Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya rasa puasa susah sebab mulut saya sentiasa berkahak. Saya selalu meludah dan meludah selalu adalah makruh? jika makruh puasa saya banyak tidak sah sebab saya ludah-ludah dan air liur termasuk balik dan saya telan. Saya ada 100 lebih hari lagi untuk puasa, saya penat sangat penat nak ganti. Bantu saya Dato.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.”
(Surah al-Baqarah 183)
Perkataan “كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ” memberi maksud kewajipan puasa ke atas orang-orang yang beriman. Akan tetapi, kewajipan berpuasa pada bulan Ramadhan belum disyariatkan lagi ketika itu. Persamaan antara mereka dengan umat-umat terdahulu adalah dari segi pensyariatan puasa itu sahaja. Kemudian, umat Nabi Muhammad SAW secara khususnya telah difardhukan puasa pada bulan Ramadhan.
Al-Tabari berkata: Pendapat yang benar menurut kami adalah yang menyatakan bahawa maknanya: Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu dari ahli Kitab, beberapa hari yang tertentu, iaitu sepanjang bulan Ramadhan, kerana yang datang sesudah Nabi Ibrahim AS diperintahkan untuk mengikuti Nabi Ibrahim AS. Hal itu disebabkan dia dijadikan oleh Allah SWT sebagai imam bagi sekalian manusia. Dan Allah SWT telah mengkhabarkan bahawa agamanya adalah al-Hanifiyyah al-Muslimah dan Nabi Muhammad SAW diperintahkan sama dengan yang diperintahkan terhadap nabi-nabi sebelumnya. Adapun aspek persamaannya adalah terletak pada waktu, di mana orang-orang sebelum kita diwajibkan puasa bulan Ramadhan sebagaimana kita juga diwajibkan. Manakala berkenaan firman-Nya: ‘لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ’, maksudnya, agar supaya kamu menghindari makanan, minuman dan hubungan suami isteri. (Lihat Jami’ al-Bayan, 3/67)
Kami mulakan dengan definisi dan huraiannya.
Definisi Air Liur
Air liur adalah sejenis cecair yang memang dihasilkan di dalam mulut manusia, ia melalui tiga pasang kelenjar air liur utama dan juga kelenjar-kelenjar air liur kecil. Kelenjar air liur utama terdiri daripada:
- Kelenjar Parotid
- Kelenjar Submandibel
- Kelenjar Sublingual
Air liur memainkan peranan yang penting bagi memastikan kesihatan rongga mulut. Ia juga dapat membantu dalam proses pemakanan, pertuturan, dan penelanan. Mulut yang kering dapat mempengaruhi kualiti hidup seseorang. Masalah mulut kering kebiasaannya berlaku disebabkan disfungsi kelenjar air liur, oleh itu ia lebih banyak dihadapi oleh orang yang lebih berumur sama ada atas faktor penuaan. Faktor lain penyebab mulut kering yang lebih umum terjadi pada orang yang lebih tua mungkin terkait dengan banyak jenis ubatan yang sering diambil oleh mereka, tertamanya mereka yang berusia 40 tahun ke atas.
Kami sebutkan secara ringkas berkenaan perkara yang membatalkan puasa. antaranya ialah sampainya Ain (suatu jirim yang dapat dilihat tengan mata kasar) ke dalam jauf (rongga) melalui salah satu daripada saluran-saluran yang terbuka seperti:
- Mulut
- Hidung
- Telinga
- Kemaluan
- Dubur
Secara asasnya, isu ini tidak dibahaskan dengan begitu mendalam oleh kalangan para fuqaha’. Ini kerana secara umumnya mereka hanya mengulas isu menelan air liur dan juga isu mengumpul air liur lalu menelannya.
Malah, Imam al-Nawawi turut menukilkan berkenaan ijma’ (kesepakatan) tentang perkara ini. Dalam kitab al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, beliau menyebut: “Menelan air liur tidak membatalkan puasa berdasarkan ijma’ sekiranya ia dilakukan secara adat. Ini kerana kesukaran untuk mengelakkan dari melakukannya.”
Beliau turut menyatakan tiga syarat yang menjadikan menelan air liur tidak membatalkan puasa. Ketiga-tiga syarat tersebut boleh diringkaskan seperti berikut:
- Air liur itu adalah semata-mata air liur. Jika air liur itu bercampur dengan sesuatu dan berubah warnanya, maka batal puasa sekiranya ia ditelan.
- Air liur itu ditelan melalui bahagian salurannya. Jika air liur telah keluar daripada mulutnya, kemudian dia memasukkannya semula melalui lidahnya atau selain lidahnya lalu dia menelannya, maka ini membatalkan puasa.
- Air liur itu ditelan secara normal (adat kebiasaan). Jika air liur itu dihimpunkan (di dalam mulutnya) dengan sengaja, lalu dia menelannya, adakah ia membatalkan puasa? Maka ada dua pendapat yang masyhur dalam mazhab Al-Syafi’e dan yang sahihnya ia tidak membatalkan puasa. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 6/318)
Kesimpulan
Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan meludah ketika puasa tidaklah dihukum makruh. Namun, ia dihukum makruh apabila dia mengumpul air liurnya di dalam mulut, lalu dia menelannya. Manakala, jika dia mengeluarkan air liur dari mulutnya, lalu dia menelannya semula, maka batallah puasanya. Berkenaan ganti puasa, kami melihat dalam isu ini, tidak perlu untuk anda ganti kerana meludah itu sendiri tidaklah membatalkan puasa. Maka, kami katakan puasa anda sah dan tidak perlu lagi untuk anda was-was lagi kerana was-was itu merupakan permainan syaitan bagi menjadikan hidup kita gusar dan keliru.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama, serta kegigihan, kesungguhan dan kesabaran dalam menekuni ilmu, seterusnya menyebarkannya kepada segenap lapisan masyarakat. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.
Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”