Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa hukum seseorang yang menipu melihat Rasulullah SAW dalam mimpinya?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan hadith daripada Abu Hurairah, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:
وَمَنْ رَآنِي فِي المَنَامِ فَقَدْ رَآنِي، فَإِنَّ الشَّيْطَانَ لاَ يَتَمَثَّلُ فِي صُورَتِي
Maksudnya: “Sesiapa yang melihatku dalam mimpi, maka sesungguhnya dia telah melihatku. Sesungguhnya syaitan tidak mampu menyerupai rupaku.”
Riwayat al-Bukhari (110) (6197) dan Muslim (2134) (2266)
Imam al-Bukhari ada menyebutkan dalam kitab sahihnya sebuah riwayat lain daripada Abu Hurairah R.A, yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:
مَنْ رَآنِي فِي المَنَامِ فَسَيَرَانِي فِي اليَقَظَةِ، وَلاَ يَتَمَثَّلُ الشَّيْطَانُ بِي. قَالَ أَبُو عَبْدِ اللهِ: قَالَ ابْنُ سِيرِينَ: إِذَا رَآهُ فِي صُورَتِهِ.
Maksudnya: “Sesiapa yang bermimpi melihatku, maka dia akan melihatku dalam keadaan terjaga, dan syaitan tidak dapat menyerupaiku.” Abu ‘Abdillah (Imam al-Bukhari) berkata: Ibn Sirin berkata: “Maksudnya, apabila dia melihatnya dalam rupa bentuk Baginda.”
Riwayat al-Bukhari (6993) dan Muslim (2266)
Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani berkata, hadith ini mengandungi isyarat bahawa, meskipun Allah SWT membenarkan syaitan untuk menyerupai sesiapa sahaja yang dikehendaki, namun ia tetap terhalang dari menyerupai Nabi SAW. Beberapa ulama berpandangan, yang dimaksudkan dalam hadith ini adalah apabila seseorang melihat Baginda SAW dalam rupa yang sama seperti rupa asal Baginda. Ada juga yang menyempitkan syarat ini sehingga mengatakan seseorang mesti melihat Rasulullah SAW dalam bentuk fizikal Baginda yang tepat pada waktu Baginda wafat, termasuklah bilangan uban yang tidak melebihi dua puluh helai.
Akan tetapi, beliau lebih cenderung memilih pandangan yang bersifat umum, meliputi semua keadaan fizikal Baginda pada mana-mana peringkat kehidupan; sama ada pada usia muda, dewasa, usia pertengahan, atau pada akhir hayat Baginda, selagi mana ia menyerupai rupa sebenar Baginda pada masa tertentu. Kadangkala, perbezaan dalam bentuk mungkin berkaitan dengan tafsiran mimpi yang berhubung dengan keadaan orang yang bermimpi itu sendiri.
Beliau juga menukilkan kalam Ibn Battal: Sabda Baginda, “maka dia akan melihatku dalam keadaan terjaga,” yang dimaksudkan adalah tentang kebenaran mimpi itu ketika dalam keadaan terjaga. Ini bukan merujuk kepada melihat Baginda di akhirat, kerana di akhirat, Baginda akan dilihat oleh semua umatnya pada Hari Kiamat, tidak kira sama ada mereka pernah bermimpi melihat Baginda atau tidak.
Turut dinukilkan Ibn al-Tin menyatakan: “Maksudnya adalah individu yang telah beriman kepada Baginda SAW semasa Baginda masih hidup, tetapi belum berpeluang untuk berjumpa dengan Baginda. Ini merupakan berita baik bagi setiap individu yang beriman kepada Baginda tetapi belum berkesempatan untuk berjumpa dengannya, kerana mereka akan pasti berjumpa dan melihat Baginda dalam keadaan sedar sebelum Baginda meninggal dunia. Pendapat ini disebut oleh al-Qazzaz.” (Lihat Fath al-Bari, 12/386; 34/421)
Berkenaan persoalan di atas, seorang Muslim yang mengaku melihat Rasulullah SAW hendaklah mengajukan mimpinya itu kepada ahli ilmu dan agamawan yang dikenali keilmuan, kejujuran dan ketakwaannya; agar mimpi tersebut dapat dipastikan kebenarannya, atau ia datang dari syaitan, atau mungkin hanya dakwa-dakwi semata-mata. Hal ini bagi mengelakkan terjadinya pendustaan terhadap Baginda SAW, kerana yang demikian itu diancam dengan azab Neraka.
Isu berkenaan segelintir golongan yang cuba melakukan penipuan berkenaan mimpi melihat Rasulullah SAW memang berlaku, dengan pelbagai niat yang berbeza, sama ada hendak menjadikannya sebagai sandaran terhadap amalan bidaah yang disebarluaskan, atau hendak menjadikannya sebagai sokongan kepada aliran pemikiran dan kepartiannya, atau lain-lain. Dalam keadaan tertentu, terdapat kebarangkalian kebenaran mimpi mereka bertemu Rasulullah SAW, akan tetapi ia tidak menjadi hujjah dan dalil atas amalan mereka sehingga mimpi tersebut perlu diceritakan kepada khalayak umum. Tidakkah kita mengambil pengajaran dari kisah Nabi Yusuf A.S, sebagaimana dalam firman Allah SWT:
قَالَ يَـٰبُنَىَّ لَا تَقْصُصْ رُءْيَاكَ عَلَىٰٓ إِخْوَتِكَ فَيَكِيدُوا۟ لَكَ كَيْدًا ۖ إِنَّ ٱلشَّيْطَـٰنَ لِلْإِنسَـٰنِ عَدُوٌّۭ مُّبِينٌۭ
Maksudnya: “Bapanya berkata: ‘Wahai anakku! Janganlah engkau ceritakan mimpimu kepada saudara-saudaramu, kerana aku khuatir mereka akan menjalankan sesuatu rancangan jahat terhadapmu. Sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata bagi manusia’.”
(Surah Yusuf: 5)
Imam al-Qurtubi berkata, ayat ini menjadi dalil bahawa seseorang tidak seharusnya menceritakan mimpi kepada orang yang tidak mempunyai belas kasihan, tidak jujur, atau yang tidak pandai menafsirkan mimpi. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 9/216)
Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menukilkan kalam Hammad bin Zaid, katanya, apabila Muhammad bin Sirin diberitahu oleh seseorang bahawa dia melihat Rasulullah SAW di dalam mimpi, beliau akan meminta orang itu menggambarkan Nabi yang dilihatnya. Sekiranya sifat yang digambarkan itu tidak dikenali, beliau akan berkata: “Engkau tidak melihat Baginda.” (Lihat Fath al-Bari, 12/384)
Menjadikan Mimpi Sebagai Sokongan kepada Amalan Bid’ah atau Fikrah Tertentu
Sekiranya seseorang mendakwa melihat Rasulullah SAW dalam mimpi dan baginda menyuruhnya melakukan sesuatu yang bertentangan dengan al-Quran dan al-Sunnah, maka arahan itu tidak boleh diikuti. Ini menunjukkan bahawa orang yang dilihat dalam mimpinya itu bukan Rasulullah SAW. Meskipun bermimpi melihat Baginda SAW merupakan satu khabar gembira bagi kaum Muslim, namun ia bukan wahyu, sebaliknya sekadar suatu petanda yang baik sahaja.
Syeikh ‘Abd al-‘Aziz Ibn Baz juga berkata: “Tidak boleh menjadikan mimpi melihat Nabi SAW sebagai sandaran dalam sesuatu yang bertentangan dengan syari‘at. Apa-apa yang didengari atau dilihat oleh orang yang bermimpi hendaklah dirujuk kepada al-Quran dan Sunnah yang sahih. Jika selaras, ia boleh diterima, jika bercanggah, maka ia ditolak. Ini kerana Allah SWT telah menyempurnakan agama ini dan menamatkan nikmat ke atas umat ini sebelum kewafatan Nabi SAW. Maka tidak dibenarkan menerima sesuatu yang bertentangan dengan syari‘at walaupun datang daripada mimpi atau cara lain, dan ini adalah ijma‘ ulama.” (Lihat Majmu‘ Fatawa, 2/385)
Menipu dalam Dakwaan Melihat Rasulullah SAW
Hukum menipu dengan mendakwa melihat Nabi Muhammad SAW dalam mimpi sedangkan dia tidak bermimpi melihatnya, maka hukumnya adalah haram, bahkan ia boleh juga membuka peluang untuk orang lain berdusta bahawa mereka juga melihat Nabi SAW dalam mimpi. Perlu diingatkan bahawa berbohong atas nama Baginda SAW itu diancam dengan keras. Hal ini kerana thabit dalam hadith mutawatir yang diriwayatkan daripada ramai para sahabat, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ كَذِبًا عَلَيَّ لَيْسَ كَكَذِبٍ عَلَى أَحَدٍ، مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا، فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ
Maksudnya: “Sesungguhnya berdusta ke atasku tidak sama seperti berdusta ke atas orang lain. Barangsiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah dia mendapat tempat duduknya dalam neraka.”
Riwayat al-Bukhari (1291), Muslim di dalam Muqaddimah Sahih Muslim (4) dan Ahmad (18202)
Membuat dakwaan palsu berkenaan mimpi melihat Rasulullah SAW adalah sinonim dengan berdusta di atas nama Baginda. Ia merupakan satu bentuk pembohongan yang boleh mengelirukan orang lain dan mencemarkan kesucian agama Islam ini. Pembohongan seperti ini juga berpotensi untuk membawa kepada penyelewengan agama seandainya orang yang mendakwa itu menyatakan sesuatu yang kononnya diperintahkan oleh Nabi SAW dalam mimpinya, akan tetapi pada hakikatnya bercanggah dengan ajaran al-Quran dan Sunnah.
Rasulullah SAW juga mengingatkan kita semua berkenaan dengan hukum menipu sebagaimana riwayat daripada Abu Hurairah R.A, sabda Baginda:
وَمَنْ غَشَّنَا فَلَيْسَ مِنَّا
Maksudnya: “Dan sesiapa yang menipu kami, maka dia bukan daripada kalangan kami.”
Riwayat Muslim (101)
Syams al-Haq al-‘Azim Abadi menukilkan daripada al-Khattabi, beliau menyebutkan bahawa hadith di atas bermaksud bukan berada di atas jalan dan mazhab kami (yakni panduan Nabi SAW). Dalam erti kata lain, sesiapa yang menipu saudaranya dan meninggalkan untuk menasihatinya, maka sesungguhnya dia telah meninggalkan petunjuk Baginda dan tidak berpegang dengan sunnah Baginda.
Namun, terdapat sebahagian ulama berpendapat, maksudnya ialah menafikannya daripada Islam. Akan tetapi takwilan ini tidak benar kerana makna yang dikehendaki daripada hadith tersebut ialah mengikuti panduan dan sunnah Nabi SAW. Hal ini dikuatkan lagi melalui firman Allah SWT:
فَمَن تَبِعَنِى فَإِنَّهُۥ مِنِّى ۖ وَمَنْ عَصَانِى فَإِنَّكَ غَفُورٌۭ رَّحِيمٌۭ
Maksudnya: “Oleh itu, sesiapa yang menurutku (dalam Islam yang menjadi peganganku) maka ia adalah dari golonganku; dan sesiapa yang menderhaka kepadaku (dengan menyalahi agamaku), maka sesungguhnya engkau Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (kiranya ia insaf dan bertaubat).”
(Surah Ibrahim: 36)
Justeru, hadith ini menjadi dalil yang menunjukkan bahawa haramnya pebuatan menipu dan perkara tersebut telah disepakati. (Lihat ‘Aun al-Ma‘bud, 9/231)
Kami juga ada menulis berkenaan isu ini dalam eBook kami bertajuk: Melihat Rasulullah SAW di Alam Mimpi: Antara Kebenaran dan Dakwaan.[1]
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا
Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”
Nota Hujung:
[1] Untuk bacaan lanjut, boleh mendapatkannya di pautan berikut: https://play.google.com/store/books/details?id=R6Q2EQAAQBAJ