#7710: Kaedah Menguruskan Khilaf

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana cara yang terbaik untuk kita menguruskan khilaf yang berlaku?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Islam telah meletakkan sendi-sendi adab yang tinggi bagi umatnya, termasuklah dalam pergaulan mereka bersama saudara-saudaranya tatkala berlaku perselisihan pandangan dalam masalah-masalah ijtihadiyah. Memadai dengan sabda Nabi SAW:

إِنَّمَا بُعِثْتُ لِأُتَمِّمَ صَالِحَ الْأَخْلَاقِ

Maksudnya: “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak-akhlak yang mulia.”

Riwayat Ahmad (8952). Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut menilai hadith ini sebagai sahih dan sanadnya kuat.

Al-Tahawi menjelaskan, makna “soleh al-akhlaq” dalam hadith di atas adalah menyempurnakan agama-agama iaitu Islam. (Lihat Syarh Musykil al-Athar, 11/262)

Walaupun manusia tidak akan bersamaan pada pemikiran dan kemampuan untuk bersatu secara keseluruhannya, namun sewajarnya seseorang mampu menguruskan khilaf dengan baik.

Antara sikap yang baik dalam menguruskan khilaf adalah:

  • Melazimi sifat berlapang dada dan boleh menerima khilaf khususnya dalam perkara cabang.

Dalam menerima kritikan, kita juga hendaklah bersikap berlapang dada. Sesungguhnya sikap menolak kebenaran dan kemarahan kerana semata-mata membela diri adalah kesombongan. Nabi SAW bersabda:

الْكِبْرُ بَطَرُ الْحَقِّ وَغَمْطُ النَّاسِ

Maksudnya: “Sombong adalah menolak kebenaran dan meremehkan orang lain.”

Riwayat Muslim (91), Abu Daud (4092), al-Hakim (7366), al-Baihaqi dalam Syu‘ab al-Iman (6193) dan al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (556)

  • Melazimi sifat mengasihi dan menghormati saudara seislam mengatasi segala-galanya.
  • Mengelakkan prasangka dan hasad dengki serta dendam kesumat.
  • Melihat sejarah generasi sahabat di mana khilaf dalam kalangan mereka tidak membawa perpecahan tetapi mengeratkan lagi ikatan ukhuwah.
  • Melihat kepada maslahat yang lebih besar dan mengetepikan hal yang remeh-temeh.
  • Perbincangan yang dilakukan sesama saudara Muslim hendaklah dengan cara dan kaedah yang baik. Tujuan sewajarnya adalah untuk mencapai kebenaran, bukan membela hawa nafsu yang sentiasa menyuruh ke arah kejahatan.

Sekiranya perbincangan telah sampai pada tahap pertengkaran, maka ucapkanlah salam/selamat berpisah dan sebutlah sabda Nabi SAW:

أَنا زَعِيمٌ ببَيتٍ في ربَضِ الجنَّةِ لِمَنْ تَرَكَ المِرَاءَ وَإِنْ كَانَ مُحِقًّا

Maksudnya: “Aku menjamin sebuah mahligai di taman syurga bagi orang yang meninggalkan debat meskipun dia benar.

Riwayat Abu Daud (4800), al-Tirmizi (1993), al-Baihaqi dalam Syu‘ab al-Iman (8017) dan al-Tabarani (8/117). Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut menilai sanadnya sebagai kuat.

Ibn Abd al-Bar menukilkan daripada Zakaria bin Yahya, katanya: Aku mendengar al-Asma’i berkata: Abdullah bin Hasan berkata:

الْمِرَاءُ يُفْسِدُ الصَّدَاقَةَ الْقَدِيمَةَ وَيَحِلُّ الْعُقْدَةَ الْوَثِيقَةَ، وَأَقَلُّ مَا فِيهِ أَنْ تَكُونَ الْمُغَالَبَةُ، وَالْمُغَالَبَةُ أَمْتَنُ أَسْبَابِ الْقَطِيعَةِ

Maksudnya: “Pertengkaran mulut akan merosakkan persahabatan yang lama dan mencerai-beraikan ikatan (persaudaraan) yang kuat. Sekurang-kurangnya, (pertengkaran mulut) akan membawa kepada mughalabah (keinginan untuk saling mengalahkan), manakala mughalabah adalah penyebab terkuat yang membawa kepada putusnya ikatan persaudaraan.” (Lihat Jami’ Bayan al-‘Ilm wa Fadhlihi, 2/952)

  • Hendaklah memilih ucapan yang baik dalam berbincang sesama saudara Muslim. Allah SWT berfirman:

وَقُولُوا لِلنَّاسِ حُسْنًا

Maksudnya: “Dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik.”

(Surah al-Baqarah: 83)

Syeikh al-Sa‘di menjelaskan bahawa termasuk di dalam perkataan-perkataan yang baik itu ialah menyeru mereka kepada kebaikan dan mencegah mereka daripada kemungkaran, mengajarkan mereka ilmu pengetahuan, menyebarkan salam serta senyuman, dan lain-lain lain (perkara) yang termasuk di dalam (lingkungan) kata-kata yang baik.

Apabila tidak semua manusia mampu membantu manusia (yang lain) dengan hartanya, mereka diperintahkan untuk berbuat baik (ihsan) kepada setiap makhluk dengan perkara yang mereka mampu iaitu berbicara dengan kata-kata yang baik. Termasuk di dalamnya, larangan daripada berbicara kepada sesama manusia dengan perkataan yang buruk sekalipun kepada orang kafir. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 57)

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Darda’ R.A, Nabi SAW bersabda:

مَا شَيْءٌ أَثْقَلُ فِي مِيزَانِ الْمُؤْمِنِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ خُلُقٍ حَسَنٍ، وَإِنَّ اللَّهَ لَيَبْغَضُ الْفَاحِشَ الْبَذِيءَ

Maksudnya: “Tidak ada sesuatu pun yang lebih berat dalam timbangan seorang mukmin pada Hari Kiamat berbanding akhlak yang baik, dan sesungguhnya Allah murka terhadap orang yang keji dan buruk (akhlaknya).”

Riwayat Abu Daud (4799), Ahmad (27517), al-Tirmizi (2002) dan Ibn Hibban (5693). Imam al-Tirmizi menyatakan hadith ini hasan sahih. Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut menilai hadith ini sebagai sahih.

Dalam hadith lain, Rasulullah SAW bersabda:

شِرَارُ عِبَادِ اللهِ الْمَشَّاءُونَ بِالنَّمِيمَةِ، الْمُفَرِّقُونَ بَيْنَ الْأَحِبَّةِ، الْبَاغُونَ الْبُرَآءَ الْعَنَتَ

Maksudnya: “Sejahat-jahat hamba Allah ialah mereka yang berjalan membawa mulut, iaitu mengadu domba, yang suka memecah-belahkan antara orang-orang yang berkasih sayang, yang mencacatkan orang-orang yang suci dengan kata-kata yang jahat.”

Riwayat Ahmad (17998) dan Abu Nu’aim dalam Ma’rifah al-Sahabah (4700). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan hadith ini hasan dalam Takhrij al-Musnad (17998).

Dr. Yusuf al-Qaradawi menyebut di dalam kitabnya bahawa Islam sangat marah terhadap orang yang gemar mendengar perkataan yang buruk, lalu segera menyampaikan kepada orang lain untuk bermusuh-musuhan atau kerana ingin menimbulkan fitnah, atau bertujuan untuk memporak-perandakan hubungan antara satu sama lain supaya hancur dan binasa. (Lihat al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hlm. 369)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”