Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah sebab kitab Taurat dinamakan dengan nama tersebut? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
إِنَّا أَنزَلْنَا التَّوْرَاةَ فِيهَا هُدًى وَنُورٌ ۚ يَحْكُمُ بِهَا النَّبِيُّونَ الَّذِينَ أَسْلَمُوا لِلَّذِينَ هَادُوا وَالرَّبَّانِيُّونَ وَالْأَحْبَارُ بِمَا اسْتُحْفِظُوا مِن كِتَابِ اللَّهِ وَكَانُوا عَلَيْهِ شُهَدَاءَ
Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan Kitab Taurat, yang mengandungi petunjuk dan cahaya yang menerangi; dengan Kitab itu nabi-nabi yang menyerah diri (kepada Allah) menetapkan hukum bagi orang-orang Yahudi, dan (dengannya juga) ulama mereka dan pendita-penditanya (menjalankan hukum Allah), sebab mereka diamanahkan memelihara dan menjalankan hukum-hukum dari Kitab Allah (Taurat) itu, dan mereka pula adalah menjadi penjaga dan pengawasnya (dari sebarang perubahan).”
(Surah al-Ma’idah: 44)
Al-Baidhawi ketika menjelaskan berkenaan ayat di atas menyatakan, Allah SWT telah menurunkan Taurat, yang di dalamnya terdapat petunjuk yang membawa kepada kebenaran, dan cahaya yang menyingkap atau menjelaskan perkara-perkara hukum yang tidak jelas. Para nabi yakni nabi-nabi dalam kalangan Bani Israel menghukum berdasarkan kitab Taurat tersebut, ataupun (khususnya) Nabi Musa dan nabi-nabi selepasnya. Begitu juga ulama yang berpendapat bahawa syariat umat terdahulu turut menjadi syariat bagi kita selagi ia tidak dimansuhkan didukung berdasarkan ayat ini. (Lihat Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Ta’wil, 2/128).
Al-Nasafi ketika menafsirkan ayat ini menyatakan bahawa Allah SWT telah menurunkan Taurat yang di dalamnya terdapat petunjuk, iaitu yang memberi bimbingan kepada kebenaran, manakala “cahaya” pula bermaksud yang menjelaskan hukum-hukum yang tidak jelas. Seterusnya, dinyatakan bahawa para nabi tunduk kepada hukum Allah dalam Taurat. Ini adalah sifat yang diberikan kepada para nabi sebagai suatu pujian, dan ia juga mengisyaratkan teguran kepada kaum Yahudi kerana mereka jauh daripada ajaran agama Islam, iaitu agama para nabi keseluruhannya. (Lihat Madarik al-Tanzil wa Haqa’iq al-Ta’wil, 1/449).
Seterusnya, berbalik kepada soalan yang diajukan, penamaan Taurat dengan nama ini telah dijelaskan oleh Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya, al-Jami‘ li Ahkam al-Qur’an (4/5). Beliau menyatakan, taurat bermaksud sinaran dan cahaya (yang menerangi dan menjelaskan). Ada juga yang mengatakan bahawa Taurat diambil daripada perkataan tauriyah, yang bermaksud menyampaikan sesuatu secara tidak langsung sambil menyembunyikan perkara lain. Seolah-olah kebanyakan isi kitab Taurat adalah sindiran dan petunjuk tanpa kenyataan yang jelas dan terang. Namun, pendapat majoriti ulama lebih cenderung kepada maksud yang pertama, sebagaimana firman Allah ta‘ala:
وَلَقَدْ آتَيْنَا مُوسَىٰ وَهَارُونَ الْفُرْقَانَ وَضِيَاءً وَذِكْرًا لِّلْمُتَّقِينَ
Maksudnya: “Dan demi sesungguhnya, Kami telah memberi kepada Nabi Musa dan Nabi Harun Kitab (Taurat) yang membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan yang menjadi cahaya yang menerangi, serta yang mengandungi pengajaran, bagi orang-orang yang mahu bertaqwa.”
(Surah al-Anbiya’: 48)
Oleh yang demikian, jelaslah bahawa terdapat perselisihan dalam kalangan ulama berkenaan sebab penamaan kitab Taurat tersebut seperti mana yang dinyatakan oleh al-Qurtubi. Namun, kami berpendapat bahawa penamaannya adalah kerana ia merupakan sinaran dan cahaya yang menerangi sebagaimana pendapat jumhur ulama, bahkan pendapat ini juga dilihat selari dengan ayat al-Quran yang menjelaskan berkenaan ciri-ciri Taurat.
Sekalipun begitu, apa yang lebih penting dan lebih utama bagi kita sebagai seorang Mukmin adalah mengetahui bahawa Taurat termasuk dalam salah satu kitab samawi dan ia ialah kitab Allah yang diturunkan kepada Nabi Musa A.S. Seterusnya wajib ke atas kita untuk mengimani kitab ini, yang bukan apa yang telah dimasukkan kepadanya beberapa penyelewengan atau perubahan oleh kaum Yahudi kemudian.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”