Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, apakah yang dimaksudkan dengan sabda Nabi SAW: “Sesungguhnya pada harta itu terdapat hak (untuk dikeluarkan) selain zakat? Adakah ini bermakna harta wajib dikeluarkan untuk perkara lain selain zakat yang diwajibkan? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
إِنَّ اللَّهَ اشْتَرَىٰ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ أَنفُسَهُمْ وَأَمْوَالَهُم بِأَنَّ لَهُمُ الْجَنَّةَ ۚ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَيَقْتُلُونَ وَيُقْتَلُونَ ۖ وَعْدًا عَلَيْهِ حَقًّا فِي التَّوْرَاةِ وَالْإِنجِيلِ وَالْقُرْآنِ ۚ وَمَنْ أَوْفَىٰ بِعَهْدِهِ مِنَ اللَّهِ ۚ فَاسْتَبْشِرُوا بِبَيْعِكُمُ الَّذِي بَايَعْتُم بِهِ ۚ وَذَٰلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar.”
(Surah al-Taubah: 111)
Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili berkata: Firman-Nya ‘إِنَّ اللَّهَ اشْتَرَىٰ’ adalah bentuk isti’arah penyertaan, di mana usaha mereka dengan jiwa dan harta, dan pemberian pahala usaha itu kepada mereka dengan balasan syurga disamakan dengan jual beli. Pada hakikatnya Allah SWT tidak mungkin membeli sesuatu kerana sesungguhnya Allah SWT adalah pemilik segala sesuatu. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 6/60)
Dalam menjawab bagi persoalan di atas, kami kemukakan terlebih dahulu hadith yang diriwayat daripada Fatimah binti Qais bahawa beliau berkata:
سألتُ – أو سُئِلَ – النبيُّ ﷺ عن الزكاةِ فقال: إنَّ فِي المَالِ لَحَقًّا سِوَى الزَّكَاةِ ثُمَّ تَلَا هَذِهِ الآيَةَ الَّتِي فِي البَقَرَةِ (لَيْسَ الْبِرَّ أَنْ تُوَلُّوا وُجُوهَكُمْ) الآية
Maksudnya: Aku bertanya -atau ditanya- kepada Nabi SAW berkenaan zakat lalu Baginda bersabda: “Sesungguhnya pada harta ada kewajiban/hak (untuk dikeluarkan) selain zakat.” Kemudian beliau membaca firman Allah Ta‘ala yang terdapat dalam surah Al-Baqarah, “Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat… (ayat)”
Riwayat al-Tarmizi (659)
“Hak” yang dimaksudkan ialah bahawa mencegah kemudaratan daripada umat Islam dan menghilangkan kesusahan mereka adalah fardhu kifayah ke atas umat Islam berdasarkan ijmak para ulama. Bahkan, ia juga merangkumi ahli zimmah dan musta’minin daripada kalangan bukan Islam, sebagaimana yang telah dinyatakan oleh ramai fuqaha. Hal ini kerana memenuhi keperluan fakir miskin dan rakyat dalam negara Islam adalah kewajipan yang mesti ditunaikan melalui harta golongan kaya sekiranya zakat, baitulmal, wakaf, sedekah jariah, kafarat, atau nazar tidak mencukupi. Syariat menetapkan bahawa golongan miskin mempunyai hak yang wajib dalam harta golongan kaya untuk memenuhi keperluan mereka, menutup kekurangan mereka, dan menghilangkan kesusahan yang mereka alami.[1]
Dinyatakan dalam al-Mafatih Syarh al-Masabih (2/540) bahawa: “Janganlah seseorang itu menghalang peminta (yang memerlukan), dan janganlah dia melarang orang lain meminjam barang-barang rumahnya, seperti periuk, mangkuk, dan seumpamanya. Selain itu, janganlah dia menghalang sesiapa daripada mendapatkan air, garam, dan api.”
Berkenaan dengan hadith di atas, al-Munawi juga menyebutkan bahawa: Membebaskan tawanan, memberi makan kepada orang yang dalam keadaan terdesak, memberi minum kepada orang yang kehausan, tidak menghalang seseorang daripada mendapatkan air, garam, dan api, serta menyelamatkan kehormatan nyawa seseorang yang hampir binasa, dan perkara-perkara seumpamanya. (Lihat Faidh al-Qadir, 2/472)
Oleh yang demikian, nas-nas syarak penuh dengan penegasan dan penjelasan mengenai perkara ini. Ia juga memberi amaran keras terhadap sikap lalai terhadap keperluan golongan fakir serta kegagalan untuk berusaha membantu mereka. Di samping itu, ancaman ditujukan kepada mereka yang bersikap bakhil dengan harta mereka terhadap golongan ini. Justeru, Ali bin Abi Talib berkata:
إنَّ اللهَ فَرَضَ على الأغْنِياءِ في أمْوالِهم بقَدْرِ ما يَكْفي فُقَراءَهم، فإن جاعوا وعَرُوا وجُهِدوا فبِمَنْعِ الأغْنِياءِ، وحَقًّا على اللهِ أن يُحاسِبَهم يَوْمَ القِيامةِ، ويُعَذِّبَهم عليه.
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah mewajibkan ke atas golongan kaya untuk memberikan sebahagian daripada harta mereka yang mencukupi keperluan golongan fakir. Maka, jika mereka lapar, tidak berpakaian, atau menghadapi kesulitan, itu disebabkan oleh keengganan golongan kaya menunaikan tanggungjawab mereka. Adalah menjadi hak Allah untuk menghisab mereka pada hari kiamat dan mengazab mereka atas perbuatan tersebut.”
Riwayat al-Baihaqi dalam al-Khilafiyyat (3943)
Kesimpulan
Islam menekankan tanggungjawab sosial terhadap golongan yang memerlukan melalui nas-nas al-Quran dan hadith yang jelas, yang menyeru kepada keseimbangan ekonomi dan kebajikan dalam masyarakat. Kewajipan membantu golongan fakir dan miskin, termasuk memenuhi keperluan asas mereka, adalah tuntutan syarak yang melampaui ibadah khusus seperti zakat. Oleh itu, umat Islam perlu menyedari bahawa harta adalah amanah yang harus dimanfaatkan bagi kemaslahatan masyarakat, terutamanya untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan. Tindakan ini selaras dengan nilai keadilan dan rahmat yang menjadi teras ajaran Islam.
Selain itu, tanggungjawab ini tidak terhad kepada sumbangan material semata-mata, tetapi juga melibatkan sikap tolong-menolong, mengurangkan penderitaan, dan mengutamakan kemaslahatan awam. Pelaksanaan nilai-nilai ini menjadi asas kepada pembangunan masyarakat yang harmoni dan memenuhi tujuan syariah dalam menjaga kesejahteraan umat secara menyeluruh.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”
(Surah al-Baqarah:201)
Wallahu‘alam
[1] Lihat https://www.dar-alifta.org/ar/fatawa/17861/%D8%A7%D9%84%D9%85%D8%B1% Diakses pada 9 disember 2024