#7613: Bersiwak Sebelum Solat

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah bersiwak disunatkan sebelum solat, sama ada solat fardhu atau sunat? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ

Maksudnya:Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.

(Surah al-Baqarah: 222)

Al-Baidhawi ketika menafsirkan ayat ini menyatakan, sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang bertaubat daripada dosa-dosa, dan Dia mencintai orang-orang yang menyucikan diri, iaitu mereka yang menjauhkan diri daripada perbuatan keji dan perkara yang kotor, seperti bersetubuh dengan wanita dalam keadaan haid dan melakukan hubungan di tempat yang tidak sepatutnya. (Lihat Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Ta’wil, 1/139).

Sebelum kita melanjutkan perbahasan dengan lebih lanjut, kami ingin nyatakan di sini secara ringkas takrifan bersiwak ini. Menurut Imam al-Nawawi, perkataan siwak (السِّوَاكُ) berasal daripada perkataan sāka (سَاكَ) yang bermaksud menggosok sesuatu. Namun ada pendapat lain yang menunjukkan bahawa ia berasal daripada perkataan tasāwuk (التَّسَاوُك) yang bermaksud condong atau berayun. Dikatakan, “جَاءَتْ الْإِبِلُ تَتَسَاوَكُ” iaitu unta-unta itu berjalan dalam keadaan atau dengan cara yang condong atau berayun dalam langkah mereka. Namun, pendapat yang lebih tepat adalah ia berasal daripada perkataan sāka, yang bermaksud menggosok.

Seterusnya dalam istilah para fuqaha’, siwak merujuk kepada penggunaan kayu atau seumpamanya pada gigi untuk menghilangkan perubahan (dari segi kebersihan atau warna gigi) dan yang seumpamanya. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/269-270). Begitu juga di dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (4/135-136) turut mendefinisikan bersiwak sebagai perbuatan menggunakan kayu siwak untuk membersihkan gigi dan mulut daripada kotoran.

Dr. Muhammad al-Zuhaili pula ketika menjelaskan berkenaan definisi siwak, beliau turut memberikan contoh alat yang biasanya digunakan bagi melakukannya pada masa kini. Beliau menyebutkan, siwak dari segi syarak adalah menggunakan kayu atau seumpamanya, seperti berus gigi pada masa kini, untuk membersihkan gigi dan kawasan sekitarnya seperti lidah dan gusi, bagi menghilangkan perubahan (warna atau bau) serta kesan makanan. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 1/59).

Seterusnya, berbalik kepada soalan yang diajukan, dinyatakan dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (4/139) mengenai perbezaan ulama mengenai hukum bersiwak sebelum solat. Berikut adalah perinciannya:

Pendapat pertama, dan ini merupakan pendapat ulama mazhab al-Syafi‘i. Mereka berpendapat bahawa bersiwak setiap kali sebelum solat, sama ada solat fardhu atau sunat adalah sangat digalakkan dan diberi penekanan (disunatkan). Walaupun setelah memberi salam setiap dua rakaat (yakni selesai menunaikan solat) dan waktunya (antara solat-solat itu) berdekatan.

Hal ini adalah berdasarkan kepada hadith bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَوْلَا أنْ أشُقَّ علَى أُمَّتي أوْ علَى النَّاسِ لَأَمَرْتُهُمْ بالسِّوَاكِ مع كُلِّ صَلَاةٍ

Maksudnya:Kalaulah tidak menyusahkan umatku nescaya aku akan perintahkan mereka bersiwak pada setiap solat.

Riwayat al-Bukhari (887)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani ada menukilkan pendapat Imam al-Syafi‘i bahawa hadith ini menyatakan bahawa  bersiwak sebelum solat  tidak wajib kerana sekiranya hukumnya adalah wajib nescaya Baginda SAW akan menyuruh umatnya bersugi sama ada ia menyusahkan atau tidak menyusahkan mereka. Kebanyakan ulama berpegang pendapat tersebut. Oleh itu, bersiwak hukumnya sunat yang digalakkan setiap kali sebelum solat fardhu mahupun solat sunat. (Lihat Fath al-Bari, 2/375-376).

Begitulah juga sekiranya seseorang terlupa untuk bersiwak, kemudian mengingatinya, dia disunatkan melakukannya walaupun dengan sedikit pergerakan, sebagaimana difatwakan oleh al-Walid. Menurut al-Ramli, pandangan ini jelas dan berbeza dengan pandangan al-Zarkasyi, kerana walaupun menahan diri daripada pergerakan dalam solat adalah dituntut, keutamaan bersiwak juga dituntut untuk solat, dan pelaksanaannya dalam solat masih memungkinkan.

Tidakkah kamu perhatikan bagaimana syarak menetapkan keharusan untuk menghalang orang yang melintas di hadapan ketika solat, menepuk tangan dengan syarat tertentu, dan menarik seseorang yang berdiri di sebelah kiri ke sebelah kanan, meskipun semua ini melibatkan pergerakan? Oleh itu, pendapat yang tidak membenarkan pelaksanaan (bersiwak) adalah tidak kuat. Pandangan yang lebih tepat ialah bersiwak tetap disunatkan untuk solat, walaupun seseorang telah bersiwak semasa wuduk, mulutnya tidak berubah keadaannya, dan selang waktu antara wuduk dan solat (atau antara satu solat dengan solat yang lain) adalah dekat. (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 1/181;  juga I‘anah al-Talibin, 1/58).

Pendapat kedua, dan ini merupakan pendapat ulama mazhab Hanafi. Mereka berpendapat, bersiwak disunatkan untuk wuduk dan bukannya untuk solat. Jika seseorang telah bersiwak semasa berwuduk, tidak disunatkan lagi baginya untuk bersiwak semula sebelum solat. (Lihat Hasyiah Ibn ‘Abidin, 1/113). Hal ini adalah berdasarkan hadith bahawa Nabi SAW bersabda:

لَوْلَا أنْ أشُقَّ علَى أُمَّتي لأََمَرْتُهُمْ بِالسِّوَاكِ مَعَ كلِّ وضوءٍ

Maksudnya: “Kalaulah tidak menyusahkan umatku nescaya aku akan perintahkan mereka untuk bersiwak bersama setiap wuduk.”

Riwayat Ahmad (9928); al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Ausat (1238); juga diriwayatkan oleh al-Bukhari secara mu‘allaq (tanpa sanad lengkap) dengan sighah (bentuk) jazam sebelum hadith (1934) dengan sedikit perbezaan lafaz. Al-Munziri dalam al-Targhib wa al-Tarhib (1/133) menyatakan, sanadnya hasan.

Syeikh Abdullah al-Bassam menyatakan, di antara faedah yang dapat diambil daripada hadith ini adalah bahawa hadith ini menguatkan atau menekan lagi akan galakkan (sunat) untuk bersiwak setiap kali berwuduk, dan ganjarannya hampir setara dengan ganjaran amalan yang wajib.

Begitu juga bersiwak ketika berwuduk atau sebelum melakukan ibadah lain tidaklah diwajibkan. Rasulullah SAW tidak mewajibkannya kepada umat Baginda kerana bimbang ia akan menyulitkan mereka. Sebab utama Baginda SAW tidak mewajibkan bersiwak adalah kerana kebimbangan bahawa umat Islam mungkin tidak dapat melakukannya, yang akhirnya boleh menyebabkan dosa kerana meninggalkannya. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 1/195).

Pendapat ketiga, dan ini adalah pandangan mazhab Maliki dan satu riwayat dalam mazhab Hanafi. Mereka berpendapat, bersiwak disunatkan untuk solat fardhu atau sunat, tetapi hanya jika jarak waktu antara bersiwak sebelumnya dan solat tersebut jauh/panjang berdasarkan ‘uruf. Dalam erti kata lain, sesiapa yang mengerjakan solat secara berturut-turut, maka tidak disunatkan untuk bersiwak bagi setiap solat selagi jarak waktu antara solat tersebut tidak terlalu jauh dari waktu bersiwak sebelumnya. Namun, jika tempoh antara dua solat itu dekat dan bersiwak telah dilakukan sebelumnya, maka tidak disunatkan untuk bersiwak semula. (Lihat Hasyiah al-Sawi ‘ala al-Syarh al-Saghir, 1/126).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada penjelasan di atas, jelaslah bahawa perkara ini termasuk dalam perselisihan dalam kalangan ulama. Kami berpendapat bahawa kita sangat digalakkan (disunatkan) dan dituntut untuk bersiwak bersiwak setiap kali sebelum solat, sama ada solat fardhu atau sunat, dan begitu juga sekalipun di antara solat-solat yang berdekatan dari segi jarak waktunya. Inilah pendapat yang dilihat lebih kuat sesuai dengan dalil yang menyebutkannya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْنَا مِنَ التَّوَّابِينَ، وَاجْعَلْنَا مِنَ الْمُتَطَهِّرِينَ،  وَاجْعَلْنَا مِنْ عِبَادِكَ الصَّالِحِيْنَ

Maksudnya: “Ya Allah, jadikan kami termasuk daripada kalangan orang yang bertaubat. Jadikanlah juga kami termasuk daripada kalangan orang yang bersuci. Dan jadikan juga kami termasuk daripada kalangan hamba-hambaMu yang soleh.”