Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan tentang istihsan?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Dari sudut bahasa, al-istihsan (الاسْتِحْسَان) menurut Ibn Manzur adalah berasal daripada perkataan ‘hasan’ yang bermaksud baik, dalam dalam wazan istif‘al yang bermaksud apa yang dituju kepadanya dan dikehendaki oleh seseorang, meskipun ia dianggap buruk oleh orang lain. (Lihat Lisan al-‘Arab, 13/117). Manakala al-Fairuz Abadi menyatakan bahawa ia bermaksud menganggap sesuatu sebagai baik. (Lihat al-Qamus al-Muhit, 4/216).
Selain itu, menurut al-Faqih al-Halwani al-Hanafi, istihsan (الاسْتِحْسَان) adalah meninggalkan qiyas kerana satu dalil yang lebih kuat daripadanya yang terdiri daripada Kitab, Sunnah atau Ijma‘. (Lihat al-Musawwadah fi Usul al-Fiqh oleh Majduddin bin Taimiyyah, hlm. 454).
Imam al-Karkhi al-Hanafi pula mendefinisikannya sebagai seseorang yang berpatah semula daripada menghukum sesuatu permasalahan seperti yang dia hukumkan pada permasalahan yang hampir sama kepada hukum yang berbeza dengannya. Hal ini disebabkan ada suatu bentuk yang membawa perbezaan antaranya dengan yang awal. (Lihat al-Ihkam fi Usul al-Ahkam, 4/208).
Menurut Imam Malik, istihsan (الاسْتِحْسَان) bermaksud beramal dengan dalil yang lebih kuat antara dua dalil. (Lihat Usul al-Fiqh al-Islami, 2/738).
Imam al-Sarakhsi al-Hanafi dalam al-Mabsut (10/145) menyebut beberapa lagi definisi, antaranya meninggalkan qiyas dan mengambil hukum yang lebih ringan dan lebih memudahkan orang ramai, serta mengambil keringanan, kemudahan dan keluasan. Dengan kata lain, istihsan boleh disebut sebagai meninggalkan hukum yang sukar dan mengambil hukum yang ringan kerana maslahah, dan kaedah ini merupakan salah satu usul agama Islam dan selaras dengan firman Allah SWT:
يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمْ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمْ الْعُسْر
Maksudnya: “Allah SWT mahu memberikan kemudahan kepada kalian, dan Dia tidak mahu memberikan kesusahan kepada kalian.”
Surah al-Baqarah (185)
Selain itu, dalil istihsan (الاسْتِحْسَان) ini juga sebenarnya mempunyai kaitan rapat dengan konsep maslahah dan Maqasid Syariah, di mana menurut Imam Abu Ishaq al-Syatibi, istihsan (الاسْتِحْسَان) di sisi mazhab Malik ialah beramal dengan maslahah dalam isu-isu juz’i yang bercanggah dengan dalil umum, dan ia juga bermaksud mendahulukan istidlal dengan maslahah mursalah ke atas qiyas. Ulama yang menggunakan istihsan (الاسْتِحْسَان) pula tidak berpandukan semata-mata kepada perasaan dan kehendaknya sahaja, tapi dia mesti mengambil Maqasid Syariah dalam perkara tersebut. (Lihat al-Muwafaqat, 4/195).
Adapun bagi Dr. Wahbah al-Zuhaili pula, istihsan (الاسْتِحْسَان) sebenarnya merupakan apa yang biasanya diaplikasikan oleh pengamal undang-undang, iaitu menggapai ruh dan semangat suatu undang-undang serta prinsip-prinsip umum yang universal. (Lihat Usul al-Fiqh al-Islami 2/739). Dalam konteks fiqh dan syariat, istihsan (الاسْتِحْسَان) sebenarnya merupakan usaha untuk mencapai objektif Syariah, iaitu mencapai maslahah dan mengelakkan mafsadah.
Berkenaan kehujahan al-istihsan (الاسْتِحْسَان), majoriti para ulama mengguna pakai al-istihsan (الاسْتِحْسَان) dan menganggapnya sebagai satu dalil daripada dalil-dalil hukum. Manakala sebahagian fuqaha lain pula mengingkarinya seperti ulama al-Syafi‘iyyah. Sehingga dinukilkan daripada Imam al-Syafi‘i bahawa beliau berkata: “Istihsan adalah berseronok-seronok dan berkata mengikut hawa nafsu.” Beliau berkata lagi: “Sesiapa yang melakukan istihsan sesungguhnya dia telah membuat syariat.” (Lihat al-Ihkam fi Usul al-Ahkam, 4/209).
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa. (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40; Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/75)