Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan tentang kelebihan bagi sesiapa yang mendirikan solat Jumaat?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Solat Jumaat juga merupakan ibadat yang sangat agung dan mempunyai fadhilat yang banyak. Antaranya seperti berikut:
- Penghapus dosa.
Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
الصَّلَوَاتُ الْخَمْسُ، وَالْجُمْعَةُ إِلَى الْجُمْعَةِ، وَرَمَضَانُ إِلَى رَمَضَانَ، مُكَفِّرَاتٌ مَا بَيْنَهُنَّ إِذَا اجْتَنَبَ الْكَبَائِرَ
Maksudnya: “Solat fardhu lima waktu, (Sembahyang) Jumaat hingga ke Jumaat (seterusnya), Ramadhan hingga Ramadhan seterusnya adalah semuanya ini penebus dosa di antara keduanya selama mana tidak dilakukan dosa-dosa besar.”
Riwayat Muslim (209)
Dalam riwayat lain, daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:
الصَّلَاةُ الْخَمْسُ، وَالْجُمْعَةُ إِلَى الْجُمْعَةِ، كَفَّارَةٌ لِمَا بَيْنَهُنَّ، مَا لَمْ تُغْشَ الْكَبَائِرُ
Maksudnya: “Solat lima waktu, Jumaat kepada Jumaat berikutnya merupakan kaffarah (penghapus dosa) di antara keduanya selagi mana tidak melakukan dosa besar.”
Riwayat Muslim (233)
Imam al-Nawawi menyatakan setiap yang disebut di dalam hadith tersebut boleh menghapuskan dosa sekiranya terdapat dosa kecil untuk dihapuskan. Sekiranya tidak terdapat dosa kecil atau besar maka akan dicatat baginya kebaikan dan diangkat darjatnya. Sekiranya terdapat dosa besar dan tidak terdapat dosa kecil, mudah-mudahan perkara tersebut dapat meringankan dosa besar yang dilakukan. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 3/113)
- Ganjaran yang besar bagi mereka yang segera untuk menunaikan solat Jumaat.
Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:
مَنِ اغْتَسَلَ يَوْمَ الجُمُعَةِ غُسْلَ الجَنَابَةِ ثُمَّ رَاحَ، فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ بَدَنَةً، وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الثَّانِيَةِ، فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ بَقَرَةً، وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الثَّالِثَةِ، فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ كَبْشًا أَقْرَنَ، وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الرَّابِعَةِ، فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ دَجَاجَةً، وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الخَامِسَةِ، فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ بَيْضَةً، فَإِذَا خَرَجَ الإِمَامُ حَضَرَتِ المَلاَئِكَةُ يَسْتَمِعُونَ الذِّكْرَ
Maksudnya: “Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat (seperti) mandi janabah lalu segera pergi ke masjid, maka seolah-olah dia mengorbankan seekor unta. Sesiapa yang pergi pada masa yang kedua, seolah-olah dia mengorbankan seekor lembu. Dan sesiapa pergi pada masa yang ketiga, maka seolah-olah dia mengorbankan seekor biri-biri jantan yang bertanduk. Dan sesiapa yang pergi pada masa yang keempat, seolah-olah dia mengorbankan seekor ayam. Dan sesiapa yang pergi pada masa kelima, maka seolah-olah dia mengorbankan sebiji telur. Apabila imam telah keluar (untuk berkhutbah) maka para malaikat turut hadir mendengar peringatan tersebut (khutbah).”
Riwayat al-Bukhari (881), Muslim (850) dan Abu Dawud (351)
Syeikh Badruddin al-‘Aini berkata, Imam Malik berpendapat bahawa kalimah (السَّاعَةُ) itu merujuk kepada waktu-waktu selepas matahari tergelincir. Ini juga pandangan yang dipersetujui oleh al-Qadhi husain dan juga Imam al-Haramain al-Juwaini. Lafaz al-rawah (الرَّوَاحُ) atau ‘berangkat’ di sisi mereka lebih khusus selepas dari tergelincir matahari sahaja, dan mereka mengatakan ini adalah makna sebenar dari sudut bahasa.
Adapun majoriti ulama berpandangan, al-rawah (الرَّوَاحُ) atau ‘berangkat’ ini lebih umum, bermula dari awal pagi. Inilah yang disebutkan oleh Imam al-Syafi‘i dan Ibn Habib al-Maliki. Abu Mansur al-Azhari berkata, al-rawah (الرَّوَاحُ) di sisi orang Arab bermakna pergi, sama ada ia berlaku pada awal pagi atau pada waktu malam. Ini menjadikan majoriti ulama mentarjihkan bahawa kalimah (السَّاعَةُ) itu merujuk kepada waktu-waktu yang bermula dari awal pagi lagi. (Lihat Syarh Sunan Abi Daud, 2/173; Tahzib al-Lughah, 5/143)
- Setiap langkah menuju ke masjid diganjarkan seperti pahala orang berpuasa.
Ini disebutkan dalam sebuah hadith daripada Aus bin Aus R.A, katanya: Rasulullah SAW bersabda:
مَنِ اغْتَسَلَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ وَغَسَّلَ وَبَكَّرَ وَابْتَكَرَ وَدَنَا وَاسْتَمَعَ وَأَنْصَتَ كَانَ لَهُ بِكُلِّ خَطْوَةٍ يَخْطُوهَا أَجْرُ سَنَةٍ صِيَامُهَا وَقِيَامُهَا
Maksudnya: “Sesiapa yang mandi dengan sempurna pada hari Jumaat, pergi awal ke masjid dan tiba awal, dan berjalan kaki serta tidak menunggang ke masjid, duduk berhampiran dengan Imam, mendengar khutbah dan tidak berkata-kata yang sia-sia; maka setiap langkahnya ke masjid akan diberi ganjaran pahala setahun berpuasa dan solat malam.”
Riwayat al-Tirmizi (496)
Kami akhiri dengan doa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.