Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan berkenaan doa-doa yang boleh diamalkan ketika hujan?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Antara sunnah ketika hujan turun adalah seperti berikut:
- Disunatkan membaca doa yang diajarkan oleh Baginda SAW, antaranya:
- Diriwayatkan daripada ‘Aisyah R.Anha bahawa Rasulullah SAW apabila melihat hujan Baginda mengucapkan doa:
اللَّهُمَّ صَيِّبًا نَافِعًا
Maksudnya: “Ya Allah, cucurilah kami dengan hujan yang bermanfaat.”
Riwayat al-Bukhari (1032)
- Mengucapkan Rahmat sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah R.Anha bahawa Rasulullah SAW apabila melihat hujan Baginda akan mengucapkan:
رَحْمَةٌ
Maksudnya: “Ini adalah Rahmat ”
Riwayat Muslim (899)
- Mengucapkan:
مُطِرْنا بفَضْلِ اللَّهِ ورَحْمَتِهِ
Maksudnya: “Kami diberi hujan dengan kelebihan dan rahmat Allah”
Riwayat al-Bukhari (846) dan Muslim (71)
- Doa umum ketika turunnya hujan:
Ia termasuk waktu-waktu yang mustajab untuk doa, seperti yang disebutkan dalam hadith:
اطْلُبُوا اسْتِجَابَةَ الدُّعَاءِ عِنْدَ التِقَاءِ الْجُيُوشِ، وَإِقَامَةِ الصَّلَاةِ وَنُزُولِ الْغَيْثِ
Maksudnya: “Carilah waktu mustajab untuk berdoa ketika dua pasukan bertemu (di medan perang), ketika solat hendak didirikan, dan ketika hujan turun.”
Riwayat al-Baihaqi dalam Ma‘rifah al-Sunan wa al-Athar (2/12) dan dinilai sebagai sahih dalam Sahih al-Jami‘ (1026)
Begitu juga terdapat riwayat daripada Sahl bin Sa‘ad, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:
ثِنْتَانِ لا تُرَدَّانِ — أو : قَلَّما تُردّان —: الدعاءُ عندَ النداءِ، وعندَ البأسِ؛ حين يُلْحِمُ بعضهم بعضاً — زاد في رواية: وَوَقْتَ المطر —.
Maksudnya: “Dua keadaan di mana doa tidak akan ditolak — atau jarang sekali ditolak —: doa ketika azan dikumandangkan dan ketika suasana genting di medan perang, ketika mereka saling bertempur. — Dalam satu riwayat lain, terdapat tambahan: dan pada waktu hujan turun —.”
Riwayat Abu Dawud (2178); Al-Albani menyatakan, hadith ini sahih tanpa lafaz tambahan tersebut, dan ia telah disahihkan oleh Ibn Khuzaimah, Ibn Hibban, al-Hakim, dan al-Zahabi, begitu juga Ibn al-Jarud. Adapun lafaz tambahan (dalam hadith tersebut) adalah hasan. (Lihat Sahih Abi Daud, 7/294).
- Apabila hujan terlalu lebat dan dikhuatiri membawa mudarat.
Sekiranya hujan yang turun terlalu lebat dan dikhuatiri hujan yang lebat itu akan membawa mudarat, maka disunatkan untuk mengucapkan doa:
اللَّهُمَّ حَوَالَيْنَا، وَلاَ عَلَيْنَا، اللَّهُمَّ عَلَى الآكَامِ وَالجِبَالِ وَالآجَامِ وَالظِّرَابِ وَالأَوْدِيَةِ وَمَنَابِتِ الشَّجَرِ
Maksudnya: “Ya Allah, turunkanlah hujan di sekitar kami dan tidak di atas kami. Ya Allah turunkan hujan di atas bukit-bukit, kawasan pergunungan, kawasan hutan, bukit yang mendatar (yang rendah), lembah-lembah, dan tempat tumbuhnya pepohon.”
Riwayat al-Bukhari (1013)
- Disunatkan untuk mengucapkan doa ketika mendengar suara guruh dan petir
Hal ini adalah sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abdullah bin al-Zubair R.A bahawa apabila beliau mendengar guruh, beliau akan menghentikan percakapan dan mengucapkan:
سُبْحَانَ الَّذِي يُسَبِّحُ الرَّعْدُ بِحَمْدِهِ وَالْمَلَائِكَةُ مِنْ خِيفَتِهِ
Maksudnya: “Maha Suci Allah yang diucapkan tasbih oleh guruh dan malaikat dengan memuji-Nya, lantaran takut kepada-Nya.”
Riwayat Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf (1/3); al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (3/47); Imam al-Nawawi dalam al-Azkar (235) menilai sanadnya sebagai sahih.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ زَوَالِ نِعْمَتِكَ، وَتَحَوُّلِ عَافِيَتِكَ، وَفُجَاءَةِ نِقْمَتِكَ، وَجَمِيعِ سَخَطِكَ
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada hilangnya kenikmatan yang telah Engkau berikan, daripada berubahnya kesihatan yang telah Engkau anugerahkan, daripada seksa-Mu (bencana) yang datang secara tiba-tiba, dan daripada segala bentuk kemurkaan-Mu.”