#7707: Khadir dan Sebab Dinamakan Khadir

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan tentang nama seorang yang dinamakan Khadir atau Nabi Khadir dan sebab dinamakan dengan Khadir?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Khadhir ialah seorang hamba yang soleh, yang disebut oleh Allah SWT dalam surah al-Kahfi, di mana Nabi Musa AS telah menemaninya dan belajar daripadanya. Dia telah meletakkan syarat kepada Nabi Musa AS untuk bersabar (atas apa jua perbuatan dan tindakannya), lalu barulah dia akan menjawab atau menjelaskan setiap tindakannya itu kepada Nabi Musa AS. Kisah mengenai Khadhir ini ada dirakamkan dalam al-Quran dalam surah al-Kahfi, daripada ayat 60 sehingga ayat 82.

Terdapat perbezaan pendapat yang sangat ketara dan besar berkenaan nama sebenar Khadhir. Ada yang berpendapat, nama sebenarnya ialah Balya bin Malkan bin Falagh bin Syalikh bin Arfakhsyaz bin Sam bin Nuh AS, dan ini merupakan pendapat Wahb bin Munabbih. Ada juga yang berpendapat, namanya ialah Iliya bin ‘Amil bin Syamalakhin bin Arma bin ‘Alqama bin ‘Isu bin Ishaq bin Ibrahim AS. Ada juga yang berpendapat, namanya ialah Armiya bin Halaqiya daripada keturunan Harun, dan ini merupakan pendapat al-Tha‘labi.

Kemudian, al-Damiri menyimpulkan, pendapat yang paling tepat yang mana dinukilkan oleh ahli sejarah dan thabit daripada Nabi SAW sebagaimana disebutkan juga al-Baghawi dan selainnya bahawa namanya ialah Balya. Dikatakan bahawa Khadhir termasuk dalam kalangan Bani Israil. Ada juga yang berpendapat dia tergolong dalam kalangan anak-anak raja (penguasa), dan nama julukannya (kunyahnya) ialah Abu al-‘Abbas. (Lihat Hayah al-Hayawan al-Kubra, Dar al-Basya’ir, 2/150).

Begitu juga, terdapat riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّمَا سُمِّيَ الخَضِرُ أَنَّهُ جَلَسَ عَلَى فَرْوَةٍ بَيْضَاءَ، فَإِذَا هِيَ تَهْتَزُّ مِنْ خَلْفِهِ خَضْرَاءَ

Maksudnya:Sesungguhnya dia dinamakan Khadhir kerana dia duduk di atas pakaian kulit yang diperbuat daripada bulu binatang yang berwarna putih, tiba-tiba pakaian itu bergerak-gerak kerana tumbuh tumbuhan hijau yang tumbuh di bawahnya.”

Riwayat al-Bukhari (3402)

Menurut al-Mulla Ali al-Qari ada membahaskan berkenaan maksud “فَرْوَةٍ بَيْضَاءَ”. Di dalam al-Nihayah,  ia merujuk kepada tikar kulit yang kering. Namun, ada juga yang berpendapat ia adalah jerami kering daripada tumbuh-tumbuhan. Kemudian, Al-Mulla Ali al-Qari mengulas kedua-dua pendapat itu dengan menyebutkan, makna kedua-duanya adalah sama dan ia merujuk kepada sesuatu yang kering. Namun, orang yang mensyarahkan hadith ini (pengarang al-Nihayah) memilih pendapat yang kedua iaitu yang dimaksudkan dengan al-farwah ialah jerami kering yang menyerupai tikar kulit. Selain itu, ada juga yang berpendapat, ia ialah tanah kering. Dikatakan ia merujuk kepada tanah di permukaan bumi, dan ada juga yang berpendapat, potongan tumbuh-tumbuhan kering yang dikumpulkan. Menurutnya (al-Mulla Ali al-Qari), inilah pendapat yang azhar (kuat). (Lihat Mirqah al-Mafatih, 9/3647).

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”