Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya selalu dengar orang kata, jamak solat itu adalah satu rukhsah. Apakah maksudnya?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Hukum syara‘ itu dapat dibahagikan kepada dua; al-‘azimah (العَزِيمَةُ) yang merupakan asal sesuatu sesuatu hukum itu, dan al-rukhsah (الرُّخْصَةُ) pula merujuk kepada keringanan pada hukum asal tersebut. Prinsip asas dalam semua hukum adalah berdasarkan al-‘azimah atau hukum asal, dan ia tidak akan berubah menjadi al-rukhsah atau keringanan melainkan dengan sebab-sebab tertentu, antaranya:
- Keperluan mendesak (الضَّرُورَةُ), seperti dalam membolehkan perkara yang dilarang.
- Adanya keuzuran yang menyebabkan kelonggaran untuk meninggalkan kewajiban.
- Mengangkat kesulitan (رَفْعُ الْحَرَجِ) kepada masyarakat, seperti dalam beberapa kontrak muamalat.
Oleh itu, al-‘azimah akan kekal pada hukum asalnya apabila tidak ada sebarang sebab-sebab dari syara‘ yang mengharuskan perubahan hukum tersebut, manakala al-rukhsah bergantung pada wujudnya sebab-sebab itu. (Lihat al-Wajiz fi Usul al-Fiqh al-Islami, 1/430)
Memahami konsep al-‘azimah dan al-rukhsah ini, maka usaha untuk memahami perbahasan jamak solat ini akan menjadi lebih mudah bagi masyarakat. Hukum asal penunaian solat itu mestilah berdasarkan al-‘azimah yang telah ditetapkan, iaitu pada waktunya. Ini jelas berdasarkan firman Allah SWT:
إِنَّ ٱلصَّلَوٰةَ كَانَتْ عَلَى ٱلْمُؤْمِنِينَ كِتَـٰبًۭا مَّوْقُوتًۭا
Maksudnya: “Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.”
(Surah al-Nisa’: 103)
Kemudian, Islam datang dengan membawakan al-rukhsah yang membenarkan suatu solat itu diawalkan (jamak taqdim) atau diakhirkan (jamak ta’khir) dalam beberapa keadaan tertentu. Antaranya, Allah SWT memberikan keharusan jamak di antara dua waktu solat dalam keadaan-keadaan yang tertentu seperti musafir, hujan, sakit dan seumpamanya. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِى ٱلدِّينِ مِنْ حَرَجٍ
Maksudnya: “Dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama.”
(Surah al-Hajj: 78)
Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa harus hukumnya menjamakkan di antara solat Zohor dengan Asar pada waktu yang dia suka, begitu juga solat Maghrib dengan solat Isyak menurut mazhab al-Syafi‘i, dan ini juga berdasarkan persepakatan ulama’. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/249)
Pada asasnya, harus menjamakkan di antara dua solat menurut mazhab al-Syafi‘i atas keuzuran-keuzuran tersebut:
- Musafir
- Hujan
- Ketika Hari Arafah. (Lihat Minhaj al-Talibin, 1/ 417-423)
Inilah pandangan yang muktamad di dalam mazhab al-Syafi‘i berkenaan sebab-sebab yang membolehkan untuk menjamakkan solat. Namun begitu, sebahagian daripada ulama’ bermazhab al-Syafi‘i dan sebahagian fuqaha’ mengharuskan jamak antara dua waktu solat selain dari sebab-sebab yang disebutkan, bagi tujuan mengangkat kesulitan yang dihadapi masyarakat.
Ini dinyatakan dalam hadith daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, katanya :
جَمَعَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم بَيْنَ الظُّهْرِ وَالعَصْرِ، وَبَيْنَ الْمَغْرِبِ وَالعِشَاءِ بِالمَدِينَةِ مِنْ غَيْرِ خَوْفٍ وَلاَ مَطَرٍ، قَالَ: فَقِيلَ لاِبْنِ عَبَّاسٍ: مَا أَرَادَ بِذَلِكَ؟ قَالَ: أَرَادَ أَنْ لاَ يُحْرِجَ أُمَّتَهُ
Maksudnya: “Rasulullah SAW menjamakkan di antara solat Zohor dengan Asar dan di antara solat Maghrib dengan Isyak di Madinah bukan kerana takut dan bukan kerana hujan. Lalu ditanya kepada Ibn Abbas: ‘Apa tujuan Baginda berbuat demikian?’ Ibn ‘Abbas menjawab: ‘Baginda tidak ingin menyusahkan umatnya’.”
Riwayat al-Tirmizi (187) dan al-Nasa’i (1574)
Al-Mubarakfuri menyatakan bahawa sesiapa yang ada keuzuran, maka diharuskan untuk dia menjamakkan solat. Manakala bagi mereka yang ada keuzuran akan tetapi tidak mahu menjamakkan solat, sehingga dia meninggalkan solat, maka dia berdosa tanpa syak lagi.
Syeikh al-Islam Taiyuddin Ibn Taymiyyah pula berkata, sebab dibolehkan jamak solat apabila terdapat keperluan atau keuzuran. Sekiranya seseorang itu perlu untuk melakukan jamak, maka dia boleh menjamakkan solat ketika musafir yang singkat atau panjang, begitu juga dibolehkan jamak ketika hujan dan seumpamanya, seperti sakit dan lain-lain dengan sebab yang tertentu. Tujuan dibenarkan jamak ini adalah untuk mengangkat kesukaran daripada umat ini. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 2/205; Majmu‘ al-Fatawa, 22/293).
Terdapat juga riwayat lain, sebagaimana yang disebut oleh Ibn ‘Abbas R.Anhuma, katanya:
صَلَّى رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم الظُّهْرَ وَالْعَصْرَ جَمِيعًا بِالْمَدِينَةِ، فِي غَيْرِ خَوْفٍ، وَلَا سَفَرٍ. قَالَ أَبُو الزُّبَيْرِ: فَسَأَلْتُ سَعِيدًا، لِمَ فَعَلَ ذَلِكَ؟ فَقَالَ: سَأَلْتُ ابْنَ عَبَّاسٍ كَمَا سَأَلْتَنِي، فَقَالَ: أَرَادَ أَنْ لَا يُحْرِجَ أَحَدًا مِنْ أُمَّتِهِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW telah menunaikan solat Zohor dan Asar secara jamak di Madinah dalam keadaan tiada ketakutan dan tidak bermusafir. Abu al-Zubair berkata: Aku telah bertanya Sa‘id: ‘Mengapa dilakukan sebegitu?’ Maka Sa‘id menjawab: Aku telah bertanya Ibn ‘Abbas soalan seperti yang kamu tanyakan, maka Ibn ‘Abbas menjawab: ‘Baginda menghendaki untuk tidak menyusahkan seorang pun dari ummatnya’.”
Riwayat Muslim (705)
Disebutkan juga bahawa Rasulullah SAW menjamakkan antara Zohor dan Asar, Maghrib dan Isyak di Madinah bukan dalam keadaan takut atau hujan. Ini berdasarkan riwayat daripada Abdullah bin ‘Abbas R.Anhuma, katanya:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم صَلَّى بِالْمَدِينَةِ سَبْعًا وَثَمَانِيًا: الظُّهْرَ وَالعَصْرَ وَالمَغْرِبَ وَالعِشَاءَ، فَقَالَ أَيُّوبُ: لَعَلَّهُ فِي لَيْلَةٍ مَطِيرَةٍ، قَالَ: عَسَى
Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW telah solat di Madinah 7 rakaat dan 8 rakaat (iaitu) Zohor dan Asar (8 rakaat), Maghrib dan Isyak (7 rakaat). Maka telah berkata Ayyub al-Sakhtiani: Boleh jadi ia pada malam yang hujan dan berkemungkinan boleh jadi.”
Riwayat al-Bukhari (543)
Hadith yang dinukilkan di atas menjadi asal atau hujjah bolehnya menjamakkan solat bagi orang yang bermukim. Ia diambil dari zahir hadith dengan mengatakan bolehnya menjamakkan solat sekiranya ada hajat keperluan, tetapi dengan syarat ia tidak dilakukan secara berterusan. Ini merupakan pendapat Ibn Sirin, Rabi‘ah, Asyhab, Ibn al-Munzir, al-Qaffal al-Kabir dan dihikayatkan oleh al-Khattabi daripada jamaah daripada ashab al-Hadith. Pandangan mereka ini dikuatkan lagi dengan zahir kalam Ibn ‘Abbas R.A pada hujung hadith: “Baginda menghendaki untuk tidak menyusahkan seorang pun dari ummatnya,” tanpa beliau menetapkan ‘illah jamak tersebut atas sebab sakit atau selainnya. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 5/219)
Sebahagian ulama’ hadith mengatakan bahawa ini adalah jamak al-suri (جَمْعُ الصُّورِي) (perlakuan solat tersebut nampak seakan-akan jamak), akan tetapi pendapat ini tertolak dengan ucapan perawinya sendiri iaitu: “Rasulullah SAW menghendaki untuk tidak menyusahkan seorang pun dari ummatnya.”
Dalam memahami hadith ini, tidak seharusnya diandaikan sebarang sebab lain selain dari apa yang telah zahir dikatakan oleh perawi itu sendiri, sedangkan kaedah telah menyebut:
أَنَّ الرَّاوِي أَدْرَى بِمَرْوِيِّهِ
Maksudnya: “Seorang perawi itu lebih tahu akan apa yang diriwayatkannya.”
Di dalam riwayat al-Bukhari, Ayyub al-Sakhtiyani mengatakan bahawa, boleh jadi peristiwa ini berlaku pada malam yang hujan dan ianya berkemungkinan seperti itu. Al-Hafiz Ibn Hajar mengatakan, andaian hujan ini juga merupakan pendapat Imam Malik sesudah beliau meriwayatkan hadith ini di dalam al-Muwatta’[1]. Ibn Hajar al-‘Asqalani mengkritik pendapat tersebut seraya berkata, hadith ini diriwayatkan oleh Muslim dan ashab al-Sunan daripada jalur Habib bin Abi Thabit daripada Sa‘id bin Jubair dengan lafaz: “tanpa ada rasa takut dan bukan kerana hujan”. Maka ternafilah solat jamak yang disebutkan itu dilakukan kerana ketakutan, musafir atau hujan.
Sebahagian ulama’ pula mengatakan boleh dijamakkan kerana sakit dan pendapat ini dikuatkan oleh Imam al-Nawawi namun ia perlu kepada penelitian semula. Hal ini kerana, sekiranya Baginda menjamakkan di antara dua solat disebabkan oleh kesakitan, nescaya tidak akan solat bersama Baginda melainkan mereka yang mempunyai keuzuran yang sama. Zahirnya, Baginda menjamakkan solat bersama dengan sahabatnya dan perkara itu telah dijelaskan oleh Ibn ‘Abbas R.Anhuma di dalam riwayatnya. (Lihat Fath al-Bari, 2/33)
Mantan mufti kerajaan Arab Saudi, Syeikh ‘Abd al-‘Aziz bin Abdullah Ibn Baz menyatakan ketika memberikan komentar kepada Fath al-Bari, hukum yang tepat mengenai hadith yang disebutkan adalah Rasulullah SAW menjamakkan solat-solat tersebut atas dasar kesulitan yang dihadapi pada hari itu, mungkin kerana penyakit yang dihidapinya, cuaca yang teramat sejuk, atau hal-hal lain yang serupa. Ini dikuatkan oleh kenyataan Ibn ‘Abbas ketika ditanya tentang sebab dijamakkan solat ini, lalu beliau menjawab: “Rasulullah SAW tidak mahu menyusahkan umatnya,” dan ini merupakan jawapan yang bagus, tepat lagi jelas. (Lihat Fath al-Bari, 2/24)
Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa terdapat golongan yang mentakwil keadaan itu berlaku pada keadaan awan mendung, kemudian Baginda solat Zohor dan selepas itu awan mendung hilang dan Baginda mendapati telah masuk waktu Asar, maka Baginda pun menunaikan solat Asar. Kemudian Imam al-Nawawi mengkritik pandangan ini dan menyatakan kebatilannya; kerana sekalipun terdapat serendah-rendah andaian pada waktu Zohor dan Asar, akan tetapi tidak ada andaian padanya waktu Isyak dan juga waktu Maghrib.
Dalam mazhab al-Syafi‘i, pendapat yang masyhur lagi muktamad bahawa jamak hanya pada safar yang jauh, ketika hujan dan ketika Hari Arafah. Adapun bagi orang yang sakit maka tidak boleh menjamakkan solat. Hal ini kerana faktor sakit adalah suatu yang tidak pasti sedangkan penetapan waktu solat adalah suatu yang thabit berdasarkan nas. Namun begitu Imam al-Nawawi dan beberapa ulama Syafi’iyyah yang lain seperti al-Qadhi Husain, Ibn Suraij, al-Ruyani, al-Mawardi, al-Darimi, dan al-Mutawalli menyokong pendapat yang membenarkannya. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 322)
Para ulama ini menyokong pendapat daripada mazhab Imam Ahmad bin Hanbal yang membenarkan jamak sekiranya terdapat keuzuran atau masyaqqah (kesukaran). Disebutkan oleh Imam al-Nawawi bahawa Imam al-Rafi‘i pernah menukilkan pendapat Imam Malik dan Imam Ahmad berkenaan keharusan untuk jamak solat disebabkan uzur sakit dan berlumpur. Ini juga dipegang oleh sebahagian ulama al-Syafi‘iyyah seperti Abu Sulaiman al-Khattabi dan al-Qadhi Husain, dan pendapat ini juga dianggap baik oleh al-Ruyani dalam kitab al-Hilyah. Imam al-Nawawi berkata, pendapat ini sangat kuat dan dalilnya adalah lafaz hadith Ibn ‘Abbas R.Anhuma yang berkata: ‘Rasulullah SAW menjamakkan solat di Madinah tanpa sebab ketakutan dan tanpa hujan.’ Hadith ini diriwayatkan oleh Muslim sebagaimana telah disebutkan sebelum ini. Wajah istidlal (cara pengambilan hukum) dari hadith ini ialah: Jamak ini sama ada disebabkan oleh penyakit atau sebab lain yang serupa atau lebih ringan daripadanya. Ini kerana keperluan orang yang sakit dan takut lebih besar daripada keperluan mereka yang terkena hujan.
Ibn al-Munzir al-Syafi‘i berkata, dibolehkan menjamakkan solat di tempat bermukim tanpa sebab ketakutan, hujan, atau sakit. Al-Khattabi menyebut perkara ini dalam Ma‘alim al-Sunan daripada al-Qaffal al-Kabir al-Syashi, daripada Abu Ishaq al-Marwazi. Al-Khattabi berkata: “Ini juga merupakan pendapat sekumpulan ulama hadith berdasarkan zahir hadith Ibn ‘Abbas R.Anhuma.” (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/383-384; 5/218)
Antara badan berautoriti fatwa yang memilih pendapat keharusan mendirikan solat jamak ketika terdapat hajat adalah Dar al-Ifta’ al-Misriyyah, sepertimana yang dijelaskan oleh Syeikh Dr. Syauqi Ibrahim ‘Allam. Menurut beliau, boleh untuk kita mengambil pandangan fuqaha’ lain dari kalangan al-Malikiyyah, al-Hanabilah dan sebahagian al-Syafi‘iyyah yang mengharuskan jamak solat bagi orang yang bermukim ketika adanya keperluan, tetapi ia mesti diikat dengan satu syarat; tidak menjadikannya sebagai adat kebiasaan.[2]
Kami akhiri dengan doa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.
Surah Ibrahim (40)
Nota hujung:
[1] Lihat al-Muwatta’, Kitab Qasr al-Solah fi al-Safar, hadith no. 480.
[2] Lihat https://www.dar-alifta.org/ar/fatawa/17293/بداية-جمع-الصلاة-وقصرها-للمسافر-والجمع-في-الحضر-للحاجة. Diakses pada 27 November 2024.