Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, adakah dibolehkan untuk mewakilkan seseorang untuk melontar jamrah khususnya bagi warga emas dan wanita disebabkan kesesakan yang melampau ?Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan riwayat daripada Jabir R.A, katanya:
رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَرْمِي الْجَمْرَةَ وَهُوَ عَلَى بَعِيرِهِ وَهُوَ يَقُولُ: يَا أَيُّهَا النَّاسُ خُذُوا مَنَاسِكَكُمْ فَإِنِّي لاَ أَدْرِي لَعَلِّي لاَ أَحُجُّ بَعْدَ عَامِي هَذَا
Maksudnya: “Aku telah melihat Rasulullah SAW telah melontar dan Baginda di atas untanya lalu bersabda: “Wahai manusia, ambillah kerja-kerja haji kamu sesungguhnya aku tidak mengetahui apakah aku masih akan melaksanakan haji lagi selepas tahun ini”
Riwayat al-Nasa’i (3062)
Sesungguhnya ibadat haji yang merangkumi padanya tawaf, sa’ie, wuquf, bahkan melontar di jamrah semata-mata untuk menegakkan dan melaksanakan zikrullah. Daripada Aisyah R.Anha, katanya: Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّمَا جُعِلَ الطَّوَافُ بِالْبَيْتِ وَبَيْنَ الصَّفَا وَالْمَرْوَةِ وَرَمْىُ الْجِمَارِ لإِقَامَةِ ذِكْرِ اللَّهِ
Maksudnya: “Sesungguhnya dijadikan tawaf di Kaabah, sa’i antara Safa dan Marwah dan melontar di tiga jamrah semata-mata untuk melaksanakan zikrullah.”
Riwayat Abu Daud (1888), al-Tirmizi (902) dan Ahmad (24396)
Secara umumnya, di antara syarat melontar di jamrah adalah dengan melontar pada setiap jamrah itu sebanyak tujuh biji anak-anak batu. Kemudian batu-batu itu pula hendaklah dilontarkan satu persatu. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 494-497). Maka, jika bilangannya kurang daripada tujuh biji, lontaran di jamrah tersebut belum lagi dikira memadai.
Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa telah disepakati secara syarak bahawa asas dalam ibadah fizikal adalah tidak dibenarkan melakukan penggantian (niyabah) kecuali apa yang dikecualikan oleh syariat yang mulia, antaranya adalah haji; ia boleh digantikan untuk orang lain jika orang tersebut mempunyai uzur. Hal ini adalah berdasarkan hadith daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata:
كَانَ الفَضْلُ رَدِيفَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَجَاءَتِ امْرَأَةٌ مِنْ خَشْعَمَ، فَجَعَلَ الفَضْلُ يَنْظُرُ إِلَيْهَا وَتَنْظُرُ إِلَيْهِ، وَجَعَلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، يَصْرِفُ وَجْهَ الفَضْلِ إِلَى الشِّقِّ الآخَرِ، فَقَالَتْ: يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ فَرِيضَةَ اللَّهِ عَلَى عِبَادِهِ فِي الحَجِّ أَدْرَكَتْ أَبِي شَيْخًا كَبِيرًا، لاَ يَثْبُتُ عَلَى الرَّاحِلَةِ، أَفَأَحُجُّ عَنْهُ؟ قَالَ: «نَعَمْ»، وَذَلِكَ فِي حَجَّةِ الوَدَاعِ
Maksudnya: “Al-Fadhl membonceng tunggangan Rasulullah SAW, lalu datang seorang wanita daripada suku Khath‘am, lalu al-Fadhl melihat ke arah wanita tersebut, dan wanita itu melihat ke arahnya. Nabi SAW memalingkan wajah al-Fadhl ke sisi (arah) lain. Lalu wanita itu berkata: ‘Wahai Rasulullah, sesungguhnya Allah mewajibkan ke atas para hamba-Nya untuk menunaikan haji. Aku mendapati bapaku seorang yang sudah tua, sehingga tidak mampu untuk menunggang haiwan tunggangan. Adakah aku boleh melaksanakan haji untuknya?’ Baginda bersabda: ‘Ya (boleh).’ Demikian (perkara ini) berlaku ketika Baginda melaksanakan haji wada‘.”
Riwayat al-Bukhari (1513)
Hadith di atas mengandungi penjelasan bahawa dibolehkan untuk melakukan badal haji bagi orang yang masih hidup tetapi telah tua dan tidak mampu lagi untuk menunaikan fardhu haji dengan sendiri. Ini merupakan pendapat Ibn al-Mubarak dan al-Syafi‘i. Di samping itu juga, ia mengandungi penjelasan bahawa seorang perempuan boleh menunaikan fardhu haji untuk pihak lelaki atau perempuan dan begitulah juga sebaliknya. (Lihat Fiqh al-Sunnah, 1/637)
Jika haji secara umumnya boleh diterima sebagai penggantian, maka begitu juga dengan kewajipannya. Dalam hal ini, Imam al-Haramain al-Juwayni menyatakan dalam Nihayah al-Matlab fi Dirayah al-Mazhab (4/327): Dan di antara tujuan (haji) adalah jika seorang jemaah haji tidak mampu melempar batu sendiri, dia boleh menggantikan orang lain untuk melakukannya bagi pihaknya; kerana jika penggantian dibenarkan dalam perkara pokok haji, maka penggantian dalam aspek-aspek lain dari manasik haji tidaklah dilarang.
Begitu juga Dar al-Ifta’ al-Misriyyah dalam fatwannya menyatakan: Melantik wakil untuk melontar jamrah bagi orang tua, pesakit, dan wanita adalah dibenarkan secara syarak. Dalilnya adalah bahawa dibolehkan mewakilkan ibadah haji, maka mewakilkan lontaran jamrah lebih-lebih lagi dibenarkan, kerana ibadah haji merangkumi lontaran jamrah dan amalan-amalan lain. Ini merupakan rukhsah (keringanan) bagi mereka yang mempunyai uzur, dan tidak ada kesulitan ke atas mereka. Selain itu, mereka juga tidak diwajibkan membayar fidyah.[1]
Dalam isu ini, syarak membenarkan seseorang untuk mewakilkan individu lain melontar bagi pihaknya, terutamanya apabila menghadapi kesesakan yang melampau. Keringanan ini diberikan khususnya kepada golongan warga emas, wanita, dan individu yang uzur, bagi menjaga kesejahteraan dan keselamatan mereka. Tindakan ini selaras dengan prinsip maqasid syariah yang menitikberatkan pencegahan mudarat dan memastikan ibadah dapat dilaksanakan tanpa menjejaskan kesihatan atau menyebabkan bahaya kepada pelaksana. Allah SWT berfirman:
يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ
Maksudnya: “(Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.”
(Surah al-Baqarah: 185)
Menurut Syeikh al-Sa‘di, ayat ini bermaksud Allah menghendaki hal yang memudahkan bagi kamu jalan yang membawa kamu kepada keredhaan-Nya dengan kemudahan yang paling mudah dan meringankannya dengan keringanan yang paling ringan. Oleh kerana itu, segala perkara yang diperintahkan oleh Allah kepada hamba-hamba-Nya pada dasarnya adalah sangat mudah sekali, namun apabila terjadi suatu halangan yang menimbulkan kesulitan, maka Allah SWT akan memudahkannya dengan kemudahan lain iaitu dengan menggugurkannya atau menguranginya dengan segala bentuk keringanan. Namun, hal ini adalah sesuatu yang tidak mungkin dapat dibahaskan perinciannya, kerana perinciannya adalah keseluruhan syariat dan termasuk di dalamnya segala bentuk rukhsah dan keringanan. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/86)
Menurut pandangan Syeikh Uthaimin berkenaan isu ini, beliau menyatakan: Kesesakan yang teruk yang boleh menimbulkan risiko kepada keselamatan wanita, maka tidak dibenarkan mereka memasuki kawasan tersebut. Keadaan ini bukan sahaja membebankan mereka, tetapi juga boleh menyebabkan wanita tidak menyedari apa yang berlaku semasa melontar jamrah akibat tekanan kesesakan yang melampau. Sebagai contoh, jika seseorang berniat untuk menyelesaikan lontaran dalam dua hari dan melontar sebaik sahaja masuk waktu zohor untuk segera meninggalkan kawasan tersebut, situasi ini boleh menjadi berbahaya bagi wanita. Dalam keadaan seperti ini, adalah dibolehkan untuk mewakilkan orang lain melontar bagi pihak mereka tanpa sebarang kesalahan.
Namun begitu, dalam situasi yang tidak terlalu mendesak, seperti pada hari ke-11 Zulhijjah, wanita mempunyai kelonggaran untuk menangguhkan lontaran selepas waktu zohor ke waktu asar, malam, atau sehingga sebelum waktu subuh. Syariat memberikan kemudahan ini sebagai satu bentuk rahmat dan keluasan bagi umat Islam (Lihat Majmu’ Fatawa Ibn Uthaimin, 23/122)
Selain itu Dar al-Ifta’ al-Misriyyah dalam fatawanya menyebutkan bahawa: Kesesakan yang tidak dapat ditanggung secara kebiasaan dan menyebabkan kesulitan yang luar biasa dianggap sebagai alasan yang dibenarkan untuk mewakilkan lontaran jamrah. Dalam situasi seperti ini, orang yang mewakilkan tidak dikenakan dam menurut pandangan majoriti fuqaha.[2]
Kesimpulan
Syariat Islam memberikan kelonggaran dalam melaksanakan ibadah, termasuk membenarkan mewakilkan lontaran jamrah bagi mereka yang uzur, seperti warga emas, wanita, atau individu yang menghadapi kesesakan luar biasa. Prinsip ini selaras dengan maqasid syariah yang menekankan kemudahan, pencegahan mudarat, dan perlindungan keselamatan jemaah haji. Keizinan ini berpandukan kepada dalil-dalil daripada al-Quran, sunnah, dan pandangan ulama yang menunjukkan betapa syariat Islam mengambil kira keadaan semasa dan keupayaan individu dalam melaksanakan kewajipan agama. Justeru, pendekatan syariat yang bersifat murunah (fleksibel) ini memastikan umat Islam dapat melaksanakan ibadah tanpa menjejaskan kesempurnaan dan nilai ibadah tersebut.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنا حجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُورَةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ
Maksudnya: “Ya Allah! jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, sa’i kami sa’i yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”
Wallahua’lam
Nota hujung:
[1] Lihat https://www.dar-alifta.org/ar/fatawa/20820/%D8%AD%D9%83%D9% Diakses pada 5 Disember 2024
[2] Lihat https://www.dar-alifta.org/ar/fatawa/20820/%D8%AD%D9%83%D9%85- Diakses pada 5 Disember 2024