Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana cara Rasulullah SAW menjawab pertanyaan daripada sahabat-sahabat Baginda?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Rasulullah SAW adalah sebaik-baik petunjuk dan ikutan kerana kita diperintahkan untuk mengikutnya. Termasuk juga dalam bidang kefatwaan dan ilmu. Benarlah firman Allah SWT:
وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا
Maksudnya: “Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah kepada kamu maka terimalah serta amalkan. Manakala apa jua yang dilarang kamu melakukannya maka tinggalkanlah.”
(Surah al-Hasyr: 7)
Ibn Kathir menyatakan, selagi mana suruhan itu daripada Nabi SAW, hendaklah ia dilakukan dan apa yang dilarang pula, hendaklah ia ditinggalkan. Sesungguhnya apa yang diperintahkan Baginda akan membawa kepada kebaikan dan apa yang dilarang itu akan membawa kepada keburukan. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 13/485)
Dalam pengamatan kami, Rasulullah SAW ialah Mufti pertama yang menjawab persoalan ummah dalam kalangan sahabatnya. Dengan sebab itu, kita dapati, Rasulullah SAW menjawab dan berfatwa dalam pelbagai keadaan. Semua fatwa tersebut dijawab berdasarkan kepada situasi seseorang, suasana dan keperluan maslahah. Antara buku yang dikarang tentang fatwa Rasulullah SAW ini adalah:
- Fatawa Rasulillah SAW oleh Ibn Qayyim al-Jauziyyah
- Fatawa al-Rasul SAW oleh Syeikh ‘Ali Ahmad ‘Abd al-‘Al al-Tahtawi
- Fatawa Rasulillah SAW oleh Dr. al-Sayyid al-Jumaili
- Mausu‘ah Fatawa al-Nabi SAW oleh Syeikh Ibn Khalifah al-Azhari
- Min Fatawa al-Rasul SAW oleh Taha Abdullah al-‘Afifi
Kami datangkan di sini beberapa contoh:
- Rasulullah SAW menjawab sekadar pertanyaan sahaja.
Daripada Abu ‘Abdillah, Jabir bin Abdullah al-Ansari R.Anhuma: Bahawa seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW, seraya berkata:
أَرَأَيْتَ إِذَا صَلَّيْتُ المُكْتُوبَاتِ، وَصُمْتُ رَمَضَانَ، وَأَحْلَلْتُ الْخَلَالَ، وَحَرَّمْتُ الْحَرَامَ، وَلَمْ أَزِدْ عَلَى ذَلِكَ شَيْئًا، أَأَدْخُلُ الْجَنَّةَ؟ قَالَ: نَعَمْ.
Maksudnya: “Apakah pendapat kamu jika aku melaksanakan solat yang wajib, berpuasa Ramadhan, menghalalkan yang halal dan mengharamkan yang haram dan aku tidak tambah sedikit pun (dengan amalan sunat), adakah aku akan masuk syurga? Baginda bersabda: ‘Ya.’”
Riwayat Muslim (15)
- Rasulullah SAW melebihkan jawapan yang diberikan agar ia dapat memberi istifadah yang lebih kepada para Sahabat.
Daripada Abu Hurairah R.A, katanya:
سَأَلَ رَجُلٌ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّا نَرْكَبُ الْبَحْرَ وَنَحْمِلُ مَعَنَا الْقَلِيلَ مِنَ الْمَاءِ فَإِنْ تَوَضَّأْنَا بِهِ عَطِشْنَا أَفَنَتَوَضَّأُ بِمَاءِ الْبَحْرِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم : هُوَ الطَّهُورُ مَاؤُهُ الْحِلُّ مَيْتَتُهُ
Maksudnya: “Seorang lelaki telah bertanya kepada Nabi SAW, maka dia berkata: ‘Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami meredah lautan dan kami membawa sedikit air bersama-sama kami. Jika kami berwuduk menggunakan air itu tentu kami akan dahaga. Bolehkah kami berwuduk menggunakan air laut?’ Rasulullah SAW pun menjawab: ‘Air laut itu airnya menyucikan dan bangkainya halal.’”
Riwayat Abu Dawud (83), al-Tirmizi (69), al-Nasa’i (59), Ibn Majah (386) dan Ahmad (8720). Dinilai sebagai sahih dalam Sahih Abi Dawud.
Dalam nas di atas, Rasulullah SAW bukan hanya menjawab kesahan wuduk bagi penggunaan air laut sahaja, tetapi Baginda turut memanjangkan jawapan berkenaan hasil laut dan binatang yang terdapat di dalamnya, di mana ia adalah halal untuk dimakan seperti ikan, sotong, ketam dan lain-lain.
- Rasulullah SAW kadang-kadang menjawab pertanyaan para sahabat dengan jawapan yang tegas.
Daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, katanya:
خطَبَنا رَسُولُ الله صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فقَالَ: إنَّ الله كَتَبَ عَلَيْكُمُ الحَجَّ، فَقَامَ الأَقْرَعُ بنُ حَابسٍ، فَقَال: أَفِي كُلِّ عَامٍ يَا رَسُولَ الله؟ قَالَ: لَوْ قُلْتُهَا لَوَجَبَتْ، الحَجُّ مَرَّةً، فَمَا زادَ فَهُوَ تَطَوُّعٌ.
Maksudnya: “Rasulullah SAW berkhutbah: ‘Sesungguhnya Allah telah mewajibkan haji atas kamu semua.’ Lalu al-Aqra‘ bin Habis berdiri dan bertanya: ‘Adakah setiap tahun (ditunaikan haji), wahai Rasulullah?’ Rasulullah menjawab: ‘Seandainya aku mengatakan demikian, nescaya ia akan diwajibkan (setiap tahun). Haji itu sekali sahaja, dan selebihnya itu adalah sunat.’”
Riwayat Abu Daud (1721), al-Nasa’i (2620), Ibn Majah (2886), Ahmad (2642) dan al-Hakim (3155). Syeikh Ahmad Syakir menilai isnadnya sebagai sahih dalam Takhrij al-Musnad (4/224)
Ketegasan Nabi SAW jelas dapat dilihat menerusi perkataannya dalam hadith di atas, “Haji itu sekali sahaja.” Ini kerana Baginda SAW boleh sahaja menjawabnya dengan sekadar memberikan jawapan yang ringkas, “Tidak,” atau berhenti sekadar pada jawapannya, “Seandainya aku mengatakan demikian, nescaya ia akan diwajibkan (setiap tahun).” Akan tetapi Baginda menegaskan jawapannya lagi dengan menyatakan selepas itu, “Haji itu sekali sahaja, dan selebihnya itu adalah sunat.” Tujuannya adalah supaya kita semua dapat mengetahui bahawa haji yang diwajibkan bagi setiap mukallaf yang cukup syarat-syaratnya hanyalah sekali (iaitu haji Islam), manakala selebihnya adalah sunat.
- Begitu juga Rasulullah SAW tidak suka sikap banyak bertanya yang tidak ada kena mengena, dan selalu berselisih pendapat dengan Nabi mereka.
Daripada Abu Hurairah, Abd al-Rahman bin Sakhr R.A, beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
مَا نَهَيْتُكُمْ عَنْهُ فَاجْتَنِبُوهُ، وَمَا أَمَرْتُكُمْ بِهِ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ، فَإِنَّمَا أَهْلَكَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ كَثْرَةُ مَسَائِلِهِمْ واخْتِلاَفُهُمْ عَلَى أَنْبِيَائِهِمْ
Maksudnya: “Apa yang aku larang hendaklah kamu jauhinya dan apa yang aku perintahkan maka hendaklah kamu laksanakan sedaya upaya kamu. Sesungguhnya kehancuran orang-orang sebelum kamu adalah kerana banyaknya pertanyaan mereka (yang tidak berfaedah) dan penentangan mereka terhadap nabi-nabi mereka.”
Riwayat al-Bukhari (6777) dan Muslim (1337)
Selain itu, Syeikh Abdullah al-Bassam juga pernah menyatakan, perkara yang utama adalah diam dan tidak membahaskan masalah-masalah yang tidak disebutkan oleh syara‘. (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 4/39).
- Nabi SAW juga bertegas agar jangan bertanya perkara yang tidak ada kena mengena dengan kita kerana pertanyaan tersebut dibimbangi akhirnya ia akan membebani orang yang bertanya itu.
Daripada Abu Tha‘labah al-Khusyani Jurthum (جُرْثُومُ) bin Nasyib (نَاشِب) R.A, daripada Rasulullah SAW, Baginda bersabda:
إنَّ اللَهَ تَعَالَى فَرَضَ فَرَائِضَ فَلَا تُضَيِّعُوهَا، وَحَدَّ حُدُودًا فَلَا تَعْتَدُوهَا، وَحَرَّمَ أَشْيَاءَ فَلَا تَنْتَهِكُوهَا، وَسَكَتَ عَنْ أَشْيَاءَ رَحْمَةً لَكُمْ غَيْرَ نِسْيَانٍ فَلَا تَبْحَثُوا عَنْهَا
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah mewajibkan beberapa kewajipan, maka janganlah kamu mensia-siakannya dan Allah telah membataskan beberapa batasan, maka janganlah kamu melanggarnya. Dan Dia mengharamkan pula beberapa perkara, maka janganlah membuatnya, dan Dia berdiam atas beberapa perkara sebagai tanda rahmat-Nya ke atas kamu, bukan kerana terlupa, maka janganlah kamu mencari-cari dan mempersoalkannya.”
Riwayat al-Daraqutni (42) dan ia dinilai sebagai hasan oleh Imam al-Nawawi, al-Hakim (3/115) dan al-Baihaqi (10/12). Namun, Ibn Salah menilai hadith ini sebagai sahih. Begitu juga Syeikh Ahmad Syakir dalam Umdah al-Tafsir juga menyatakannya sebagai sahih.
Benarlah firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَسْأَلُوا عَنْ أَشْيَاءَ إِن تُبْدَ لَكُمْ تَسُؤْكُمْ وَإِن تَسْأَلُوا عَنْهَا حِينَ يُنَزَّلُ الْقُرْآنُ تُبْدَ لَكُمْ عَفَا اللَّهُ عَنْهَا ۗ وَاللَّهُ غَفُورٌ حَلِيمٌ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu bertanyakan (kepada Nabi) perkara-perkara yang jika diterangkan kepada kamu akan menyusahkan kamu, dan jika kamu bertanya mengenainya ketika diturunkan al-Quran, tentulah akan diterangkan kepada kamu. Allah maafkan (kamu) dari (kesalahan bertanyakan) perkara-perkara itu (yang tidak dinyatakan di dalam al-Quran); kerana Allah Maha pengampun, lagi Maha penyabar.”
(Surah al-Ma’idah: 101)
Sayyid Qutb berkata: Maksudnya janganlah kamu bertanya mengenai perkara-perkara yang telah dimaafkan dan tidak difardukannya oleh Allah SWT atau tidak dihurai dan diperincikannya. Ia adalah supaya dengan keterangan secara umum itu, ia dapat memberi keluasan dan kemudahan sepertimana cara ia menyebut fardhu haji atau sesuatu yang tidak disebutkannya sama sekali. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 4/524)
Selain itu juga, kami juga berpendapat, berdasarkan apa yang dinyatakan di atas, seseorang ulama’ atau mufti berdasarkan pengalaman dan pertimbangannya, beliau berhak sama ada untuk memberi jawapan berserta dalil kepada pertanyaan yang diajukan kepadanya ataupun tidak, berdasarkan keadaan seseorang yang bertanya itu. Banyak kisah salafus soleh yang menunjukkan mereka menjawab dengan dalil atau tanpa dalil kerana pertimbangan tersebut sebagaimana yang kami sudah nyatakan sebentar tadi iaitu berdasarkan situasi, masa, maslahat, individu dan juga keadaan mufti atau mustafti itu sendiri. Apa yang utamanya (yang menjadi perkara pokok) adalah sebuah kefahaman yang jelas dalam berpegang kepada agama Islam mengikut neraca Syariatnya.
Kami akhiri dengan doa:
رَضِينَا بِاللهِ رَبا، وَبِالإِسْلَامِ دِيْنا، وَبِمُحَمَّدٍ – صَلَى اللهُ عَلَيْهِ وِسَلَم – رَسُولًا
Maksudnya: “Kami redha Allah sebagai Rab, Islam sebagai agama dan Muhammad SAW sebagai Rasul.”