Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apabila matinya musuh Islam, adakah kita dibenarkan berasa gembira atau mengucapkan syukur? Saya ada terdengar salah seorang penceramah menyebutkan hadith berkenaannya. Mohon pencerahan.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Berasa gembira dengan kematian atau musibah yang ditimpa musuh ini disebutkan sebagai al-syamatah (الشَّمَاتَةُ). Kata Imam Ibn Muflih, ia adalah rasa gembira dengan bala yang ditimpa musuh. Syeikh Muhammad al-Tahir Ibn ‘Asyur pula mendefinisikannya secara lebih umum, di mana al-syamatah itu merujuk kepada rasa gembira dalam diri terhadap kemudaratan yang menimpa orang lain. (Lihat al-Adab al-Syar‘iyyah, 1/319; al-Tahrir wa al-Tanwir, 9/117)
Mendengar berita kebinasaan ke atas musuh-musuh Islam itu merupakan salah satu nikmat Allah kepada hamba-hamba-Nya, termasuk kepada tumbuh-tumbuhan dan haiwan. Allah SWT menyatakan dalam firman-Nya:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱذْكُرُوا۟ نِعْمَةَ ٱللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ جَآءَتْكُمْ جُنُودٌۭ فَأَرْسَلْنَا عَلَيْهِمْ رِيحًۭا وَجُنُودًۭا لَّمْ تَرَوْهَا ۚ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, kenangkanlah nikmat Allah yang dilimpahkanNya kepada kamu. Semasa kamu didatangi tentera (al-Ahzab), lalu Kami hantarkan kepada mereka angin ribut (yang kencang) serta angkatan tentera (dari malaikat) yang kamu tidak dapat melihatnya.”
(Surah al-Ahzab: 9)
Bahkan, hal ini juga dianggap sebagai kerehatan buat bumi daripada segala kejahatan yang musuh tersebut lakukan semasa hayatnya. Rasulullah SAW bersabda ketika ada jenazah yang dibawa melewati Baginda:
مُسْتَرِيحٌ وَمُسْتَرَاحٌ مِنْهُ. قَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ، مَا المُسْتَرِيحُ وَالمُسْتَرَاحُ مِنْهُ؟ قَالَ: العَبْدُ الْمُؤْمِنُ يَسْتَرِيحُ مِنْ نَصَبِ الدُّنْيَا وَأَذَاهَا إِلَى رَحْمَةِ اللهِ، وَالعَبْدُ الفَاجِرُ يَسْتَرِيحُ مِنْهُ العِبَادُ وَالبِلاَدُ، وَالشَّجَرُ وَالدَّوَابُّ
Maksudnya: “‘Orang yang berehat dan orang lain berehat daripadanya.’ Para sahabat bertanya: ‘Wahai Rasulullah, apakah maksud orang yang berehat dan orang lain berehat daripadanya?’ Baginda menjawab: ‘Seorang hamba yang beriman akan berehat daripada kepenatan dunia dan kesusahannya menuju rahmat Allah SWT. Manakala hamba yang ingkar pula, yang mana orang lain, negeri, pokok-pokok dan binatang-binatang berehat daripadanya (kejahatannya)’.”
Riwayat al-Bukhari (6512) dan Muslim (650)
Kerehatan bagi para hamba itu, ia disebabkan oleh keburukan yang dilakukan oleh seseorang tersebut. Jika mereka mencegahnya, dia akan menyakiti mereka, dan jika mereka membiarkannya, mereka akan berdosa. Kerehatan bagi negeri pula adalah daripada kemaksiatan yang dilakukannya, kerana kemaksiatan itu boleh membawa kepada kemarau yang menyebabkan kebinasaan tanaman dan keturunan. Kemungkinan, yang dimaksudkan dengan kerehatan para hamba daripadanya pula kerana mereka terlepas daripada kezaliman yang dilakukannya terhadap mereka. Kerehatan bagi negeri pula adalah daripada perbuatan merampas tanahnya, menghalangnya daripada haknya, dan membelanjakan hasilnya pada perkara yang tidak sepatutnya. Kerehatan bagi binatang pula adalah daripada perbuatan yang tidak wajar seperti membebankan binatang-binatang tanpa hak. (Lihat Fath al-Bari, 11/365; al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 7/20)
Thabit pula dalam hadith lain, Anas bin Malik R.A menceritakan:
مَرُّوا بِجَنَازَةٍ، فَأَثْنَوْا عَلَيْهَا خَيْرًا، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: وَجَبَتْ. ثُمَّ مَرُّوا بِأُخْرَى فَأَثْنَوْا عَلَيْهَا شَرًّا، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: وَجَبَتْ. فَقَالَ عُمَرُ بْنُ الخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ: مَا وَجَبَتْ؟ قَالَ: هَذَا أَثْنَيْتُمْ عَلَيْهِ خَيْرًا، فَوَجَبَتْ لَهُ الجَنَّةُ، وَهَذَا أَثْنَيْتُمْ عَلَيْهِ شَرًّا، فَوَجَبَتْ لَهُ النَّارُ، أَنْتُمْ شُهَدَاءُ اللَّهِ فِي الأَرْضِ.
Maksudnya: “Para sahabat berjalan melewati satu jenazah lalu mereka memujinya dengan kebaikan, lalu Nabi SAW bersabda: ‘Pasti.’ Kemudian mereka berjalan melewati jenazah yang lain lalu mereka mencelanya dengan keburukan, lalu Baginda bersabda: ‘Pasti.’ Umar bin al-Khattab R.A pun bertanya: ‘Apakah yang pasti?’ Baginda SAW menjawab: ‘Jenazah yang engkau puji dengan kebaikan, sudah pasti Syurga baginya. Sedangkan jenazah yang engkau cela dengan keburukan, sudah pasti Neraka baginya. Kalian semua adalah saksi-saksi Allah SWT di muka bumi’.”
Riwayat al-Bukhari (1367) dan Muslim (949)
Berdasarkan kepada hujjah-hujjah di atas, kami katakan, tidak menjadi masalah untuk umat Islam berasa gembira dengan kematian atau musibah yang ditimpa oleh musuh Allah SWT. Bahkan, Syeikh Muhammad Mutawalli al-Sya‘rawi mengatakan, sesiapa yang menyimpang daripada kehendak Allah pasti akan menyebabkan kerosakan kepada masyarakat, sebagaimana kita melihat masyarakat menderita akibat kekufuran orang kafir dan kedurhakaan orang yang berbuat dosa. Sekiranya manusia mengamalkan syari‘at Allah, tidak akan berlaku kerosakan di alam ini atau gangguan dalam kehidupan mereka sama sekali. Oleh itu, kita bergembira apabila Allah SWT menimpakan balasan ke atas musuh-Nya dan juga ahli maksiat, sambil berkata: “Segala puji bagi Allah yang telah merehatkan negeri dan hamba-Nya daripada mereka.” (Lihat Tafsir al-Sya‘rawi, 19/11825)
Ada pihak tertentu yang menyangka wujudnya percanggahan dengan hadith lain, sepertimana diriwayatkan daripada Ummul Mukminin ‘Aisyah R.Anha, Rasulullah SAW bersabda:
لَا تَسُبُّوا الْأَمْوَاتَ، فَإِنَّهُمْ قَدْ أَفْضَوْا إِلَى مَا قَدَّمُوا
Maksudnya: “Janganlah engkau mencela orang-orang yang telah meninggal dunia kerana sesungguhnya mereka telah pun sampai kepada setakat apa yang telah mereka lakukan.”
Riwayat al-Bukhari (1393)
Syeikh Badruddin al-‘Aini menjawab, larangan mencela orang yang telah meninggal dunia tidak termasuk kepada golongan munafik, kafir, atau mereka yang secara terang-terangan melakukan kefasikan atau bida‘ah. Golongan ini tidak diharamkan untuk disebutkan kejahatan mereka dengan tujuan menegah dari jalan mereka dan mengelakkan daripada mencontohi perbuatan mereka. (Lihat ‘Umdah al-Qari, 8/195)
Kesimpulan
Kami katakan, dibenarkan berasa gembira dengan musibah kematian yang ditimpa musuh Allah SWT, kerana mereka merupakan salah satu punca utama berlakunya kerosakan di muka bumi ini. Beginilah fatwa yang dikeluarkan ulama terdahulu, dengan syarat ia tidaklah dilakukan dengan menghamburkan kata-kata kesat sehingga merosakkan imej serta jati diri seorang Muslim. Cukuplah kita mengucapkan sebagaimana yang disebutkan Syeikh al-Sya‘rawi: “Segala puji bagi Allah yang telah merehatkan negeri dan hamba-Nya daripada mereka.”
Dalam kita mensyukuri nikmat Allah SWT yang telah mengangkat ujian berupa musuh Islam ini, aspek akhlak juga masih perlu dipelihara agar Islam tidak dilihat sebagai agama yang suka akan keganasan atau kekerasan. Semoga Allah SWT mengangkat segala ujian yang sedang menimpa umat Islam di serata dunia. Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِ ۖ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا ۚ أَنتَ مَوْلَانَا فَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir.”
Wallahu a‘lam