Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hukum gunting rambut dengan orang bukan Islam? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan riwayat Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ كَانَ لَهُ شَعْرٌ فَلْيُكْرِمْهُ
Maksudnya: “Sesiapa yang memiliki rambut maka hendaklah dia memuliakannya.”
Riwayat Abu Daud (4163)
Al-Munawi berkata: Rasulullah bersabda: “Sesiapa yang mempunyai rambut, hendaklah dia memuliakannya,” iaitu dengan menyisirnya, merapikannya, dan mengoleskan minyak, serta tidak membiarkannya menjadi kusut dan tidak terurus. Namun, janganlah berlebihan dalam perkara ini kerana terdapat larangan menyisir rambut secara berlebihan, kecuali sesekali sahaja. (Lihat Faidh al-Qadir, 6/208)
Pertamanya, kami andaikan persoalan di atas adalah merujuk kepada orang lelaki dan bukannya wanita. Berkenaan wanita Muslimah memotong rambut dengan wanita bukan Islam, kami sudah menjawabnya dalam Ahkam Syar‘iyyah iaitu #5840: Wanita Muslimah Memotong Rambut Dengan Wanita Non Muslim[1] dan #7153: Perempuan Muslimah Memotong Rambut di Kedai Perempuan Bukan Islam.[2]
Keduanya, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa memotong rambut hukumnya adalah harus. Tiada arahan khusus pada penggayaan rambut; tiada anjuran memanjangkan rambut dan tiada larangan untuk memotong rambut. Syariat Islam hanya menggariskan panduan agar rambut sentiasa bersih dan kemas; sama ada pendek atau panjang. Hal ini adalah selari dengan kaedah fiqh yang menyebutkan:
الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ
Maksudnya: “Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).
Melainkan di sana terdapat sebahagian ulama berpendapat makruh tanzih melakukan qaza’ iaitu mencukur sebahagian rambut dan membiarkan sebahagian secara mutlak. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 14/100). Begitu juga keharusan itu adalah terikat selagi mana tidak menyerupai orang kafir terutamanya dalam hal-hal keagamaan mereka.
Seterusnya, berkenaan persoalan seseorang lelaki menggunting rambutnya dengan orang bukan Islam, kami berpendapat bahawa ia adalah tidak mengapa dan diharuskan sebagaimana hukum asalnya, seperti yang kami sudah jelaskan di atas. Apatah lagi orang bukan Islam bukanlah najis. Adapun najis dalam ayat 28 daripada Surah al-Taubah adalah merujuk kepada kekotoran dan kenajisan dalam akidah orang bukan Islam, yang perlu dihindari, bukan pada badan mereka. Dalilnya adalah Islam mensyariatkan harus berkahwin dengan Ahli Kitab, dan peluh mereka itu jika bernajis maka tidak selamatlah suami mereka daripada najis itu. Selain itu, Nabi SAW pernah berwuduk dengan bejana orang musyrik, mengikat tawanan musyrik di dalam masjid, memakan keju daripada negara Nasrani dan memakan lauk kambing yang dihadiahkan Yahudi. (Lihat Nail al-Autar, 1/35).
Begitu juga, Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari menyebutkan bahawa manusia itu dimuliakan. Implikasi kepada kemuliaan tersebut, mereka tidak dihukumkan sebagai najis apabila telah mati, sama ada mereka itu Muslim atau kafir (bukan Islam). Manakala najis yang dimaksudkan di dalam ayat 28 daripada Surah al-Taubah ini ialah kepercayaan mereka atau perintah supaya menjauhi mereka seperti najis, dan bukannya kenajisan pada jasad mereka. (Lihat Asna al-Matalib, 1/10).
Oleh yang demikian, berdasarkan kepada persoalan di atas, kami berpendapat dan ingin tegaskan sekali lagi bahawa menggunting rambut dengan orang bukan Islam adalah tidak mengapa dan dibolehkan sebagaimana hukum asalnya. Lebih-lebih lagi ia tidak melibatkan soal pendedahan aurat mahupun perkara yang haram dan bahan-bahan bernajis. Justeru, selagi mana proses menggunting rambut itu tidak melibatkan perkara-perkara yang haram, maka ia adalah diharuskan sekalipun tukang gunting adalah daripada kalangan orang bukan Islam.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”
Nota Hujung:
[1] Lihat https://maktabahalbakri.com/5840-wanita-muslimah-memotong-rambut-dengan-wanita-non-muslim/. Diakses pada 10 Disember 2024.
[2] Lihat https://maktabahalbakri.com/7153-perempuan-muslimah-memotong-rambut-di-kedai-perempuan-bukan-islam/. Diakses pada 10 Disember 2024.