Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami, di mana Allah menyebut manusia kepada Tuhannya sebagai Kanud. Apakah maksud sebenarnya Kanud (كَنُودٌ)?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
إِنَّ الْإِنسَانَ لِرَبِّهِ لَكَنُودٌ
Maksudnya: Sesungguhnya manusia sangat tidak bersyukur akan nikmat Tuhannya.
(Surah al-’Adiyat: 6)
Ibn Kathir menjelaskan bahawa firman Allah dalam ayat ini: “Sesungguhnya manusia itu sangat ingkar dan tidak berterima kasih kepada Tuhannya (6)” merupakan subjek kepada sumpah Allah. Maksudnya adalah manusia sering mengingkari segala nikmat yang telah diberikan oleh Tuhannya. Pendapat ini disokong oleh Ibnu Abbas, Mujahid, Al-Hasan, Qatadah, dan Ibnu Zaid, yang menegaskan bahawa istilah “al-kanud” merujuk kepada seseorang yang bersifat ingkar. Al-Hasanpula menambah bahawa ia adalah orang yang hanya mengingat musibah tetapi melupakan nikmat Tuhannya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 7/261)
Al-Syaukani dalam tafsirnya menjelaskan bahawa makna perkataan (الكنود) ialah orang yang sangat mengingkari nikmat yang telah diberikan kepadanya. (Lihat Fath al-Qadir, 7/293)
Syeikh ‘Abd al-Rahman bin Nasir al-Sa’di pula mengulas bahawa firman Allah dalam ayat ini menekankan sifat manusia yang amat ingkar dan tidak berterima kasih kepada Tuhannya. Beliau menyatakan bahawa sifat manusia semula jadinya cenderung untuk tidak melaksanakan kewajiban yang dituntut oleh Allah dengan sempurna. Manusia sering menghindari tanggungjawabnya terhadap harta dan jasad kecuali mereka yang mendapat hidayah Allah, yang berjaya mengatasi sifat negatif ini dengan melaksanakan kewajiban mereka dengan penuh kerelaan. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 831)
Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili turut mengulas bahawa manusia umumnya bersifat kufur dan tidak mensyukuri nikmat Allah yang telah dianugerahkan kepadanya. Oleh itu, manusia sepatutnya menyebut dan merenungkan nikmat tersebut sebagai tanda kesyukuran. (Lihat Tafsir al-Wajiz, hlm. 733)
Selain itu, istilah kanud (كَنُودٌ) juga membawa maksud individu yang mengira setiap musibah tetapi melupakan nikmat Allah. Sejarah salafus soleh mencatatkan satu kisah tentang seorang lelaki yang kepalanya botak, badannya dipenuhi sopak, kedua matanya buta, dan anggota badannya lumpuh. Walaupun begitu, dia tetap berkata:
الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي عَافَانِي مِمَّا ابْتَلَى بِهِ كثيرًا مِمَّنْ خَلَقَ وَفَضَّلَنِي تَفْضِيلًا
Seorang lelaki yang mendengar lantas bertanya kepadanya: “Daripada apa yang kamu merasa afiat? Sedangkan kamu buta, kulitmu sopak, kepala botak, dan kaki serta tangan lumpuh. Jadi, apakah lagi nikmat yang Allah berikan kepadamu?”
Lelaki itu menjawab: “Celakalah kamu! Allah telah mengurniakan aku lisan yang berzikir, hati yang bersyukur, dan tubuh yang mampu bersabar ketika ditimpa ujian.”
Justeru, marilah kita bersama-sama menginsafi diri dan sentiasa bersyukur atas setiap kurniaan-Nya.
Kami akhiri dengan doa:
رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَدْخِلْنِي بِرَحْمَتِكَ فِي عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku – dengan limpah rahmat-Mu – dalam kumpulan hamba-hamba-Mu yang soleh.”