#7705: Amalan yang Boleh Membawa kepada Mimpi Rasulullah SAW

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh kongsikan tentang amalan-amalan yang boleh membawa kepada mimpi bertemu Rasulullah SAW?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Amalan-amalan soleh yang penuh dengan keikhlasan boleh menjadi penyebab seseorang itu direzekikan oleh Allah SWT untuk melihat Rasulullah SAW di dalam mimpinya. Di antara amalan yang boleh diamalkan dengan niat ikhlas adalah:

  1. Memperbanyakkan selawat ke atas Nabi SAW.

Firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّـهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.

(Surah al-Ahzab: 56)

Syeikh al-Sa‘di ketika menafsirkan ayat ini menyebutkan, ini mengandungi peringatan tentang kesempurnaan Rasulullah SAW, ketinggian darjat Baginda, kemuliaan kedudukannya di sisi Allah dan makhluk-Nya. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman fi Tafsir Kalam al-Mannan, 1/671).

Selain itu, Fakhruddin al-Razi pula menyatakan, al-Salah (الصَّلَاةُ) di sini merujuk kepada doa. Dari segi bahasa, apabila dikatakan “صَلَّى عَلَيْهِ” bermaksud “berdoa untuknya.” Namun, makna ini tidak masuk akal (tidak dapat diterima) jika diaplikasikan dalam konteks Allah SWT, kerana Dia tidak berdoa untuk sesiapa, kerana doa untuk orang lain adalah meminta manfaatnya daripada pihak ketiga. (Lihat Mafatih al-Ghaib, 25/181).

Justeru, berselawat kepada Rasulullah SAW dengan banyak adalah satu cara utama untuk mendekatkan diri kepada Allah sebagai mematuhi perintah-Nya dalam ayat di atas. Di samping itu, mereka yang banyak berselawat kepada Nabi SAW memiliki peluang yang lebih tinggi untuk bertemu dengan Rasulullah SAW dalam mimpi kerana secara tidak langsung amalan selawat ini tidak dilakukan melainkan adanya kecintaan dan keterikatan hati kepada Baginda SAW

  1. Memperbanyakkan Istighfar dan Memperbaiki Amalan Harian

Sentiasa beristighfar untuk membersihkan hati dari dosa, kerana hati yang bersih lebih mudah untuk menerima ilham dan kebaikan. Istighfar yang ikhlas dan bertaubat boleh menguatkan hubungan kerohanian dengan Allah SWT dan Rasul-Nya. Sehubungan dengan itu, apabila hubungan kerohaniannya dengan Allah dan juga Rasul-Nya kuat, maka secara tidak langsung ia turut meningkatkan peluangnya untuk bertemu dengan Rasulullah SAW. Ini seperti mana yang difirmankan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya melalui firman-Nya:

وَأَنِ ٱسْتَغْفِرُوا۟ رَبَّكُمْ ثُمَّ تُوبُوٓا۟ إِلَيْهِ يُمَتِّعْكُم مَّتَـٰعًا حَسَنًا إِلَىٰٓ أَجَلٍۢ مُّسَمًّۭى وَيُؤْتِ كُلَّ ذِى فَضْلٍۢ فَضْلَهُۥ ۖ وَإِن تَوَلَّوْا۟ فَإِنِّىٓ أَخَافُ عَلَيْكُمْ عَذَابَ يَوْمٍۢ كَبِيرٍ

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu memohon keampunan daripada Tuhanmu terhadap segala dosa kamu. Kemudian hendaklah kamu kembali bertaubat dan taat kepada-Nya; supaya Dia memberikan kamu nikmat kesenangan hidup yang baik di dunia hingga ke suatu masa yang tertentu. Dan setiap orang yang mempunyai amalan yang baik akan dikurniakan balasan yang baik. Oleh itu, seandainya kamu berpaling daripada apa-apa yang aku sampaikan dan mendustakannya, maka sesungguhnya aku takut kamu akan ditimpa azab pada hari kiamat yang ketakutannya amat dahsyat.”

(Surah Hud: 3)

Begitu juga dengan firman Allah SWT:

فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا (10) يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُم مِّدْرَارًا (11) وَيُمْدِدْكُم بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ وَيَجْعَل لَّكُمْ جَنَّاتٍ وَيَجْعَل لَّكُمْ أَنْهَارًا

Maksudnya: “Sehingga aku berkata (kepada mereka): ‘Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun.’ (Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu; Dan Dia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).”

(Surah Nuh: 10-12)

Ibn Kathir menyebutkan, maksudnya adalah, jika kamu bertaubat kepada Allah, memohon ampun kepada-Nya dan kamu sentiasa mentaati-Nya, nescaya Dia akan membanyakkan rezeki kamu, menurunkan air hujan serta keberkatan dari langit, mengeluarkan keberkatan dari bumi, menumbuhkan tumbuh-tumbuhan untuk kamu, melimpahkan air perahan susu untuk kamu, membanyakkan harta dan anak-anak untuk kamu, menjadikan kebun-kebun yang di dalamnya terdapat pelbagai jenis buah-buahan untuk kamu, dan mengalirkan sungai-sungai di antara kebun-kebun itu. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/449)

  1. Menjaga Kesucian Jiwa dan Akhlak

Mereka yang berharap untuk bertemu Rasulullah SAW dalam mimpi dianjurkan untuk memperbaiki amal ibadah, memperelok akhlak, dan menjauhi maksiat, kerana mimpi bertemu Baginda adalah anugerah yang sering diperoleh mereka yang ikhlas dan mendekatkan diri kepada Allah. Melakukan amalan soleh, bertaubat dengan sepenuh hati, serta memperbanyakkan zikir dan amalan sunnah dalam menyucikan jiwa adalah cara-cara yang membantu mendekatkan diri kepada Allah, serta memperkuat ikatan cinta dan kerinduan terhadap Rasulullah SAW . Keikhlasan dalam amalan-amalan ini dapat membuka hati seseorang untuk menerima rahmat dan petunjuk dari Allah, yang kadangkala dizahirkan melalui mimpi bertemu Baginda, seperti kisah-kisah yang diriwayatkan oleh para ulama. Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا تُوبُوا إِلَى اللَّهِ تَوْبَةً نَّصُوحًا عَسَىٰ رَبُّكُمْ أَن يُكَفِّرَ عَنكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَيُدْخِلَكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ

Maksudnya: “‘Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat Nasuha, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai’.”

(Surah al-Tahrim: 8)

Imam Ibn Kathir mengatakan, taubat yang sebenarnya dengan tekad yang penuh, yang dapat menghapuskan pelbagai keburukan yang pernah ada sebelumnya, yang akan menyatukan dan mengumpulkan orang yang bertaubat, juga menahan dirinya daripada pelbagai perbuatan hina. Oleh yang demikian, para ulama menyebut bahawa taubat nasuha adalah bertekad untuk meninggalkan dosa yang akan datang dan menyesali dosa-dosa yang telah lalu, dan kemudian berazam bersungguh-sungguh untuk tidak mengerjakannya kembali pada masa depan. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 14/60-61)

Ayat ini mengingatkan bahawa bertaubat dengan taubat nasuha, iaitu taubat yang benar-benar ikhlas dan jujur, mampu membersihkan jiwa dari dosa dan kesalahan. Kebersihan jiwa adalah asas penting bagi seseorang yang berharap dapat bermimpi bertemu Rasulullah SAW, kerana jiwa yang bersih lebih mudah untuk menerima anugerah kurniaan rohani dan pertemuan yang istimewa dalam mimpi.

  1. Menghidupkan Sunnah Rasulullah SAW

Mengamalkan sunnah Rasulullah SAW dalam kehidupan seharian adalah salah satu cara untuk mendekatkan diri kepada Baginda SAW. Dengan mengikuti sunnah dalam setiap aspek kehidupan, seperti beribadah, berakhlak mulia, menjaga adab, dan mengamalkan zikir, seorang Muslim menguatkan hubungan rohaninya dengan Rasulullah SAW. Ini kerana sunnah bukan sahaja mencerminkan kecintaan kepada Baginda SAW, tetapi juga membentuk jiwa dan hati seseorang agar lebih hampir dengan Baginda SAW.

Lebih-lebih lagi, berkenaan menghidupkan sunnah ini juga terdapat riwayat daripada ‘Amr bin ‘Auf R.A, katanya: Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ أَحْيَا سُنَّةً مِنْ سُنَّتِي، فَعَمِلَ بِهَا النَّاسُ، كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا، لَا يَنْقُصُ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْئًا، وَمَنْ ابْتَدَعَ بِدْعَةً، فَعُمِلَ بِهَا، كَانَ عَلَيْهِ أَوْزَارُ مَنْ عَمِلَ بِهَا، لَا يَنْقُصُ مِنْ أَوْزَارِ مَنْ عَمِلَ بِهَا شَيْئًا

Maksudnya: “Sesiapa yang menghidupkan satu sunnahku, yang kemudian diamalkan oleh orang lain, maka dia akan memperoleh ganjaran seperti ganjaran mereka yang mengamalkannya, tanpa sedikit pun mengurangkan pahala mereka yang mengamalkannya. Begitu juga sesiapa yang memperkenalkan satu amalan bidaah yang diamalkan oleh orang lain, maka dia akan menanggung dosa sebanyak dosa mereka yang mengamalkannya, tanpa sedikit pun mengurangkan dosa mereka yang mengamalkannya.”

Riwayat Ibn Majah (209) dan al-Tirmizi (2677). Dinilai sebagai Sahih li ghairihi dalam Sahih Ibn Majah (174)

Nabi Muhammad SAW dalam hadith yang disebutkan menjelaskan kepentingan mengikuti sunnah Baginda SAW, sama ada melalui perkataan, perbuatan, sifat, atau pengakuan Baginda SAW. Setiap Muslim yang hakiki perlu mengikuti sunnah Nabi SAW dalam perkara-perkara yang diperintahkan dan amalan-amalan kebaikan, serta menjauhi larangan berkaitan dosa dan maksiat, yang Baginda tekankan agar umatnya menjauhinya. Baginda SAW juga menjelaskan ganjaran bagi sesiapa yang menghidupkan sunnah, lalu sunnah itu pula diikuti oleh orang lain. Ini bermaksud Allah SWT akan mengurniakan pahala setara kepada orang yang menghidupkan sunnah tersebut, sama seperti orang yang mengikutinya, tanpa mengurangkan pahala masing-masing. Sunnah yang dihidupkan boleh merujuk kepada amalan yang diwajibkan seperti zakat fitrah, atau amalan sunat seperti solat tahajjud dan qiamullail. Menghidupkan sunnah juga boleh bermaksud mendorong orang lain untuk mengamalkan sunnah tersebut. Begitu juga ia boleh bermaksud mengajarkan agama dan sunnah Rasulullah SAW kepada masyarakat agar mereka memahami dan mengamalkan ajaran Baginda SAW.[1]

Dalam hadith ini, terdapat juga peringatan yang jelas untuk menjauhi perbuatan bidaah iaitu mengada-adakan sesuatu baharu yang tidak ada asasnya/sandaran dalam agama yang telah disempurnakan oleh Allah SWT. Nabi SAW menjelaskan bahawa sesiapa yang menyebarkan bidaah dan menjadi sebab orang lain mengikutinya akan menerima dosa yang sama seperti mereka yang melakukannya. Ini bermakna, mereka yang mengamalkan bidaah tidak hanya merosakkan sunnah tetapi juga menenggelamkan amalan baik yang menghidupkan sunnah Rasulullah SAW. Ini sesuai dengan kata-kata salaf sebagaimana dinukilkan oleh Syeikh Soleh al-Munajjid:

مَا أُحْيِيَتْ بِدْعَةٌ إِلَّا وَأُمِيتَتْ سُنَّةٌ

Maksudnya: “Tidaklah satu bidaah dihidupkan melainkan satu sunnah akan dimatikan.”[2]

Justeru, melalui penghayatan sunnah, seseorang dapat meningkatkan kemurnian hati, yang mungkin menjadi asbab diizinkan Allah untuk melihat Rasulullah SAW dalam mimpi sebagai satu anugerah bagi hati yang ikhlas dan cinta kepada Baginda SAW.

  1. Membaca Sirah Nabi dan Kitab-Kitab yang Mengisahkan Kehidupan Rasulullah SAW

Membaca sirah Rasulullah SAW bukan sahaja menambah cinta dan rindu kepada baginda, tetapi juga memperdalam pemahaman tentang perjuangan dan sifat-sifat mulia baginda. Seorang mukmin yang memahami perjalanan hidup Rasulullah SAW akan merasa lebih dekat dan terinspirasi untuk mencontohi akhlaknya dalam kehidupan seharian. Amalan ini membantu seseorang untuk berhubung dengan baginda secara rohani, memperkuat keimanan dan cinta yang tulus kepada Rasulullah SAW. Cinta yang mendalam ini boleh menjadi asbab untuk seseorang diberi mimpi bertemu dengan Rasulullah SAW yang dianggap sebagai satu rahmat dan kemuliaan bagi mereka yang mencintainya.

Tidak diragukan bahawa para ulama — dahulu dan sekarang — telah memberi perhatian yang besar terhadap sirah Rasulullah SAW, kerana dengan petunjuk Baginda SAW, kehidupan menjadi teratur dan jalan menjadi jelas. Sesungguhnya Allah SAW telah berfirman:

لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ ٱللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌۭ لِّمَن كَانَ يَرْجُوا۟ ٱللَّهَ وَٱلْيَوْمَ ٱلْـَٔاخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِيرًۭا

Maksudnya: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).”

(Surah al-Ahzab: 21)

Ibn Juzai menyebutkan bahawa sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu Iaitu teladan yang kamu ikuti pada diri baginda SAW dalam keyakinan, kesabaran, dan segala sifat-sifat mulia lainnya. (Lihat al-Tashil li ‘Ulum al-Tanzil, 2/149)

Syaikh Abu al-Hasan al-Nadwi berkata: Sesungguhnya sirah nabawiyyah, kisah para sahabat, dan sejarah mereka R.Anhum adalah antara sumber kekuatan iman dan semangat keagamaan yang paling kuat. Sumber ini sentiasa menjadi pencetus iman yang menyala dalam hati umat ini dan para pendakwah agama, menerangi jiwa-jiwa yang mudah padam dan lemah di tengah-tengah badai materialistik. Apabila cahaya ini padam, maka umat ini akan kehilangan kekuatannya, keistimewaannya, dan pengaruhnya, serta akan menjadi jasad yang tidak bernyawa, yang hanya ditanggung oleh kehidupan di atas bahunya. (Lihat al-Lu’lu’ al-Maknun fi Sirah al-Nabi al-Ma’mun, 1/16)

Justeru, dengan mempelajari sirah, ia tidak hanya meningkatkan cinta dan keimanan, tetapi juga diyakini sebagai cara untuk membuka jalan bagi seseorang bermimpi bertemu Rasulullah SAW. Para ulama sering mengaitkan cinta yang tulus dan penghayatan mendalam terhadap baginda sebagai sebab yang membawa kepada keistimewaan mimpi bertemu baginda, yang dianggap sebagai anugerah istimewa daripada Allah SWT.

  1. Berdoa Secara Khusus untuk Bertemu Rasulullah SAW

Antara amalan yang boleh dilakukan adalah dengan memohon kepada Allah SWT secara tulus untuk bertemu Rasulullah SAW dalam mimpi. Sesungguhnya doa adalah kunci kepada keinginan dan harapan seorang hamba kepada Tuhannya.

Doa yang dilakukan mestilah penuh keikhlasan dan niat yang benar, untuk menggapai redha Allah SWT dan meningkatkan kecintaan kepada Rasulullah SAW. Niat yang benar ini juga sebahagian dari konsep al-mutaba‘ah (المُتَابَعَةُ), yakni selari dengan apa yang diharuskan oleh syara‘. Menjaga asas ini adalah penting dalam setiap amalan termasuk dalam doa untuk bertemu Rasulullah SAW. Niat dengan ikhlas dalam beribadah ini adalah sebagaimana firman Allah SWT:

وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّـهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ

Maksudnya: “Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah SWT dengan mengikhlaskan ibadah kepada-Nya.”

(Surah al-Bayyinah: 5)

Ikhlas itu adalah penyucian dan pemurnian, yakni tidak menyekutukan Allah SWT dalam ibadah kepada-Nya. Imam al-Qurtubi menyatakan, hal Ini kerana ikhlas merupakan amalan hati dan ia perlulah dilakukan semata-mata kerana Allah SWT dan tidak pada selain daripada-Nya. (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 30/480; al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 20/144)

Oleh yang demikian, Imam Ibn  al-Qayyim menyimpulkan bahawa Allah SWT menjadikan ikhlas dan al-mutaba‘ah ini sebagai asbab penerimaan amal ibadah. Apabila hilang kedua-dua, nescaya amalan tersebut tidak akan diterima-Nya. (Lihat al-Ruh, 1/135)

Doa itu juga mestilah dilakukan dengan Khusyuk. Antara contoh lafaz doa boleh dilakukan dengan lafaz yang mudah dan tulus:

“Ya Allah, kurniakanlah aku kesempatan untuk bertemu dengan Rasul-Mu, Nabi Muhammad SAW, dalam mimpiku. Jadikan pertemuan itu sebagai pendorong kecintaan dan ikutan terhadap sunnah Baginda. Ya Allah, limpahkanlah selawat dan salam kepada Nabi Muhammad, ahli keluarganya, dan para sahabatnya.”

  1. Mencintai Rasulullah SAW dengan Sebenar-benar Kecintaan

Secara umumnya, mencintai Rasulullah SAW termasuk dalam kesempurnaan iman. Allah SWT berfirman:

قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ ‎

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.’

(Surah Ali ‘Imran: 31)

Ibn Kathir menyebutkan, ayat ini menjadi pemutus bagi setiap orang yang mengaku mencintai Allah SWT tetapi tidak menempuhi jalan Muhammad SAW, bahawa dia adalah pembohong dalam pengakuan cintanya itu sehinggalah dia mengikuti syariat dan agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW dalam semua ucapan dan perbuatannya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/231)

Begitu juga Ibn Rajab al-Hanbali turut menyatakan, seorang insan itu tidak menjadi Mukmin yang sempurna imannya sehingga dia menjadikan kecintaannya mengikut apa yang telah dibawakan oleh Nabi SAW dari segi arahan dan juga larangan. Mereka menyukai apa yang telah diarahkan dan membenci apa yang dilarang. (Lihat Jami‘ al-‘Ulum wa al-Hikam, 3/1148).

Selain itu, terdapat hadith di mana Rasulullah SAW bersabda:

لا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ وَالِدِهِ وَوَلَدِهِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ

Maksudnya: “Tidak sempurna iman salah seorang dari kamu sehingga aku dicintai lebih daripada bapa-bapanya, anak-anaknya dan seluruh manusia.

Riwayat al-Bukhari (15) dan Muslim (44)

Sesiapa yang mencintai Allah dan Rasul-Nya dengan sebenar-benar kecintaan di dalam jantung hatinya, maka wajib ke atasnya untuk mencintai apa yang dicintai oleh Allah dan Rasul-Nya. Bencinya juga adalah pada perkara yang dibenci oleh Allah dan Rasul-Nya dan meredhai apa yang telah Allah dan Rasul-Nya redha. Sekiranya amal perbuatannya menyalahi sesuatu yang telah ditetapkan oleh Allah serta Rasul-Nya, maka itu adalah tanda kurangnya kecintaan dan wajiblah bertaubat serta kembali melengkapkan kecintaannya semula. (Lihat Jami‘ al-‘Ulum wa al-Hikam, 3/1150).

Begitulah hawa nafsu yang sepatutnya mengikuti ajaran Nabi SAW yang mana adalah manifestasi cinta terhadap Allah dan juga Rasul-Nya. Seorang penyair mendendangkan syairnya:

لَوْ كَانَ حُبُّكَ صَادِقًا لَأَطَعْتَهُ… إِنَّ الحِبَّ لِمَنْ يُحِبُّ مُطِيعٌ

Sekiranya kecintaanmu itu benar nescaya kamu akan taat kepadanya…

Sesungguhnya orang yang mencintai, untuk siapa yang dicintainya itu akan taat (kepadanya).”

Al-Baihaqi dalam Syu‘ab al-Iman (1/386) menisbahkan syair ini kepada Abu al-‘Atahiyah.

Oleh yang demikian, jelaslah bahawa mencintai Rasulullah SAW dengan kecintaan yang sebenar ialah mengikuti setiap ajaran dan sunnah Baginda dengan ikhlas dan sepenuh hati, serta menjadikan Baginda teladan utama dalam kehidupan. Kecintaan ini bukan hanya dilafazkan, tetapi ditunjukkan melalui ketaatan dan perbuatan. Ulama menyatakan bahawa cinta yang mendalam kepada Rasulullah SAW membantu menyucikan hati dan menimbulkan kerinduan untuk bertemu Baginda, yang seterusnya meningkatkan peluang berjumpa Baginda dalam mimpi. Ini adalah hasil dari hati yang sentiasa hidup dengan zikrullah, penghayatan sirah, dan mencintai Baginda melebihi segala-galanya sebagai tanda iman yang sempurna.

Kami juga ada menulis berkenaan isu ini dalam eBook kami bertajuk: Melihat Rasulullah SAW di Alam Mimpi: Antara Kebenaran dan Dakwaan.[3]

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Nota Hujung:

[1] Lihat juga  https://dorar.net/hadith/sharh/42609. Diakses pada 8 November 2024.

[2] LIhat https://islamqa.info/ar/answers/864/البدعةالحسنة. Diakses pada 8 November 2024.

[3] Untuk bacaan lanjut, boleh mendapatkannya di pautan berikut: https://play.google.com/store/books/details?id=R6Q2EQAAQBAJ