#7626: Kadar Bilangan Jemaah Solat Jumaat

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan tentang perbezaan pandangan berkaitan kadar bilangan jemaah solat Jumaat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Secara asasnya, terdapat beberapa syarat yang disebutkan oleh para ulama yang menjadi syarat sah solat Jumaat. Antara syarat-syarat tersebut, ada yang mereka sepakati dan ada juga yang mereka berselisih mengenainya.

Di antara syarat sah solat Jumaat, ia hendaklah ditunaikan secara berjemaah. Dalam erti kata lain, kewajipan solat Jumaat hendaklah dilaksanakan secara berjemaah sebagaimana sabda Rasulullah SAW :

الْجُمُعَةُ حَقٌّ وَاجِبٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ فِي جَمَاعَةٍ إِلاَّ أَرْبَعَةً عَبْدٌ مَمْلُوكٌ أَوِ امْرَأَةٌ أَوْ صَبِيٌّ أَوْ مَرِيضٌ

Maksudnya: “Solat Jumaat merupakan satu hak kewajipan ke atas setiap orang Muslim untuk mendirikannya secara berjemaah, kecuali hamba yang dimiliki oleh tuannya, perempuan, kanak-kanak dan orang yang sakit.

Riwayat Abu Dawud (1067)

Menurut Ibn Ruslan, hadith di atas menjadi dalil bahawa antara syarat solat Jumaat ialah ia mesti didirikan secara berjemaah, kerana tidak dinukilkan daripada Nabi SAW, para khalifah al-Rasyidin selepasnya, atau sesiapa pun pada zaman mereka atau selepasnya bahawa solat Jumaat dilakukan secara bersendirian. (Lihat Syarh Sunan Abi Dawud oleh Ibn Ruslan, 5/504).

Ibn al-Munzir dalam al-Iqna’ berkata: “Solat Jumaat itu wajib secara berjemaah sama ada dalam jumlah yang sedikit ataupun ramai, dalam sesuatu Dar Iqamah berdasarkan zahir ayat (al-Quran).” (Lihat al-Iqna’, 1/105)

Kadar Bilangan Jemaah Solat Jumaat

Sekalipun, para ulama sepakat bahawa syarat sah solat Jumaat hendaklah dilakukan secara berjemaah. Namun, mereka telah berselisih pada kadar bilangan jemaah yang menjadi had penentuan sahnya solat Jumaat kepada beberapa pendapat.

Pendapat pertama: Menurut Abu Hanifah dan Muhammad al-Syaibani, bilangan minima jemaah solat Jumaat ialah empat orang termasuk Imam. Akan tetapi, al-Qadhi Abu Yusuf berpendapat bahawa bilangan jemaah solat Jumaat ialah tiga orang termasuk Imam. Ini juga adalah salah satu riwayat daripada Imam Ahmad dan pendapat sebahagian ulama salaf seperti al-Auza‘i dan Abu Thaur. Ini juga pendapat yang dipilih oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah, Mantan Mufti Besar Arab Saudi, Syeikh ‘Abd al-‘Aziz bin Abdullah bin Baz dan juga Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin. (Lihat Kanz al-Daqaiq, hlm. 189; Badai‘ al-Sanai‘ fi Tartib al-Syara’i‘, 1/268; al-Mughni, 2/243-244; al-Mabsut oleh Sarakhsi, 2/43; Mukhtasar Ikhtilaf al-‘Ulama’ oleh al-Tahawi, 1/330; al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/504; al-Ikhtiyarat al-Fiqhiyyah, hlm. 439; al-Syarh al-Mumti‘ ‘ala Zad al-Mustaqni‘, 5/41).

Di antara hujah yang dikemukakan oleh mereka yang berpegang dengan pendapat ini adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT:

 إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّهِ

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman, apabila diserukan azan untuk solat pada hari Jumaat hendaklah kamu bersegera ke arah mengingati Allah.”

(Surah al-Jumu‘ah: 9)

Lafaz “فَاسْعَوْا” dalam ayat di atas datang dalam bentuk jamak (plural), maka ia merangkumi tiga orang. (Lihat al-Mughni, 2/244).

Selain daripada itu, terdapat riwayat daripada Abu al-Darda’ R.A bahawa Nabi SAW bersabda:

مَا مِنْ ثَلَاثَةٍ فِي قَرْيَةٍ، وَلَا بَدْوٍ، لَا تُقَامُ فِيهِمُ الصَّلَاةُ إِلَّا قَدِ اسْتَحْوَذَ عَلَيْهِمُ الشَّيْطَانُ، فَعَلَيْكُمْ بِالْجَمَاعَةِ، فَإِنَّمَا يَأْكُلُ الذِّئْبُ الْقَاصِيَةَ

Maksudnya: “Tidak ada tiga orang dalam satu kampung atau pedalaman yang tidak didirikan solat di kalangan mereka melainkan syaitan akan menguasai mereka. Maka hendaklah kamu bersama jemaah, kerana sesungguhnya serigala hanya memakan (kambing) yang menyendiri.

Riwayat Abu Dawud (547); al-Nasa’i (847) dan Ahmad (21758). Imam al-Nawawi dalam al-Majmu‘ (4/182) menilai sanadnya sebagai sahih. Begitu juga Ibn al-Mulaqqin dalam al-Badr al-Munir (4/386) juga menilainya sebagai sahih. Manakala al-Albani  menilainya sebagai hasan dalam Sahih Sunan Abi Dawud(547).

Dapat difahami daripada hadith di atas bahawa sesungguhnya solat secara umum merangkumi solat Jumaat dan juga solat-solat lain. Jika terdapat tiga orang dalam satu kampung yang tidak mendirikan solat, maka syaitan akan menguasai mereka. Ini menunjukkan kewajipan solat Jumaat ke atas tiga orang tersebut. Tidaklah mungkin untuk kita mengatakan bahawa ia wajib ke atas tiga orang tetapi pada masa yang sama mengatakan ia tidak sah dilakukan oleh mereka. Ini kerana mewajibkannya ke atas mereka tetapi menyatakan ia tidak sah adalah suatu percanggahan. Maksudnya, kita memerintahkan mereka untuk melakukan sesuatu yang batil, sedangkan memerintahkan sesuatu yang batil itu adalah haram (dan bertentangan dengan prinsip syariat). (Lihat al-Syarh al-Mumti‘ ‘ala Zad al-Mustaqni‘, 5/40).

Tambahan lagi, terdapat riwayat daripada Abu Sa‘id al-Khudri, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

 إِذَا كَانُوا ثَلَاثَةً فَلْيَؤُمَّهُمْ أَحَدُهُمْ، وَأَحَقُّهُمْ بالإِمَامَةِ أَقْرَؤُهُمْ

Maksudnya: “Apabila terdapat tiga orang, salah seorang daripada mereka hendaklah menjadi imam bagi memimpin solat. Orang yang paling layak untuk menjadi Imam di antara mereka adalah yang paling baik penguasaannya terhadap al-Quran.

Riwayat Muslim (672)

Dalam hadith di atas, perintah Nabi SAW untuk melantik imam apabila mereka bertiga adalah umum, meliputi semua solat berjemaah termasuk solat Jumaat dan solat berjemaah yang lain. (Lihat Majallah al-Buhuth al-Islamiyyah, 35/317)

Selain daripada itu, ulama mazhab Hanafi berdalilkan bahawa:

لِأَنَّهُ عَدَدٌ يَزِيدُ عَلَى أَقَلِّ الْجَمْعِ الْمُطْلَقِ

Maksudnya: “Kerana ia merupakan bilangan yang melebihi had minima bagi kata jamak (plural).” (Lihat Badai’ al-Sanai’  fi Tartib al-Syarai’, 1/268 dan al-Nahr al-Faiq Syarh Kanz al-Daqaiq,1/360).

Bahkan, ini juga kerana tiga orang sudah dianggap sebagai bilangan minimum untuk dianggap sebagai jamak (plural), maka solat berjemaah sah dilakukan dengan bilangan tersebut. (Lihat al-Mughni, 2/244 dan al-Syarh al-Mumti‘ ‘ala Zad al-Mustaqni‘, 5/40).

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah ada menyatakan, solat Jumaat boleh diadakan dengan kehadiran tiga orang: seorang menyampaikan khutbah, dan dua orang mendengarnya. Ini merupakan salah satu pandangan yang diriwayatkan daripada Imam Ahmad, serta pendapat sebahagian ulama. Namun, ada yang berpendapat bahawa kewajipan solat Jumaat hanya terikat kepada kehadiran 40 orang, kerana tidak ada dalil yang sahih mewajibkannya ke atas jumlah yang kurang daripada itu. Solat Jumaat tetap sah dengan jumlah kurang daripada 40 orang, kerana ia merupakan peralihan kepada kewajipan yang lebih tinggi, seperti keadaan seseorang yang sakit, berbeza dengan musafir, kerana kewajipan bagi musafir hanyalah dua rakaat. (Lihat al-Ikhtiyarat al-Fiqhiyyah, hlm. 439).

Selain daripada itu, Syeikh ‘Abd al-‘Aziz bin Abdullah bin Baz turut menyebutkan, pendapat yang paling sahih dalam isu ini ialah pendapat yang menyatakan bahawa solat Jumaat sah dengan kehadiran tiga orang, berdasarkan beberapa alasan. Di antaranya ialah, hukum asalnya ialah kewajipan mendirikan solat Jumaat ke atas penduduk kampung dan bandar; maka tidak dibolehkan bagi mereka meninggalkannya kecuali dengan hujah yang kukuh, dan tiada alasan atau hujah yang kukuh untuk meninggalkan solat Jumaat bagi mereka yang mencapai bilangan ini. Selain itu, tiga orang adalah jumlah minimum bagi jamak (plural) dalam bahasa Arab, sedangkan penggunaan jamak (plural) kepada dua orang adalah bertentangan dengan penggunaan yang lazim dan masyhur dalam bahasa Arab. Oleh itu, adalah lebih wajar dan lebih berhati-hati dalam agama untuk membawa dalil-dalil syarak kepada maknanya  yang lebih lazim.

Adapun pendapat-pendapat yang lain tidak mempunyai hujah yang jelas dan kukuh yang mewajibkannya untuk dipegang atau dijadikan sandaran. Justeru, adalah wajib untuk meninggalkan pendapat tersebut dan berpegang kepada pendapat yang menghimpunkan dalil-dalil, membersihkan tanggungan (daripada tanggungjawab syara’), serta memberikan langkah berhati-hati bagi pencari kebenaran. Jika bilangan yang lebih daripada tiga orang merupakan syarat bagi mendirikan solat Jumaat, pastinya Nabi Muhammad SAW telah menegaskan perkara itu dan membimbing umat ke arahnya.

Maka, apabila tidak terdapat sebarang dalil yang menunjukkan perkara tersebut (bilangan lebih daripada tiga orang) sebagai syarat bagi mendirikan solat Jumaat, hal ini menunjukkan bahawa ia bukanlah syarat untuk mendirikannya. Adapun tiga orang, tidak perlu ditegaskan lagi kewajipan mendirikannya ke atas mereka, kerana mereka adalah bilangan minimum bagi sesuatu kumpulan (jamak atau plural). Bahkan nas dan ijma‘ telah menunjukkan bahawa solat Jumaat tidak didirikan kecuali secara berjemaah, dan tiga orang adalah bilangan minimum untuk sebuah jama‘ah, seperti yang telah dijelaskan sebelum ini. (Lihat Majmu‘ Fatawa Ibn Baz, 30/332).

Pendapat Kedua: Solat Jumaat sah didirikan dengan dua orang. Ini merupakan pendapat mazhab Zahiri dan sekelompok ulama salaf seperti Ibrahim al-Nakha‘i dan al-Hasan bin Soleh. Ini juga merupakan pendapat yang dipilih oleh al-Tabari dan al-Syaukani. (Lihat al-Muhalla, 3/249; al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/504; Bidayah al-Mujtahid, 1/158 dan Nail al-Autar, 3/276).

Ibn Hazm menyebutkan daripada Ibrahim al-Nakha‘i bahawa “Jika ada seseorang bersama Imam, maka mereka berdua solat Jumaat dua rakaat dengan khutbah.” Ini adalah pendapat al-Hasan bin Hayy dan Abu Sulaiman serta semua ashab kami. Ini juga pendapat yang kami berpegang dengannya. (Lihat al-Muhalla, 3/249).

Al-Syaukani juga ada menyatakan bahawa bagi mereka yang berpendapat bahawa solat Jumaat sah dengan bilangan jemaah dua orang. Mereka berdalilkan bahawa bilangan itu adalah wajib berdasarkan hadith dan ijma‘, namun mereka berpendapat bahawa tidak sabit dalil yang menunjukkan syarat bilangan tertentu. Sesungguhnya telah sah solat berjemaah dalam solat-solat lain dengan dua orang, dan tidak ada perbezaan antara itu dengan solat berjemaah, dan tidak ada nas daripada Rasulullah SAW yang menyatakan bahawa solat Jumaat tidak sah kecuali dengan bilangan tertentu. Jadi, pendapat ini adalah pendapat yang lebih kuat di sisinya. (Lihat Nail al-Autar, 3/276).

Selain itu, mereka yang berpegang dengan pendapat ini turut berhujah berdasarkan kepada ayat 9 dalam surah al-Jumu‘ah (seperti mana yang kami telah sebutkan di atas). Kemudian, menurut Ibn Hazm, tidak boleh sesiapa pun keluar dari perintah ini dan hukum ini kecuali jika ada nas yang jelas atau ijma‘ yang pasti mengenai pengecualiannya, dan hal itu hanyalah berlaku bagi individu yang tunggal sahaja. (Lihat al-Muhalla, 3/251).

Begitu juga terdapat riwayat daripada Malik bin al-Huwairith R.A, katanya:

 أَتَيْتُ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم أَنَا وَصَاحِبٌ لِي فَلَمَّا أَرَدْنَا الإِقْفَالَ مِنْ عِنْدِهِ قَالَ لَنَا: إِذَا حَضَرَتِ الصَّلاَةُ فَأَذِّنَا ثُمَّ أَقِيمَا وَلْيَؤُمَّكُمَا أَكْبَرُكُمَا

Maksudnya: “Aku datang kepada Rasulullah SAW bersama seorang sahabatku, dan apabila kami hendak beredar pergi dari sisi Baginda, Baginda SAW bersabda kepada kami: ‘Apabila masuknya waktu solat, maka azanlah dan laungkan iqamat, dan orang yang paling tua di antara kamu hendaklah menjadi imam.’

Riwayat al-Bukhari (2848) dan Muslim (674) dan lafaz hadith daripada Imam Muslim.

Menurut Ibn Hazm, berdasarkan kepada hadith di atas, dapat difahami bahawa Nabi SAW telah menjadikan atau menetapkan bilangan sebanyak dua orang mempunyai hukum jemaah dalam solat. (Lihat al-Muhalla, 3/251). Dalam erti kata lain, solat jemaah sah didirikan dengan hanya dua orang (iaitu seorang Imam dan seorang makmum).

Sementelahan lagi, dua orang sudah dianggap jama‘ah dan sudah dikira terhasilnya perhimpunan atau perkumpulan (ijtima‘). Sebagaimana yang diketahui bahawa solat berjemaah selain solat Jumaat boleh dilakukan dengan hanya dua orang berdasarkan kesepakatan ulama. Solat Jumaat pula adalah sama seperti solat-solat lain, maka sesiapa yang mendakwa bahawa solat Jumaat memerlukan sekurang-kurangnya tiga orang, dia perlu mendatangkan dalil atau bukti (yang menyokong kenyataannya itu). (Lihat al-Syarh al-Mumti‘ ‘ala Zad al-Mustaqni‘, 5/40).

Pendapat Ketiga: Manakala ulama mazhab Maliki menyatakan bahawa bilangan minima jemaah solat Jumaat ialah 12 orang lelaki yang bermastautin dan kekal bersama Imam dari awal khutbah sehinggalah selesai menunaikan solat Jumaat. (Lihat Mausu’ah al-Fiqh al-Islami wa al-Qadhaya al-Mu’asirah, 2/248-249)

Mereka berhujahkan dengan riwayat daripada Jabir bin Abdullah R.A yang mengatakan:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَخْطُبُ قَائِمًا يَوْمَ الْجُمُعَةِ. فَجَاءَتْ عِيرٌ مِنَ الشَّامِ فَانْفَتَلَ النَّاسُ. إِلَيْهَا حَتَّى لَمْ يَبْقَ إِلَّا اثْنَا عَشَرَ رَجُلًا. فَأُنْزِلَتْ هَذِهِ الْآيَةُ الَّتِي فِي الْجُمُعَةِ: ﴿وَإِذَا رَأَوْا تِجَارَةً أَوْ لَهْوًا انْفَضُّوا إِلَيْهَا وَتَرَكُوكَ قَائِمًا ﴾

Maksudnya:Bahawa Nabi SAW sedang menyampaikan khutbah Jumaat dalam keadaan berdiri. Tiba-tiba datang satu rombongan dagang dari Syam,  maka para jemaah telah bergegas ke arah rombongan itu sehingga tidak ada lagi yang tinggal bersamanya (mendengar khutbah tersebut) melainkan dua belas orang lelaki. Maka, turunlah ayat 11 surah al-Jumu‘ah.”

Riwayat Muslim (863)

Pendapat Keempat: Ulama mazhab al-Syafi‘i dan Hanbali pula meletakan syarat bilangan minima jemaah solat Jumaat ialah seramai 40 orang atau lebih. Ini juga adalah merupakan pendapat ‘Ubaidullah bin Abdullah bn ‘Utbah, dan salah satu riwayat Umar bin Abdul Aziz. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4/503; al-Umm, 1/219; dan al-Raudh al-Murbi’, hlm. 151)

Empat puluh orang lelaki tersebut mestilah memenuhi syarat wajib Jumaat (أهل الجمعة) iaitu lelaki, baligh dan bermastautin. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/202) Juga bilangan 40 orang itu hendaklah berkekalan dari awal hingga akhir Jumaat. (Lihat Matla’ al-Badrain, disusun oleh PMWP, 1/160-163)

Antara hujah mereka ialah riwayat daripada Abd al-Rahman bin Ka’ab bin Malik yang menyebutkan bahawa jumlah jemaah solat Jumaat yang pertama di Madinah ialah 40 orang lelaki. Beliau berkata:

كُنْتُ قَائِدَ أَبِي حِينَ ذَهَبَ بَصَرُهُ، فَكُنْتُ إِذَا خَرَجْتُ بِهِ إِلَى الْجُمُعَةِ فَسَمِعَ الْأَذَانَ اسْتَغْفَرَ لِأَبِي أُمَامَةَ أَسْعَدَ بْنِ زُرَارَةَ، وَدَعَا لَهُ، فَمَكَثْتُ حِينًا أَسْمَعُ ذَلِكَ مِنْهُ، ثُمَّ قُلْتُ فِي نَفْسِي: وَاللَّهِ إِنَّ ذَا لَعَجْزٌ، إِنِّي أَسْمَعُهُ كُلَّمَا سَمِعَ أَذَانَ الْجُمُعَةِ يَسْتَغْفِرُ لِأَبِي أُمَامَةَ وَيُصَلِّي عَلَيْهِ، وَلَا أَسْأَلُهُ عَنْ ذَلِكَ لِمَ هُوَ؟ فَخَرَجْتُ بِهِ كَمَا كُنْتُ أَخْرُجُ بِهِ إِلَى الْجُمُعَةِ، فَلَمَّا سَمِعَ الْأَذَانَ اسْتَغْفَرَ كَمَا كَانَ يَفْعَلُ، فَقُلْتُ لَهُ: يَا أَبَتَاهُ، أَرَأَيْتَكَ صَلَاتَكَ عَلَى أَسْعَدَ بْنِ زُرَارَةَ كُلَّمَا سَمِعْتَ النِّدَاءَ بِالْجُمُعَةِ لِمَ هُوَ؟ قَالَ: ” أَيْ بُنَيَّ، كَانَ أَوَّلَ مَنْ صَلَّى بِنَا صَلَاةَ الْجُمُعَةِ قَبْلَ مَقْدَمِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ مَكَّةَ، فِي نَقِيعِ الْخَضَمَاتِ، فِي هَزْمٍ مِنْ حَرَّةِ بَنِي بَيَاضَةَ، قُلْتُ: كَمْ كُنْتُمْ يَوْمَئِذٍ؟ قَالَ: أَرْبَعِينَ رَجُلًا “

Maksudnya: “Aku menjadi penuntun ayahku ketika penglihatannya hilang. Maka, apabila aku membawanya keluar untuk solat Jumaat, setiap kali dia mendengar azan, dia akan beristighfar untuk Abu Umamah, iaitu As‘ad bin Zurarah, dan mendoakannya. Aku terus mendengar perkara itu daripadanya untuk satu tempoh masa, sehingga aku berkata dalam hatiku: ‘Demi Allah, ini adalah satu kelalaian, kerana aku selalu mendengar dia setiap kali mendengar azan Jumaat, beristighfar untuk Abu Umamah dan berselawat untuknya, tetapi aku tidak pernah bertanya kepadanya mengapa dia berbuat demikian.’

Maka pada suatu hari, aku keluar bersamanya seperti biasa, membawanya ke masjid untuk solat Jumaat. Apabila dia mendengar azan, dia beristighfar seperti kebiasaannya. Lalu aku bertanya kepadanya: ‘Wahai ayahku, apakah sebabnya engkau sentiasa berdoa dan berselawat untuk As‘ad bin Zurarah setiap kali engkau mendengar panggilan azan Jumaat?’

Dia menjawab: ‘Wahai anakku, sesungguhnya dia adalah orang pertama yang mengimami solat Jumaat bersama kami sebelum ketibaan Rasulullah SAW dari Makkah. Perkara itu berlaku di Naki‘ al-Khadhamat, di kawasan Hizm di Harrah Bani Bayadhah.’

Aku bertanya kepadanya: ‘Berapa ramaikah kamu ketika itu?’ Dia menjawab: ‘Empat puluh orang lelaki.’”

Riwayat Ibn Majah (893) dan dinilai hasan oleh pengarang Sahih Ibn Majah

Begitu juga dengan riwayat yang disebut dalam Sunan Abi Dawud yang mana Abd al-Rahman bin Ka’ab bin Malik menjadi penuntun ayahnya setelah kehilangan penglihatan, daripada ayahnya, Ka‘ab bin Malik:

أَنَّهُ كَانَ إِذَا سَمِعَ النِّدَاءَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ تَرَحَّمَ ‌لِأَسْعَدَ بْنِ زُرَارَةَ، فَقُلْتُ لَهُ: إِذَا سَمِعْتَ النِّدَاءَ تَرَحَّمْتَ لِأَسْعَدَ بْنِ زُرَارَةَ، قَالَ: لِأَنَّهُ أَوَّلُ مَنْ جَمَّعَ بِنَا فِي هَزْمِ النَّبِيتِ مِنْ حَرَّةِ بَنِي بَيَاضَةَ فِي نَقِيعٍ يُقَالُ لَهُ: نَقِيعُ الْخَضِمَاتِ، قُلْتُ: كَمْ أَنْتُمْ يَوْمَئِذٍ، قَالَ: أَرْبَعُونَ

Maksudnya: “Apabila dia mendengar azan pada hari Jumaat, dia akan mendoakan rahmat untuk As‘ad bin Zurarah. Maka aku bertanya kepadanya: ‘Mengapa setiap kali engkau mendengar azan, engkau mendoakan rahmat untuk As‘ad bin Zurarah?’ Dia menjawab: ‘Kerana dialah orang pertama yang mengimami kami untuk solat Jumaat di Hizm al-Nabit, di kawasan Harrah Bani Bayadhah, di satu tempat yang dikenali sebagai Naki‘ al-Khadhamat.’ Aku bertanya: ‘Berapa ramai kamu ketika itu?’ Dia menjawab: ‘Empat puluh orang.’”

Riwayat Abu Dawud (1069) dan dinilai hasan oleh pengarang Sahih Abu Dawud

Selain itu, solat Jumaat adalah suatu kewajipan atau wajib ain bagi kaum lelaki yang memenuhi syarat-syaratnya iaitu beragama Islam, baligh, berakal, merdeka sepenuhnya (yakni bukan hamba), sihat tubuh badan dan bermukim di tempat solat Jumaat didirikan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/200-201).

Terdapat riwayat daripada Tariq bin Syihab R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

الْجُمُعَةُ حَقٌّ وَاجِبٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ

Maksudnya: “Solat Jumaat adalah hak yang wajib ke atas setiap lelaki Muslim.”

 Riwayat Abu Dawud (1067)

Menurut al-Khattabi, para fuqaha telah sepakat bahawa solat Jumaat tidak diwajibkan ke atas wanita. Adapun hamba, para ulama berbeza pendapat tentang mereka. Al-Hasan dan Qatadah berpendapat bahawa solat Jumaat diwajibkan ke atas hamba sekiranya mereka boleh keluar untuk menghadirinya. Pendapat ini juga dinyatakan oleh al-Auza‘i. Aku mengira bahawa mazhab Dawud (al-Zahiri) juga mewajibkan solat Jumaat ke atas hamba. Telah diriwayatkan daripada al-Zuhri bahawa beliau berkata: “Apabila seorang musafir mendengar azan, maka hendaklah dia menghadiri solat Jumaat.” Pendapat yang serupa turut diriwayatkan daripada Ibrahim al-Nakha‘i. Hadith ini menunjukkan bahawa kewajipan solat Jumaat termasuk dalam kewajipan fardhu ain. Ini adalah pendapat yang jelas dalam mazhab al-Syafi‘i. (Lihat Ma‘alim al-Sunan, 1/243)

Di samping itu, solat Jumaat yang dilakukan adalah tidak sah melainkan setelah memenuhi empat syarat yang berikut:

  1. Solat Jumaat hendaklah didirikan di dalam kawasan binaan, sama ada di bandar atau di kariah yang mempunyai penduduk yang bermustautin tidak kurang daripada 40 orang lelaki yang cukup syarat-syarat wajib mendirikan Jumaat.
  2. Bilangan Jemaah bagi solat Jumaat ialah tidak kurang daripada 40 orang lelaki yang memenuhi syarat wajib Jumaat (أهل الجمعة) iaitu lelaki, baligh dan bermastautin.
  3. Solat Jumaat hendaklah didirikan dalam waktu Zuhur.
  4. Jangan didirikan lebih daripada satu solat Jumaat pada satu tempat selagi ia boleh dilakukan demikian. Malahan mereka wajib berhimpun pada satu tempat. Namun harus berbuat lebih daripada satu tempat jika tempat tersebut tidak dapat menampung bilangan jemaah yang ramai. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/202-203).

Selain daripada itu, sebahagian ulama ada menyebutkan beberapa lagi syarat sah solat Jumaat selain daripada empat syarat di atas iaitu:

  • Tidak boleh mendahului atau serentak takbiratul ihram antara satu Jumaat dengan Jumaat yang lain dalam satu tempat kerana ditegah berbilang-bilang Jumaat pada satu tempat, kecuali ahli Jumaatnya ramai sukar untuk berhimpun di satu tempat.
  • Ditunaikan secara berjemaah hanya pada rakaat yang pertama dan berkekalan jemaahnya hingga selesai sujud kedua walaupun sekalian makmumnya mufaraqah daripada imamnya selepas sujud kedua pada rakaat pertama. Tetapi bilangan 40 orang adalah adalah disyaratkannya berkekalan dari awal hingga akhir Jumaat. Ahli jemaah yang mendapat satu rakaat bersama Imam dianggap sebagai mendapat Jumaat.

Hendaklah didahului dengan dua khutbah. (Lihat Matla‘ al-Badrain, disusun oleh PMWP, 1/160-163;al-Taqrirat al-Sadidah, 327-328; Nail al-Raja’ bi Syarh Safinah al-Naja, hlm. 156-158).

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.