#7714: Hukuman Terhadap Penzina dalam Islam

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan, apakah hukuman terhadap penzina dalam Islam?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Secara umumnya, dalam Islam, hukuman terhadap penzina terbahagi kepada dua iaitu; penzina yang pernah berkahwin dan penzina yang belum pernah berkahwin.

Pertama: Penzina yang pernah berkahwin

Hukuman bagi yang telah berkahwin jauh lebih berat kerana mereka bukan sahaja melakukan dosa besar yang amat ditegah oleh syara‘, bahkan mereka juga telah mengkhianati pasangan mereka yang dikahwini secara sah.

Dr ‘Abd al-Qadir al-‘Audah berkata, hukuman bagi penzina yang telah berkahwin ini diberatkan kerana perkahwinan itu sepatutnya menjauhkan seseorang itu dari berfikir ke arah zina. Jika dia fikir untuk melakukan zina selepas itu, ini menunjukkan bahawa dia mempunyai nafsu yang kuat ke arah berlazat-lazat dengan cara yang haram, dan kuat keghairahannya untuk berjimak. Maka wajib untuk ditetapkan ke atasnya hukuman yang memberikan kesakitan dan azab seksa yang dahsyat atas perbuatannya itu. (Lihat al-Tasyri‘ al-Jina’i fi al-Islam, 1/641).

Hukuman yang berat dan dahsyat yang disebutkan ini adalah hukuman rejam sehingga mati. Hukuman ini thabit berdasarkan nas-nas syara‘. Antaranya adalah, seperti yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, katanya:

أَتَى رَجُلٌ رَسُولَ اللهِ ﷺ وَهُوَ فِي الْمَسْجِدِ فَنَادَاهُ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنّيِ زَنَيْتُ. فَأَعْرَضَ عَنْهُ. فَلَمَّا شَهِدَ عَلَى نَفْسِهِ أَرْبَعًا قَالَ: أَبِكَ جُنُونٌ؟ قَالَ: لاَ. قَالَ: اذْهَبُوا بِهِ فَارْجُمُوهُ

Maksudnya: “Seorang lelaki datang menemui Rasulullah SAW ketika Baginda berada di masjid, lalu dia memanggil Baginda lalu berkata: ‘Wahai Rasulullah, sungguh aku telah berzina.’ Lantas Baginda berpaling daripadanya. Setelah orang itu memberi kesaksian ke atas dirinya sebanyak empat kali maka Baginda bertanya: ‘Adakah engkau gila?’ Dia menjawab: ‘Tidak.’ Baginda bersabda: ‘Bawalah orang ini dan rejamlah dia.’”

Riwayat al-Bukhari (7167) dan Muslim (1691)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani mengatakan, telah tertegaknya hujah bahawa perintah rejam itu datang selepas turunnya surah al-Nur, kerana surah itu turun pada peristiwa al-Ifk (fitnah terhadap Saidatina Aisyah R.Anha). Ulama’ berbeza pendapat sama ada peristiwa itu berlaku pada tahun ke-7, ke-6 atau ke-5. Hukuman rejam ini turun selepas tahun tersebut, yang turut dihadiri oleh Abu Hurairah R.A — beliau memeluk Islam pada tahun ke-7 hijrah. (Lihat Fath al-Bari, 12/120).

Diriwayatkan juga daripada Abdullah bin ‘Abbas R.A bahawa beliau mendengar Khalifah Umar bin al-Khattab R.A berkata di dalam khutbah beliau:

إِنَّ اللَّهَ بَعَثَ مُحَمَّدًا ﷺ بِالحَقِّ، وَأَنْزَلَ عَلَيْهِ الكِتَابَ، فَكَانَ مِمَّا أَنْزَلَ اللَّهُ آيَةُ الرَّجْمِ، فَقَرَأْنَاهَا وَعَقَلْنَاهَا وَوَعَيْنَاهَا، رَجَمَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ وَرَجَمْنَا بَعْدَهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah mengutuskan Muhammad SAW dengan kebenaran dan menurunkan al-Kitab kepada Baginda. Dan antara yang diturunkan oleh Allah adalah ayat rejam (terhadap lelaki dan wanita yang sudah berkahwin yang melakukan zina). Kami telah pun membacanya, memahaminya dan menghafalnya. Rasulullah SAW telah melakukan rejam dan kami juga turut melaksanakannya setelah Baginda.”

Riwayat al-Bukhari (6830) dan Muslim (1691)

Dalam riwayat lain daripada Ibn ‘Abbas R.A, katanya:

قَالَ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ: لَقَدْ خَشِيتُ أَنْ يَطُولَ بِالنَّاسِ زَمَانٌ حَتَّى يَقُولَ قَائِلٌ: مَا أَجِدُ الرَّجْمَ فِي كِتَابِ اللَّهِ، فَيَضِلُّوا بِتَرْكِ فَرِيضَةٍ مِنْ فَرَائِضِ اللَّهِ، أَلَا وَإِنَّ الرَّجْمَ حَقٌّ، إِذَا أُحْصِنَ الرَّجُلُ وَقَامَتِ الْبَيِّنَةُ، أَوْ كَانَ حَمْلٌ أَوِ اعْتِرَافٌ، وَقَدْ قَرَأْتُهَا الشَّيْخُ وَالشَّيْخَةُ إِذَا زَنَيَا فَارْجُمُوهُمَا الْبَتَّةَ

Maksudnya: “Umar bin al-Khattab berkata: Aku khuatir apabila suatu tempoh masa berlalu, akan ada orang yang mengatakan: ‘Demi Allah, kami tidak menemukan ayat rejam dalam Kitab Allah,’ sehingga mereka menjadi sesat kerana meninggalkan kewajipan yang telah diturunkan oleh Allah. Sesungguhnya hukuman rejam itu adalah benar, terhadap seorang lelaki (mahupun perempuan) yang berzina selepas berkahwin jika terdapat saksi atau kehamilan atau pengakuan. Kami telah pun membacanya, ‘Orang tua (yang telah berkahwin) lelaki atau perempuan jika mereka berdua berzina, maka rejamlah kedua-duanya.’”

Riwayat Ibn Majah (2553)

Hukuman rejam bagi penzina yang telah berkahwin ini telah disepakati oleh fuqaha’ tentang kewajipannya. Akan tetapi, wujud perselisihan di kalangan fuqaha’ tentang hukuman ini, sama ada perlu didahului dengan sebatan dahulu atau tidak.

Ini bertitik-tolak dengan hadith yang diriwayatkan daripada ‘Ubadah bin al-Samit R.A, Rasulullah SAW bersabda:

خُذُوا عَنِّي، خُذُوا عَنِّي، فَقَدْ جَعَلَ اللهُ لَهُنَّ سَبِيلًا، البِكْرُ بِالبِكْرِ جَلْدُ مِائَةٍ، وَنَفْيُ سَنَةٍ، وَالثَّيِّبُ بِالثَّيِّبِ جَلْدُ مِائَةٍ، وَالرَّجْمُ

Maksudnya: “Ambillah daripadaku! Ambillah daripadaku! Sesungguhnya Allah telah menetapkan wanita-wanita jalan keluar (dari hukuman kurung hingga mati), iaitu wanita yang belum menikah (yang berzina) dengan lelaki yang belum menikah mereka dikenakan 100 kali sebatan dan dibuang daerah selama satu tahun, sedangkan wanita yang telah menikah (yang berzina) dengan lelaki yang telah menikah, maka mereka dikenakan hukuman 100 kali sebatan dan rejam.”

Riwayat Muslim (1690), Abu Dawud (4415), al-Tirmizi (1434), Ibn Majah (2550), Ahmad (22718) dan al-Nasa’i (7142)

Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith di atas menyatakan, para ulama berselisih pendapat berkenaan hukuman sebat bersama rejam kepada orang yang pernah berkahwin. Sebahagian ulama berpendapat, wajib menghimpunkan kedua-dua hukuman tersebut, maka dia disebat kemudian barulah direjam. Ini merupakan pendapat Ali bin Abu Talib R.A, al-Hasan al-Basri, Ishaq bin Rahawaih, Dawud, Zahiriyyah dan sebahagian ashab al-Syafi‘i.  Sedangkan menurut jumhur ulama, yang wajibnya adalah hukuman rejam sahaja.

Begitu juga al-Qadhi menukilkan daripada sekelompok ahli hadith yang berpendapat, wajib menghimpunkan kedua-dua hukuman itu jika penzina itu adalah orang tua yang pernah berkahwin, dan jika dia seorang pemuda yang pernah berkahwin maka cukup dikenakan dengan hukuman rejam sahaja. Pendapat ini adalah batil dan tidak ada asalnya. Jumhur ulama berhujah dengan menyatakan bahawa Nabi SAW hanya mengenakan hukuman rejam sahaja ke atas penzina dalam kalangan mereka yang pernah berkahwin melalui hadith-hadith yang banyak. Di antaranya, kisah Ma‘iz dan kisah wanita al-Ghamidiyyah.  (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 11/189).

Selain daripada itu, Syeikh Abdullah bin ‘Abd al-Rahman al-Bassam turut menyatakan, majoriti ulama’ termasuk empat imam empat mazhab berpandangan, tidak perlu menggabungkan hukuman sebat dan rejam, tetapi cukup sekadar rejam. Inilah yang diriwayatkan daripada dua Khalifah Islam, Umar dan ‘Uthman R.Anhuma, dan ini juga disebutkan oleh Ibn Mas‘ud, al-Zuhri, al-Nakha‘i, al-Auza‘i dan Abu Thaur. Ini kerana thabit daripada Nabi SAW bahawa Baginda menghukum rejam ke atas Ma‘iz dan al-Ghamidiyyah, dan selain mereka tanpa menyebat mereka (terlebih dahulu). Hal ini kerana, jika terhimpun beberapa hukuman hudud pada seseorang itu, dan antara hukuman itu terdapatnya hukuman mati, maka hukuman lain tidak perlu lagi dilaksanakan.

Sebahagian ulama’ Salaf seperti Ibn ‘Abbas, Ubai bin Ka‘b, Abu Zar, al-Hasan al-Basri, Dawud dan selainnya mengatakan bahawa perlu dihimpunkan sebat dan rejam. Ini berdasarkan tindakan Ali bin Abu Talib R.A, dan apabila al-Sya‘bi bertanyakan kepada beliau tentang sebab dihimpunkan kedua hukuman tersebut, beliau menjawab: “Aku sebat kerana dalil al-Quran, dan aku rejam kerana Sunnah Rasulullah SAW.” Sekalipun begitu, menurut Syeikh Abdullah al-Bassam, pandangan pertama adalah pandangan yang lebih tepat. (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 6/218-219).

Kedua: Penzina yang belum pernah berkahwin

Secara umumnya, penzina yang belum pernah berkahwin dikenakan hukuman sebatan sebanyak seratus kali dan dibuang negeri selama setahun.

Tidak dapat dinafikan bahawa pada awalnya, hukuman wanita yang berzina adalah dikurung di dalam rumah dan tidak dibenarkan untuk keluar sehinggalah dia meninggal dunia. Firman Allah SWT:

وَاللَّاتِي يَأْتِينَ الْفَاحِشَةَ مِن نِّسَائِكُمْ فَاسْتَشْهِدُوا عَلَيْهِنَّ أَرْبَعَةً مِّنكُمْ ۖ فَإِن شَهِدُوا فَأَمْسِكُوهُنَّ فِي الْبُيُوتِ حَتَّىٰ يَتَوَفَّاهُنَّ الْمَوْتُ أَوْ يَجْعَلَ اللَّهُ لَهُنَّ سَبِيلًا

Maksudnya: “Dan sesiapa yang melakukan perbuatan keji (zina) di antara perempuan-perempuan kamu, maka carilah empat orang lelaki di antara kamu yang menjadi saksi terhadap perbuatan mereka. Kemudian kalau keterangan-keterangan saksi itu mengesahkan perbuatan tersebut, maka kurunglah mereka (perempuan yang berzina itu) dalam rumah hingga mereka sampai ajal matinya, atau hingga Allah mengadakan untuk mereka jalan keluar (daripada hukuman itu).”

(Surah al-Nisa’: 15)

Imam Ibn Kathir menyebutkan, pada awal keislaman, wanita yang berzina dengan didatangkan bukti yang kukuh, hukuman mereka adalah dikurung di dalam rumah dan tidak dibenarkan untuk keluar sehinggalah dia meninggal dunia. Oleh kerana itu, yang dimaksudkan dengan firman Allah SWT: (وَاللاتِي يَأْتِينَ الْفَاحِشَةَ) adalah zina. Manakala jalan keluar yang Allah SWT telah tetapkan sebagai pembatal bagi hukuman kurung ini.

Dinukilkan daripada Ibn ‘Abbas R.A, katanya: “Sebelum ini begitulah hukumannya, sehinggalah Allah SWT menurunkan surah al-Nur dan membatalkan hukuman kurung ini dengan sebatan dan rejam.”

Begini jugalah yang diriwayatkan daripada ‘Ikrimah, Sa‘id bin Jubair, al-Hasan, ‘Ata’ al-Khurasani, Abu Soleh, Qatadah, Zaid bin Aslam dan al-Dhahhak. Mereka mengatakan bahawa hukuman kurung itu telah dibatalkan, dan ia merupakan perkara yang disepakati. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/204)

Allah SWT pertamanya menurunkan hukuman kurung kepada mereka yang melakukan perbuatan zina yang terkutuk. Kemudian hukuman ini dibatalkan dengan ayat lain, firman Allah SWT:

الزَّانِيَةُ وَالزَّانِي فَاجْلِدُوا كُلَّ وَاحِدٍ مِّنْهُمَا مِائَةَ جَلْدَةٍ

Maksudnya: “Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat.”

(Surah al-Nur: 2)

Hukum ini juga thabit melalui hadith dan di dalamnya juga turut dinyatakan hukuman dibuang negeri selama setahun. Ini adalah sebagaimana yang diriwayatkan daripada ‘Ubadah bin al-Samit R.A, Rasulullah SAW bersabda:

خُذُوا عَنِّي، خُذُوا عَنِّي، فَقَدْ جَعَلَ اللهُ لَهُنَّ سَبِيلًا، البِكْرُ بِالبِكْرِ جَلْدُ مِائَةٍ، وَنَفْيُ سَنَةٍ، وَالثَّيِّبُ بِالثَّيِّبِ جَلْدُ مِائَةٍ، وَالرَّجْمُ

Maksudnya: “Ambillah daripadaku! Ambillah daripadaku! Sesungguhnya Allah telah menetapkan wanita-wanita jalan keluar (daripada hukuman kurung hingga mati), iaitu wanita yang belum menikah (yang berzina) dengan lelaki yang belum menikah mereka dikenakan 100 kali sebatan dan dibuang daerah selama satu tahun, sedangkan wanita yang telah menikah (yang berzina) dengan lelaki yang telah menikah, maka mereka dikenakan hukuman 100 kali sebatan dan rejam.”

Riwayat Muslim (1690), Abu Dawud (4415), al-Tirmizi (1434), Ibn Majah (2550), Ahmad (22718) dan al-Nasa’i (7142)

Imam al-Nawawi menyatakan, Rasulullah SAW menerangkan bahawa hukuman inilah jalan keluar yang disebutkan oleh Allah SWT itu. Dan para ulama’ telah bersepakat bahawa penzina yang belum berkahwin wajib dikenakan hukuman 100 kali sebatan, manakala penzina yang pernah berkahwin dan digauli perlu direjam. Tidak ada seorang pun ahli kiblat yang menyelisihi pandangan ini, kecuali apa yang dinukilkan daripada al-Qadhi ‘Iyadh dan selainnya daripada al-Khawarij dan sebahagian al-Mu‘tazilah seperti al-Nazzam dan para pengikutnya yang tidak berpendapat dengan hukuman rejam.

Adapun lafaz “البِكْرُ بِالبِكْرِ جَلْدُ مِائَةٍ، وَنَفْيُ سَنَةٍ”, padanya menjadi hujah bagi Imam al-Syafi‘i dan majoriti ulama bahawa wajib buang negeri tidak kira bagi lelaki atau wanita (yang belum pernah berkahwin yang berzina). Al-Hasan pula berpendapat, tidak wajib dikenakan hukuman buang negeri. Manakala Imam Malik dan al-Auza‘i mengatakan, tidak ada hukuman buang negeri untuk wanita. Pendapat seperti itu turut diriwayatkan daripada Ali R.A. Mereka berpendapat sedemikian kerana wanita memiliki kehormatan (aurat) dan mengenakan hukuman buang negeri kepada mereka adalah sesuatu yang merugikan[1] dan mendedahkan diri mereka kepada fitnah. Oleh sebab itu, dilarang bagi wanita untuk bermusafir kecuali bersama mahramnya.

Manakala bagi penzina dalam kalangan hamba lelaki dan perempuan, terdapat tiga pendapat Imam al-Syafi‘i mengenainya seperti berikut:

Pendapat pertama, setiap seorang daripada mereka hendaklah dibuang negeri selama setahun berdasarkan kepada zahir hadith. Ini juga adalah pendapat Sufyan al-Thauri, Abu Thaur, Dawud dan Ibn Jarir.

Pendapat kedua, mereka dikenakan hukuman buang negeri selama setengah tahun. Ini adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT:

فَإِذَآ أُحْصِنَّ فَإِنْ أَتَيْنَ بِفَـٰحِشَةٍۢ فَعَلَيْهِنَّ نِصْفُ مَا عَلَى ٱلْمُحْصَنَـٰتِ مِنَ ٱلْعَذَابِ

Maksudnya: “Kemudian setelah mereka (hamba-hamba perempuan itu) berkahwin, lalu mereka melakukan perbuatan keji (zina), maka mereka dikenakan separuh dari (hukuman) seksa yang ditetapkan ke atas perempuan-perempuan yang merdeka.

(Surah al-Nisa’: 25)

Menurut Imam al-Nawawi, inilah pendapat yang paling sahih di sisi ashab kami (ulama al-Syafi‘iyyah). Ayat al-Quran ini telah mengkhususkan keumuman hadith, dan inilah pendapat yang sahih di sisi ulama’ usul iaitu dibolehkan untuk mengkhususkan sunnah dengan al-Quran kerana jika dibolehkan mengkhususkan ayat al-Quran dengan ayat al-Quran yang lain, maka mengkhususkan sunnah dengannya (ayat al-Quran) adalah lebih-lebih lagi dibolehkan.

Pendapat ketiga, pada asalnya hamba tidak dikenakan hukuman buang negeri. Ini merupakan pendapat al-Hasan al-Basri, Hammad, Malik, Ahmad dan Ishaq. Ini adalah berdasarkan kepada sabda Nabi SAW mengenai hamba, “Jika dia berzina maka sebatlah dia,” dan tidak menyebutkan hukuman buang negeri. Ini kerana hukuman buang negeri itu akan memberi mudharat kepada tuannya (atau merugikannya), meskipun tuannya tidak bersalah dalam hal itu.

Namun, para ashab Imam al-Syafi‘i menjawab semula hujah ini, iaitu berkenaan hadith yang menyatakan hamba perempuan apabila dia berzina dan tidak dinyatakan di dalamnya berkenaan hukuman buang negeri bahawa ayat al-Quran secara zahir (jelas) menunjukkan kepada wajibnya hukuman buang negeri. Oleh kerana itu, wajib untuk beramal (berpegang) dengannya dan kemudian membawa (memahami) makna hadith itu dengan makna yang sesuai atau selari dengan ayat al-Quran tersebut. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 11/189).

Seterusnya, berkenaan hukuman sebat ini juga, ia tidak boleh dilakukan sesuka hati menggunakan apa jua alatan secara semberono, bahkan terdapat ketetapan yang diletakkan sebagai kriteria alat yang boleh digunakan untuk hukuman ini. Imam al-Syaukani menghuraikan ciri-ciri cemeti yang digunakan untuk sebatan sebagai satu ranting bersaiz sederhana, tidak terlalu baru atau lama. Panjangnya adalah satu hasta dan ukur lilitnya adalah sebesar satu jari. (Lihat Nail al-Autar, 7/285)

Di bawah Seksyen 125 Akta Prosedur Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 560), dinyatakan bahawa alat sebatan, tidak termasuk pemegangnya hendaklah daripada jenis yang sama dan dibuat sama ada daripada rotan atau ranting kecil pokok yang tiada ruas atau buku dan panjangnya tidak melebihi 1.22 meter dan tebalnya tidak melebihi 1.25 sentimeter.

Kaedah sebatan juga bukan dengan nafsu amarah atau pukulan sekuat hati. Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah menyebutkan, kaedah sebatan dengan satu bentuk pukulan yang sederhana (tidak terlalu kuat dan tidak terlalu perlahan) dengan menggunakan cemeti yang sederhana (tidak terlalu berat dan tidak terlalu ringan). (Lihat al-Siyasah al-Shar’iyyah fi Islahi al-Ra’i wa al-Ra’iyyah, hlm. 101).

Menurut undang-undang Malaysia pula, kami bawakan contoh daripada Akta Prosedur Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 560) yang membicarakan perihal kaedah sebatan hukuman zina ini. Berdasarkan yang termaktub di dalam seksyen 125 (1), disebutkan:

  • Sebelum dilaksanakan, pesalah mesti diperiksa oleh seorang pegawai perubatan kerajaan untuk diperakui bahawa kesihatannya dalam keadaan baik untuk menjalani hukuman itu.
  • Jika pesalah sedang hamil, hukuman hendaklah ditangguhkan sehingga tamat tempoh 2 bulan selepas melahirkan atau keguguran, mengikut mana-mana yang berkenaan.
  • Hukuman hendaklah dilaksanakan di depan seorang pegawai perubatan kerajaan di mana-mana tempat sebagaimana yang diarahkan oleh mahkamah atau di suatu tempat yang ditetapkan oleh kerajaan.
  • Orang yang dilantik untuk melaksanakan hukuman hendaklah adil dan matang.
  • Orang itu hendaklah menggunakan alat sebatan dengan kekuatan sederhana tanpa mengangkat tangan melebihi kepala supaya tidak melukakan kulit pesalah.
  • Selepas satu sebatan, dia hendaklah mengangkat alat sebatan ke atas dan tidak menariknya.
  • Sebatan boleh dibuat ke seluruh bahagian tubuh kecuali muka, kepala, perut, dada atau bahagian-bahagian sulit.
  • Pesalah hendaklah memakai pakaian mengikut hukum syarak.
  • Jika pesalah itu lelaki, sebatan hendaklah dibuat dalam keadaan dia berdiri dan bagi perempuan, dalam keadaan duduk.
  • Jika semasa perlaksanaan hukuman sebat itu pegawai perubatan kerajaan memperakui bahawa pesalah itu tidak lagi dapat menerima sebatan, hukuman hendaklah ditangguhkan sehingga diperakui semula tubuhnya sihat.[2]

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ، وَالأَهْوَاءِ، وَالأَسْوَاءِ، وَالأَدْوَاءِ.

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

 

Nota Hujung:

[1] kerana mereka boleh berkahwin dan melahirkan anak. Justeru, hukuman sebatan sudah mencukui dan hukuman buang negeri ke atas mereka pula adalah suatu yang sia-sia dan merugikan.

[2] Lihat https://www.peguamsyarie.com.my/akta-tatacara-jenayah-syariah-wilayah-wilayah-persekutuan-1997/. Diakses pada 30 Oktober 2023.