Soalan:
Assalamualaikum w.b.t. Benarkah ada hadith yang menyatakan bahawa Abu Lahab diringankan azab pada setiap hari Isnin?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda, dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga Hari Kiamat.
Nama sebenar Abu Lahab ialah Abdul Uzza bin Abdul Muthalib (Abdul Uzza dengan makna hamba kepada berhala Uzza). Nasabnya adalah seperti berikut: Abdul Uzza bin Abdul Muthalib bin Hasyim bin Abdi Manaf bin Qushay bin Kilab. Lebih dikenal dengan nama Kun-yah: Abu Lahab berbanding nama sebenarnya. Lahab bermaksud menyala-nyala. Ada yang mengatakan bahawa yang memberi gelaran Abu Lahab adalah ayahnya, Abdul Muttalib, kerana Abu Lahab wajahnya sangat cerah dan kemerah-merahan.
Beliau terkenal dengan sifat memusuhi agama Allah. Cukuplah kalimah beliau mencelakan Nabi SAW, maka Allah SWT menurunkan Surah al-Masad:
تَبَّتْ يَدَا أَبِي لَهَبٍ وَتَبَّ (١) مَآ أَغْنَىٰ عَنْهُ مَالُهُۥ وَمَا كَسَبَ (٢) سَيَصْلَىٰ نَارًۭا ذَاتَ لَهَبٍۢ (٣) وَٱمْرَأَتُهُۥ حَمَّالَةَ ٱلْحَطَبِ (٤) فِى جِيدِهَا حَبْلٌ مِّن مَّسَدٍ
Maksudnya: Celakalah kedua belah tangan Abu Lahab dan celakalah dia. Hartanya dan apa yang diusahakannya tidak berguna baginya. Dia akan merasai bakaran neraka yang mempunyai api yang marak membakar. Begitu juga isterinya; menjadi pembawa kayu api yang dahulunya suka menyebar fitnah dan mengadu domba. Di lehernya pada hari kiamat ada tali yang tersimpul mati untuk menariknya ke neraka.
(Surah al-Masad: 1-5)
Al-Maraghi berkata dalam mentafsirkan ayat di atas: Dia kelak akan menderita bakaran panas api neraka dan akan diseksa dengan nyalaan api itu. Kesimpulannya, Abu Lahab dalam kerugian, amalnya tersia-sia, usahanya yang ditempuh untuk menentang agama Allah SWT menjadi gagal, harta yang dibanggakannya tidak dapat menolongnya dan tidak pula dapat menolong dirinya. Ini disebabkan Allah SWT mengangkat seruan rasul-Nya, menyebarkan dakwah-Nya, menyiarkan penyebutannya dan Abu Lahab akan diseksa di hari Kiamat dengan api yang bergejolak lagi menyala-nyala, pembakaran yang keras, disediakan oleh Allah SWT bagi orang kafir, melebihi penyeksaannya di dunia dengan pembatalan usahanya dan tertolak amalnya. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 15/7735)
Benarkah Abu Lahab diringankan Azab pada Setiap Hari Isnin
Imam al-Bukhari telah menyebutkan di dalam Sahih beliau:
قَالَ عُرْوَةُ: وثُوَيْبَةُ مَوْلاَةٌ لِأَبِي لَهَبٍ كَانَ أَبُو لَهَبٍ أَعْتَقَهَا فَأَرْضَعَتِ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَلَمَّا مَاتَ أَبُو لَهَبٍ أُرِيَهُ بَعْضُ أَهْلِهِ بِشَرِّ حِيبَةٍ، قَالَ لَهُ: مَاذَا لَقِيتَ؟ قَالَ أَبُو لَهَبٍ: لَمْ أَلْقَ بَعْدَكُمْ غَيْرَ أَنِّي سُقِيتُ فِي هَذِهِ بِعَتَاقَتِي ثُوَيْبَةَ.
Maksudnya: ‘Urwah berkata: Thuwaibah ialah maula Abu Lahab. Abu Lahab memerdekakannya, lalu dia menyusui Nabi SAW. Setelah Abu Lahab meninggal, maka salah seorang daripada ahli keluarganya bermimpi tentang keadaan buruk yang dialami oleh Abu lahab. Dia berkata kepadanya (Abu Lahab): “Apa yang kamu alami?” Abu Lahab berkata: “Aku tidak memperoleh kebaikan setelah meninggalkan kamu, kecuali aku diberi minum melalui ini[1] kerana telah memerdekakan Thuwaibah.”
Riwayat al-Bukhari (5101)
Ibn Hajar al-Asqalani dalam Syarahnya, iaitu Kitab Fath al-Bari, berkata:
(ثُوَيْبَةُ مَوْلاَةٌ لِأَبِي لَهَبٍ) Thuwaibah, hamba kepada Abu Lahab’, Aku berkata: Ibn Mandah menyebutkan Thuwaibah dalam kalangan sahabat dan mengatakan bahawa terdapat perselisihan pendapat tentang keislamannya. Abu Nu‘aim pula berkata, “Kami tidak mengetahui sesiapa yang menyebut tentang keislamannya kecuali beliau.” Menurut riwayat dalam kitab Sirah, Nabi Muhammad SAW sangat memuliakannya. Beliau (Thuwaibah) sering masuk menemui Nabi SAW setelah baginda berkahwin dengan Khadijah, dan baginda biasa mengirimkan hadiah kepadanya dari Madinah. Thuwaibah meninggal dunia selepas peristiwa pembukaan Khaibar, begitu juga anak lelakinya, Masruh.
(كَانَ أَبُو لَهَبٍ أَعْتَقَهَا فَأَرْضَعَتِ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ) ‘Abu Lahab telah memerdekakannya, lalu dia menyusukan Nabi SAW’, Zahirnya menunjukkan bahawa pemerdekaan Abu Lahab terhadap Thuwaibah berlaku sebelum dia menyusukan Nabi SAW. Namun, apa yang disebutkan dalam kitab Sirah bertentangan dengan perkara ini, iaitu Abu Lahab memerdekakannya sebelum hijrah, dan hal itu berlaku setelah tempoh yang lama selepas penyusuan. Al-Suhaili juga menyebutkan bahawa pemerdekaannya berlaku sebelum penyusuan. Aku akan menyebutkan kata-kata beliau kemudian.
(بَعْضُ أَهْلِهِ) ‘Sebahagian ahli keluarganya’, Dibaca dengan rafa‘, menunjukkan ia berfungsi sebagai pengganti kepada subjek asal (fa‘il). Al-Suhaili menyebutkan bahawa al-‘Abbas berkata: “Apabila Abu Lahab meninggal dunia, aku melihatnya dalam mimpi setahun kemudian dalam keadaan yang sangat buruk. Dia berkata:
لَمَّا مَاتَ أَبُو لَهَبٍ رَأَيْتُهُ فِي مَنَامِي بَعْدَ حَوْلٍ فِي شَرِّ حَالٍ فَقَالَ: مَا لَقِيتُ بَعْدَكُمْ رَاحَةً، إِلَّا أَنَّ الْعَذَابَ يُخَفَّفُ عَنِّي كُلَّ يَوْمِ اثْنَيْنِ
Maksudnya: ‘Aku tidak pernah merasa tenang selepas kalian, kecuali azab diringankan daripadaku setiap hari Isnin.’
Hal ini kerana Nabi Muhammad SAW dilahirkan pada hari Isnin, dan Thuwaibah membawa berita gembira kepada Abu Lahab tentang kelahiran baginda, lalu dia memerdekakannya.”
(بِشَرِّ حِيبَةٍ) Kata “حِيبَةٍ” dibaca dengan huruf “ha’” berbaris bawah (kasrah), diikuti huruf “ya’” yang mati (sukun), dan selepasnya huruf “ba’” tunggal. Maknanya ialah keadaan yang buruk. Ibn Faris berkata: Asal perkataan ini adalah “الحوبة” yang bermaksud kemiskinan dan keperluan. Huruf “ya’” dalam “حِيبَةٍ” telah berubah daripada huruf “wau” disebabkan oleh baris bawah (kasrah) pada huruf sebelumnya.
Dalam Syarh al-Sunnah karya al-Baghawi, ia tercatat dengan huruf “ha’” berbaris atas (fathah). Dalam riwayat al-Mustamli pula, ia dicatat dengan huruf “kha’” berbaris atas (fathah), yang membawa makna keadaan gagal dalam mendapatkan sebarang kebaikan. Ibn al-Jauzi berpendapat bahawa ini adalah kesalahan penyalinan (tashif). Al-Qurtubi pula menyebut bahawa riwayat dengan huruf “kha’” berbaris atas adalah yang diriwayatkan, tetapi beliau mendapati dalam naskhah yang dipercayai, ia menggunakan huruf “hā’” berbaris bawah, dan ini adalah bacaan yang lebih dikenali.
Dalam kitab al-Masyariq, dinukilkan daripada riwayat al-Mustamli bahawa ia dicatat dengan huruf “jim”. Namun, menurut al-Qurtubi, ini juga dianggap sebagai kesalahan penyalinan (tasḥīf), sebagaimana pendapat yang diutarakan.
(مَاذَا لَقِيتَ) Maknanya ialah: Apa yang telah kamu temui selepas mati?
(لَمْ أَلْقَ بَعْدَكُمْ، غَيْرَ أَنِّي)Dalam teks asal, munsarif (objek) tidak disebut. Namun, dalam riwayat al-Isma’ili, ia disebut sebagai tidak menemui kelapangan. Dalam riwayat Abdul Razzaq daripada Ma’mar, daripada al-Zuhri, dinyatakan sebagai tidak menemui kerehatan.
Ibn Battal menjelaskan bahawa objek telah tercicir daripada riwayat al-Bukhari, dan kenyataan tersebut tidak akan sempurna melainkan dengan menyertakan objek tersebut.
(غَيْرَ أَنِّي سَقَيْتُ فِي هَذِهِ) Menurut al-Baihaqi dalam kitab Dala’il al-Nubuwwah melalui jalur riwayat tertentu, kenyataan ini disebut dengan frasa, ia bermaksud lekukan tersebut, dan seterusnya. Ini memberi isyarat kepada betapa sedikit dan remehnya air yang diberikan untuk diminum.
(بِعَتَاقَتِي) Dengan baris atas pada huruf ‘ain. Dalam riwayat Abdul Razzaq, ia disebut sebagai bi ‘itqi, yang lebih sesuai. Namun, pandangan yang lebih tepat adalah menggunakan frasa bi i’taqi, kerana maksudnya adalah pembebasan daripada status perhambaan (الرِّقِّ).
Dalam hadis ini terdapat petunjuk bahawa orang kafir mungkin mendapat manfaat daripada amalan baik di akhirat, tetapi ini bertentangan dengan zahir al-Quran. Allah SWT berfirman:
وَقَدِمْنَا إِلَى مَا عَمِلُوا مِنْ عَمَلٍ فَجَعَلْنَاهُ هَبَاءً مَنْثُورًا
Maksudnya: “Kami hadapkan kepada apa yang mereka lakukan dari amal (duniawi) lalu Kami jadikan amal itu seperti debu yang berterbangan.”
(Surah al-Furqan: 23)
Namun begitu, hal ini dapat dijawab:
- Pertama, hadith ini adalah hadith mursal yang diriwayatkan oleh ‘Urwah tanpa menyebutkan siapa perawinya. Jika dianggap bersambung sanadnya, maka yang terdapat dalam hadith ini adalah mimpi, maka ia tidak boleh dijadikan hujah. Mungkin juga orang yang melihat mimpi itu belum memeluk Islam pada masa tersebut, maka ia tidak dapat dijadikan dalil.
- Kedua, jika hadith ini diterima, ia boleh dianggap sebagai perkara khusus yang berkaitan dengan Nabi Muhammad SAW, berdasarkan kisah Abu Talib, sebagaimana telah disebutkan bahawa azabnya diringankan, dari ghamarat (azab yang sangat berat) kepada dahdahah (azab yang lebih ringan).
Al-Baihaqi berkata: Apa yang datang mengenai batalnya amalan kebaikan bagi orang kafir bermaksud mereka tidak akan terselamat daripada neraka atau masuk ke syurga. Walau bagaimanapun, adalah dibolehkan untuk azab yang dikenakan kepada mereka diringankan, iaitu azab selain daripada kekufuran, kerana kebaikan yang mereka lakukan.
Adapun Qadhi ‘Iyadh berkata: “Telah berlakunya ijma’ bahawa orang-orang kafir tidak mendapat manfaat daripada amalan mereka, dan mereka tidak diberi ganjaran dengan kenikmatan mahupun diringankan azab mereka, meskipun sebahagian mereka lebih berat azabnya daripada yang lain.”
Aku (Ibn Hajar) berkata: Ini tidak menolak kemungkinan yang disebutkan oleh al-Baihaqi, kerana semua yang disebutkan berkaitan dengan dosa kekufuran. Adapun dosa selain daripada kekufuran, apa yang menghalang untuk ia diringankan?
Al-Qurtubi berkata: “Peringanan ini khusus untuk situasi ini dan mereka yang ada nas mengenainya.”
Ibn al-Munir berkata dalam Hasyiah-nya: Terdapat dua perkara:
- Yang pertama mustahil, iaitu mempertimbangkan ketaatan orang kafir bersama kekufurannya, kerana syarat ketaatan adalah niat yang sahih, dan ini tidak terdapat pada orang kafir.
- Yang kedua, pemberian ganjaran kepada orang kafir atas sebahagian amal mereka sebagai keutamaan daripada Allah SWT. Ini tidak mustahil secara akal.
Jika perkara ini disepakati, maka pembebasan hamba oleh Abu Lahab terhadap Thuwaibah bukanlah satu bentuk amal ketaatan yang diiktiraf. Namun, adalah dibolehkan Allah SWT memberi kelebihan kepadanya dengan apa yang Dia kehendaki, sebagaimana Allah memberi kelebihan kepada Abu Talib. Apa yang menjadi panduan dalam hal ini adalah berdasarkan dalil syarak, sama ada dalam bentuk penafian atau penetapan.
Aku (Ibn Hajar) berkata: Kesimpulan daripada hal ini ialah kelebihan yang disebutkan itu berlaku sebagai penghormatan terhadap amal baik yang dilakukan oleh orang kafir terhadap individu tertentu, seperti berlaku ihsan kepadanya dan sebagainya. Wallahua’lam. (Lihat Fath al-Bari, 9/144-146)
Justeru, terdapat dua riwayat yang menceritakan hal ini:
- Pertama: Riwayat daripada ‘Urwah yang diriwayatkan secara mursal bahawa apabila Abu Lahab meninggal dunia, sebahagian keluarganya bermimpi melihatnya dalam keadaan yang buruk. Mereka bertanya: “Apa yang engkau temui?” Abu Lahab menjawab: “Aku tidak menemui apa-apa setelah kematian kalian kecuali aku diberi minum disebabkan aku telah membebaskan Suwaibah.” Riwayat ini disebutkan oleh al-Bukhari (5101).
- Kedua: Al-Suhaili juga menyebut bahawa al-‘Abbas R.Anhuma berkata: “Apabila Abu Lahab meninggal dunia, aku melihatnya dalam mimpi selepas setahun dalam keadaan yang sangat buruk. Aku bertanya: ‘Apa yang engkau alami?’ Dia menjawab: ‘Aku tidak mendapat ketenangan setelah kematian kecuali azab diringankan ke atasku setiap hari Isnin.'” (Lihat Raudh al-Unuf, 5/191-192)
Namun, kedua-dua riwayat ini hanyalah sekadar mimpi yang tidak boleh dijadikan hujah dalam menentukan hukum, terutamanya jika ia bertentangan dengan apa yang telah ditegaskan dalam al-Quran. Allah SWT berfirman:
وَٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ لَهُمْ نَارُ جَهَنَّمَ لَا يُقْضَىٰ عَلَيْهِمْ فَيَمُوتُوا۟ وَلَا يُخَفَّفُ عَنْهُم مِّنْ عَذَابِهَا ۚ
Maksudnya: “Dan orang-orang yang kafir, bagi mereka neraka Jahannam; mereka tidak dijatuhkan hukuman bunuh supaya mereka mati dan terlepas dari seksa, dan tidak pula diringankan azab neraka itu dari mereka; dan demikianlah Kami membalas tiap-tiap orang yang melampau kufurnya.”
(Surah Fatir: 36)
Imam al-Qurtubi berkata: Firman Allah SWT: (Dan orang-orang yang kafir, bagi mereka api neraka Jahanam). Setelah menyebutkan tentang penghuni syurga, keadaan mereka, dan ucapan mereka, Allah SWT menyebut pula tentang penghuni neraka, keadaan mereka, dan ucapan mereka. (Tidaklah diputuskan atas mereka sehingga mereka mati), seperti firman-Nya: (Dia tidak mati di dalamnya dan tidak pula hidup). (Dan tidak akan diringankan azabnya atas mereka), seperti firman-Nya: (Setiap kali kulit mereka hangus, Kami gantikan kulit mereka dengan kulit yang lain agar mereka terus merasakan azab). (Demikianlah Kami membalas setiap orang yang kufur), iaitu orang yang kafir kepada Allah dan Rasul-Nya. (Lihat Jami’ li Ahkam al-Quran, 14/352)
Allah juga berfirman:
وَقَالَ ٱلَّذِينَ فِى ٱلنَّارِ لِخَزَنَةِ جَهَنَّمَ ٱدْعُوا۟ رَبَّكُمْ يُخَفِّفْ عَنَّا يَوْمًا مِّنَ ٱلْعَذَابِ ٤٩ قَالُوٓا۟ أَوَلَمْ تَكُ تَأْتِيكُمْ رُسُلُكُم بِٱلْبَيِّنَـٰتِ ۖ قَالُوا۟ بَلَىٰ ۚ قَالُوا۟ فَٱدْعُوا۟ ۗ وَمَا دُعَـٰٓؤُا۟ ٱلْكَـٰفِرِينَ إِلَّا فِى ضَلَـٰلٍ
Maksudnya: Dan berkatalah pula orang-orang yang ada dalam neraka kepada malaikat-malaikat penjaga neraka Jahannam: “Pohonkanlah kepada Tuhan kamu, supaya Ia meringankan sedikit azab seksa dari kami, barang sehari”. Malaikat penjaga neraka menjawab: “Bukankah kamu telah didatangi Rasul-rasul kamu dengan membawa keterangan-keterangan (yang menyatakan akibat perbuatan derhaka kamu)?” Mereka menjawab: “Ya, telah datang”. Malaikat itu berkata: “Jika demikian, maka berdoalah kamu sendiri. Dan doa permohonan orang-orang yang kafir pada saat ini hanya menyebabkan mereka berada dalam keadaan dukacita dan kecewa sahaja”.
(Surah Ghafir: 49-50)
Ibn Kathir berkata: Firman Allah SWT (Dan orang-orang yang berada dalam neraka berkata kepada penjaga-penjaga neraka Jahanam: Mohonlah kepada Tuhanmu agar diringankan azab kami walaupun sehari sahaja). Setelah mereka mengetahui bahawa Allah SWT tidak akan mengabulkan permintaan mereka atau mendengar doa mereka – bahkan Dia telah berfirman: (Hinakanlah diri kamu di dalamnya, dan janganlah berbicara kepada-Ku) [Al-Mu’minun: 108] – mereka meminta kepada para penjaga neraka, iaitu seperti penjaga pintu bagi penghuni neraka, agar memohon kepada Allah untuk meringankan azab atas mereka, walaupun hanya satu hari. Penjaga neraka pun menjawab kepada mereka: (Bukankah telah datang kepada kamu para rasul dengan membawa bukti-bukti yang nyata?) Maksudnya: Bukankah telah ditegakkan hujah ke atas kamu di dunia melalui lisan para rasul? Mereka menjawab: (Ya, benar). Lalu para penjaga berkata: (Kalau begitu, berdoalah sendiri.) Kami tidak akan mendoakan untuk kamu, tidak akan mendengar doa kamu, dan tidak ingin melihat kamu diselamatkan. Kami berlepas diri daripada kamu. Kemudian kami memberitahu kamu bahawa sama ada kamu berdoa atau tidak, doa kamu tidak akan diterima atau dikabulkan, dan azab tidak akan diringankan atas kamu. Oleh sebab itu, mereka berkata: (Doa orang-orang kafir itu hanyalah sia-sia), iaitu tidak akan diterima dan tidak akan dikabulkan. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 7/149)
Selain itu, kisah Abu Lahab ini juga bertentangan dengan hadith sahih yang diriwayatkan oleh Aisyah R.Anha, katanya:
قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللهِ، ابْنُ جُدْعَانَ كَانَ فِي الْجَاهِلِيَّةِ يَصِلُ الرَّحِمَ وَيُطْعِمُ الْمِسْكِينَ، فَهَلْ ذَاكَ نَافِعُهُ؟ قَالَ: لَا يَنْفَعُهُ، إِنَّهُ لَمْ يَقُلْ يَوْمًا: رَبِّ اغْفِرْ لِي خَطِيئَتِي يَوْمَ الدِّينِ
Maksudnya: Aku berkata: “Wahai Rasulullah, Ibn Jud’an semasa zaman jahiliah menyambung silaturrahim dan memberi makan kepada orang miskin. Adakah perbuatan itu memberi manfaat kepadanya?” Baginda menjawab: “Itu tidak memberi manfaat kepadanya, kerana dia tidak pernah berkata walaupun sekali: ‘Wahai Tuhanku, ampunkan dosaku pada Hari Pembalasan.'”
Riwayat Muslim (241)
Imam Nawawi ketika mensyarahkan hadith ini berkata: Maksud hadith ini ialah bahawa apa sahaja perbuatan kebaikan yang dilakukan, seperti menyambung silaturahim, memberi makan, dan pelbagai amal kebaikan, tidak memberi manfaat kepadanya di akhirat kerana dia seorang kafir. Inilah yang dimaksudkan dengan sabda Rasulullah SAW: “Dia tidak pernah berkata: Wahai Tuhanku, ampunilah dosaku pada hari pembalasan.” Maksudnya, dia tidak beriman kepada kebangkitan semula (di akhirat). Sesiapa yang tidak beriman kepadanya adalah kafir, dan amalannya tidak akan memberi manfaat. Al-Qadhi ‘Iyadh berkata: “Telah sepakat ijma’ bahawa orang-orang kafir tidak mendapat manfaat daripada amalan mereka, dan mereka tidak akan diberi ganjaran dengan nikmat ataupun diringankan azab mereka. Namun, azab sebahagian mereka lebih berat daripada yang lain berdasarkan kejahatan mereka.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 3/87)
Dalam kitab Fatawa al-Syabakah al-Islamiyyah, (1/2407), disebutkan: “Tidak ada sandaran yang sahih. Hal ini kerana kami tidak menjumpai hadith daripada Nabi SAW dengan lafaz seperti ini. Namun, telah diriwayatkan oleh ‘Urwah satu berita secara mursal bahawa apabila Abu Lahab meninggal dunia, sebahagian keluarganya bermimpi melihatnya dalam keadaan yang buruk. Mereka bertanya: “Apa yang engkau temui?” Abu Lahab menjawab: “Aku tidak menemui apa-apa setelah kematian kalian kecuali aku diberi minum disebabkan aku telah membebaskan Suwaibah.” Riwayat ini disebutkan oleh al-Bukhari. Al-Suhaili juga menyebut bahawa al-‘Abbas RA berkata: “Apabila Abu Lahab meninggal dunia, aku melihatnya dalam mimpi selepas setahun dalam keadaan yang sangat buruk. Aku bertanya: ‘Apa yang engkau alami?’ Dia menjawab: ‘Aku tidak mendapat ketenangan setelah kematian kecuali azab diringankan ke atasku setiap hari Isnin.'” Hal ini disebutkan dalam kitab ‘Umdatul Qari karangan al-‘Aini. Namun, kedua-dua riwayat ini hanyalah sekadar mimpi yang tidak boleh dijadikan hujah dalam menentukan hukum, terutamanya jika ia bertentangan dengan apa yang telah ditegaskan dalam al-Quran.”
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa tidak ada dalil al-Quran dan hadith yang menyatakan kisah Abu Lahab diringankan azabnya pada hari Isnin melainkan riwayat daripada ‘Urwah yang diriwayatkan secara mursal, dan ia juga bukanlah daripada perkataan Nabi SAW dan bukan juga mimpi Baginda SAW. Sebaliknya mimpi tersebut adalah dari salah seorang ahli keluarga Abu Lahab. Mimpi tersebut adalah daripada riwayat Ummu Habibah binti Abu Sufyan R.A, seorang Sahabat yang meriwayatkan kata-kata ‘Urwah bin Zubair yang merupakan seorang tabi’in. Manakala ‘Urwah tidak menyebut siapa yang menceritakan kisah mimpi tersebut kepadanya.
Tambahan pula, mimpi bukanlah satu sandaran untuk dijadikan sebagai hujah. Bahkan al-Quran menegaskan bahawa amalan kebaikan orang-orang kafir tidak akan diterima dan akan menjadi seperti debu beterbangan, manakala azab yang mereka terima tidak akan diringankan walaupun sedikit. Dalam hal ini, Allah SWT sahaja yang Maha Berkuasa untuk mengazab ataupun memberi keringanan azab kepada hamba-Nya. Namun, apa yang pasti Allah SWT telah melaknat Abu Lahab melalui satu surah dalam al-Quran iaitu surah Al-Masad.
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”
Nota Hujung:
[1] Disebutkan dalam riwayat yang lain, Abu Lahab diberi minum melalui lubang yang berada dipangkal ibu jarinya.