#7700: Kisah Tabi’in dan Para Ulama yang Mimpi Bertemu Rasulullah SAW

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh ceritakan kisah tabi’in dan para ulama’ yang bermimpi bertemu Rasulullah SAW?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan hadith daripada Abu Hurairah, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

وَمَنْ رَآنِي فِي المَنَامِ فَقَدْ رَآنِي، فَإِنَّ الشَّيْطَانَ لاَ يَتَمَثَّلُ فِي صُورَتِي

Maksudnya: “Sesiapa yang melihatku dalam mimpi, maka sesungguhnya dia telah melihatku. Sesungguhnya syaitan tidak mampu menyerupai rupaku.”

Riwayat al-Bukhari (110) (6197) dan Muslim (2134) (2266)

Imam al-Bukhari ada menyebutkan dalam kitab sahihnya sebuah riwayat lain daripada Abu Hurairah R.A, yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:

مَنْ رَآنِي فِي المَنَامِ فَسَيَرَانِي فِي اليَقَظَةِ، وَلاَ يَتَمَثَّلُ الشَّيْطَانُ بِي. قَالَ أَبُو عَبْدِ اللهِ: قَالَ ابْنُ سِيرِينَ: إِذَا رَآهُ فِي صُورَتِهِ.

Maksudnya: “Sesiapa yang bermimpi melihatku, maka dia akan melihatku dalam keadaan terjaga, dan syaitan tidak dapat menyerupaiku.” Abu ‘Abdillah (Imam al-Bukhari) berkata: Ibn Sirin berkata: “Maksudnya, apabila dia melihatnya dalam rupa bentuk Baginda.”

Riwayat al-Bukhari (6993) dan Muslim (2266)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani berkata, hadith ini mengandungi isyarat bahawa, meskipun Allah SWT membenarkan syaitan untuk menyerupai sesiapa sahaja yang dikehendaki, namun ia tetap terhalang dari menyerupai Nabi SAW. Beberapa ulama berpandangan, yang dimaksudkan dalam hadith ini adalah apabila seseorang melihat Baginda SAW dalam rupa yang sama seperti rupa asal Baginda. Ada juga yang menyempitkan syarat ini sehingga mengatakan seseorang mesti melihat Rasulullah SAW dalam bentuk fizikal Baginda yang tepat pada waktu Baginda wafat, termasuklah bilangan uban yang tidak melebihi dua puluh helai.

Akan tetapi, beliau lebih cenderung memilih pandangan yang bersifat umum, meliputi semua keadaan fizikal Baginda pada mana-mana peringkat kehidupan; sama ada pada usia muda, dewasa, usia pertengahan, atau pada akhir hayat Baginda, selagi mana ia menyerupai rupa sebenar Baginda pada masa tertentu. Kadangkala, perbezaan dalam bentuk mungkin berkaitan dengan tafsiran mimpi yang berhubung dengan keadaan orang yang bermimpi itu sendiri.

Beliau juga menukilkan kalam Ibn Battal: Sabda Baginda, “maka dia akan melihatku dalam keadaan terjaga,” yang dimaksudkan adalah tentang kebenaran mimpi itu ketika dalam keadaan terjaga. Ini bukan merujuk kepada melihat Baginda di akhirat, kerana di akhirat, Baginda akan dilihat oleh semua umatnya pada Hari Kiamat, tidak kira sama ada mereka pernah bermimpi melihat Baginda atau tidak.

Turut dinukilkan Ibn al-Tin menyatakan: “Maksudnya adalah individu yang telah beriman kepada Baginda SAW semasa Baginda masih hidup, tetapi belum berpeluang untuk berjumpa dengan Baginda. Ini merupakan berita baik bagi setiap individu yang beriman kepada Baginda tetapi belum berkesempatan untuk berjumpa dengannya, kerana mereka akan pasti berjumpa dan melihat Baginda dalam keadaan sedar sebelum Baginda meninggal dunia. Pendapat ini disebut oleh al-Qazzaz.” (Lihat Fath al-Bari, 12/386; 34/421)

Menjawab persoalan di atas, dalam perjalanan sejarah Islam, terdapat banyak kisah tabi‘in — generasi kedua selepas para sahabat— yang begitu mendalam kecintaan mereka kepada Rasulullah SAW. Cinta dan keinginan mereka untuk mengikuti jejak Rasulullah SAW, meskipun tidak sempat bertemu baginda secara langsung, seringkali melahirkan pengalaman-pengalaman rohani yang luar biasa. Salah satu anugerah istimewa yang dianugerahkan kepada sebahagian tabi‘in adalah mimpi bertemu dengan Rasulullah SAW, sebuah pengalaman yang dianggap sebagai tanda kecintaan mereka yang tulus kepada Baginda SAW. Antara mereka yang dapat dinyatakan di sini adalah seperti:

  • Umar bin Abd al-‘Aziz Rahimahullah

Diriwayatkan daripada Sa’id bin Abi ‘Arubah, bahawa Umar bin Abdul Aziz berkata: Aku telah melihat Rasulullah SAW dalam mimpiku, dan terdapat Abu Bakar dan Umar duduk di sisi baginda. Lalu aku memberi salam kepada mereka dan duduk bersama. Ketika aku duduk, tiba-tiba dibawa masuk Ali dan Muawiyah, lalu mereka berdua dimasukkan ke dalam sebuah bilik, dan pintu ditutup rapat sedangkan aku melihatnya. Tidak lama kemudian, Ali keluar sambil berkata: Dihukumkan kepadaku dengan kemenangan, demi Tuhan Kaabah. Dan segera selepas itu, Muawiyah keluar mengikuti Ali sambil berkata, Dimaafkan bagiku, demi Tuhan Kaabah. (Lihat Sirah Umar bin Abd al-’Aziz, oleh Ibn al-Jauzi, hlm. 285)

Dikisahkan juga bahawa Umar bin Abdul Aziz pernah  berada bersama Rasulullah SAW dan Abu Bakar, serta Umar dalam mimpi seorang lelaki. Seperti yang diriwayatkan oleh Abu Hashim al-Rummani, seorang lelaki datang kepada Umar bin Abdul Aziz dan berkata: Aku telah melihat Nabi Allah dalam tidurku. Di sebelah kanan baginda adalah Abu Bakar, dan di sebelah kiri adalah Umar. Kemudian datang dua orang lelaki yang sedang berselisih, dan engkau duduk di hadapan baginda. Lalu baginda bersabda kepadamu: Wahai Umar, apabila engkau bekerja, maka bekerjalah dengan amalan kedua orang ini (yakni Abu Bakar dan Umar).’

Mendengar cerita itu, Umar bin Abdul Aziz meminta lelaki tersebut bersumpah dengan nama Allah, “Benarkah engkau melihat ini?” Lelaki itu pun bersumpah kepadanya. Mendengarnya, Umar bin Abdul Aziz pun menangis. (Lihat Tarikh al-Islam, 7/195)

  • Al-Hasan al-Basri Rahimahullah

Ibrahim bin Basyar berkata: Aku mendengar Ibrahim bin Adham menceritakan: Telah sampai kepadaku bahawa al-Hasan al-Basri pernah melihat Nabi SAW dalam mimpinya. Lalu beliau berkata: Wahai Rasulullah, berilah aku nasihat.  Baginda pun bersabda: Barangsiapa yang hari-harinya sama (tidak ada peningkatan), maka dia adalah orang yang rugi. Dan barang siapa yang esoknya lebih buruk daripada hari ini, maka dia adalah orang yang terlaknat. Barang siapa yang tidak memeriksa kekurangan pada dirinya, maka dia akan sentiasa dalam kekurangan. Dan barangsiapa yang terus dalam kekurangan, maka kematian lebih baik baginya. (Lihat Hilyah al-Auliya’ wa Tabaqat al-Asfiya’, 8/35)

Namun begitu, dikatakan bahawa mimpi ini adalah milik Abdul Aziz bin Abi Rawwad. (Lihat Ru’yah al-Nabi SAW fi al-Manam, hlm.45)

  • Sufyan al-Thauri Rahimahullah

Ishaq bin Ismail katanya: Aku mendengar Sufyan berkata: Aku telah melihat Nabi dalam mimpiku, lalu aku bertanya: Wahai Rasulullah, apa pendapatmu tentang bawang merah dan bawang putih? Baginda menjawab: Para malaikat merasa terganggu dengan keduanya. (Lihat al-Manamat, hlm. 68)

Turut dikisahkan Mus‘ab bin al-Muqaddam pernah bermimpi bahawa Baginda Rasulullah SAW pernah memegang tangan Sufyan al-Thauri. Ini sebagaimana kata beliau: Aku melihat Nabi SAW dalam tidur sedang memegang tangan Sufyan al-Thauri dan membalasnya dengan kebaikan, sambil berkata: Baik jalannya. (Lihat Hilyah al-Auliya’, 6/385)

Imam Empat Mazhab yang Bermimpi Rasulullah SAW

Di antara ulama besar yang pernah diberi anugerah mimpi bertemu Rasulullah SAW adalah para imam mazhab yang empat: Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafi‘i, dan Imam Ahmad bin Hanbal. Keempat-empat imam ini bukan sahaja terkenal kerana keilmuan dan ketakwaan mereka, tetapi juga kerana hubungan spiritual yang mendalam dengan Rasulullah SAW, yang sebahagiannya terungkap melalui mimpi-mimpi yang istimewa.

  • Imam Abu Hanifah Rahimahullah

Daripada dapatan kami, kami tidak mendapati mana-mana riwayat yang menceritakan kisah Abu Hanifah bermimpi Rasulullah SAW melainkan sebuah kisah di mana beliau pernah bermimpi menggali kembali kubur Baginda SAW. Yang demikian sebagaimana yang telah dinyatakan dalam Tarikh Baghdad:

Abu Yahya al-Hammani berkata: Aku mendengar Abu Hanifah berkata: Aku melihat suatu mimpi yang mengejutkanku. Aku melihat seolah-olah aku sedang menggali kubur Nabi SAW. Kemudian aku pergi ke Basrah dan meminta seorang lelaki untuk bertanya kepada Muhammad bin Sirin mengenai tafsir mimpi itu. Lelaki itu bertanya kepada Muhammad bin Sirin, dan beliau menjawab: Ini adalah seorang lelaki yang sedang menggali (menggali ilmu tentang) berita-berita Rasulullah SAW. (Lihat Tarikh Baghdad, 15/44)

  • Imam Malik Rahimahullah

Dikisahkan dalam kitab Hilyah al-Auliya bahawa: al-Muthanna bin Sa‘id al-Qasir telah menceritakan kepada kami, katanya: Aku mendengar Malik bin Anas berkata, “Tidak pernah aku melalui satu malam pun melainkan aku melihat Rasulullah SAW dalam tidurku.” (Lihat Hilyah al-Auliya wa Tabaqat al-Asfiya’, 6/317)

  • Imam al-Syafi‘i Rahimahullah

Al-Rabi‘ bin Sulaiman meriwayatkan: Aku mendengar al-Syafi‘i berkata: Aku melihat Nabi SAW dalam mimpi, sebelum aku mencapai usia dewasa. Baginda berkata kepadaku: Wahai anak muda. Aku menjawab, Labbaik, wahai Rasulullah. Baginda bertanya: Dari golongan manakah engkau? Aku menjawab: Dari golonganmu, wahai Rasulullah. Baginda berkata: Dekatkan dirimu kepadaku: Maka aku pun mendekat, lalu Baginda mengambil sedikit daripada air liurnya. Aku membuka mulutku, dan Baginda menyapukan air liurnya pada lidahku, mulutku, dan bibirku, sambil berkata: Teruskanlah, semoga Allah memberkatimu. (Lihat Manaqib al-Syafi‘i, oleh al-Baihaqi, 1/98)

  • Imam Ahmad bin Hanbal Rahimahullah

Telah dinyatakan dalam Tabaqat al-Hanabilah bahawa: Daripada Muhammad bin Mansur al-Tusi, dia berkata: Aku mendengar Ahmad bin Hanbal berkata: Aku melihat Nabi SAW dalam mimpi, lalu aku bertanya: Wahai Rasulullah, adakah semua yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah benar? Baginda menjawab: Ya. (Lihat Tabaqat al-Hanabilah, 1/211)

Ini juga menggambarkan kepada kita, para imam mujtahidin yang mimpi melihat Rasulullah SAW juga menceritakan hal tersebut kepada sahabat atau murid-murid mereka.

Mimpi Ulama’-Ulama’ Terdahulu (Mutaqaddimin)

  • Al-Hakim Abu ‘Abdillah Rahimahullah

Imam al-Baihaqi menceritakan satu kisah berkenaan gurunya al-Hakim Abu ‘Abdillah,[1] di mana beliau telah menderita luka kudis di wajahnya dan telah cuba merawat dengan beberapa cara pengubatan, namun tidak sembuh. Hal tersebut berterusan selama hampir satu tahun. Al-Hakim kemudian meminta gurunya, Abu Uthman al-Sabuni untuk mendoakannya dalam salah satu majlisnya pada hari Jumaat. Lalu gurunya mendoakannya dan ramai jemaah yang ikut mengaminkan doa tersebut.

Apabila menjelang hari Jumaat berikutnya, seorang wanita telah hadir ke majlis dan menceritakan bahawa dia telah kembali ke rumah pada malam tersebut dan berusaha untuk melakukan doa untuk al-Hakim Abu ‘Abdillah. Kemudian, dia telah melihat Rasulullah SAW dalam tidurnya, dan seolah-olah Baginda berkata kepadanya: “Beritahu kepada Abu ‘Abdillah untuk mengedarkan (menyedekahkan) air (dengan memberi minum) kepada kaum Muslimin.”

Lalu pesanan tersebut disampaikan kepada al-Hakim. Beliau pun menyuruh agar dibina satu tempat memberi minum air berhampiran pintu rumahnya. Apabila mereka telah selesai membinanya, dia pun menyuruh agar air dituangkan ke dalamnya. Kemudian orang ramai pun mula meminum daripada air yang disediakan itu. Tidak sampai seminggu berlalu, kesihatannya mulai pulih. Sakit luka kudis (pada wajahnya) itu mulai berhenti dan sembuh. Bahkan, wajahnya menjadi lebih baik daripada sebelumnya, dan dia hidup seperti itu selama beberapa tahun kemudiannya. (Lihat Syu‘ab al-Iman, 3/222 dan Sahih al-Targhib wa al-Tarhib, hlm. 964)

  • Imam Muhammad bin Isma‘il al-Bukhari Rahimahullah

Begitu juga berkaitan dengan Imam al-Bukhari di mana Najm bin al-Fudail berkata: Aku melihat Nabi SAW dalam mimpiku, keluar dari kampung Masti, dan di belakangnya ada Muhammad bin Ismail (al-Bukhari). Setiap kali Nabi SAW melangkah, Muhammad bin Isma‘il juga melangkah, meletakkan kakinya tepat pada jejak langkah Nabi SAW dan mengikuti jejak Baginda (Lihat Tarikh Baghdad, 2/10)

  • Abu al-Qasim al-Tabarani Rahimahullah

Al-Hafiz Abu Zakariyya bin Mandah menyebut daripada Abu al-Qasim al-Tabarani yang berkata: “Aku melihat Nabi SAW dalam mimpi pada bulan Syawal tahun 323 Hijrah, di antara kawasan Yamudiyah dan Mehraniyah di Isfahan, di sebuah padang pasir di kawasan itu. Ketika itu, khemah-khemah Nabi SAW dipasang dalam bentuk segi empat, tidak berbentuk kubah, dan ditutupi dengan kain penutup putih yang sangat cantik warnanya. Para isteri Baginda SAW juga berada di dalam khemah-khemah tersebut. Dan aku melihat Aisyah berada di luar salah satu khemah, menghadap ke arah khemah tersebut, memakai kain jubah yang berwarna putih bersih. Seorang kanak-kanak melintasinya, lalu dia mendoakan kebaikan untuknya, tetapi aku hanya mendengar suaranya tanpa melihat wajahnya. Kemudian, aku sampai kepada Nabi SAW yang sedang duduk di atas sebuah kerusi, di luar khemah-khemah itu. Aku mencium di antara mata dan bahu Baginda, lalu aku duduk di hadapannya. Aku mengangkat tanganku dan berdoa untuk diriku sendiri, untuk kaum mukminin dan mukminat, serta untuk kaum muslimin dan muslimat dengan doa yang panjang. Rasulullah SAW menghadapku dengan wajah tersenyum, tidak pernah berhenti menampakkan senyumannya. Lalu aku berkata: Ya Rasulullah, beritahulah aku tentang hadith Abu Hazim daripada Sahl bin Sa‘ad yang meriwayatkan daripadamu, bahawa engkau berkata:

المُؤْمِنُ مَألَفٌ، وَلَا خَيْرَ فِيمَنْ لَا يَأْلَفُ وَلَا يُؤْلَفُ

Maksudnya: “Orang mukmin itu bercirikan kasih sayang, dan tidak ada kebaikan pada orang yang tidak menyayangi dan tidak juga disayangi”

Riwayat al-Tabarani (5744)

Lalu, Baginda mengisyaratkan dengan tangannya seolah-olah melemahkannya. Maka aku pun berkata: Wahai Rasulullah, beritahulah aku tentang hadith al-Sya‘bi daripada Nu‘man bin Basyir yang engkau pernah bersabda:

مَثَلُ المُؤْمِنِينَ فِي تَرَاحُمِهِمْ وَتَوَادِّهِمْ وَتَوَاصُلِهِمْ كَمَثَلِ الجَسَدِ؛ إِذَا اشْتَكَى عُضْوٌ مِنْهُ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالحُمَّى

Maksudnya: “Perumpamaan orang-orang mukmin dalam kasih-mengasihani, cinta-mencintai, dan saling tolong-menolong adalah seperti satu jasad, jika ada (walau) satu anggota badan yang sakit, nescaya seluruh anggota badan yang lain akan ikut merasakannya dengan tidak dapat tidur dan demam.”

Riwayat al-Bukhari (6011)

Lalu, Baginda SAW mengisyaratkan dengan tangannya sambil berkata: Benar, benar, benar. (Lihat Ru’yah al-Nabi SAW fi al-Manam, hlm.74 )

  • Syeikh Abu Ishaq al-Syirazi

Beliau adalah salah seorang tokoh terkenal dalam mazhab al-Syafi’i dan seorang ulama besar dalam bidang fiqh dan usul fiqh. Nama lengkapnya ialah Ibrahim bin Ali bin Yusuf al-Fairuzabadi al-Syirazi, dan beliau dilahirkan pada tahun 393H di kota Firuzabad, Syiraz, Iran. Beliau belajar dan mendalami ilmu agama sejak usia muda dan menjadi murid kepada ramai ulama besar di zamannya.

Abu Ishaq al-Syirazi terkenal sebagai pengarang kitab al-Muhazzab fi Fiqh al-Imam al-Syafi’i, yang merupakan salah satu karya fiqh yang paling berpengaruh dalam mazhab al-Syafi’i. Beliau juga memiliki kepakaran dalam usul fiqh, dan beliau juga menghasilkan karya dalam bidang ini, seperti kitab al-Luma‘ yang menjadi rujukan dalam pengajian usul fiqh di kalangan pengikut mazhab Syafi‘i.

Dikisahkan daripadanya, dia berkata: Aku sedang tidur di Baghdad, lalu aku melihat Nabi SAW bersama Abu Bakar dan Umar. Aku pun berkata: ‘Wahai Rasulullah, banyak hadith yang aku dengar tentangmu daripada para perawi, dan aku ingin mendengar sendiri satu hadith daripadamu agar aku dapat berbangga dengannya di dunia dan menjadikannya bekalan untuk akhirat. Maka baginda bersabda kepadaku, ‘Wahai syeikh’ – baginda memanggilku “syeikh” dan berbicara kepadaku dengan panggilan itu, dan aku merasa gembira dengannya – ‘Katakan daripadaku: Barang siapa yang ingin selamat, hendaklah dia mencari keselamatan itu dalam keselamatan orang lain.’ Al-Sam’ani berkata: Aku mendengar kisah ini di Merv daripada Abu al-Qasim Haidar bin Mahmud al-Syirazi, yang mendengarnya daripada Abu Ishaq. (Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 18/452)

Sebenarnya, ramai lagi tokoh-tokoh mutaqaddimin yang bermimpi melihat Baginda SAW. Insya Allah, pada ruangan akan datang, akan dikembangkan lagi.

Kami juga ada menulis berkenaan isu ini dalam eBook kami bertajuk: Melihat Rasulullah SAW di Alam Mimpi: Antara Kebenaran dan Dakwaan.[2]

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”

Nota Hujung:

[1] Nama beliau ialah al-Hafiz al-Kabir Abu Abdullah Muhammad bin Abdillah bin Muhammad bin Hamdawaih al-Dhibbi al-Naisaburiy di Iran, beliau dikenal sebagai al-Hakim dan juga Ibn al-Bayyi’. Beliau dilahirkan pada tahun 321 hijrah dan tinggal dalam keluarga yang suasananya adalah ilmu dan kemuliaan dan beliau wafat pada tahun 405 hijrah.

[2] Untuk bacaan lanjut, boleh mendapatkannya di pautan berikut: https://play.google.com/store/books/details?id=R6Q2EQAAQBAJ