#7651:  Menemani Kawan Mengedarkan Dadah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, apakah hukum seseorang menemani kawan mengedarkan dadah walaupun dia bukanlah seorang pengedar? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan Firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ لَا يَشْهَدُونَ الزُّورَ وَإِذَا مَرُّوا بِاللَّغْوِ مَرُّوا كِرَامًا

Maksudnya: “Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang tidak menghadiri tempat-tempat melakukan perkara-perkara yang dilarang, dan apabila mereka bertembung dengan sesuatu yang sia-sia, mereka melaluinya dengan cara membersihkan diri daripadanya.”

(Surah al-Furqan:72)

Al-Sa‘di ketika menafsirkan ayat di atas beliau menyatakan: Mereka tidak hadir ke tempat-tempat yang melakukan perkara yang dilarang oleh Allah SWT  iaitu ucapan dan tindakan yang dilarang. Oleh kerana itu, mereka menjauhi semua majlis yang mengandungi perkataan atau tindakan yang dilarang  seperti berdebat dengan ayat-ayat Allah dengan perdebatan yang batil, bergosip, fitnah, menghina, mencaci, mencela, mengolok-olok, menyanyi, minum arak, menggunakan kain sutera, gambar-gambar, dan seumpamanya. Jika mereka tidak menghadiri tempat tersebut, maka lebih baik dan lebih utama bagi mereka untuk tidak mengucapkannya dan melakukannya. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm.587)

Bagi menjawab persoalan di atas, dapat ditegaskan bahawa Islam melarang seseorang daripada berada dalam majlis maksiat atau bersahabat dengan pelaku maksiat. Larangan ini bertujuan menjaga kehormatan hukum Allah dan mengelakkan individu daripada terpengaruh dengan akhlak buruk golongan tersebut. Seseorang yang kerap bergaul dengan pelaku maksiat, seperti pengedar dadah atau peminum arak, bukan sahaja berisiko mengikuti perbuatan mereka, malah boleh dianggap bersubahat dalam dosa yang mereka lakukan. Yang demikian sebagaimana firman Allah SWT:

لَّا تَجِدُ قَوْمًا يُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ يُوَادُّونَ مَنْ حَادَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ

Maksudnya: “Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih-mesra dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan Rasul-Nya ”

(Surah al-Mujadalah:22)

Imam Ibn Jarir al-Tabari ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan bahawa: Engkau tidak akan mendapati, wahai Muhammad, suatu kaum yang beriman kepada Allah dan membenarkan adanya hari akhirat, menunjukkan kasih sayang kepada mereka yang memusuhi Allah dan Rasul-Nya, menentang perintah-Nya, serta melanggar larangan-Nya. (Lihat Jami’ al-Bayan, 13/257)

Ini menunjukkan bahawa bergaul dengan golongan yang menyimpang daripada agama dan terlibat dengan perkara-perkara yang membawa kemusnahan ini adalah dosa besar, kerana Allah telah murka terhadap mereka dan majlis-majlis mereka.

Perkara tersebut juga ditegaskan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Musa al-’Asya’ri bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَثَلُ الجَلِيسِ الصّالِحِ والجَلِيسِ السَّوْءِ، كَمَثَلِ صاحِبِ المِسْكِ وكِيرِ الحَدّادِ لا يَعْدَمُكَ مِن صاحِبِ المِسْكِ إمّا تَشْتََرِيهِ أوْ تََجِدُ رِيحَهُ، وكِيرُ الحَدّادِ يُُحْرِقُ بَدَنَكَ أوْ ثَوْبَكَ، أوْ تََجِدُ منه رِيحًا خَبِيثَةً

Maksudnya: “Perumpamaan teman yang baik dan teman yang buruk adalah seperti penjual haruman kasturi dan tukang besi. Engkau tidak akan dapati daripada pemilik kasturi melainkan membeli wangiannya atau dapat mencium harumannya. Tukang besi pula percikan apinya terkena tubuhmu, pakaianmu atau engkau menghidu bau busuk daripadanya”.

Riwayat al-Bukhari (2101) dan Muslim (2628)

Hadith ini menjelaskan larangan bergaul dengan orang yang memudaratkan agama atau dunia, serta menganjurkan bergaul dengan mereka yang mendatangkan manfaat dalam kedua-duanya. Al-Raghib berkata: Hadith ini menunjukkan bahawa menjadi hak seseorang untuk berusaha sedaya upaya memilih berkawan dengan orang yang baik dan duduk bersama mereka, kerana pergaulan dengan orang baik dapat menjadikan seseorang yang jahat menjadi baik, sebagaimana pergaulan dengan orang jahat boleh menjadikan seseorang yang baik menjadi jahat. (Lihat al-Bahr al-Muhit al-Sajjaj fi Syarh Sahih al-Imam Muslim bin al-Hajjaj, 41/168)

Tambahan lagi, perbuatan mengedar dadah bukan sahaja salah di sisi undang-undang, bahkan ia juga diharamkan oleh syarak kerana ia membawa kepada kemudaratan yang besar kepada individu, keluarga, dan masyarakat. Firman Allah SWT:

وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ

Maksudnya: “Dan janganlah kalian mencampakkan diri kalian ke dalam kebinasaan dengan perbuatan tangan-tangan kalian sendiri.”

(Surah al-Baqarah: 195)

Al-Imam Tahir Ibn ‘Asyur berkata ketika menafsirkan ayat di atas dari sudut olah-gaya susunan ayat ini yang menzahirkan ketinggian maksudnya, kata beliau: “Terletaknya frasa kata kerja “mencampakkan diri kalian” pada konteks larangan memberikan makna yang umum dan luas mencakupi setiap perbuatan menjerumuskan diri sendiri ke dalam kebinasaan, iaitu: setiap perkara yang menyebabkan kehancuran dengan sengaja, maka hukumnya adalah dilarang dengan status hukum haram selagi mana tiada sebarang pemberat atau pendorong yang menghilangkan keharaman tersebut.” (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 2/215)

Oleh itu, seseorang tidak sepatutnya menemani atau bersekongkol dengan temannya dalam melakukan perbuatan yang bercanggah dengan syarak dan dilarang keras oleh agama. Tindakan sedemikian dianggap sebagai bersubahat dalam perkara yang tidak bermoral dan berdosa. Allah SWT menegaskan dalam al-Quran:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.”

(Surah al-Maidah: 2)

Ayat di atas menerangkan tentang larangan Allah SWT untuk melakukan perkara yang boleh dianggap tolong-menolong dalam perkara yang kemungkaran seperti meninggalkan suruhan Allah SWT, melakukan perkara yang dilarang serta segala bentuk yang boleh membantu ke arah kemungkaran dan maksiat. (Lihat Jami‘ al-Bayan, 9/490; Ma‘alim al-Tanzil, 2/9; Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/13-14)

Sebagai teman yang baik, seharusnya memikul tanggungjawab untuk menasihati dan melarang rakan daripada terlibat dalam perkara-perkara yang merendahkan akhlak sebagai seorang Muslim, apatah lagi dalam hal yang membawa kemusnahan kepada individu dan masyarakat. Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ

Maksudnya: “Sesiapa di antara kamu melihat kemungkaran, maka ubahlah ia dengan tangannya. Jika tidak mampu, maka dengan lisannya. Jika tidak mampu, maka membencinya di dalam hati. Ini adalah iman yang paling lemah.”

Riwayat Muslim (78)

Imam al-Nawawi menyatakan, kemungkaran itu tidak boleh didiamkan dan dibiarkan terus bermaharajalela. Kuasa perlu digunakan agar terhenti kemungkaran itu. Jika tidak terdaya bertindak dengan kuasa, maka dengan Iisan menerusi nasihat, peringatan atau perkataan yang sopan-santun, sekalipun kesannya dilihat agak lambat. Dan sekiranya masih tidak sanggup untuk berbuat sedemikian, maka cukuplah bahawa hati kita tidak terikut dan bersetuju dengan kemungkaran itu. Tindakan yang terakhir ini adalah suatu tanda bahawa iman kita sangat lemah, kerana hati itu hanya manfaat untuk diri kita sendiri, sedang pada pencegahan melalui perbuatan atau nasihat itu dapat memberikan manfaat buat diri kita dan masyarakat umum, sehingga menyebabkan kemungkaran itu terhenti dan tidak terus berlaku. (Lihat Riyadh al-Salihin, 1/123)

Kesimpulan

Islam menegaskan larangan bergaul dengan individu atau berada dalam majlis yang melibatkan maksiat kerana ia bukan sahaja berisiko mempengaruhi akhlak seseorang tetapi juga dianggap sebagai bentuk bersubahat dalam kemungkaran. Pergaulan yang buruk boleh membawa kemudaratan kepada individu, keluarga, dan masyarakat secara keseluruhan. Sebaliknya, Islam menggalakkan untuk bergaul dengan individu yang berakhlak mulia, yang dapat memberikan pengaruh positif, memperkukuhkan iman, dan mendatangkan manfaat dalam kehidupan dunia serta akhirat. Tanggungjawab setiap Muslim adalah menasihati dan menghalang rakan-rakan daripada terlibat dalam perbuatan yang bertentangan dengan syarak, termasuk perkara yang merosakkan moral dan membawa kebinasaan. Prinsip ini berlandaskan ajaran al-Quran dan hadith, yang menekankan pentingnya amar makruf nahi mungkar, yakni mendorong kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran, demi kesejahteraan individu dan masyarakat.

Kami katakan, pilihlah kawan yang baik kerana ia menjadi cerminan kepada seseorang. Benarlah hadith Nabi SAW, daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

الرَّجُلُ عَلَى دِينِ خَلِيلِهِ فَلْيَنْظُرْ أَحَدُكُمْ مَنْ يُخَالِلُ

Maksudnya: “Seseorang menurut agama teman karibnya. Maka hendaklah kalian melihat siapakah yang menjadi teman karibnya”.

Riwayat Abu Daud (4835) dan Tirmizi (2552)

Syeikh Syams al-Haq dalam syarahnya menyebutkan, lelaki iaitu manusia yang pada kebiasaannya berkawan akan mengikut kawannya dari segi perbuatan, perjalanannya, maka perhatikanlah dan selidikilah sesiapa yang kamu ingin berkawan. Sesiapa yang kamu redha tentang agama dan akhlaknya maka berkawanlah dengannya, sekiranya tidak, maka jauhilahnya. (Lihat ‘Aun al-Ma‘bud, 13/123).

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa.”

Wallahu‘alam