuat tatu dan sesiapa yang meminta supaya dibuatkan tatu pada badannya. (Lihat al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hlm. 86).

Begitu juga Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Bil 1/2017-1438H yang bersidang pada 15 Februari 2017 bersamaan 18 Jamadil Awwal 1438H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali Ke-86 berkenaan Hukum Bertatu Mengikut Pandangan Islam dengan pindaan sighah seperti berikut:

  • Muzakarah telah memutuskan bahawa di dalam Islam hukum bertatu iaitu pembuat tatu dan orang yang meminta dibuat tatu adalah haram.
  • Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa orang yang telah bertatu wajib bertaubat dan menyesal serta menghilangkannya dengan menggunakan kaedah teknologi yang sedia ada kerana tempat yang ditatu itu adalah najis jika tidak mendatangkan sebarang kemudaratan.
  • Walau bagaimanapun, sekiranya ia mendatangkan kemudaratan pada diri dan nyawa, maka ia boleh dibiarkan dan dimaafkan. Bagi orang yang bertatu dan tidak sempat menghilangkannya setelah meninggal dunia, maka tatu tersebut tidak wajib dihilangkan kerana ianya akan menyeksa mayat tersebut.
  • Muzakarah juga berpandangan bahawa pihak berkuasa yang meluluskan lesen membuka premis membuat tatu perlu mengenakan syarat iaitu pemilik dan pekerjanya mestilah bukan beragama Islam di samping orang Islam dilarang sama sekali mencacah tatu di premis tersebut.

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan hukum mencacah/melukis tatu, tidak kira di bahagian tubuh mana sekalipun, hukumnya adalah haram. Bahkan, sebenarnya pada hakikatnya adalah perbuatan mencacatan kulit dan kawasan yang dicacah. Bukan itu sahaja, perbuatan mencacah untuk membuat tatu mendedahkan kulit kepada risiko jangkitan dan memudaratkan pelakunya.

Firman Allah SWT:

وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke lembah kebinasaan.”

(Surah al-Baqarah: 195)

Ayat di atas bermaksud janganlah kamu menyerahkan diri kepada hal-hal yang menyebabkan kebinasaan, akan tetapi lakukanlah untuk diri kamu sebab-sebab yang boleh membawa kepada keselamatan. (Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir, hlm. 38)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”