Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, apakah perbezaan kalimah “al-Tajassus” dan “al-Tahassus”? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan terlebih dahulu dengan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إيّاكُمْ والظَّنَّ، فإنَّ الظَّنَّ أكْذَبُ الحَديثِ، ولا تَحَسَّسُوا، ولا تَجَسَّسُوا، ولا تَباغَضُوا، ولا تَدابَرُوا، وكُونُوا عِبادَ اللَّهِ إخْوانًا.
Maksudnya: “Jauhilah daripada menyangka (bercakap dengan mengagak-agak dan prasangka), kerana sesungguhnya menyangka dan prasangka itu ialah perkataan yang paling dusta, dan janganlah kalian mengintip, dan janganlah kalian mencari-cari kesalahan orang lain, janganlah kalian saling membenci dan saling bermusuhan, jadilah kalian hamba-hamba Allah yang bersaudara.”
Riwayat al-Bukhari (6724) dan Muslim (2563)
Dalam menjawab bagi persoalan di atas, terdapat perbezaan antara kalimah “تَحَسَّسُ” dan ”تَجَسَّسُ“ sebagaimana yang terdapat dalam hadith. Para ulama memberikan penjelasan sebagaimana berikut berikut:
“تَحَسَّسُ” dengan huruf ح merujuk kepada mendengar perbualan atau percakapan orang lain tanpa izin.”تَجَسَّسُ” dengan huruf ج bermaksud mencari-cari keaiban atau kekurangan orang lain.
Terdapat juga pandangan bahawa”تَجَسَّسُ” dengan huruf ج membawa maksud menyelidiki perkara-perkara tersembunyi, yang kebiasaannya dikaitkan dengan niat buruk. Seorang جَاسُوس (pengintip) ialah individu yang membawa rahsia kejahatan, manakala نَامُوس (pembawa berita baik) ialah individu yang menjaga rahsia kebaikan.
Pendapat lain pula menyebut bahawa: ”تَجَسَّسُ” dengan huruf ج merujuk kepada mencari maklumat untuk orang lain. Manakal “تَحَسَّسُ” dengan huruf ح merujuk kepada mencari maklumat untuk diri sendiri. Ini dinyatakan oleh Tha‘lab.
Sebahagian ulama pula menyatakan bahawa kedua-duanya membawa makna yang sama, iaitu usaha mendapatkan maklumat tentang berita yang tersembunyi dan keadaan orang lain. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim, 16/119)
Diriwayatkan bahawa Ibn ‘Abbas R.A pernah ditanya tentang perbezaan antara kedua-duanya (تَحَسَّسُ dan تَجَسَّسُ), lalu beliau menjawab: “Tidak jauh beza antara keduanya: تَحَسَّسُ digunakan untuk kebaikan, dan تَجَسَّسُ digunakan untuk kejahatan.” (Lihat al-Furuq al-Lughawiyyah, hlm.118)
Kedua-dua kalimah tersebut juga disebutkan dalam firman Allah SWT iaitu:
- “تَحَسَّسُ”
Firman Allah SWT:
يَا بَنِيَّ اذْهَبُوا فَتَحَسَّسُوا مِن يُوسُفَ وَأَخِيهِ
Maksudnya: “Wahai anak-anakku! Pergilah dan intiplah khabar berita mengenai Yusuf dan saudaranya (Bunyamin)”
(Surah Yusuf:87)
Al-Alusi menyatakan bahawa: asal perkataan التَّحَسُّس adalah usaha mencari sesuatu dengan pengamatan dan kepekaan. Penggunaannya dalam konteks mengenal pasti atau mengetahui sesuatu merupakan bentuk penggunaan makna asalnya yang lebih mendalam.
Hampir sama maknanya dengan التَّجَسُّس (mengintip) yang menggunakan huruf ج. Namun, dikatakan bahawa التَّجَسُّس sering dikaitkan dengan perkara yang buruk, manakala التَّحَسُّس dengan huruf ح dikaitkan dengan perkara yang baik. (Lihat Ruh al-Ma‘ani, 7/42)
- ”تَجَسَّسُ”
Firman Allah SWT:
وَلَا تَجَسَّسُوا۟ وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا
Maksudnya: “Janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain.”
(Surah al-Hujurat:12)
Ibn Juzai menjelaskan makna “وَلَا تَجَسَّسُوا۟ ” iaitu: Janganlah kamu mencari-cari perkara yang tersembunyi tentang urusan manusia. Dalam hal ini, Hasan membaca perkataan تَحَسَّسُوا dengan huruf ح dan تَجَسَّسُوا dengan huruf ج. Beliau menjelaskan bahawa:
- ”تَجَسَّسُ” (dengan huruf ج) merujuk kepada perbuatan menyelidik dalam perkara kejahatan.
- “تَحَسَّسُ” (dengan huruf ح) merujuk kepada usaha mencari maklumat dalam perkara kebaikan. (Lihat al-Tashil li ‘Ulum al-Tanzil, 2/297)
Kesimpulan
Kesimpulannya, kedua-dua istilah التَّحَسُّس dan ”التَّجَسُّس” membawa makna usaha mencari maklumat, tetapi penggunaannya berbeza dari segi tujuan dan niat. التَّحَسُّس biasanya dikaitkan dengan perkara kebaikan, seperti usaha mencari berita yang bermanfaat namun dalam sesetengah konteks ia juga membawa makna yang negatif. Manakala kalimah ”التَّجَسُّس” pula sering dikaitkan dengan niat buruk, seperti menyelidiki keaiban atau kelemahan orang lain. Dalam al-Quran dan hadith, kedua-dua istilah ini digunakan untuk memberi panduan etika kepada manusia agar berhati-hati dalam mencari maklumat, sama ada untuk diri sendiri atau orang lain. Larangan terhadap ”التَّجَسُّس” menunjukkan pentingnya menjaga privasi dan tidak mencari-cari keburukan, manakala galakan untuk التَّحَسُّس dalam konteks tertentu menunjukkan kepentingan usaha mengenal pasti perkara yang bermanfaat.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”
(Surah al-Baqarah:201)
Wallahu‘alam