#7682: Solat Sunat Rawatib dan Hukumnya

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah itu Solat Sunat Rawatib dan apakah beza dengan solat sunat sebelum dan selepas solat fardhu?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Ummul Mukminin Aisyah R.Anha meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ ثَابَرَ عَلَى ثِنْتَيْ عَشْرَةَ رَكْعَةٍ مِنَ السُّنَّةِ؛ بَنَى اللهُ لَهُ بَيْتًا فِي الْجَنَّةِ: أَرْبَعِ رَكَعَاتٍ قَبْلَ الظُّهْرِ، وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَهَا، وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْمَغْرِبِ، وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْعِشَاءِ، وَرَكْعَتَيْنِ قَبْلَ الْفَجْرِ

Maksudnya: “Sesiapa yang melazimi amalan Solat Sunat sebanyak 12 rakaat ini, Allah akan membinakan sebuah rumah di dalam syurga untuk dirinya. 4 rakaat sebelum Zohor, 2 rakaat selepas Zohor. 2 rakaat selepas Maghrib, 2 rakaat selepas Isya’ dan 2 rakaat sebelum Subuh.

Riwayat al-Nasa’i (1471); al-Tirmizi (414); Ibn Majah (1140); dan dinilai gharib oleh Imam al-Tirmizi dalam al-Jami’ (1/439) kerana kewujudan perawi bernama Mughirah bin Ziyad. Namun hadith ini mempunyai sokongan daripada jalur yang lain.

Imam Ibn al-Mulaqqin al-Syafi‘i memberi ulasan ketika mensyarahkan hadith di atas: “Bahawa hikmah pensyariatan solat-solat sunat ini adalah untuk menyempurnakan ibadah fardhu. Sekiranya ada sebarang kekurangan dalam melaksanakan ibadah fardhu, ibadat sunat akan menampungnya sepertimana yang diriwayatkan di dalam Sunan Abu Daud dan lain-lain. Amalan solat sunat ini juga dapat membiasakan diri beribadah sebelum melakukan solat wajib, menghadirkan keaktifan semangat untuk melakukannya, dan persediaan hati yang lebih khusyuk untuknya. Oleh yang demikian, dianjurkan untuk memulakan solat malam (qiyamullail) dengan dua rakaat solat sunat yang ringan. Apabila penulis menggandingkan solat-solat ini dengan solat berjemaah, ia terbina di atas konsep al-sabiq dan al-lahiq (qabliyyah dan ba’diyyah); semua ini bertujuan sebagai pelengkap dan penampung kepada ibadat fardhu.” (Lihat al-I‘lam fi Fawa’id ‘Umdah al-Ahkam, 2/396)

Definisi Solat Sunat Rawatib

Solat sunat Rawatib bermaksud solat-solat sunat yang terikat dengan waktu, ia mengiringi solat fardhu sama ada sebelum solat waktu atau selepasnya. Solat rawatib yang dikerjakan sebelum solat fardhu dikenali sebagai solat sunat qabliyah, manakala solat rawatib yang dikerjakan setelah solat fardhu pula dikenali sebagai solat sunat ba’diyah. Menurut Ibn Manzur, Rawatib berasal daripada rataba (رَتَبَ)yang bermaksud tertib sesuatu apabila thabit dan kekal. Justeru ia memberi maksud sabit lagi kekal. (Lihat Lisan al-‘Arab, 1/409).

Dari sudut istilah pula, solat sunat rawatib adalah solat-solat sunat yang didirikan sebelum ataupun sesudah solat fardhu lima waktu. Hikmah pensyariatannya ialah bagi menyempurnakan segala kekurangan sewaktu mengerjakan solat fardhu, seperti tidak khusyuk atau tidak mentadabbur ayat- ayat yang dibaca. (Lihat Hasyiyah al-Bujairimi ‘ala al-Khatib, 1/413-414).

Hukum Sunat Rawatib

Berkenaan dengan hukum solat Rawatib, jumhur fuqaha berpendapat sunat untuk dilakukan solat Rawatib. Hal ini sehinggakan ulama’ mazhab Hanbali berpendapat makruh meninggalkan solat sunat Rawatib tanpa sebarang keuzuran (alasan).

Seperti yang disebut dalam kitab Hasyiah al-Dusuki ‘ala al-Syarh al-Kabir (1/313), jelas menunjukkan bahawa adanya solat rawatib Qabliyah dan Ba’diyah bertujuan seperti berikut:

  • Adapun solat Qabliyah adalah kerana jiwa yang sibuk dengan hal dunia, sudah pasti jauh daripada mendapat khusyuk, begitu juga hadirnya hati pada masa solat yang menjadi ruh ibadat. Apabila didahulukan dengan solat sunat, daripada yang fardhu sudah pasti selepas itu boleh menjadikan jiwa tenang untuk beribadat.
  • Berkenaan solat Ba’diyah pula, maka ia menunjukkan bahawa fungsi solat-solat sunat untuk menampung segala kekurangan fardhu. Justeru dengan perlaksanaannya akan dapat membaiki dan menaikkan taraf apa yang berlaku daripada segala kekurangan fardhu.

Kesimpulan

Justeru, menjawab persoalan di atas, kami nyatakan solat sunat rawatib merupakan nama besar bagi kedua-dua solat sunat itu sahaja. Solat rawatib yang dikerjakan sebelum solat fardhu dikenali sebagai solat sunat qabliyah, manakala solat rawatib yang dikerjakan setelah solat fardhu pula dikenali sebagai solat sunat ba’diyah. Maka, hakikatnya ianya sama sahaja.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إني أسألُكَ مُوجِباتِ رَحْمَتِكَ، وَعَزَائِمَ مَغْفِرَتِكَ وَالسَّلامَةَ مِنْ كُلِّ إثْمٍ، وَالفَوْزَ بالجَنَّةِ، وَالنَّجاةَ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: “Ya Allah! Aku memohon kepada-Mu segala asbab yang mewajibkan rahmat-Mu, dan segala sesuatu yang mendatangkan keampunan-Mu, keselamatan dari segala dosa, kejayaan dengan syurga dan berjaya selamat daripada api neraka.”

Wallahu a‘lam.