#7612:  Solat Bersendirian di Masjid

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum solat di masjid, tetapi tidak berjemaah kerana kekangan kerja?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Solat berjemaah amatlah dituntut oleh syara‘, sehinggakan para ulama terdahulu berselisih dalam menetapkan hukumnya, sama ada fardhu ‘ain atas setiap lelaki yang mukallaf atau fardhu kifayah. Kata Imam al-Nawawi, solat berjemaah itu merupakan fardhu ‘ain ketika Solat Jumaat, adapun pada solat fardhu yang lain terdapat beberapa pandangan:

  • Pertama: Ini adalah pandangan yang paling tepat di sisi beliau, iaitu fardhu kifayah.
  • Kedua: Berjemaah itu hukumnya sunat.
  • Ketiga: Hukum berjemaah adalah fardhu ‘ain.

Beliau juga mengatakan, antara ulama Salaf terdahulu yang berpegang dengan kewajipan berjemaah ini adalah ‘Ata’, al-Auza‘i, Ahmad, Abu Thaur dan Ibn al-Munzir. Mereka berpendapat berjemaah ini adalah fardhu ‘ain, tetapi ia tidaklah menjadi syarat sah solat. (Lihat Raudhah al-Talibin, 1/339; al-Majmu‘, 4/189)

Imam Ibn Qudamah al-Maqdisi juga antara yang berpegang dengan pendapat fardhu ‘ain ini. Katanya: “Berjemaah itu diwajibkan pada solat lima waktu, sepertimana diriwayatkan daripada Ibn Mas‘ud, Abu Musa, ‘Ata’, al-Auza‘i dan Abu Thaur.” Imam Ibn Rejab menyebutkan dalam kitab Fath al-Bari, antara mereka yang berpegang dengan kewajipan solat berjemaah sekiranya tidak ada sebarang keuzuran: al-Auza‘i, al-Thauri, al-Fudhail bin ‘Iyadh, Ishaq, Dawud, dan umum Ahli Hadith seperti Ibn Khuzaimah dan Ibn al-Munzir. Mereka juga berpendapat, sekiranya seseorang itu mendirikan solat secara bersendirian tanpa sebarang keuzuran, tidaklah diwajibkan untuk mengulangi semula solat tersebut (kerana ia bukan syarat sah solat). (Lihat al-Mughni, 2/130; Fath al-Bari, 4/11)

Akan tetapi, sekiranya berlaku seperti situasi yang disebutkan oleh saudara, fuqaha menghukumkannya sebagai makruh. Al-‘Allamah al-Mahamili al-Syafi‘i berkata, solat bersendirian di masjid pada waktu didirikan jemaah, hukumnya makruh.

Al-‘Allamah al-Zurqani al-Maliki pula menyebutkan, makruh bagi seseorang yang berada di masjid untuk bersolat bersendirian tanpa menyertai jemaah yang sedang mengerjakan solat di situ.

Al-‘Allamah Ibn ‘Abidin al-Hanafi juga menggambarkan suatu keadaan ketika mana seseorang mendirikan solat Zohor secara bersendirian di masjid. Apabila dia telah masuk ke rakaat ketiga, tiba-tiba iqamah dikumandangkan untuk solat berjemaah. Dalam situasi ini, lelaki itu perlu sempurnakan solatnya terlebih dahulu, kemudian sunat untuk dia masuk solat berjemaah pula. Perbuatannya solat bersendirian itu adalah makruh menurut mazhab al-Hanafi, bahkan ia hampir kepada haram. (Lihat al-Lubab, hlm. 94; Syarh al-Zurqani ‘ala Mukhtasar Khalil, 1/497; Radd al-Muhtar, 1/457-458)

Sebaik-baiknya, dirikanlah solat secara berjemaah sekiranya kita telah tiba di masjid. Sebagaimana kita mampu mengorbankan puluhan jam untuk hal keduniaan bagi tujuan mencari rezeki, maka berusahalah juga untuk mengorbankan 15 minit sahaja untuk solat berjemaah pada setiap waktu solat sebagai tanda kesyukuran kita kepada tuhan yang melimpahkan kita rezeki tersebut. Pengorbanan masa yang singkat ini bahkan diberikan lagi ganjaran pahala yang berlipat ganda dari Allah SWT.

Ini disebutkan dalam hadith Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

صَلاَةُ الرَّجُلِ فِي الجَمَاعَةِ تُضَعَّفُ عَلَى صَلاَتِهِ فِي بَيْتِهِ، وَفِي سُوقِهِ، خَمْسَةً وَعِشْرِينَ ضِعْفًا، وَذَلِكَ أَنَّهُ: إِذَا تَوَضَّأَ، فَأَحْسَنَ الوُضُوءَ، ثُمَّ خَرَجَ إِلَى المَسْجِدِ، لاَ يُخْرِجُهُ إِلَّا الصَّلاَةُ، لَمْ يَخْطُ خَطْوَةً، إِلَّا رُفِعَتْ لَهُ بِهَا دَرَجَةٌ، وَحُطَّ عَنْهُ بِهَا خَطِيئَةٌ، فَإِذَا صَلَّى، لَمْ تَزَلِ المَلاَئِكَةُ تُصَلِّي عَلَيْهِ، مَا دَامَ فِي مُصَلَّاهُ: اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَيْهِ، اللَّهُمَّ ارْحَمْهُ، وَلاَ يَزَالُ أَحَدُكُمْ فِي صَلاَةٍ مَا انْتَظَرَ الصَّلاَةَ

Maksudnya: “Solat seorang lelaki dalam jemaah digandakan pahalanya berbanding solatnya di rumah dan juga di pasar, sebanyak dua puluh lima kali ganda. Yang demikian itu adalah apabila dia berwuduk sehingga sempurna wuduknya, kemudian keluar menuju ke masjid, dia tidak keluar melainkan untuk mengerjakan solat, tidaklah dia melangkahkan kakinya melainkan Allah akan meninggikan darjatnya satu darjat dan menghapuskan kesalahannya. Apabila dia telah mengerjakan solat, malaikat masih lagi berselawat ke atasnya selagi mana dia berada di tempat solat, para malaikat akan sentiasa berdoa: ‘Ya Allah, cucurilah rahmat ke atasnya! Ya Allah, rahmatilah dia! Dan setiap seorang daripada kamu masih lagi dalam solat selagi dia menunggu untuk solat’.”

Riwayat al-Bukhari (647) dan Muslim (649)

Semoga Allah SWT melapangkan waktu kita, melimpahkan kita rezeki untuk mengabdikan diri kepada-Nya, serta meningkatkan lagi keimanan kita kepadanya dalam usaha memperkukuhkan amal ibadah. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahu a‘lam