Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum solat sunat tawaf?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Definisi Solat Sunat Tawaf
Secara umumnya, perkataan ‘solat’ diambil daripada bahasa Arab. la S merupakan kata nama terbitan (masdar) daripada kata kerja (fi’il); solla, yusolli, solatan yang bermaksud doa, istighfar, maghfirah (keampunan), Islam dan al-Din. (Lihat al-Mu’jam al-‘Arabi al- Asasi, 1/746)
Allah SWT berfirman:
وَصَلِّ عَلَيْهِمْ إِنَّ صَلَاتَكَ سَكَنُ لَهُمْ
Maksudnya: “Dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka.”
(Surah al-Taubah: 103)
Dari sudut istilah fiqh, solat bermaksud beberapa perkataan dan perbuatan, yang didahului dengan takbir dan diakhiri dengan salam, mengikut syarat- syarat tertentu. (Lihat al-Iqna’ fi Halli Alfaz Abi Syuja‘, 1/257).
Kesimpulan
Menurut Imam al-Nawawi, apabila seseorang itu selesai daripada tawafnya, maka solatlah dua rakaat tawaf. Hal ini kerana dua rakaat solat itu hukumnya adalah sunat muakkad menurut pendapat yang paling sahih. Akan tetapi terdapat juga pendapat yang menyatakan bahawa kedua-duanya adalah wajib. (Lihat al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al- ‘Umrah, hlm. 244).
Dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah dinyatakan secara lebih terperinci bahawa ulama’ dalam kalangan mazhab Hanafi berpendapat, diwajibkan untuk mendirikan solat dua rakaat selepas setiap kali selesai tawaf, sama ada tawaf fardhu ataupun sunat. Ini juga merupakan salah satu riwayat daripada Imam Ahmad, salah satu pendapat dalam kalangan ulama’ mazhab Syafi’i, dan ulama’ mazhab Maliki sependapat dengan mereka dalam tawaf rukun atau wajib menurut pendapat yang masyhur di sisi mereka.
Mereka berdalilkan dengan perbuatan Nabi SAW dan hadith daripada riwayat Jabir R.A, beliau berkata:
لَسْنَا نَنْوِي إِلَّا الحَجَّ، لَسْنَا نَعْرِفُ العُمْرَةَ، حَتَّى إِذَا أَتَيْنَا البَيْتَ معهُ، اسْتَلَمَ الرُّكْنَ فَرَمَلَ ثَلَاثًا وَمَشَى أَرْبَعًا، ثُمَّ نَفَذَ إِلَى مَقَامِ إِبْرَاهِيمَ عليه السَّلَامِ، فَقَرَأَ : {وَاتَّخِذُوا مِنْ مَقَامِ إِبْرَاهِيمَ مُصَلَّى}، فَجَعَلَ المَقَامَ بَيْنَهُ وَبَيْنَ البَيْتِ، فَكَانَ أَبِي يَقُولُ – وَلَا أَعْلَمُهُ ذَكَرَهُ إِلَّا عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عليهِ وَسَلَّمَ – : كَانَ يَقْرَأُ فِي الرَّكْعَتَيْنِ {قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ} وَ{قُلْ يَا أَيُّهَا الْكَافِرُونَ} .
Maksudnya: “Kami tidak berniat melainkan hanya untuk mengerjakan haji, dan kami belum mengenal umrah. Setelah sampai di Baitullah bersamanya, Baginda mencium salah satu sudutnya yakni hajarul aswad. (Kemudian Baginda tawaf) dengan berlari-lari anak sebanyak tiga kali dan berjalan biasa sebanyak empat kali. Kemudian Baginda terus menuju ke maqam Ibrahim A.S, lalu membaca ayat : ” وَالْتَّخِذُوا مِنْ مَقام إِبْرَاهِيمَ مُصَلَّى )Maksudnya: “Dan jadikanlah oleh kamu maqam Ibrahim itu tempat solat.”) (Surah al-Baqarah: 125). Lalu dijadikan maqam itu berada di antaranya dengan Baitullah. Sementara itu bapaku berkata dan aku tidak mengetahui apa yang disebutkannya itu melainkan daripada Nabi SAW – bahawasanya Baginda membaca dalam dua rakaat solatnya surah al-Ikhlas dan surah al-Kafirun.”
Riwayat Muslim (1218)
Dalam hadith di atas terdapat isyarat bahawa solatnya yang dilakukan selepas tawaf itu menepati perintah ini, dan suatu perintah itu menunjukkan sa adalah wajib. Melainkan perkara itu diistinbatkan daripada hadith zanni dan perkara itu mensabitkan wujub (wajib), yang kedudukannya lebih rendah daripada fardhu dan lebih atas daripada sunnah.
Manakala pendapat muktamad di sisi ulama’ mazhab Syafi’i dan Hanbali bahawa solat dua rakaat tawaf hukumnya adalah sunat. Mereka berdalilkan dengan hadith-hadith yang menetapkan batasan solat-solat fardhu hanyalah lima, dan solat tawaf pula – sebagaimana kata al-Syirazi – merupakan solat tambahan ke atas solat-solat fardhu lima waktu. Justeru, ia tidak diwajibkan secara syaraknya ke atas setiap individu seperti mana solat-solat sunat yang lain. Malah, menurut ulama’ dalam kalangan mazhab Syafi’i dan Hanbali, jika seseorang itu mendirikan solat fardhu selepas selesai daripada tawafnya, maka solat tersebut sudah memadai yakni diambil kira sebagai dua rakaat tawaf. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 29/133-134)
Kami akhiri dengan doa:
اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.
Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”