#7642: Pemberian Zakat kepada Mangsa Banjir

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana hukum pemberian zakat kepada mangsa banjir?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Persoalan ini berbalik semula kepada bagaimana cara kita memahami firman Allah SWT:

إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ وَفِي سَبِيلِ اللَّـهِ وَابْنِ السَّبِيلِ ۖ فَرِيضَةً مِّنَ اللَّـهِ ۗ وَاللَّـهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ

Maksudnya: Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

(Surah al-Taubah: 60)

Ayat ini menunjukkan bahawa golongan yang berhak menerima zakat hanya lapan golongan sahaja. Jumhur fuqaha’ berpendapat tidak harus diberikan kepada selain daripada mereka yang dinaskan al-Qur’an iaitu lapan golongan ini.

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menyatakan bahawa zakat yang difardukan diberikan kepada lapan golongan tersebut. Huruf lam yang terdapat pada ayat tersebut membawa makna wajib. Zakat tersebut adalah khusus untuk lapan golongan ini sahaja dan tidak boleh diberikan kepada orang lain. Secara zahirnya, ayat ini membawa makna takhsis (pengkhususan) hak zakat kepada lapan golongan ini dan wajib untuk memberi hasil zakat kepada setiap golongan jika ada. Begitu juga, perlu menjaga kesamarataan di antara mereka kerana mereka berhak memperoleh hak yang sama. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 10/258)

Al-Khatib al-Syirbini pula menjelaskan bahawa ayat 60 daripada Surah al-Taubah ini berbentuk al-Hasr (pengkhususan) yang membawa makna hasil zakat tersebut tidak boleh diberikan kepada selain daripada lapan golongan ini. Bahkan, perkara ini telah berlaku ijmak padanya. Adapun perselisihan yang timbul adalah sama ada perlu mencari setiap daripada golongan tersebut untuk diberikan zakat.” (Lihat al-Iqna‘ Fi Hilli Alfaz Abi Syuja‘, 3/86)

Mazhab Syafi‘i menetapkan bahawa wajib dibahagi kepada semua golongan yang ada dalam kalangan asnaf yang berhak menerima zakat. Sedangkan mazhab yang lain memadai dengan sekumpulan daripada golongan yang berhak menerima zakat sahaja. Perkara ini juga difatwakan oleh Ibn Ajil dan al-Asba‘i serta ramai dalam kalangan ulama’ terkemudian kerana kesukaran dalam mencari kesemua lapan asnaf. Inilah yang disebutkan dalam kitab Bughyah al-Mustarsyidin (1/219).

Berbalik kepada isu di atas, perkara yang perlu difahami oleh kita adalah setiap mangsa kebiasaannya berada dalam keadaan yang amat memerlukan bantuan mengikut kadar kemusnahan yang dialami. Boleh jadi aset atau harta benda mereka ranap sebahagian kecil, sebahagiannya sahaja atau musnah keseluruhannya. Bahkan, berkemungkinan juga mangsa bencana terperangkap dan terkandas di luar kawasan kediamannya, atau kedudukan mereka jauh daripada harta miliknya sehingga menimbulkan kesukaran buat mereka untuk pulang ke tempat asal mereka. Oleh itu, jika diteliti, mangsa bencana atau banjir ini sebenarnya dapat dikaitkan dengan empat kategori asnaf bergantung kepada keadaan yang menimpa mereka iaitu asnaf fakir, miskin, yang berhutang dan musafir.

Kami perincikan keempat-empat golongan ini seperti berikut:

Pertama: Golongan Fakir dan Miskin

Terdapat pendapat menyatakan bahawa miskin itu lebih susah keadaannya daripada fakir. Ini adalah pendapat ulama mazhab Maliki dan masyhur di sisi ulama mazhab Hanafi. Pendapat yang lain pula menyatakan bahawa golongan fakir itu lebih susah keadaannya dan ini merupakan pendapat ulama mazhab Syafi‘i dan Hanbali. Terdapat juga pendapat yang menyatakan bahawa fakir dan miskin itu sama sahaja dan ini adalah pendapat Abu Yusuf al-Hanafi dan Ibn al-Qasim al-Maliki. Namun, pada hakikatnya pendapat ini menyelisihi jumhur. (Lihat Fiqh al-Zakah oleh Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, 2/10-12)

Adapun pendapat yang sering digunakan oleh kebanyakan pusat zakat di Malaysia ialah pendapat ulama mazhab Syafi‘i dan Hanbali yang mengatakan bahawa keadaan golongan fakir itu lebih susah daripada miskin. Oleh itu, definisi fakir dan miskin yang telah disepakati serta digunapakai dalam penentuan asnaf adalah seperti berikut:[1]

Fakir: Seseorang yang tidak mempunyai apa-apa harta atau pekerjaan atau menerima pendapatan dari sumber-sumber lain yang jumlahnya tidak sampai 50 peratus daripada keperluan harian dan keperluan tanggungannya dan tidak sampai 50 peratus daripada belanja hidup seseorang yang hidup sederhana dan orang-orang tanggungan.

Dalam erti kata lain, mereka ialah orang yang tidak mempunyai apa-apa harta atau pekerjaan, atau mempunyai pekerjaan (hasil usaha) atau harta tetapi tidak mencukupi untuk menampung keperluan makanan, pakaian dan kediaman, yang mana pendapatan yang diperolehi itu kurang daripada setengah jumlah keperluan yang ditanggungnya. Sebagai contoh, setiap bulan dia memerlukan sebanyak 500 riyal bagi menampung keperluan asasinya tetapi jumlah pendapatan yang diperolehi kurang daripada 250 riyal. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 423)

Miskin: Seseorang yang mempunyai pekerjaan atau hasil usaha yang hanya memenuhi sebahagian keperluan asasinya tetapi tidak mencukupi untuk menampung keperluan harian dan juga menampung orang-orang tanggungannya.

Dengan kata lain, jumlah pendapatan yang diperoleh mereka hanyalah melebihi sedikit daripada setengah jumlah keperluan yang ditangggung. Sebagai contoh, setiap bulan dia memerlukan sebanyak 500 riyal bagi menampung keperluan asasinya tetapi jumlah pendapatan yang diperolehi hanyalah 400 riyal. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 423)

Menurut pendapat yang sahih, kedua-dua golongan tersebut diberikan zakat yang mencukupi keperluan seumur hidup mereka mengikut jangka hayat yang biasa. Juga diberi perhatian, keinginan berkahwin adalah termasuk dalam perkara yang diambil kira ketika menilai keadaan dan keperluan hidup mereka. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/60-62)

Justeru, berdasarkan kepada pengertian yang diberikan ini jelaslah kepada kita bahawa memasukkan mangsa banjir sebagai asnaf fakir dan miskin mestilah memenuhi syarat-syarat yang melayakkan mereka tergolong di bawah kedua asnaf tersebut.

Lebih-lebih lagi Rasulullah SAW mengharuskan mereka yang ditimpa bencana seperti banjir besar dan seumpamanya membawa kepada kerosakan dan kemusnahan harta benda milik mereka untuk meminta zakat sehingga dia berkecukupan untuk bangkit semula meneruskan kehidupannya. Hal ini adalah sebagaimana diriwayatkan oleh Qabisah bin Mukhariq al-Hilali, beliau berkata:

تَحَمَّلْتُ حَمَالَةً فَأَتَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَسْأَلُهُ فِيهَا فَقَالَ: أَقِمْ حَتَّى تَأْتِيَنَا الصَّدَقَةُ فَنَأْمُرَ لَكَ بِهَا.‏ قَالَ: ثُمَّ قَالَ: يَا قَبِيصَةُ إِنَّ الْمَسْأَلَةَ لاَ تَحِلُّ إِلاَّ لأَحَدِ ثَلاَثَةٍ رَجُلٍ تَحَمَّلَ حَمَالَةً فَحَلَّتْ لَهُ الْمَسْأَلَةُ حَتَّى يُصِيبَهَا ثُمَّ يُمْسِكُ وَرَجُلٍ أَصَابَتْهُ جَائِحَةٌ اجْتَاحَتْ مَالَهُ فَحَلَّتْ لَهُ الْمَسْأَلَةُ حَتَّى يُصِيبَ قِوَامًا مِنْ عَيْشٍ – أَوْ قَالَ سِدَادًا مِنْ عَيْشٍ – وَرَجُلٍ أَصَابَتْهُ فَاقَةٌ حَتَّى يَقُومَ ثَلاَثَةٌ مِنْ ذَوِي الْحِجَا مِنْ قَوْمِهِ لَقَدْ أَصَابَتْ فُلاَنًا فَاقَةٌ فَحَلَّتْ لَهُ الْمَسْأَلَةُ حَتَّى يُصِيبَ قِوَامًا مِنْ عَيْشٍ – أَوْ قَالَ سِدَادًا مِنْ عَيْشٍ – فَمَا سِوَاهُنَّ مِنَ الْمَسْأَلَةِ يَا قَبِيصَةُ سُحْتًا يَأْكُلُهَا صَاحِبُهَا سُحْتًا.

Maksudnya: “Aku telah menanggung bebanan yang banyak lantas aku pergi mengadu kepada Rasulullah SAW. Maka Baginda bersabda: ‘Tetaplah kamu di sini sehingga datang kepada kami sedekah dan kami akan perintahkan supaya diberi kepadamu.’” Qabisah berkata: “Kemudian Baginda SAW bersabda: ‘Wahai Qabisah! Sesungguhnya meminta-minta tidak halal kecuali untuk tiga golongan sahaja. Lelaki yang menanggung bebanan, maka bolehlah baginya untuk meminta sehingga menyelesaikannya, kemudian menyimpannya. Lelaki yang ditimpa bencana sehingga binasa hartanya, maka bolehlah baginya untuk meminta sehingga mencukupi bagi dirinya dalam meneruskan sisa kehidupan atau menyelesaikan keperluannya, dan lelaki yang ditimpa kefakiran sehingga datang tiga orang lelaki yang berakal dan bermaruah daripada kaumnya mengiyakannya yang dia telah ditimpa kefakiran maka layaklah untuknya meminta sehingga menyelesaikan keperluan hidupnya. Wahai Qabisah! Selain daripada itu, meminta-minta itu dianggap sebagai haram dan memakannya juga adalah haram.’”

                                                                                                    Riwayat Muslim (1044)

Selain itu, Syeikh al-‘Azim Abadi juga ada menyatakan bahawa sesiapa yang ditimpa bencana ke atas harta bendanya sama ada dari langit atau bumi seperti cuaca sejuk yang melampau, banjirdan seumpamanya sehingga menyebabkan tidak ada apa-apa lagi harta yang tersisa baginya untuk meneruskan kehidupan, maka dibolehkan baginya untuk meminta — yakni zakat dan selainnya — sehingga dia memperoleh kecukupan dan menutup kesukarannya. (Lihat ‘Aun al-Ma‘bud, 3/36)

Oleh itu, dapat difahami daripada hadith Qabisah dan kenyataan di atas bahawa berkemungkinan mereka yang ditimpa bencana seperti banjir besar, puting beliung dan seumpamanya itu, telah menyebabkan mereka tergolong dalam kalangan miskin atau fakir kerana kemusnahan harta benda yang dialami, maka dalam hal ini tidak diragukan lagi mereka layak untuk meminta dan menerima zakat.

Justeru, kami katakan bahawa sesungguhnya banjir yang berlaku pada Disember 2021 di sebahagian tempat seperti Shah Alam, Hulu Langat, Mentakab, Karak dan sebahagian negeri yang lain amat menepati dengan maksud bencana banjir yang layak mendapat zakat sebagai asnaf fakir miskin seperti yang difatwakan oleh Syeikh al-‘Azim Abadi.

Kedua: Golongan Musafir (ibn al-sabil)

Lafaz ibn bermaksud anak, manakala al-Sabil bermaksud jalan. Maka, secara ringkasnya, ia bermaksud anak jalan. Lafaz ini merupakan satu kiasan terhadap orang yang selalu merantau atau bermusafir disebabkan mereka selalu berada di jalan bagi tujuan permusafiran tersebut. (Lihat Lisan al-‘Arab, 6/162-163)

Dalam mazhab Syafi‘i, Ibn al-Sabil ditakrifkan sebagai orang yang berada di suatu kawasan harta sedekah (zakat), dan dalam permusafiran yang bukan maksiat, namun dia tidak mampu untuk sampai ke destinasi melainkan diberi bantuan kepadanya. Jelas Imam al-Nawawi, terdapat dua golongan yang boleh dikategorikan sebagai Ibn al-Sabil. Pertama, anak watan atau bukan, atau orang yang bermukim di sesuatu tempat yang ingin memulakan perjalanannya. Kedua, orang asing yang terkandas dan tidak dapat meneruskan perjalanannya. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/214)

Mazhab Hanafi pula mendefinisikan Ibn al-Sabil sebagai orang asing yang terputus hartanya meskipun dia seorang yang kaya di tanah airnya. Ini disebabkan dia dianggap sebagai seorang fakir pada masa tersebut. (Lihat Badai‘ al-Sanai‘, 2/908)

Menurut Mazhab Maliki, Ibn al-Sabil adalah orang asing yang memerlukan harta bagi meneruskan perjalanan ke destinasinya. Ia mestilah bukan dalam perkara maksiat, dan dia tidak memiliki wang untuk menyara dirinya meskipun dia memilikinya di tanah air. (Lihat Hasyiyah al-Dusuqi, 1/498)

Berdasarkan beberapa kenyataan yang dinukilkan di atas, dapat difahami bahawa pada asasnya, Ibn al-Sabil adalah mereka yang terkandas atau menghadapi kesukaran dalam perjalanan disebabkan terputusnya bekalan, di mana jika disalurkan bantuan tersebut kepadanya, ia akan membantu mereka untuk sampai ke tempat yang dituju.

Dalam konteks mangsa banjir pada hari ini, mereka menghadapi terputus bekalan makanan dan minuman sama ada terkepung oleh air banjir atau dipindahkan ke Pusat Penempatan Sementara (PPS), meskipun sebahagian mereka bukanlah dalam kalangan fakir miskin. [2]

Hal ini juga selari dengan resolusi oleh Majma‘ al-Fiqh al-Islami al-Duwali yang menyatakan bahawa mangsa banjir perlu diletakkan dalam asnaf Ibn al-Sabil melalui bantuan kewangan dengan penubuhan tabung khas, sama ada di dalam negara atau luar negara.

Perkara ini disebut dalam Persidangan ke-18 pada 9-14 Julai 2007 bersamaan 24-29 Jamadil Akhir 1428H dalam resolusi bertajuk Memperkasakan Peranan Zakat dalam Membasmi Kemiskinan, Penyusunan Kutipan dan Agihan Zakat Berdasarkan Ijtihad Fiqh, no. 165 (3/18).[3]

Ketiga: Orang yang Berhutang (al-Gharimin)

Dalam hadith yang diriwayatkan daripada Qabisah bin Mukhariq al-Hilali sepertimana telah dinyatakan di atas, Baginda Nabi SAW antara lain bersabda:

وَرَجُلٍ أَصَابَتْهُ جَائِحَةٌ اجْتَاحَتْ مَالَهُ فَحَلَّتْ لَهُ الْمَسْأَلَةُ حَتَّى يُصِيبَ قِوَامًا مِنْ عَيْشٍ – أَوْ قَالَ سِدَادًا مِنْ عَيْشٍ

Maksudnya: “Lelaki yang ditimpa bencana sehingga binasa hartanya, maka bolehlah baginya untuk meminta sehingga mencukupi bagi dirinya dalam meneruskan sisa kehidupan atau menyelesaikan keperluannya.”

Riwayat Muslim (1044)

Sebahagian ulama menganggap bahawa ia adalah bencana yang menyebabkan harta benda mereka musnah dan memerlukan kepada bantuan serta berhutang sama ada untuk diri mereka atau keluarga mereka. Justeru, kebanyakan ulama memasukkan golongan seperti ini dalam asnaf al-gharimin iaitu orang yang berhutang. Sebahagian ulama mensyaratkan jenis hutang ini adalah yang bersifat darurat dan keperluan, bukannya untuk kemewahan atau berfoya-foya.

Oleh kerana itulah, kami menyatakan bahawa harus diberi zakat kepada golongan yang ditimpa bencana sama ada banjir besar, puting beliung, tanah runtuh, gempa bumi dan lain-lain yang menyebabkan rumah mereka musnah, tanaman mereka binasa, dan tidak ada lagi apa-apa yang mereka miliki. Sekalipun kemusnahan harta benda tersebut tidaklah sampai menyebabkan mereka jatuh miskin, tetapi mereka terpaksa menanggung bebanan hutang dan kepayahan untuk bangkit semula bagi meneruskan kehidupan. Mereka boleh dikategorikan sebagai golongan al-Gharimin yang berhak menerima zakat.

Tambahan pula, al-Qurtubi menyebutkan dalam tafsirnya bahawa zakat diberikan kepada dua golongan. Pertama, golongan yang berharta tetapi dalam masa yang sama mempunyai hutang keliling pinggang, maka diberikan zakat untuk melangsaikan hutangnya. Keduanya, golongan yang tidak berharta dan mempunyai hutang, maka diberikan zakat kepadanya melalui dua tabung asnaf iaitu “al-gharimin” dan “fakir miskin”. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 8/184)

Selain itu, jika dilihat kepada tafsiran ulama, antaranya Mujahid pernah menyatakan bahawa terdapat tiga golongan boleh dikategorikan sebagai al-gharimin iaitu:

  • Mereka yang hartanya dihanyut oleh banjir atau bah.
  • Mereka yang ditimpa kebakaran yang menyebabkan musnah hartanya
  • Mereka yang mempunyai tanggungan tetapi tidak mempunyai harta sehingga terpaksa berhutang bagi menunaikan nafkah kepada tanggungannya itu. (Lihat Musannaf Ibn Abi Syaibah, 3/97)

Justeru, pemberian zakat kepada mangsa banjir mengikut asnaf al-gharimin juga menepati kaedah syarak sepertimana yang dibahaskan di atas.

Tambahan lagi, al-Syaukani ada menyebutkan dalam tafsirnya bahawa Ibn Abi Syaibah, Ibn al-Munzir, Ibn Abi Hatim dan Abu al-Syeikh meriwayatkan daripada Abu Ja‘far mengenai firman Allah SWT: “وَالْغَارِمِينَ” iaitu orang yang berhutang kerana perkara darah atau berhutang kerana bencana yang menimpanya. (Lihat Fath al-Qadir, 4/715)

Kenyataan Mujahid ini adalah bertepatan dengan hadith sahih yang diriwayatkan oleh Qabisah sebagaimana yang telah disebutkan di atas.

Di samping itu, beberapa ulama lain turut memberikan fatwa dalam hal ini. Antaranya, Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi menyebutkan dalam kitabnya, bahawa mereka yang termasuk dalam kategori asnaf al-Gharimin ialah mereka yang dikejutkan dengan bencana alam sehingga habis binasa harta bendanya, lalu mereka terpaksa menanggung hutang bagi meneruskan kehidupan diri dan keluarga. (Lihat Fiqh al-Zakat, 2/623)

Begitu juga dengan Syeikh Prof. Dr. Husamuddin bin Musa Muhammad bin ‘Afanah,[4] Profesor Fiqh dan Usul daripada Universiti al-Quds, Palestin yang menyatakan  hukumnya adalah harus diberikan kepada golongan seperti ini dalam kitabnya Yas’alunaka ‘an al-Zakat (hlm. 132)

Syeikh Ali Muhyiddin al-Qurrah Daghi juga ada mengatakan bahawa termasuk dalam jenis asnaf al-Gharimin ialah mereka yang dikejutkan dengan bencana yang merosakkan lalu jatuhlah mereka ke dalam kebinasaan harta benda dengan sebab banjir, kebakaran dan seumpamanya. Beliau menukilkan pendapat Mujahid ketika mentafsirkan al-Gharimin di dalam al-Quran yang menyatakan, “Mereka yang terbakar rumahnya atau ditimpa musibah banjir sehingga musnah harta benda serta terpaksa menanggung hutang untuk menyara keluarganya.” (Lihat Buhuth Fi Fiqh al-Zakat al-Mu’asirah, hlm. 332)

Penutup

Kami berpendapat harus untuk memberi zakat kepada mangsa banjir, sebagaimana pendapat-pendapat yang telah dikemukakan. Kami juga cenderung untuk mencadangkan supaya hendaklah diberi melalui Baitulmal, di mana Baitulmal akan mengenalpasti golongan yang benar-benar terdesak dan memerlukan bantuan dengan membuat anggaran kerosakan yang ditanggung dan juga keperluan yang dihajati. Ini kerana, jika diberi secara langsung dengan kuantiti yang banyak, dibimbangi sebahagian sahaja yang memperolehnya sedangkan sebahagian yang lain tidak mendapat walaupun sedikit. Justeru, pasti rasa tidak selesa akan terwujud pada kebanyakan golongan yang ditimpa bencana yang tidak dapat apa-apa bantuan atau bantuan yang tidak mencukupi.

Selain itu, Baitulmal hendaklah menggerakkan tenaganya dengan seupaya mungkin bagi menyelesaikan kemelut tersebut dengan secepat mungkin kerana keperluan untuk hidup adalah bersifat segera.

Di samping itu, kami nyatakan juga beberapa syor seperti berikut:

Pertama, berdasarkan kajian ini, mangsa banjir berhak menerima zakat, bahkan sesuai dalam kategori asnaf fakir, miskin, al-gharimin dan ibn al-sabil. Inilah pandangan sebahagian besar fuqaha’ dan ahli fatwa serta badan-badan berautoriti.

Kedua, bagi mereka yang ingin berniat memberi bantuan zakat, disarankan agar menyampaikannya dalam bentuk wang kerana lebih menepati kehendak zakat dan memenuhi keperluan semasa yang melibatkan kos-kos baik pulih, pembangunan semula, dan segala kos berkaitan pasca-bencana.

Ketiga, jika barangan keperluan dan makanan hendak diberikan menerusi sumber zakat, maka hendaklah dipastikan barangan tersebut benar-benar diperlukan oleh mangsa banjir tersebut bagi mengelakkan berlakunya pembaziran atau sebarang bentuk kerugian ke atas harta zakat tersebut.

Keempat, jika pemberian dana zakat hendak disalurkan menerusi NGO, yayasan kebajikan dan seumpamanya, hendaklah dipastikan pertubuhan tersebut menggunakan sepenuhnya dana zakat untuk keperluan dan maslahat pasca-bencana serta tidak dibenarkan mengambil sebarang keuntungan daripada dana zakat.

Semoga jawapan ini dapat memberi pencerahan kepada yang bertanya dalam menyalurkan bantuan berupa zakat ataupun infaq yang lain bagi membantu saudara-saudara seIslam yang terbabit dalam bencana seperti banjir dan lain-lain.

Marilah kita akhiri perbincangan ini dengan sama-sama berdoa dan bermunajat kepada-Nya:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوْذُ بِكَ مِنْ جَهْدِ البَلَاءِ، وَدَرَكِ الشَّقَاءِ، وَسُوءِ القَضَاءِ ، وَشَمَاتَةِ الأَعْدَاءِ

Maksudnya: “Wahai Allah! Kami berlindung kepada-Mu daripada ujian yang berat, hinanya kecelakaan, buruknya takdir dan celaan para musuh (atas bala, ujian dan kecelakaan yang menimpa).”

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ زَوَالِ نِعْمَتِكَ، وَتَحَوُّلِ عَافِيَتِكَ، وَفُجَاءَةِ نِقْمَتِكَ، وَجَمِيعِ سَخَطِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada hilangnya kenikmatan yang telah Engkau berikan, daripada berubahnya kesihatan yang telah Engkau anugerahkan, daripada seksa-Mu (bencana) yang datang secara tiba-tiba, dan daripada segala bentuk kemurkaan-Mu.”

Nota hujung:

[1] https://www.maiwp.gov.my/i/index.php/en/2015-11-20-07-49-26/takrif-asnaf

[2] Lihat juga tulisan Golongan Mangsa Banjir di Malaysia: Antara Perluasan Tafsiran Asnaf Fi-Sabilillah dan Ibn al-Sabil oleh Mohd Anuar Ramli, Habibah Abdul Wahid, Mohammad Naqib Hamdan, dan Muhammad Izzul Syahmi Zulkepli, satu bab dalam buku Isu-isu Kontemporari dalam Zakat, Wakaf dan Filantropi Islam, hlm. 142.

[3] Lihat https://iifa-aifi.org/ar/2261.html

[4] Beliau juga merupakan bekas Anggota Majlis Kajian Ilmiah Universiti al-Quds, merangkap Anggota Sidang Editorial Majalah Huda al-Islam, dan Ketua Jawatankuasa Pengawasan Syariah Bank Islam Palestin.