#7620: Al-Quran Sebagai Penawar Ketika Suatu Musibah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Saya ada kucing yang dilanggar kereta dan tuannya membaca ayat 82 daripada Surah al-Isra’ untuk tujuan penawar dan ketenangan hati. Jadi soalannya, adakah ayat al-quran yang dipilih itu okay? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa al-Quran adalah mukjizat terbesar yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW. Ia bukan sahaja sebagai panduan hidup, tetapi juga sebagai penawar bagi jiwa dan tubuh manusia. Firman Allah SWT:

وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآنِ مَا هُوَ شِفَاءٌ وَرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya: “Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari al-Quran ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya.”

(Surah al-Isra’: 82)

Ayat ini menjelaskan bahawa al-Quran mengandungi elemen penyembuhan (syifa’) bagi jiwa dan tubuh, serta menjadi rahmat bagi orang-orang beriman. Para ulama seperti Qatadah menafsirkan bahawa ayat ini mendatangkan manfaat kepada orang beriman yang mendengarnya, menghafalnya, dan memerhatikannya. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 8/4014).

Selain itu, Ibn Kathir juga menjelaskan bahawa makna daripada surah al-Isra’ ayat 82 ini adalah bahawa al-Quran dapat menghilangkan segala penyakit yang ada di dalam hati, seperti syak (keragu-raguan), nifaq (kemunafikan), syirik (penyekutuan terhadap Allah), zaigh (زَيْغٍ – penyimpangan dari kebenaran), dan mail (مَيْلٍ – kecenderungan pada keburukan). Al-Quran dapat menyembuhkan segala penyakit tersebut. Al-Quran juga menjadi rahmat, kerana dapat menghasilkan atau mendatangkan keimanan, hikmah (kebijaksanaan), dorongan pada kebaikan, dan kegemaran untuk berbuat baik. Semua hal tersebut hanya dapat diraih oleh orang-orang yang beriman pada al-Quran, membenarkannya, serta mengikuti petunjuk yang ada di dalamnya. Demikianlah al-Quran menjadi syifa’ dan rahmat yang sebenar-benarnya (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 5/103).

Al-Syaukani dalam Fath al-Qadir (3/300) turut menjelaskan bahawa terjadi khilaf dalam kalangan ulama berkenaan makna syifa’ (dalam al-Isra’ ayat 82 tersebut) dengan dua pendapat:

Pendapat pertama: Al-Quran adalah penawar kepada hati dengan menghilangkan kejahilan daripadanya, menghapuskan keraguan, dan menyingkap tabir daripada perkara-perkara yang menunjukkan kepada Allah SWT.

Pendapat kedua: Al-Quran adalah penawar kepada penyakit-penyakit zahir melalui bacaan ruqyah, doa perlindungan, dan perkara seumpamanya. Tiada halangan untuk menafsirkan maksud syifa’(penawar) dengan kedua-dua makna tersebut, sama ada melalui makna umum secara majaz atau dengan menggabungkan kedua-dua makna yang dimaksudkan.

Allah SWT juga menyebut bahawa al-Quran adalah rahmat kepada orang-orang yang beriman kerana ia mengandungi ilmu yang bermanfaat yang mencakupi kebaikan untuk urusan agama dan dunia. Selain itu, pembacaan dan tadabbur al-Quran memberikan pahala yang besar, yang menjadi sebab turunnya rahmat, keampunan, dan keredhaan Allah SWT. Ayat ini serupa dengan firman-Nya yang lain:

 قُلْ هُوَ لِلَّذِينَ آمَنُوا هُدًى وَشِفَاءٌ ۖ وَالَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ فِي آذَانِهِمْ وَقْرٌ وَهُوَ عَلَيْهِمْ عَمًى

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Al-Quran itu, menjadi (cahaya) petunjuk serta penawar bagi orang-orang yang beriman; dan sebaliknya orang-orang yang tidak beriman, (al-Quran itu) menjadi sebagai satu penyakit yang menyumbat telinga mereka (bukan penawar); dan ia juga merupakan gelap-gelita yang menimpa (pandangan) mereka (bukan cahaya yang menerangi).’

(Surah Fussilat: 44).

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan serta dengan mengambil kira konteks dan situasi orang yang bertanya, kami berpendapat bahawa pemilihan untuk membaca ayat 82 daripada Surah al-Isra’ bagi memperoleh penawar dan ketenangan jiwa selepas menghadapi sesuatu musibah/peristiwa yang menyedihkan adalah dibolehkan dan sesuai. Apatah lagi, ayat itu sendiri menunjukkan kepada hal tersebut yakni menjadi penawar dan penyembuh kepada penyakit zahir dan batin seperti mana yang kami sudah jelaskan di atas. Selain itu, ia sejajar dengan sifat al-Quran sebagai penguat hati dalam menghadapi ujian.

Selain daripada itu, bacaan al-Quran mempunyai kesan psikologi yang positif terhadap pembacanya. Ini kerana al-Quran itu sendiri mengandungi zikrullah (mengingati Allah) yang dapat menenangkan hati, sebagaimana firman Allah SWT:

أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ

Maksudnya: “Ketahuilah dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia.

(Surah al-Ra‘d: 28)

Hal ini menunjukkan bahawa manfaat al-Quran bergantung kepada keimanan pembacanya. Oleh itu, jika seseorang membaca al-Quran dengan keikhlasan, ia bukan sahaja menjadi terapi emosi buat dirinya tetapi juga mendapat rahmat Allah SWT. Justeru, dengan keyakinan terhadap mukjizat al-Quran, ia boleh menjadi sumber kekuatan rohani bagi menghadapi cabaran hidup.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”