#7721: Solat Dhuha bagi Nabi Muhammad SAW

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah Solat Dhuha diwajibkan bagi Rasulullah SAW?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Solat Dhuha merupakan salah satu dari solat nafilah (sunat) yang dituntut. Terdapat banyak nas yang menyebutkan akan kelebihan dan kepentingan solat ini. Antaranya seperti yang disebutkan oleh Abu Hurairah R.A beliau berkata :

 أَوْصَانِي خَلِيلِي صلى الله عليه وسلم بِثَلاَثٍ بِصِيَامِ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ وَرَكْعَتَىِ الضُّحَى وَأَنْ أُوتِرَ قَبْلَ أَنْ أَرْقُدَ

Maksudnya: “Kekasihku telah berpesan kepadaku terhadap tiga perkara. (Iaitu) berpuasa sebanyak tiga hari dalam sebulan, dua rakaat solat dhuha, dan supaya aku melakukan solat witir sebelum aku tidur.”

Riwayat Muslim (721)

Hadith di atas jelas menunjukkan bahawa solat dhuha ini dituntut oleh Rasulullah SAW. Dua rakaat solat dhuha yang disebutkan di dalam hadith ini menjelaskan berkenaan bilangan rakaat paling ringkas bagi solat dhuha. Meskipun begitu, ia tidaklah terhad kepada dua rakaat sahaja, bahkan para fuqaha al-Syafi’iyyah menjelaskan bahawa bilangan rakaat paling afdhal bagi solat dhuha adalah sebanyak 8 rakaat manakala bilangan rakaat paling maksima adalah sebanyak 12 rakaat seperti yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi.

Imam al-Nawawi turut berkata: Sesungguhnya Nabi SAW melakukan solat dhuha ini pada sebahagian waktu dan baginda meninggalkannya pada sebahagian waktu yang lain, takut-takut orang ramai menyangka ia sebagai wajib atau takut-takut ia difardhukan ke atas mereka. (Lihat al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, 4/37 )

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami katakan ulama’ sepakat bahawa solat Dhuha adalah tidak wajib bagi orang Islam, mereka khilaf adakah wajib bagi Rasulullah SAW?

Ulama’ sepakat bahawa solat Dhuha tidak wajib bagi umat Islam tetapi kepada Baginda SAW, mereka khilaf kepada dua pendapat:

  • Jumhur ulama’ berpendapat tidak wajib kepada Rasulullah SAW.
  • Ulama’ Syafi’i dan sebahagian Maliki dan Hanbali berpendapat, solat Dhuha termasuk dalam khususiyyat (terkhusus) bagi Rasulullah SAW daripada yang wajib. Selamanya yang wajib adalah dua rakaat.

Kami kemukakan di sini beberapa dalil yang menunjukkan Rasulullah SAW melakukan solat Dhuha, antaranya hadith yang diriwayatkan daripada Ali bin Abu Talib R.A, katanya:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يُصَلِّي الْضُحَى

Maksudnya: “Rasulullah SAW melaksanakan solat Dhuha.”

Riwayat Ahmad (684), al-Tirmizi (598), al- Nasa’i (875) dan Ibn Majah (1161)

Dalam hadith lain, yang diriwayatkan daripada Muazah R.Anha bahawa beliau bertanya Aisyah R. Anha, katanya: Berapakah rakaat Nabi SAW melakukan solat Dhuha? Aisyah menjawab:

أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ وَيَزِيدُ مَا شَاءَ

Maksudnya: “Empat rakaat dan dia menambah mengikut kehendaknya.”

Riwayat Muslim (718), Ibn Majah (1381) dan Ahmad (25755)

Justeru, marilah sama-sama kita mengamalkan ibadat solat-solat sunat dan sesiapa yang ingin mendalami isu ini, boleh rujuk dalam buku kami: Ensiklopedia Solat Sunat. Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan.”

(Surah Ibrahim: 40-41)